Hak-Hak Suami Dan Isteri

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Nadzira Amanina Binti Mohamad
2014606744

Pendahuluan. 
Dengan nama allah lagi maha pemurah lagi maha penyayang. Segala puji bagi allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas rasul yang lebih mulia penghulu kita muhammad saw serta keluarganya dan para sahabatnya sekalian. Amma ba’du, maka inilah hasil kerja saya tentang hak-hak suami dan isteri. Setelah berakhirnya langkah-langkah pendahuluan untuk membina kehidupan suami isteri, yang demikian dengan menjelaskan peraturan yang telah ditetapkan islam dalam pergaulan antara suami isteri, sehinggakan keduanya dapat menikmati kebahagiaan rumah tangga. 

Saya telah membahagikan kerja kursus ini kepada dua bahagian, iaitu hak-hak isteri terhadap suami dan hak-hak suami terhadap isteri, dalam setiap bahagian dari keduanya terdiri daripada beberapa bab yang menjelaskan tentang hak ini dengan lebih jelas. Falsafah Islam telah memperletakkan hak ini atas kaedah-kaedah dan asas-asas teguh yang diakui jiwa dan dijelaskan oleh ilmu sosial. 

Setelah melalui alam perkahwinan, suami dan isteri mempunyai hak-hak yang wajib ditunaikan oleh pasangan masing-masing. Sekiranya ditinggalkan, jatuhlah dosa terhadap salah satu daripada mereka. Masing-masing perlu memainkan peranan yang penting agar mendapat keberkatan dalam rumah tangga mereka sehingga ke syurga. InsyaAllah. Seorang isteri wajib mentaati lelaki yang telah menjadi suaminya kerana syurga terletak di bawah telapak kaki suami selagi arahan suaminya itu tidak bercanggah dengan syariah Islam. Besarnya hak seorang suami terhadap seorang isteri sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

Tidaklah pantas bagi seorang manusia untuk sujud kepada manusia yang lain. Seandainya boleh bagi seseorang umtuk sujud kepada seorang yang lain nescaya aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya dikeranakan besarnya hak suaminya terhadapnya. Demi zat yang jiwaku berada di tangan seandainya pada telapak kaki sampai belahan rambut suaminya ada luka yang mengeluarkan nanah bercampur darah, kemudian si isteri menghadap suaminya lalu menjilati luka tersebut, nescaya ia belum cukup menunaikan hak suaminya. ”

Bagi suami pula, mereka wajib menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya agar dapat menjadi pemimpin rumah tangga yang terbaik yang boleh membimbing isterinya ke jalan diredhai Allah SWT. Suami juga perlu menjaga hak-hak isteri agar bahtera yang dilayari sentiasa dalam keadaan yang baik. Islam mengibaratkan keluarga seperti suatu lembaga yang berdiri di atas suatu kerjasama antara dua orang. Penanggungjawab yang paling utama adalah suami. 

Akhirul kalam, Islam telah menentukan hak-hak di antara keduanya dengan menjalankan hak-hak tersebut, maka akan tercapailah ketenteraman yang diidamkan oleh kedua-dua pihak. Islam menyuruh kedua-duanya agar menunaikan apa yang menjdai kewajipan dan tidak memperbesar masalah kecil yang bila-bila saja akan terjadi. Maka, suami isteri perlulah berbincang agar mendapat jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut. 

Hak-hak isteri terhadap suami. 
Allah Taala berfirman dan maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. ” (Ar-Ruum : 21)

Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash bahawa Rasulullah telah bersabda bahawa :  “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita solehah. ” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda : “ Seorang wanita itu dinikahi kerana empat hal, iaitu (1) harta, (2) keturunannya, (3) kecantikannya, (4) kerana agamanya, Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau dalam keuntungan. ” (Muttafaq ‘Alaih)

Demikianlah sifat wanita yang harus lelaki pilih sehingga dia boleh menjadi penjaga rumahnya sekali gus menjadi pendidik anak-anak mereka iaitu: wanita yang taat beragama serta berakhlak yang akan membantu mereka untuk mentaati Allah, wanita juga akan mengingatkan sang lelaki sekiranya suaminya lupa dan alpa dan juga akan menuruti segala perintah suaminya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. Sesungguhnya seorang wanita yang suci lagi mulia tidak akan membanggakan diri terhadap suaminya dengan harta dan kecantikan yang dimilikinya dan tidak juga dengan kedudukan dan nasab. (Ummu Salamah as-Salafiyah, 2005)

1) Menjaga hati dan perasaan isteri. 
 Menjaga perasaan isteri adalah satu kalimat yang mempunyai makna yang amat luas, adakalanya ia diibaratkan dengan kebaikan akhlak, iaitu lebih umum dan lebih syumul daripadanya maka ia berakhir dengan kesan-kesan dan bentuk-bentuknya hingga berakhir dengan kalimah “al-Makruf” (dengan cara yang baik) dalam firman Allah : “ Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa). ” (Al-Baqarah:22) 

