Umar Al-Faruq (Pemisah Diantara Hak Dan Batil)

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz B. Harjin

Disediakan Oleh :
Mohamad Suhairi Bin Saziar
2014257162

PENDAHULUAN
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Muhammad SAW

Khalifah Umar Al-Khattab yang lebih dikenali sebagai al_faruq iaitu pemisah diantara hak dan batil. Saidina Umar Al-Khattab adalah Khalifah yang kedua didalam sejarah Islam. Beliau adalah salah satu tokoh yang sangat dibanggakan oleh seluruh umat Islam dan sangat digeruni oleh orang-orang musyrikin. Pada awalnya beliau sangat kuat menentang Rasulullah SAW dan merupakan seorang musuh Islam yang sangat berani menyeksa orang-orang Islam. sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam. Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar adiknya iaitu Fatimah membaca Al Quran. Walaubagaimanapun, tindakan Umar memeluk agama Islam benar-benar telah menggemparkan masyarakat Quraisy. Ini disebabkan sebelumnya Umar adalah antara penentang kuat kepada ajaran Islam bersama dengan Abu Jahal yang memang tidak dinafikan kebenciannya pada Islam. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Berkat doa Rasulullah SAW, Umar telah diberikan hidayah untuk menerima Islam. Setelah Umar Al-Khattab memeluk agama Islam, maka wujudlah zaman kegemilangan Islam dan mungcullah Khalifah kedua didalam sejarah Islam.. 

SAIYIDINA UMAR AL-KHATTAB (AL-FARUQ)

Latar Belakang:
Nama penuhnya ialah Umar bin Al-Alkhatab bin Naufal bin Abdul Uzza bin Rabah bin Abdullah bin Qarth bin Razah bin Adiy bin Kaab bin Laui bin Fihr. Beliau lahir pada tahun 583 masihi iaitu kira-kira 13 tahun sesudah kelahiran Rasulullah. Beliau berketurunan Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraisy yang dipandang mulia, megah, yang berkedudukan tinggi dan beliau juga merupakan salah seorang anak bangsawan Quraisy. Berdasarkan catatan, keturunan ayah kandungnya iaitu Al-Khattab bin Naufal ternyata terbukti masih mempunyai pertalian darah dengan nenek-nenek Nabi. Manakala ibu kandungnya pula iaitu Hantamah binti Hasyam bin Mughirah adalah anak bapa saudara dari pahlawan Islam iaitu Khalid bin Walid. 

Peribadi UmarAl-khattab Sebelum Memeluk Agama Islam:
Dari segi peribadinya Umar merupakan seorang pemimpin Islam yang kebanyakan namanya telah memenuhi lembaran buku-buku sejarah pada masa sebelum ini. Hal ini kerana, beliau mempunyai sifat-sifat yang jarang ada sifat-sifat tersebut pada orang lain selain mempunyai jasa yang sangat luas dalam meningkatkan dan membentuk pemerintahan Islam. Pada zaman kecil, beliau sangat nakal dan hampir setiap hari beliau bergaduh dengan rakan-rakanya semasa zaman kecilnya. 

Seterusnya beliau pernah menjadi pengembala kambing dan pernah juga menjadi seorang pedagang terkenal kerana selalu mengelilingi dan menjalankan perdagangan di negeri-negeri sekelilingnya. Daripada pengalaman tersebut, menjadikan beliau seorang ahli dalam perdagangan dan dalam masa yang sama sebagai seorang ahli dalam sejarah bangsa Arab dan sejarah suku-suku yang hidup di Jaziratul Arab. Beliau juga merupakan seorang ahli yang bermain anggar dan suka menunggang kuda, dan keadaan ini menyebabkan badannya tegap dan sentiasa sihat. 

Darah keberanian yang mengalir dalam tubuhnya menyebabkan dia suka bertengkar, bergaduh, berperang dan sebagainya. Walaubagaimanapun beliau tidak akan menganaiya orang-orang yang dianggap tidak bersalah kepadanya. Tetapi pada masa permulaan lahirnya Agama Islam, Umar Al-Khattab merupakan penghalang yang terkenal terhadap segala tindakan Nabi Muhammad dalam menyebarkan ajaran agama Islam. Bahkan, kerana takut kepadanya, kebanyakan penduduk pada ketika itu hanya mampu memeluk agama Islam secara sembunyi-sembunyi sahaja. Hal ini kerana beliau amat menentang keras terhadap ajaran agama Islam. 

