Perkahwinan Dalam Islam

Disediakan Untuk : 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh : 
Zolyn Zulaiqha Binti Mohamad Faudzi 
2014812114 

Pengenalan

Dewasa Kini, Perkahwinan Bukanlah Sesuatu Yang Asing Dipendengaran Kita Kerana Ianya Satu Tuntutan Dan Kehendak Naluri Insaniah Bahkan Salah Satu Sunnah Rasulullah Saw. Menurut Pandangan Islam, Perkahwinan Salah Satu Kaedah Bagi Pembentukan Keluarga Dan Untuk Melahirkan Keturunan. Fahaman Masyarakat Yang Kurang Mendalam Terhadap Perkahwinan Telah Menyebabkan Berlakunya Krisis Rumahtangga Seterusnya Berlaku Penceraian. Kajian Dalam Kerja Kursus Ini Akan Menumpukan Tentang Aspek-Aspek Perkahwinan Menurut Islam. 

Saya tertarik untuk memilih tajuk ini sebagai tajuk kerja kursus disebabkan perasaan ingin tahu yang sangat mendalam bagi mengkaji dan mengupas isu yang kian meruncing dalam kalangan umat Islam khususnya. Focus kajian kerja kursus kali ini akan menghuraikan dan membincangkan tentang aspek-aspek yang terdapat dalam perkahwinan seperti definisi perkahwinan, tujuan dan matlamat perkahwinan, hikmat perkahwinan, pandangan Islam terhadap perkahwinan, jenis-jenis perkahwinan, hukum perkahwinan, larangan membujang bagi yang mampu nikah dan lain-lain. 

Selain itu, aspek-aspek perkahwinan ini amat penting untuk difahami dan dihayati oleh semua masyarakat, kehidupan berumahtangga tidak boleh dipandang remeh atau hanya untuk memenuhi kehendak semulajadi manusia sahaja. Ianya perlu perhatian dan perlaksanaan yang teliti demi melahirkan umat yang kukuh dan stabil serta dapat menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mudah-mudahan dengan usaha yang kecil ini akan mendapat taufik dan hidayat daripada Allah SWT dan menjadi titik permulaan ke arah usaha untuk meleraikan persoalan-persoalan yang menimpa masyarakat Islam di negara ini. Tiada gading yang tiada retak. Oleh itu, segala kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam kajian ini diharapkan mendapat pembetulan untuk medapat keredhaan daripada Allah SWT. 
MAKSUD PERKAHWINAN(NIKAH)

Dalam pengertian yang luas, pernikahan atau perkahwinan adalah merupakan suatu ikatan lahir antara dua orang, lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam suatu rumah tangga untuk mendapatkan keturunan yang dilangsungkan menurut ketentuan-ketentuan syariat Islam. 

Pada dasarnya, perkahwinan itu diperintahkan oleh syarak. Firman Allah SWT bermaksud:
“…. maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat tetapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil(antara perempuan-perempuan itu), hendaklah satu sahaja…. ” (An-Nisa’-3)
Fatimah bt Salleh. (2004). Pedoman Lengkap. Jasmin Enterprise

JENIS-JENIS PERKAHWINAN

Perkahwinan menurut budaya terbahagi kepada empat bentuk atau jeinis iaitu:
i. Monogami
ii. Poligini
iii. Poliandri
iv. Kahwin Kelompok

MONOGAMI
- (monogama dan monoandri) perkahwinan antara seoranag lelaki dengan seorang perempuan. Perkahwinan seperti ini bermaksud seorang isteri yang mempunyai seorang suami manakala suami mempunyai seorang isteri sahaja. 

POLIGINI
- Perkahwinan antara seorang lelaki dengan dua orang atau lebih perempuan. 

POLIANDRI
- Perkahwinan antara seorang perempuan dengan dua orang atau lebih lelaki. Poligini dan poliandri boleh dihimpunkan dalam satu istilah yang dipanggil poligami. 

KAHWIN KELOMPOK
- (dapat juga diistilahkan poligini dan poliandri), seperangkatan lelaki-lelaki dan perempuan berhubungan sebagai suami isteri. Islam hanya mensyariatkan poligami yang berbentuk poligini sahaja untuk diamalkan manakala poligami yang berbentuk poliandri adalah dilarang sama sekali. 
Muhammad Ali Quthb. (1999). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur Warni Sdn Bhd
TUJUAN DAN MATLAMAT PERKAHWINAN
Didalam syariat Islam perkahwinan itu mempunyai matlamat yang baik kepada individu, masyarakat, negara serta agama. 