Di antara bentuk-bentuknya yang lebih penting adalah dengan memelihara lidah dari menuduhnya dengan keaiban-keaiban yang dibencinya, sama ada ia berupa ciptaan yang dia tidak mempunyai kuasa mengubahnya, seperti pendek, hodoh, dan sebagainya atau akhlak seperti yang boleh mencampuri tangan seperti lambat bekerja atau tidak menekuni pekerjaan atau banyak celoteh dan sebagainya sedangkan keaiban-keaiban ciptaan yang telah diketahui ketika melamarnya. Al-Hafiz Al-Mundziri telah menyatakan bahawa suami tidak seharusnya memperdengarkan isteri dengan perkataan yang dibenci dan jangan mencemuhnya. Jika suami membenci isterinya, jangan berlebih-lebih mencemuhnya dengan keburukan seperti mengatakan dia mempunyai tubuh seperti serangga dan betis seperti burung unta dan bahkan wajahnya seperti monyet bahkan yang lebih teruk. (Hassan Salleh, 1989)

Firman Allah bermaksud : “ Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadaNya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). ”
(An-Nisa’ : 19)

 Selain itu, suami tidak boleh menyebut kebaikan atau kecantikan wanita lain di hadapan isterinya kerana tidak ada yang lebih melukakan perasaan wanita bahawa dia tidak mendapat tempat di hati suaminya. Yang lebih melukai perasaan wanita jika disebutkan kecantikan itu ditujukan kepada madunya jika berpoligami yang menyainginya untuk memikat hati suami, harta benda dan tubuhnya. Suami dilarang untuk melakukan hal-hal sebegini rupa kecuali dengan niat untuk memberi pengajaran terhadap isterinya jika isterinya itu mempunyai perangai atau akhlak yang buruk. (Hassan Salleh, 1989). 

 Seterusnya, suami wajib memanggil isterinya dengan panggilan terhormat untuk menghargai wanita tersebut dengan memanggilnya isterinya dengan panggilan “hoi” kerana sesungguhnya wanita mempunyai martabat yang tinggi dalam Islam. Setiap zaman mempunyai bahasanya dan setiap lingkungan mempunyai tradisi sendiri, maka wajiblah suami untuk memanggil isterinya dengan panggilan yang sopan dan terhormat agar tidak mengguris perasaan isteri. (Muhammad Ali Quthb, 1999). 

2) Memberi pendidikan yang terbaik kepada isteri agar terus berada di jalan keredhaan-Nya. 
Firman Allah bermaksud : “ Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. ” (At-Tahrim : 6)

 Maka lelaki tidak hanya diperintah untuk berhenti di sisi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah untuk melindungi hanya dirinya daripada api neraka malah suami harus melindungi isteri dan anak-anaknya. Allah telah memerintahkan Nabinya agar mengajar keluarganya perkara-perkara agama dengan bersungguh-sungguh serta bersabar dalam segala dugaan yang dugaan yang ditimpa sepanjang pengajarannya. Maka, sesungguhnya pengajaran suami terhadap isteri adalah suatu kewajipan yang patut dipenuhi dan merupakan tiang kebahagiaan keluarga yang mana tiang kerohanian adalah lebih kuat dari tiang material. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001)

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. ” (Taha : 132) 

Suami hendaklah mengajar isteri akidah yang benar kepada Allah. Suami harus mengingatkan isteri bahawa Allah yang mengetahui segala-galanya dan jangan sesekali menyekutukannya. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002)

Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar. ” (Al-A’raf : 194) “Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul. ” (Al Baqarah : 186)   

Allah mengingatkan kepada kita bahawa hanya Dia yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. Firman Allah yang bermaksud : “Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu. Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata ; Dia lah jua yang Maha besar, lagi Maha tinggi (yang mengatasi segala-galanya). ” (Ar-Ra’d : 8-9) 

Apabila ingin tahu sesuatu, wanita akan lebih bersemangat untuk mengetahui sesuatu dan akhirnya wanita akan berjumpa tukang ramal untuk mendapatkan jawapan dengan segera. Suami hendaklah mengingatkan isteri tentang haramnya azimat-azimat atau mantera-mantera. Maka suami perlu mengajar isteri agar menjauhi segala larangan tersebut agar hidup sentiasa diberkati Allah Yang Maha Pencipta. (Abdul Qadir Djaelani, 2001) 

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang menggantung azimat atau mantera adalah khurafat maka Allah tidak menyempurnakan baginya, dan sesiapa yang menggantung wada’ah (benda putih yang dipakaikan kepada anak kecil untuk hindarkan daripada ketakutan) maka Allah tidak meringankan apa yang ditakutinya. ”  