Sebelum beliau memeluk Islam, pelbagai kekejaman yang telah beliau lakukan, antaranya adalah kekejaman yang dilakukan terhadap hambanya yang bernama Lubainah kerana telah memeluk Islam. Tetapi kerana teguh dan kuatnya iman hamba yang bernama Lubainah ini menyebabkan Umar dengan sendirinya berasa jemu untuk menganiayainya lagi dan akhirnya menyebabkan hamba yang bernama Lurainah ini dijual kepada Abu Bakar As-Siddiq. Keadaan ini menyebabkan Lurainah bebas dari cengkaman Umar sekaligus bebas daripada menjadi hamba kerana Lubainah kemudiannya dibebaskan oleh Abu Bakar As-Siddiq. 

Sebenarnya dalam sejarah Islam, pada awal perkembangan agama Islam terdapat dua orang pemuda yang bernama Umar yang menjadi penentang keras terhadap segala tindakan Nabi Muhammad dalam menyebarkan agama Islam. Selain Umar bin Al-Khattab, Umar bin Hisyam atau lebih dikenali sebagai Abu Jahal merupakan sebagai penentang kuat dalam penyebaran agama Islam. Keadaan ini hingga menyebabkan situasi di Mekah tidak ubah seperti orang yang meletakkan nyawanya di hujung pedang sekiranya mereka memeluk agama Islam. Situasi di kota Mekah pada ketika itu sangat teruk, seolah-olah dua orang pemuda itulah yang akan menetukan kehidupan orang lain di Kota Mekah. Kesan daripada usaha Umar dalam menghalang dan menentang penduduk daripada memeluk agama Islam menjadikan situasi di Kota Mekah sangat kritis pada masa itu. 

Kemudian Nabi Muhammad SAW sehinggakan pernah berdoa kepada Allah SWT dengan berkata “Wahai Tuhanku, megahkanlah dan besarkanlah Agama Islam ini dengan salah seorang daripada dua pemuda Quraisy tersebut, iaitu Umar Ibnu Hisyam atau Umar Ibnul Khattab. ” Agar salah seorang daripada yang bernama Umar itu mendapat hidayah daripada Allah. SWT serta ditujuki hatinya terhadap Islam. Tidak lama kemudian Allah telah mengaburkan doa Rasulullah. SAW, ini dapat dilihat apabila Umar bin Al-Khattad telah memeluk Agama Islam serta menjadi seorang tokoh yang sangat gagah dan berani dalam menyebarkan Agama Islam. 

Peribadi Umar Al-khattab Selepas Memeluk Agama Islam:
Selapas kemasukkan Umar al-Khattab kedalam Agama Islam maka berubahlah situasi di Kota Mekah. Hal ini kerana kebaraniannya digunakan untuk membela Nabi Muhammad. SAW dan kaum Muslimin, ini dapat dibuktikan pada saat kaum Muslimin melaksanakan hijrah ke Madinah, apabila beberapa hari Umar masih berada di Kota Mekah, beliau berpatah bilik ke Ka’abah untuk bersolat dan melakukan tawaf sambil memagang sebatang pedang bersamanya ketika beliau sedang beribadah. Ketika orang-orang Quraisy sedang melihat dengan perasaan iri hati dan dengki maka Umar berkata “ Siapa yang tidak ingin lagi melihat matahari, (mati) boleh datang dekat saya, supaya lehernya saya penggal sampas putus!”

Semenjak Umar memeluk Islam boleh dikatakan kezaliman oleh kaum Quraisy semakin berkurangan, malah menjadikan jumlah penduduk semakin hari semakin ramai yang memeluk agama Islam. Hal ini kerana setelah memeluk Islam Umar telah menjadi seorang yang sangat dekat dengan Rasulullah serta menjadi seorang yang sangat berani dalam menyampaikan sebarang pendapat bekenaan agama Islam. Dalam hubungan ini, beberapa kali fikiran Umar bin Khattab itu tertanya-tanya didalam persoalannya, tidak lama kemudian dijawadlah oleh Al Quran dengan datangnya malaikat Jibril yang membawa ayat-ayat Al Quran yang berkenaan dengan persoalan tersebut. Semenjak daripada Zaman Hijrah ke Zaman pemerintah Abu Bakar Al Shiddiq, beliaulah yang terus menerus bekerja dan membela serta mempertahankan Agama Islam. 