1 UNTUK MENJAGA KESUCIAN DAN KEHORMATAN INDIVIDU
 Dengan adanya perkahwinan atau pernikahan, kehormatan dan kesucian diri setiap muslim akan terpelihara kerana melalui perkahwinan manusia akan bersikap dewasa terhadap dirinya dan keluarganya. Disamping itu, akan selalu memelihara dan menjaga dirinya dari setiap perkara dan dapat menimbulkan cacat dan cela serta fitnah dari pandangan masyarakat disekelilingnya. Melalui perkahwinan juga individu dan masyarakat menjauhkan diri daripada perbuatan zina. 

2 UNTUK MEMELIHARA DAN MELANJUTKAN KESUCIAN KETURUNAN
 Anak-anak yang lahir melalui perkahwinan sahaja yang diiktiraf oleh Allah dan rasulnya serta masyarakat keseluruhannya. Apabila manusia berkahwin akan bertambah bilangan keturunan dan keluarga. Keturunan yang baik dan suci sangat penting kerana melalui keturunan dan zuriat inilah akan dapat memberi berkat serta pertolongan didunia malah diakhirat. Islam menganggap sesiapa yang melahikan keturunan hasil daripada perzinaan sebagai suatu penghinaan dan merupakan perbuatan yang cela kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menghilangkan kehormatan peribadi tetapi menghilangkan kesucian keturunan. 

3 UNTUK MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM
 Perkahwinan adalah satu cara yang berfaedah bagi tujuan-tujuan sosial yang mulia dan menjamin lahirnya hubungan yang kukuh bukan sahaja antara suami isteri malah antara kedua-dua buah keluarga kerana ianya dapat memberi kebaikan kepada keluarga itu sehingga menjadi satu dan sepakat dalam semua urusan. Mereka saling tolong-menolong sesame mereka dalam menjaga kebaikan. 

Muhammad Ali Quthb. (1999). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur Warni Sdn Bhd
HUKUM PERKAHWINAN
a- Mazhab Syafi’i
1. Sunat bagi lelaki yang inginkan perkahwinan dan inginkan persetubuhan. Selain itu, lelaki tersebut mampu menyediakan perbelanjaan mahar(mas kahwin) dan nafkah hidup seperti pakaian dan makanan. Disudut lain, walaupun lelaki tersebut merupakan ahli ibadat, dia disunatkan berkahwin demi mengawal agama, keturunan dan juga untuk mencari kebaikan. Bagi perempuan pula, disunatkan kepadanya yang berhajat berkahwin sama ada kerana keinginannya sendiri atau kerana dia bukan ahli ibadat. Melalui perkahwinan ini, perempuan ini dapat mengawal keagamaannya dan kehormatannya. 
2. Makruh bagi orang yang tidak berhajat berkahwin sama ada disebabkan keadaan semulajadinya yang tiada keinginan nafsu atau juga kerana penyakit seperti mati pucuk. Selain itu, dia juga tidak mampu menyediakan perbelanjaan kerana melalui perkahwinan ini bererti dia dibebankan dengan tanggungjawab yang tidak dapat disempurnakan olehnya. 
3. Harus berkahwin tetapi afdal beribadat bagi orang yang tidak berhajat berkahwin kerana dia tidak berkeinginan melakukan persetubuhan tetapi dia mampu dari segi perbelanjaan dan tidak berpenyakit. Menurut pendapat al-Nawawi, jika seseorang itu bukan ahli ibadat adalah lebih utama baginya berkahwin (ini bertepatan dengan pendapat al-Rafi’I didalam kitab al-Syarh) supaya tidak mendatangkan keburukan pada masa lapangnya. 
4. Wajib berkahwin bagi orang yang tertentu atau terpaksa menghindarkan dirinya daripada nafsu kejahatan seperti perempuan yang takut akan orang yang jahat mengancam keselamatan dirinya sedangkan tidak ada pengawalnya melainkan dengan berkahwin. Hukum ini juga berlaku kepada lelaki yang khuatir kemungkinan dia akan berzina jika tidak berkahwin. 