Suami hendaklah mengajarnya solat dan ibadah-ibadah lain dan wanita tersebut lebih cenderung kepada meremehkannya dengan dengan alasan sibuk dengan pekerjaan-pekerjaan lain, sebagaimana dia mengajarnya hukum-hukum bersuci dengan jenis-jenisnya dan seluruh yang berkaitan dengan wanita dari ibadah dengan fiqh wanita. (Ummu Salamah as-Salafiyah, 2005)  

Inilah perkara-perkara penting yang diwajibkan Islam atas suami untuk mengejar isterinya yang boleh membantu kestabilan hidup suami isteri dan menanamkan saham besar dalam kebahagiaan keluarga, di samping Islam mengajarnya perkara-perkara lain dari bacaan, tulisan, mandi, bersuci, khidmat dan tarbiyah. (Ummu Salamah as-Salafiyah, 2005)  

3) Cemburu terhadap isteri dan mengawasi tingkah laku isteri.  
Setelah diajarkan oleh suami tentang apa yang diwajibkan atasnya, isteri wajib mengawasi segala pergerakan hidupnya sendiri dengan berhati-hati. Isteri perlu menjaga keterbatasannya agar tidak timbul cemburu dari pihak suaminya. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002)     

Bagi suami, cemburu atas dasar kehormatannya terhadap isteri adalah suatu perkara terpuji di dalam Islam tetapi Islam tidak membenarkan suami cemburu secara berlebihan sehingga berlaku perbalahan dalam rumah tangga yang telah dibina. Suami sepatutnya memainkan peranan dalam hal ini dan bukannya terus memulakan perbalahan. Dalam suatu riwayat menyatakan : “Tiga orang yang tidak akan dapat masuk ke syurga selamanya, lelaki dayus, wanita menyerupai lelaki dan orang yang ketagihan arak. ” Dayus di sini ditafsirkan dengan orang yang tidak peduli terhadap sesiapa yang mencampuri urusan rumah tangganya. Sebagai contohnya, seorang suami yang tidak mempunyai perasaan cemburu terhadap isterinya walaupun isterinya bermesra dengan lelaki selain mahramnya. Maka, suami tersebut dianggap lelaki dayus. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002) 

Walaubagaimanapun, agama tidak mendorong suami untuk berlebih-lebih dalam mencemburui isterinya kerana banyak perkara buruk dan tak diingini boleh berlaku. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001) 

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya di antara kecemburuan itu ada yang dibenci Allah, iaitu kecemburuan lelaki terhadap isteri tanpa ragu. ”

Perkara buruk yang bakal terjadi sekiranya cemburu berlebihan adalah menjadikan suami membenci isteri, buruk sangka terhadap isterinya serta sentiasa meragui tingkah laku isterinya. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001) Firman Allah yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman!jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. ” (Al-Hujurat : 12) 

Nabi Muhammad juga bersabda : “ Jauhilah buruk sangka, maka sesungguhnya buruk sangka merupakan sedusta-dusta perkataan dan jangan kamu meneliti dan mencari-cari kesalahan orang lain.

Selain itu, cemburu berlebihan juga menjadikan suami seorang yang sanggup mencederakan isteri sendiri dengan menghukum mereka menggunakan cara yang lebih kejam seperti mendera dan memukul isterinya. Apabila suami mendapat khabar angin bahawa isterinya telah mencuranginya, suami harus terlebih dahulu berbaik sangka malah memandang buruk terhadap khabar angin tersebut kerana tidak pasti akan kesahihannya. Untuk memastikan kesahihan berita tersebut, empat saksi harus membenarkan berita tersebut agar dapat membenarkan apa yang dikhabarkan. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005).  

Firman Allah yang bermaksud :  “Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah darimencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah) ! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan". ” (An-Nuur : 16) 

Cemburu yang keterlaluan menghalang manusia melakukan perkara yang baik. Disebabkan cemburu manusia boleh menjadi seperti orang yang hilang pedoman hidup. Mereka akan melepaskan tekanan mereka dengan menghadiri pub-pub di Bandar semata-mata untuk mendapatkan kegembiraan. Islam telah melarang umat Islam mendekati tempat-tempat seperti tersebut. Sebagai Muslim, kita perlu perlu menjaga maruah diri kita agar mandapat syafaat di dunia dan akhirat. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)

 Maka, jika buruk sangka dimaksudkan dengan kewaspadaan, ketelitian dan pengamatan maka yang demikian tidak ada larangan daripadanya bahkan ianya terpuji. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)

4) Menghukumnya. 