Perlantikan Abu Bakar As-Siddiq Sebagai Khalifah Dan Peranan Umar Al-Khattab:
Sesaat sesudah wafatnya Nabi Muhammad SAW dimana pemuka-pemuka Muhajirin dan Ansur telah berkumpul beramai-ramai. Apabila meraka mereka sedang membincangkan tentang siapakah yang akan dipilih menjadi seorang khalifah, maka timbulah perbezaan pendapat antara kaum-kaum ini yang hampir menyebabkan berlakunya perpecahan yang berbahaya. Pada saat itulah Umar bin Al-Khattab dikatakan sangat berjasa dalam menyelesaikan pemasalahan yang timbul yangmenyebabkan perselisihan tersebut berlaku. 

Ini dapat dilihat apabila tindakan beliau mencari siapa yang harus diangkat menjadi khalifah iaitu dengan menghulurkan tangannya kepada Abu Bakar, kemudian dengan cara berani beliau berkata atas namanyaAbu bakar As-Siddiq yang harus menjadi khalifah pada masa itu, kemudian Abu Bakar segera mengangkat sumpah jabatan untuk menjadi khalifah. Dengan cara Umar yang cepat, berani serta tegas itu, membolehkan perberzaan pendapat yang timbul sebelum ini dapat diatasi dengan lebih mudah. 

Semasa Saiyidina Abu Bakar menjalankan pemerintahan, Saiyidina Abu Bakar seringkali mengadakan musyawarah bersama-sama dengan Saiyidina Umar mengenai hal-hal yang besar dan penting. Seterusnya, Saiyidina Abu Bakar juga sering menggunakan beliau sebagai perantaran iaitu dengan menjadi orang yang ketiga dalam menyelesaikan hal-hal yang besar yang timbul. Ini dapat dibuktikan apabila beliau menjadi perantaraan dalam menyelesaikan perkara-perkara besar seperti menyelesaikan perang menghadapi kaum murtad dan sebagainya. 

Akhir sekali, kita juga harus berterima kasih kepada Umar bin Al-Khattab ini kerana beliau adalah orang yang pertama mempunyai inisiatif untuk membukukan Al Quran yang terserak-serak setelah dihimpunkan oleh Saiyidina Abu bakar. 

Perlantikan Umar Bin Al-Khattab Sebagai Khalifah:
Perlantikan Umar bin Al-Khattab sebagai seorang khalifah bermula apabila adanya usul percalunan yang dikemukakan oleh Saiyidina Abu Bakar iaitu apabila Saiyidina Abu Bakar merasakan sakitnya tidak mungkin lagi akan sembuh. Sebelum beberapa hari wafatnya Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Abu Bakar juga telah berpesan kepada para sahabatdan tetamu yang mengunjunginya, supaya Umar bin Al-Khattab dipilih sebagai khalifah yang seterusya bagi menggantikan dirinya selepas kewafakatan beliau. 

Hal ini kerana Saiyidina Abu Bakar merasakan betapa beraninya beliau dan serdahananya hidup beliau, serta sikap politiknya yang tegas dan jelas menyebabkan Saiyidina Abu Bakar merasakan bahawa beliau yang selayaknya menggantikan tempatnya sebagai khalifah yang seterusnya. Tambahan pula, disebabkan pengaruh Umar yang sangat luas dalam memperkembangkan agama Islam menyebabkan Saiyidina Abu Bakar juga menganggap beliaulah yang sesuai menjadi pemimpin. 

Seterusnya, sifat-sifat Umar Al-Khattab untuk memegang kedudukan tersebut telah mencukupi syarat-syarat yang diperlukan oleh Saiyidina Abu Bakar serta para sahabat yang lain kerana beliau dianggap tidak pernah menganggap remeh tentang soal-soal keagamaan. Malah pemilihan beliausebagai seorang khalifah juga adalah atas persetujuan umat Islam yang lain serta sesuai dengan pesan Saiyidina Abu Bakar. 

Setelah jenazah Saiyidina Abu Bakar selesai dikebumikan, kemudian telah diumumkan perlantikan Umar bin Al-Khattab sebagai khalifah yang kedua dalam Islam. Ramai orang yang suka akan perlantikan khalifah tersebut. Ini dapat digambarkan dengan perasaan kaum muslimin, kerana mereka amat bergembira dengan perlantikan Saiyidina Umar sebagai khalifah atau pemimpin kepada mereka pada ketika itu. 