Sebagai seorang suami, apabila terlihat si isteri tidak menjaga batas pergaulannya, maka, seharusnya suami berasa cemburu atas kelakuan isterinya itu. Tidak semua wanita menerima nasihat dan arahan suaminya, maka dia antara mereka terbahagilah kepada dua golongan, iaitu isteri yang taat dan isteri yang nusyuz dan setiap golongan tersebut harus diperlakukan dengan tindakan yang sewajarnya. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)

Bagi yang menderhaka, wajiblah diberi hukuman yang setimpal dengan apa yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam Al Quran serta dijelaskan Rasulullah tentang hal duri dalam daging ini. (Abdul Qadir Djaelani, 2001) Firman Allah SWT yang bermaksud : “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.  (An-Nisaa’ : 34-35)  

Hukuman tersebut mempunyai tiga langkah dan yang terawal adalah nasihat. Nasihat ialah menakutkan dan mengingatkan kepadanya akan akibat menjadi isteri derhaka atau lebih tepat lagi isteri nusyuz, seperti kepincangan rumah tangga boleh mendatangkan kesan buruk ke atas anak-anak dan masyarakat. Suami sepatutnya beriltizam memberi nasihat agar menjadi pengajaran. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)

 Langkah yang kedua apabila isteri masih berdegil dengan sikapnya adalah memulaukan. Akan tetapi pemulauan dilarang dilakukan lebih daripada tiga hari jika untuk memberi jika untuk memberi pengajaran kepada isteri. Jika memulaukan tempat tidur isteri jika disebabkan isteri telah menderhaka kepada Allah dan ingin meperbaiki akhlak isteri, tiada batasan terhadap tempoh pemulauannya. (Muhammad Ali Quthb, 1999)

 Langkah yang terakhir untuk meghukum isteri derhaka adalah dengan memukulnya dengan pukulan yang ringan dan pukulan haruslah di anggota yang dibenarkan. Ini bertujuan untuk mendisiplinkan orang yang derhaka agar dapat dibetulkan akidahnya. Seperti yang dikatakan pepatah ubat terakhir ialah menyeterikakannya dengan besi yang panas dan penyakitnya dinamakan penyeksaan diri. Hendaklah pukulan itu tidak keras iaitu tidak terlalu menyakitkan sehingga boleh merosakkan anggota badan. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)
Dalam hadith ada menyatakan bahawa :
“Dan pukullah mereka dengan pukulan yang ringan. Dan janganlah engkau memukul isterimu seperti engkau memukul hambamu. ”

 Maka, suami wajib menghukum isteri sekiranya isteri telah melakukan kesalahan yang berat. Suami perlu mengawasi tingkah laku isteri dan nasihatnya terlebih dahulu sebelum memulaukan tempat tidur isteri dan memukulnya jika isteri telah derhaka kepadanya. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002)

5) Menghiburkan isteri tatkala suka dan duka. 

Bentuk-bentuk hiburan melebihi daripada perkara-perkara yang wujud daripada zaman dahulu, maka setiap zaman mempunyai hiburan yang sesuai dengannya agar hubungan suami isteri lebih erat antara satu sama lain. (Muhammad Ali Quthb, 1999)  Yang pertama, bergurau dan beramah mesra bersama isteri. Ini merupakan perkara penting untuk menarik hati wanita terhadap lelaki serta menambahkan rasa cinta terhadap suami di samping apa yang dibuktikan dengan perbuatan dan dikuatkan dengan realiti. Beramah mesra adakalanya dengan perkataan atau perbuatan. Sesungguhnya gurau-gurauan dan kemesraan terhadap isteri tidak termasuk hiburan yang sia-sia yang manghabiskan waktu suami sebegitu sahaja. (Muhammad Ali Quthb, 1999) 

Maka, cukuplah baginya jaminan Ilahi seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW : “Segala sesuatu yang melalaikan lelaki maka ia batil, kecuali melepaskan panahnya, mendidik kudanya dan bergurauan dengan isterinya, maka ia adalah hak. ”  

Selain itu, hiburan dan permainan sebagai medium untuk merapatkan hubungan suami isteri. Di antara hiburan tersebut melalui radio. Hiburan kebudayaan tersebar dalam kalangan manusia dalam seluruh lapisan dan apa yang dinukilkan peralatan kepada kita ialah beraneka ragam acara dan boleh membuatkan pilihan dan lebih elok lagi jika ceramah-ceramah agama di dengar bersama di corong radio. Nyanyian adalah sesuatu yang disenangi jiwa dan alam seluruhnya menyanyi, betapa indahnya nyanyian sebahagiannya dan termasuk salah satu kesenangan ahli syurga. Selain itu, suami isteri perlu bersama-sama menyertai perayaan dan sekiranya perayaan berunsurkan perkara haram, diharamkan kepada kedua-dua suami isteri untuk mengahadirinya kerana dengan kehadiran tersebut termasuk mengakui kemungkaran dan menggalakkannya. Jika perayaan tersebut tidak didapati padanya unsur mengharamkan pada tempat dan bentuknya, dibolehkan untuk hadir. (Ummu Salamah as-Salafiyah, 2005)