Saiyidina Umar Al-Khattab Sebagai Khalifah Kedua Islam Serta Pidatonya:
Pada hari perlantikannya menjadi khalifah, Saiyidina Umar Al-khattab telah mengucapkan satu pidato yang penting iaitu bagi menjelaskan garis politik yang akan digunakan olehnya dalam soal perbentukkan dan pembangunan pemerintahannya. Antara lainnya beliau telah berkata “ Sesungguhnya bangsa Arab adalah laksana seekor unta yang dapat dihela kemana-mana. Sebab itu, seorang gembala haruslah pandai memilih jalan kemana unta itu harus dihelaya. Aku demi Allah akan berusaha menghelamu kepada jalan yang diredha Allah! Oh Tuhanku, lembutkanlah hatiku menghadapi orang-orang yang patuh kepadaMu, akan tetapi, tegaskanlah sikapku menghadapi orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran agamaMu”. 

Kemudian, seorang daripada rakyat yang berada disitu, telah bangun dan mengacukan pedangya ke arah Saiyidina Umar Al-Khattab sambil berkata, “ Hai Umar apabila engkau kianat, pedangku ini akan meluruskanMu”. Mendengar daripada rakyat ucapan itu, Umar sangat gembira lalu berkata “Benar! Demikianlah sebaik-baiknya. 

Semasa Permerintahan Saiyidina Umar Bin Al-Khattab Sebagai Khalifah: Semasa pemerintahannya perkara pertama yang dilakukan oleh Khalifah Saiyidina Umar ialah dengan menurunkan jabatan Khalid bin Walid daripada panglima menjadi ketua pasukan. Kemudian beliau melantik Abu Ubaidah bagi menggantikan Khalid bin Walid. Tindakan yang dilakukan oleh Umar ini menimbulkan tanda tanya dan rasa heran dari segenap pelusuk kaum muslimin. Malah tentera yang sedang berada di Iraq pada ketika itu juga turut tertanya-tanya mengenai hal penurunan pangkat Khalid bin Walid daripada panglima kepada ketua pasukan. Kemudian apabila ada yang bertanya tentang hal tersebut kepada Umar disebabkan rasa kehairanan mereka yang timbul kesan daripada tindakan Umar itu, maka beliau berkata “ Khalid bin Walid kuturunkan dan Abu Ubaidah aku naikkan bukanlah disebabkan rasa benci dan sayang kepada salah seorang diantaranya, akan tetapi adalah berdasarkan perhitungan yang tepat juga ”. 

Selepas itu, setelah beberapa hari kemudian beliau menyiapkan pasukan-pasukan untuk menghadapi Persia dan Roma, manakalah Abu Ubaidah pula ditugaskan berangkat ke Iraq bagi memangku jabatan baru yang disandang olehnya. 

Di samping itu, dapat dilihat juga disini akan kejujuran Khalid bin Walid walaupun jabatannya diturunkan dari menjadi panglima kepada ketua pasukan iaitu apabila ada yang bertanya kepada Khalid bin Walid apakah perasaanya ketika itu, lalu dengan tegas Khalid bin Walid menjawab “ Aku hidup, berkeja, berjuang, akan tetapi hanyalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Tuhan!”. Malah semangat dan kegiatan Khalid bertambah hebat di medan peperangan dan bukanlah semakin berkurangan disebabkan penurunan jabatan tersebut. Ini menunjukkan betapa jujurnya sikap Khalid bin Walid dalam menjalankan tugasnya sebelum ini. 

Perluasan Pengaruh Islam Semasa Pemerintahan Saiyidina Umar Al-Khattab: Ketika Abu Ubaidah selamat sampai di Iraq, dan di mangkukan sebagai jabatan Panglima, Arahan pertama yang dikeluarkan olehnya ialah mengarahkan tentera Islam berjaga-jaga di tepi sungai Ephrat. Kerana di sanalah, tentera Islam melakukan pengintipan dan memperhatikan setiap gerak-geri tentara Persia. Dalam hal ini, kerajaan Persia mengalami musibah secara tiba-tiba, iaitu apabila mangkatnya raja Heracleus. Dengan musibah ini, membuatkan tentera Persia terasa semakin bertambah hebat dimana meninggalnya raja Persia itu. 

Dalam pada itu, beberapa minggu lamanya keadaan kerajaan Persia huru-hara akibat hilangnya seorang pemimpin mereka. Kesan daripada itulah, pembesar-pembesar kerajaan meraka mengadakan musyawaratan bagi mencari ganti raja baru. Akhirnya dilantiklah puteri Heracleus sebagai Ratu serta ditetapkanseorang panglima tentera yang bernama Rustam sebagai pembantu kepada puteri Persia itu. 

Kemudian dengan adanya Rustam sebagai panglima tentera telah menyebabkan tentera kerajaan Persia yang berpecah belah bersatu kembali disebabkan tindakan Rustam yang menyusun kembali pasukan-pasukan yang telah berpecah belah itu untuk menghadapi tentera Islam. Rustam seterusnya telah mengarahkan tentera-tenteranya itu untuk menghancurkan tentera Islam. Dalam peperangan yang berlaku antara tentera Islam dengan tentera kerajaan Persia pada awalnya menyebabkan tentera Islam mengalami kekalahan dan panglima Abu Ubaidah syahid dalam peperangan itu. 

Selepas Abu Ubaidah, pimpinan keteteraan seterusnya dilaksanakan oleh Masnah bin Harisah. Dibawah pimpinannya tentera Islam yang telah berpecah itu telah kembali melawan pihak lawan secara bermatian-matian. Pada kali kedua, tentera Islam masih kalah dan mundur kerana ternyata kekuatan pasukan-pasukan tentera Islam masih tidak seimbang lagi. Kemudian Masnah bin Harisah telah meminta bantuan tentera daripada Khalifah Umar Al-Khattab dengan cara menghantar sepucuk surat kepada beliau. 

Setelah Umar mendapat surat tersebut, beliau telah mengajak kaum muslimin berunding dan beliau telah mengatakan bahawa beliau sendiri yang akan pergi memimpin tentera Islam bagi melawan tentera Persia. Namun begitu, terdapat tentangan daripada kaum muslimin kerana mereka tidak sanggup membenarkan Khalifah Umar Al-Khattab pergi berperang sendirian, sebaliknya 4000 orang tentera dibawah pimpinan Sa’ad bin Abi Waqas sanggup menggantikan beliau pergi berperang dengan tentera Persia. Akhirnya Sa’ad bin Abi Waqas telah berangkat ke Iraq setelah mendapat kebenaran daripada Umar Al-Khattab. 

Apabila Sa’ad bin Abi Waqas sampai di Iraq, dia telah menyatupadukan pasukan-pasukan Masnah bin Harisah, dan melaungkan takbir serta mengomandokan serbuan tertera Islam terhadap tentera Persia. Pertempuran yang hebat itu, seterusnya beralih secara terus menerus dan teratur ke tempat sampai kelembah Qadisiah. Akhirnya terbunuhlah Rustam iaitu panglima tentera Persia dalam peperangan itu. Dengan terbunuhnya Rustam mengakibatkan semangat tentera Persia menjadi lemah dan taktik mereka mula mundur dan mereka mula berpecah belah sehingga menyebabkan mereka tidak berdaya lagi untuk melawan tentera Islam. Perang Qadisiah berakhir dengan kemenangan dipihak Islam dan seterusnya ibu Kota Persia berjaya didukuki oleh kaum Muslimin. Kesannya Istana Putih tempat tinggal raja Persia sebelum ini telah dijadikan masjid tempat kaum Muslimin bersolat Jumaat. 

Secara ringkasnya, semasa zaman pemerintah khalifah Umar Al-Khattab keluasan jajahan takluk Islam berkembang dengan luasnya. Kesan daripada itu, kerajaan Islam juga dapat menguasai wilayah-wilayah baru dan menguasai hasil daripada penaklukan ini, harta juga telah bertambah dengan begitu banyak sehingga tidak dapat diagihkan secara serta-merta kerana dearah-daerah yang dikuasai oleh umat Islam semakin tahun semakin bertambah luasnya kawasan ditahkluki. 