 Seterusnya, suami boleh menghiburkan hati isteri dengan membawa isteri berkhelah iaitu keluar dari rumah menikmati alam ciptaan Allah yang semula jadi, menikmati udara bebas dan pemandangan yang indah. Tidak dinafikan bahawa perkelahan adalah suatu kenikmatan yang membangkitkan kecergasan dan hilangkan rasa jemu. Ia tidak ada larangan syarak asalkan etika pemakaian keluar dari rumah dijaga dengan rapi. Maka, selama tujuan itu baik maka amalan itu pun baik, kerana setiap amalan dengan niat dan selama dipatuhi batasan-batasan syarak maka tidak ada kemudaratan padanya. Melukis dan mangambil gambar juga dapat menghiburkan hati isteri. Isteri boleh meluangkan masa dengan melukis gambar seperti pemandangan atau suasana semula jadi, bunga-bungaan, rumah-rumah, dan umpamanya. Dilarang kepada manusia untuk melukis hal-hal yang melanggar hokum syarak seperti melukis orang yang sedang bertelanjang. Maka, lukislah sesuatu yang mendamaikan jiwa dan tidak melalaikan dari kewajipan dan tugas. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)

Hak-hak suami terhadap isteri.   
Suami harus didahulukan sebelum ibu bapa isteri. Sebagaimana ketaatan dan ibadahnya kepada Tuhan tidak dapat diterima sehingga dia mentaati suaminya dan memenuhi hak suaminya dan hal ini telah disepakati seluruh orang yang berakal. Sesungguhnya semua wanita wajib mempelajari hal ini dan mengakui bahawa lelaki adalah sebuah permata yang penting dalam hidup dan suami adalah syurga Firdausnya. Dia juga perlu mempelajari bahawa syurga dan neraka keduanya tidak diketahui melainkan lelaki sahaja dan syurga wanita yang sebenarnya adalah keredhaan suami terhadapnya dan nerakanya adalah kemurkaan suaminya terhadapnya. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)

Lelaki diciptakan dengan tabiatnya untuk berusaha dan bekerja seperti yang dijelaskan dari firman Allah SWT kepada Adam dan maksudnya : “Maka, Kami berfirman: "Wahai Adam Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; Oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana Dengan Yang demikian Engkau (dan isterimu) akan menderita. ” (Taha : 117)  

Allah tidak mengatakan bahawa mereka berdua akan menderita, akan tetapi penderitaan bagi Nabi Adam adalah dengan menjalankan tugas-tugas kehidupan untuk mendapatkan pendapatan ketika menghadapi pelbagai rintangan dan keletihan jasmani dan rohani, maka isteri hendaklah menjadi penenang baginya serta memberi kegembiraan dan ketenteraman dari kebimbangannya selepas pulang dari mencari rezeki untuk keluarga. (Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993). 

 Oleh itu, isteri wajib berusaha sedaya upaya memberikan kegembiraan dalam hatinya dengan memperlihatkan kepada suami percakapan yang lemah lembut dan moral yang tinggi dan perlu berusaha membantu suami untuk kebahagiaannya dunia dan akhirat. (Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman, 1993)

Antara hak-hak suami yang wajib dipenuhi oleh seorang isteri :

1)- Mentaati suami terhadap segala arahan suami yang tidak bertentangan dengan syariat.   
Ketaatan isteri terhadap suami adalah wajib dengan hukum akal dan agama yang demikian kerana kekuatan jasmani, akal dan keseimbangan perasaannya, dengan kadar yang lebih besar dari apa yang ada di sisi wanita, seperti yang telah dijelaskan. Sesebuah rumah mestilah mempunyai tauran yang mengatur segala urusannya, memberi petunjuk kepada yang tersesat dan melindunginya dari keburukan.     

Ketaatan ini mempunyai kesan yang jauh dalam sistem perjalanan kehidupan suami isteri, dan isteri dapat memberi ketenteraman, ketenangan, kasih sayang dan belas kasihan dengan keletihan dan kepayahan yang dihadapi lelaki dalam kehidupannya. (Muhammad Ali Quthb, 1999) Firman Allah yang bermaksud : “Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur". ” (Al-A’raf : 189)  “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?” (Ar- Rahman : 60)  

Sesungguhnya wanita yang bersenang-senang dengan keredhaan suami dan dikasihani atasnya oleh Tuhan, adapun yang menderhaka kepada suami dan diharamkan keredhaannya. Penghormatan isteri pada zaman pertama bagi hak ini telah tiba agar mengutamakan ketaatan terhadap suami atas setiap kesenangan dunia, bahkan penghormatan ini berterusan hingga suami meninggal. Oleh kerana pentingnya ketaatan ini maka Islam menetapkan balasan yang menyamai balasan ibadah-ibadah seperti solat, haji dan jihad. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005) 