Pentadbiran Dan Pemerintah Khalifah Umar Al-Khattab Serta Sumbangannya: Semasa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, banyak daerah-daerah baru seperti Persia, Palestin, Syam atau Syria, Mesir, dan Afrika Utara berjaya dikuasai oleh kerajaan Islam. Oleh itu, beliau telah mengambil beberapa tindakan untuk memastikan kelancaran pemerintahan dan pentadbirannya. Antaranya adalah apabila beliau adalah orang yang pertama melakukan susunan organisasi permerintahan dan penertiban administrasi. Beliau telah membahagikan pentadbirannya kepada lapan wilayah iaitu Madinah, Mekah, Syria, Al-Jazirah atau Mesopotamia, Basrah, Kufah, Mesir dan Palestin. Setiap wilayah ini kemudiannya ditakbir oleh seorang gabenor yang dibantu oleh setiausaha, ketua usaha, pemungut cukai, pegawai polis, perbendaharaan dan hakim. Terdapat juga wilayah yang ditakbir terus oleh beliau iaitu Madinah. 

Selain itu, beliau juga telah menubuhkan satu jabatan baru iaitu dewan atau dikenali sebagai jabatan. Politik yang pertama beliau lakukan ialah dengan menyatukan seluruh Jaziratul-Arab menjadi satu bangsa. Kesan daripada tindakan khalifah Umar Al-Khattab ini berjaya menghilangkan perasaan kesukuan kerana beliau berjaya menyatukan pelbagai suku menjadi satu umat kesukuan. 

Seterusnya beliau adalah orang yang pertama menyusun sistem pertahanan rakyat dan membentuk suatu golongan yang digelar sebagai tentera. Unit-unit tentera yang ditubuhkan terdiri daripada pasukan berkuda, bejalan kaki, perkhidmatan pengintip dan pengintip sayap belakang. Beliau sangat memberi perhatian yang serius terhadap jabatan tentera tersebut. Dengan kekuatan tentera inilah, beliau telah gunakan untuk menghadapi pelbagai fitnah serta serangan terhadap agama Islam. 

Disamping itu, beliau telah menubuhkan satu institusi kewangan negara untuk mengatur wang masuk dan wang keluar negara bagi melincinkan pentadbiran negera Islam. Malah beliau juga menjadi orangyang pertama dalam menentukan soal gaji dan honorarium tertentu mengikut pangkat dan penduduk tertentu. 

Pusat pengajian Islam juga telah ditubuhkan oleh beliau di kota-kota besar seperti Basrah, Kufah dan Fustat sebagai suatu usaha untuk menjana sistem pendikan yang lebih mantap. Usaha beliau ditunjukkan apabila banyak guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat pengajian ini, sementara imam pula ditempatkan di masjid. Beliau juga telah menubuhkan kattab atau pendidikan pra sekolah yang mana bentuk pendidikannya lebih menekankan membaca, menulis serta menghafal khususnya Al Quran, selain daripada mengajar cara mengambil wuduk, bersolat, berpuasa dan mengajar matapelajaran berenang, memanah, menunggang kuda serta lain-lain lagi. 

Malah beliau juga telah mewajibkan umat Islam menghafal Al Quran, dan sekiranya mereka gagal atau tidak berusaha untuk mengafal Al Quran akan dikenakan hukuman. Selain itu beliau telah menyusun dasar-dasar cukai dan perbagai lagi sumbangan lain terhadap negara sehingga menyebabkan pemerintahan Islam memperkenalkan Baitulmal disebabkan beliaulah orang yang menubuhkan baitulmal tersebut. 

Seterusnya, beliau telah menetapkan perhitungan tahun Islam yang mana ia dianggap sebagai suatu jasa beliau yang amat besar kerana ia telah digunapakai oleh masyarakat selepasnya. Ini terjadi apabila beliau menganggap peristiwa penghijrahan Nabi dari Kota Mekah ke Madinah sebagai suatu peristiwa yang amat penting dalam sejarah perkembangan Islam dan menjadi modal utama dalam kekukatan kenegaran serta peristiwa tersebut amat besar pengaruhnya dalam penyebaran agama Islam. Selain itu, beliau juga merintahkan supaya rumah-rumah sosial didirikan untuk kerperluan penduduk yang sentiasa berulang-alik antara Syria dan Mekah bagi memudahkan keperluan kaum yang bermusafir tersebut supaya mereka boleh bermalam disana atau memberikan bantuan kepada kaum fakir miskin itu. 