Hadith Abu Hurairah dari Nabi Muhammad SAW :  “Apabila wanita solat lima waktu, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, dia akan masuk syurga dari pintu-pintu yang disukainya. ”  

Isteri hendaklah mengetahui akan bahaya dari melalaikan hak-hak suami. Ianya sama seperti memutuskan aliran elektrik dan menghalang alirannya untuk menyalakan lampu dan pergerakan elektrik. Apabila terhalang, suami akan berpoligami untuk menyempurnakan kekurangan yang dialaminya. (Hassan Salleh, 1989) 

Dari Abu Hurairah dari Nabi Muhammad SAW sabdanya :  “Apabila lelaki memanggil isterinya ke katil lalu dia tidak mendatangi suaminya, dan suami tidur dengan keadaan marah ke atas isterinya, maka isteri akan dilaknat malaikat hingga pagi. ” 

Maka, wajiblah ke atas isteri untuk menunaikan hak-hak suami demi mendapat keredhaan suami yang seterusnya membawa dia ke syurga dan bersenang-senang di dalam syurga. (Hassan Salleh, 1989).       

2) Menjaga kehormatan suami.   
Dimaksudkan kehormatan di sini adalah yang berkaitan dengan kesucian diri. Maka penjagaan isteri termasuk memuliakan suami dan memelihara kehormatannya. Menjaga kemuliaan adalah dengan melaksanakan dua perkara iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan zina dan yang kedua adalah dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh meragukan hati suami. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002)  

Zina pada dasarnya (dengan tidak memandang kepada hak suami dan isteri) adalah perkara yang memang dikutuk sejak dari zaman dahulu lagi. Syariat-syariat sepakat ke atas pengharaman utntuk melakukan zina, diletakkan ke atas zina hukuman-hukuman berat, tidak ada yang menyalahinya dan kecuali orang-orang yang tersesat pemikirannya oleh hawa nafsu lalu jatuh di bawah penguasaan naluri dan kemahuan yang bergelora. (Ummu Salamah as-Salafiyah, 2005)  

Allah menjadikan orang yang memelihara kehormatan sebagai sifat-sifat orang beriman yang berjaya yang mewarisi syurga Firdaus dan akan kekal di dalamnya selamanya. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001) Firman Allah yang bermaksud :  “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. ” (Al-Mu’minun : 5-7)  

Islam mewajibkan membela kehormatan dan menjadikan kematian di jalan Allah sebagai mati syahid. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001) 

Maka dalam hadith yang dirawayatkan oleh Abu Daud serta Tirmizi ada menyatakan bahawa : “Sesiapa yang terbunuh kerana membela hartanya maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela darahnya maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh dengan membela keluarganya maka dia syahid. ”  

Allah menyifatkan zina sebagai perbuatan yang keji iaitu setiap kemungkaran yang sampai kemuncak keburukan dan ia adalah jalan buruk bagi perhubungan seksual, tidak sesuai dengan kehidupan yang baik dan stabil. Zina menjatuhkan kedudukan dan darjat seseorang, lalu zina diserupakan pada darjat menyekutukan Allah dan orang yang berzina dijadikan tidak sekufu untuk menikah dengan wanita yang suci. Terancam ke atasnya dengan kesan-kesan buruk di dunia dari penyakit, kefakiran, kehinaan dan seumpamanya. Islam turut mengancam atasnya dengan seksaan yang amat berat di akhirat. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002)    

Islam mengharamkan zina secara umum untuk menjaga nasab dan melindungi keturunan den keterabaian, menggalakkan perkahwinan dan pembentukan keluarga, melindunginya dari keruntuhan dan menguatkan ikatan-ikatan sosial yang menghargai hak-hak padanya, demikian juga untuknya melindungi individu daripada penyakit berjangkit. (Muhammad Ali Quthb, 1999)  

Maka di antara kewajipan seorang wanita adalah menundukkan pandangan dan menutup aurat, tidak membenarkan orang asing masuk ke dalam rumah suaminya, tidak bermusafir seorang diri tanpa adanya mahram sebagai peneman dan menjauhi kesemua yang boleh menarik pandangan terhadapnya jika dia keluar rumah serta manjauhi tempat-tempat sesak. (Ummu Salamah as-Salafiyah, 2005)  

3) Menjaga perasaan suami.   
Menjaga perasaan suami adalah perkara yang memerlukan kepada kajian kejiwaan manusia dan suami, agar isteri mengetahui tabiatnya, mengetahui apa yang boleh menggembirakan dan memburukkannya dan ia termasuk keperluan-keperluan isteri untuk memberi ketenangan dan ketenteraman kepada suami. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)  

Untuk menjaga perasaan suami, isteri wajib berhias untuk suaminya. Sesungguhnya perhiasan isteri untuk suaminya adalah termasuk wasilah utama untuk kesempurnaan kenikmatannya dengannya serta kegembiraan, kecintaan dan menguatkan ikatan antara keduanya. Kecantikan merupakan kesenangan jiwa apabila sudah dijadikan tabiat setiap makhluk dalam kewujudan dan ianya meluas sehingga merangkumi jasmani dan rohani. Kecantikan isteri pada pandangan suaminya adalah perkara yang merangkumi seluruh sifat-sifatnya yang terpuji dari ciptaan dan akhlak. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)  

Isteri perlu mengetahui adab ketika bercakap dengannya, dan memilih lafaz-lafaz yang disenangi hatinya, tidak melakukan pergaulan dengannya yang boleh menimbulkan kemarahannya atau melukai perasaannya. Isteri juga tidak boleh mengungkit-ungkit sesuatu yang bakal melukai perasaannya seperti harta kekayaan, nasab, kacantikan, kecerdikan dan sebagainya. Isteri wajib bercakap dengan suami tentang perkara-perkara baik dan menutupi keaiban-keaibannya. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001) 

Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud : “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui. ” (An-Nisaa’ :148)  

Isteri perlu sentiasa manghormati orang-orang yang dihormati suaminya seperti kaum kerabat dan sesiapa yang berhubungan dengan mereka, khasnya ibu bapa lelaki tersebut, isterinya yang lain jika berpoligami dan anak-anak suaminya dari isteri ynag lain. Isteri dilarang untuk menyebarkan rahsianya mahupun suaminya secara umum, dan rahsia tidak sepatutnya diketahui oleh orang lain selain keluarganya, sebagaimana rahsia yang diamanatkan suami untuk isteri sekalipun tidak berkaitan dengan hal rumah tangga. Maka, hendaklah isteri hendaklah menjauhkan diri daripada menyebarkan rahsia, melainkan dengan izin suami. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)  

4) Mentadbir rumah.   
Sesungguhnya pentadbiran rumah adalah suatu tugas besar yang memerlukan kepada pengalaman yang luas. Khidmat isteri kepada suami termasuk dalam salah satu bentuk kerjasama dan tolong-menolong dalam pembinaan keluarga dan ia adalah suatu prinsip yang diakui pada zaman dahulu, selepas bernikah, wanita akan mengambil alih tugas-tugas dalam persiapan rumah tangga. Suami perlu menolong isteri melakukan kerja-kerja rumah apabila ada kelapangan. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)  

Khidmat isteri dalam rumah mempunyai kesan-kesan yang baik dan antaranya adalah menekuni pekerjaan dan melakukannya dengan baik. Isteri juga mampu menyimpan harta benda dan mengarahkannya kepada kemaslahatan keluarga. Ini juga dapat menambah kecintaan suami terhadap dirinya. Wanita juga boleh menunjukkan kesetiaan terhadap suami dengan menjaga rumah tangganya. Namun begitu, suami boleh sama sekali memaksa atau membebankannya dengan bermaca-macam pekerjaan, malah suami sepatutnya membantu isteri dalam melakukan kerja-kerja tersebut. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)  

Isteri tidak sepatutnya berlebih-lebihan membelanjakan wang suaminya, cukuplah sekadar membeli alat-alat kelengkapan rumah, pakaian-pakaiannya dan suami serta anak-anak. Isteri seharusnya mengembangkan lagi harta suaminya yang sedia ada, contohnya dengan membantu suaminya apabila diperlukan. Termasuk satu kebaikan bahawa isteri hendaklah memberitahu suaminya tentang keluar masuk kewangannya agar suami tidak meragui kejujuran isteri dalam menjaga hartanya. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001)  

Pemeliharaan anak-anak termasuk dalam pentadbiran rumah. Ia merupakan tanggungjawab yang wajib dijaga oleh kedua-dua ibu bapa. Ibu seharusnya mencurahkan kasih sayang secukupnya kerana syurga anak-anak terletak di bawah telapak kaki ibu. Ibu dan ayah wajib memberikan didikan agama secukupnya agar anak-anak menjadi manusia berguna di mata dunia dan ibu bapa perlu bersabar ketika melayani kerenah anak-anak untuk membesarkan mereka. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)   

5) Keikhlasan isteri menjaga suami.   
Keikhlasan juga adalah satu kewajipan isteri terhadap suami dan perasaan ikhlas dituntut untuk kedua-duanya dan yang seperti dikatakan iaitu kecintaan yang mana apabila ia berada pada bentuknya yang murni lagi suci, maka dengan itu keikhlasan lebih dekat kepada merealisasikan kekuatan dan kekekalan. Apabila semangat cinta lemah dan turun kepada darjat persahabatan maka keikhlasan juga adalah satu keutamaan yang diharuskan kewajipan persahabatan. Ini demikian kerana pergaulan suami isteri dengan faktor material dan adab melahirkan perasaan-perasaan yang tidak mudah dihilangkan kerana suami isteri merupakan satu roh yang berada dalam dua jasad dan akan menjadi mulia dengan teladan-teladan yang baik. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001)  