Khalifah Umar Al-Khattab juga merupakan orang yang pertama menubuhkan badan kehakiman yang bertegaskan pengadilan sesuatu perkara dan menetap keputusan berdasarkan Al Quran dan Hadith untuk menyelesaikan perselisihan yang terjadi dalam kalangan penduduk. Antara tindakan yang diambil oleh beliau adalah dengan menunjukkan kepada hakim serta menyusun peraturan-peraturan yang dapat digunakan oleh hakim dalam menemui hukum-hukum bagi menegakkan keadilan terhadap suatu masalah yang timbul. 

Beliau juga menegaskan bahawaorang yang bersalah akan mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Akan tetapi, melalui jabatan kehakiman ini juga membolehkan tiap-tiap orang yang merasai dirinya tidak bersalah, juga dapat mengemukakan semua perasaannya dengan bebas dalam majlis itu, dan angkat sumpah hanyalah bagi orang-orang yang menolak tuduhan tersebut. Dengan adanya badan kehakiman tidak ada rakyat yang merasa dianayai dan sebaliknya tidak ada pula pembesar-pembesar negeri yang bertindak diluar kawalan kerana pembesar-pembesar itu juga turut diperiksa dengan teliti oleh badan kehakiman apabila diadukan kesalahan mereka oleh penduduk. 

Semua jabatan kewangan, kehakiman dan ketua daerah dipegang oleh beliau sendiri. Beliau membuat kawalan terhadap kesemua jabatan tersebut apabila belakunya musim haji kerana pada saat itu banyak Jemaah haji yang datang daripada perlbagai penjuru. Kesempatan itu digunakan oleh beliau dengan menanyakan kepada rakyat tentang kehidupan pemimpin-pemimpin ditempat mereka masing-masing. Sekiranya didapati pemimpin-pemimpin mereka bersangkutan menjalankan politik yang bertentangan dengan garis panduan yang telah beliau gariskan, maka beliau akan terus mengambil tindakan tegas seperti pemecatan dan sebagainya. Selain itu, dari segi peribadi beliau mengawal kesemua jabatan ini dengan melakukan pengintipan di malam hari melalui lorong-lorang yang sunyi atau ataupun ditempat-tempat yang ramai seperti dipasar dan sebagainya. Jika ditemui sesuatu perkara yang berlaku dan memerlukan penyelesaian, maka beliau segera menyelesaikan perkara tersebut pada saat itu juga. 

Secara umumnya, daripada sifat kesederhanaan beliau semasa pemerintahan dalam setiap bidang misalnya seperti makanan dan pemakaian, sehingga membuatkan raja-raja lain kagum dengan sifat beliau dan ini dapat dilihat apabila Raja Persia sendiri iaitu Haimuzan hampir-hampir tidak mengenali beliau kerana sifat tawaduk yang ditunjukkan oleh beliau itu. Selain raja, banyak juga petugas-petugas di negara-negara lain turut mengakui sifat-sifat tawaduk atau keserdehanaan beliau itu sebagai seorang pemimpim

Kewafatan Khalifah Umar Bin Khattab:

Pada tahun akhir sebelum beliau wafat, Khalifah Umar Al- Khattab telah memimpim Jemaah haji dan apabila beliau sampai di Wadi Muhassar, beliau merebah dirinya sambil memandang kearah langit yang luas dan gunung-ganang di sekitarnya, kemudian beliau berkata “ Wahai Tuhanku, aku tidak meminta supaya aku dimatikan. Tetapi jikalau Engkau melihat umurku yang sudah tua ini, sedang bebankan kaum Muslimin yang bergitu banyak, dan Engkau mengetahui bahawa aku tidak mampu menanggung beban tersebut, maka aku rela untuk mati”. Daripada doa tersebut, Allah telah memakbulkannya. 

Namun begitu, walaupun banyak sifat-sifat terpuji yang lahir daripada Khalifah Umar Al-Khattab, serta tindakan-tindakan beliau yang mengagumkan, akan tetapi masih ada yang segolongan kecil masyarakat Parsi yang tidak menyukai beliau serta memandang hina tehadap beliau yang mana selama ini mereka menyembunyikan harsat benci dan kemarahan mereka terhadap bangsa Arab. Dengan rasa kebencian tersebut menyebabkan merka hendak melakukan pembunuhan terhadap beliau. Perkara terkutuk ini dilakukan oleh seorang rakyat Parsi iaitu lebih dikenali sebagai Abu Lu’lu’ah yang telah menyusup masuk kedalam kota Madinah secara diam-diam. Abu Lu’lu’ah asalnya adalah seorang penjaga rumah jeneral Baghdad yang dikenali sebagai Mughirah bin Syubah. 

Pada suatu pagi pada saat Khalifah Umar Al-Khattab sedang menjadi imam dalam solat subuh, diwaktu rakaatnya yang terakhir, secara tiba-tiba Abu Lu’lu’ah melakukan serangan dengan menggunakan pisau. Akibat daripada serangan itu, Khalifah Umar Al-Khattab ditikam sebanyak enam kali tikaman dibahagian bawah pusatnya dan 13 orang yang lain mengalami luka yang amat parah, 7 diantara 13 orang yang kena tikam, pada saat itu juga meninggal dunia. Di saat beliau merasakan ajalnya tidak lama lagi, beliau memanggil para sahabat mengadakan pertemuan untuk menentukan siapa yang akan menjadi Khalifah selepasnya. Dalam pertemuan itu, beliau mengusulkan supaya salah satu daripada enam sahabat yang berada dalam pertemuan itu bersedia dan diangkat menjadi Khalifah. Selpas tiga hari daripada kejadian pembunuhan itu, beliau meninggal dunia, iaitu pada bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah, sesudah beliau meminpim pemerintan sebagai Khalifah selama 10 tahun 6 bulan pada saat itu beliau berumur 63 tahun, seperti mana Nabi Muhammad SAW dan Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq yang juga wafat dalam umur yang sama. Saiyidina Umar Al-Khattab dimakamkan disebeelah makam Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dalam ruangan qubbah makam Rasulullah SAW. 

Kesimpulannya, sesungguhnya Umar Al-Khattab dilahirkan berwatak bijaksana dan seorang lelaki yang jarang ada tandingannya dalam menetukan kebijaksanaan dan beliau boleh menghadapi pelbagai macam persoalan. Beliau adalah seorang yang mampu mengendalikan apa-apa sahaja masalah yang timbul dan tidak pernah merasa takut terhadap rintangan yang bakal ditempuhinya. Khalifah Umar Al-Khattab ahkhirnya mengakhiri riwayatnya, dengan meninggalkan daerah Islam yang terbentang luas iaitu dari Tembok Besar di negeri Tiongkok di Asia sebelah timur, sampai ke Pantai Lautan Atlantik di Eropah. Ini membuktikan bahawa bertapa banyaknya sumbangan beliau ketika zaman pemerintahannya sebelum ini. 

PENUTUP

PengIslaman Umar Al-Khattab adalah satu kejayaan yang sangat besar bagi umat Islam. Penhijrahan beliau ke Madinah menambahkan kekuatan umat Islam pada waktu itu dan pengkhalifahannya mendatangkan sebesar-besar rahmat kepada orang Islam. Kebolehan Khalifah Umar Al-Khattab dalam bidang pentadbiran memang diakui oleh para sejarahwan Islam. Pencapaiannya boleh dikatakan sebagai telah sampai ke tahap maksimum. Berdasarkan kejayaan dan sumbangannya yang besar inilah maka beliau telah diberi gelaran Amir al-Mukminin atau panglima agung Mukmin pada tahun ke-19 Hijrah. Intihanya, kita manusia diberikankehidupan sebagai khalifah di muka bumi hendaklah menjadikan keperibadian Khalifah Umar Al-Khataab sebagai pedoman mahupun batu loncatan agar kita dapat menjadi manusia yang tegas dalam menjalankan tanggungjawab dan bijak dalam menguruskan sesebuah organisasi. 

Rujukan

  1. Khalid Muhammad Khalid (1983). Bersama Umar Bin Khathab. C4 Tohr Putra Semarang. Muhammad Zuhri. 
  2. Taha Husain (1983). Dua Tokoh Terutama. Kyodo-Shing Long Printing Industries Pte Ltd. 
  3. Syibli Nu’mani (1981). Muhammad. Umar Yang Agung. Pustaka (Bandung). 
  4. Hadji Sjech Marhabah (1977). Tokoh-Tokoh Islam Di Zaman Nabi. Pustaka Nasional (Singapura). 
  5. Abul A’la Al-Maududi (19779m/1398h). Khalifah Dan Kerajaan. Mizah (Bandung). 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015