Selain itu, isteri perlu membatasi pandangannya dan tidak curang terhadap suaminya. Khabar angin menyatakan bahawa wanita kebanyakannya mudah tertunduk dengan hawa nafsu, mengingkari segala arahan suaminya, menempuh pelbagai jalan untuk melepaskan diri daripada suami, untuk bercinta dengan lelaki selain suaminya. Ini membuatkan banyak penderitaan yang dialami suami dan menyebabkan suami memukul isteri dan menyatakan isterinya telah mengkhianati cinta yang diberikan kepada isterinya. (Hassan Salleh, 1989)  

Pengkhianatan cinta sering berlaku terhadap lelaki ketika suami berpoligami tanpa pengetahun isterinya, akan tetapi pengkhianatan wanita terhadap suaminya adalah lebih buruk kerana apabila cintanya pudar terhadap suaminya, dia akan menuntut penceraian terhadap suaminya untuk berkahwin dengan lain. Sesungguhnya keikhlasan menghendaki dari wanita agar terus bergantung dengan suaminya. (As-Syeikh Atiyah Saqar, 2005)  

Isteri apabila dia mematuhi suaminya, dia akan bersifat ikhlas terhadap suaminya, rumahnya, anak-anaknya dan semua yang berkaitan dengannya, dia turut mendahulukan keinginan suaminya daripada keinginannya sendiri, isteri juga bersungguh-sungguh melakukan setiap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan dan kegembiraan dalam hatinya dan berusaha untuk mencapai keredhaan suaminya, serta menjauhi segala perkara yang boleh melukakan perasaan atau mendatangkan keburukan kepada keluarganya. (Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali, 2001)  

Maka, isteri perlu sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan suatu pekerjaan untuk menghangatkan lagi rasa cinta suami terhadap isteri. Sesungguhnya isteri yang ikhlas tidak akan melanggar perintah suaminya selama dia menjalankan perintah Tuhannya, dan dia mempercayai hikmah yang Allah turunkan utnuknya, maka Allah akan memberikan ganjaran pahala terhadap suami isteri tersebut. InsyaAllah. (Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan, 2002)  

Penutup  
Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, saya dapat menyiapkan tugasan yang diberi dalam tempoh yang ditetapkan. Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu saya menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada pensyarah saya, Encik Abd Aziz bin Harjin yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan membantu saya menyiapkan tugasan. Seperti yang diketahui, dalam perkahwinan, tolak ansur dan sifat timbang rasa perlu ada dalam mengetahui hak-hak masing-masing. Isteri perlu menjaga hak-hak suaminya dan begitu juga suami. Maka, apabila masing-masing telah menjaga hak-hak antara sama lain, terbitlah kebahagiaan dalam rumah tangga. Ketenteraman yang didambakan mampu diwujudkan oleh kedua-dua belah pihak. Hak-hak isteri yang wajib dipatuhi suami yang telah diterangkan secara keseluruhan di bahagian hadapan kerja kursus ini adalah menjaga perasaan isteri, mendidik isteri dengan didikan yang sempurna, megawasi tingkah laku isteri dan cemburukannya serta menghukumnya jika dia melakukan kesalahan agar isteri tidak terjerumus ke lembah yang lebih buruk dan juga meghiburkan isteri ketika suka dan duka. Hak-hak suami yang patut dipenuhi oleh isteri adalah mentaati suami dalam setiap arahan suami selagi tidak melanggar syarak, menjaga kehormatan suami, menjaga perasaan suami, mentadbir rumah tangga dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas dalam menjaga suami dan anak-anak. Oleh itu, semoga tugasan ini boleh membuatkan kita memahami dengan lebih mendalam lagi tentang hak-hak suami dan isteri. InsyaAllah.   

Rujukan   
  1. Abdul Qadir Djaelani (2001). Rumahku Syurgaku Keluarga Sakinah. Shah Alam: Pustaka Dini Sdn. Bhd. 
  2. As-Syeikh Atiyah Saqar (2005). Ensiklopedia Keluarga Muslim Jilid 3 Hak-Hak Suami Isteri. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise. 
  3. Hassan Salleh (1989). Asas Kekeluargaan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. 
  4. Hj. Abd. Kadir bin Hj. Abdullah Hassan (2002). Perkahwinan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. 
  5. Muhammad Ali Quthb (1999). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid. 
  6. Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman (1993). Undang-Undang Keluarga Islam Aturan Perkahwinan. Shah Alam: HIZBI. 
  7. Shalih bin Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali (2001). Ensiklopedia Pengantin. Selangor: Pustaka Azzam. 
  8. Ummu Salamah as-Salafiyah (2005). Dapatkan Hak-Hakmu Wahai Muslimah. Bogor: Pustaka Ibnu Katsir. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015