b- Mazhab Hambali
1. Wajib bagi lelaki atau perempuan yang juga khuatir akan melakukan zina tanpa berkahwin walaupun kekhuatiran itu pada peringkat “Zan”. Oleh itu, dalam keadaan seperti ini tidak disyaratkan lelaki itu mampu menyediakan perbelanjaan kahwin dan nafkah tetapi apabila telah berumahtangga hendaklah dia berusaha mencari rezeki yang halal disamping memohon pertolongan daripada Allah SWT. 
2. Haram berkahwin dalam negeri kafir kecuali dalam keadaan darurat. Tambahan lagi jika dia ditawan maka haram berkahwin sama sekali. 
3. Sunat berkahwin bagi lelaki atau perempuan yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi kedua-dua pihak tidak khuatir akan melakukan perzinaan. 
4. Harus berkahwin bagi orang yang tidak mempunyai kenginan nafsu contohnya seperti orang tua dan orang yang mati pucuk. Syarat bagi pihak diatas ialah jangan memudaratkan isterinya atau boleh merosakkan akhlaknya. Jika boleh terjadi sesuatu seperti diatas maka haram baginya berkahwin. 

c- Mazhab Hanafi
1. Fardhu bagi seseorang mukallah yang berasa bahawa dia tidak dapat menghindarkan dirinya daripada perzinaan jika tidak berkahwin, sedangkan dirinya mampu memberi nafkah dan juga sanggup berlaku adil terhadap isterinya andainya dia berkahwin. Selain itu, dia juga yakin terjadi perzinaan tanpa berkahwin dalam keadaan seperti ini. 
2. Wajib berkahwin bagi mukallah yang mampu memberi nafkah. Selain itu, seseorang mukallah itu juga mampu berlaku adil terhadap isterinya dan juga sangkaannya bahawa dia akan melakukan zina jika dia tidak berkahwin. 
3. Haram berkahwin bagi mukallah yang tidak memberi nafkah terhadap tanggungnya. Selain itu, dia juga yakin akan melakukan kezaliman dalam perkahwinan. Kedua-dua perkara diatas merupakan salah satu jalan ke arah haramnya perkahwinan. Tambahan lagi, tiap-tiap perkara yang jelas menjadi sebab kepada haram maka hukumnya haram, lebih-lebih lagi jika perkara haram yang dilakukannya itu melibatkan orang lain. 
4. Makruh berkahwin bagi mukallah yang berat sangkaannya akan melakukan kezaliman jika dia berkahwin. Oleh itu, dalam keadaan seperti ini dimakruhkan berkahwin kerana ditakuti dia akan tercebur ke dalam kezaliman yang dijangka akan berlaku apabila berkahwin kelak. 
5. Sunat berkahwin pula bagi mukallah dalam keadaan biasa yakni dia tidak khuatir akan melakukan jika tidak berkahwin. Disamping itu, dia juga yakin tidak akan melakukan kezaliman apabila berkahwin. 

Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti. (2003). Intisari Islam Jakarta, Indonesia. PT Lentera Basritama
HIKMAT DISYARIATKAN PERKAHWINAN

1 PERKAHWINAN ITU ADALAH FITRAH KEMANUSIAAN
Antara perkara-perkara yang logik dalam dasar-dasar syariat Islam bahawa ia membanteras Rahbaniyah(kerahiban) kerana perkara itu bertentangan dengan fitrah atau semulajadi tabiat manusia. Kerahiban atau hidup membujang itu berlawanan dengan tabiat manusia, kecenderungannya, cita-citanya dan kehendak nafsunya. Imam Al-Baihaqi telah meriwayatkan sebuah hadis dari Saad bin Abu Waqqas r. a katanya:
“sesungguhnya Allah telah menukarkan untuk kita kerahiban kepada pegangan agama yag serba mudah dan ringan”. 

2 PERKAHWINAN ADALAH IBADAH
Islam memandang setiap amal perbuatan yang dilakukan oleh seseorang demi keredhaan Allah SWT adalah ibadah dan mendapat pahala. Bahkan setiap suapan nasi yang diberikan suami kepada isterinya dengan rela, ikhlas dan senang hati memperolehi balasan pahala. 

3 PERKAHWINAN MERUPAKAN CARA UNTUKMENDAPAT PENGAMPUNAN ALLAH, PENINGKATAN DARJAT DAN KEMANTAPAN IMAN
Di dalam perkahwinan terdapat unsur perjuangan melawan nafsu sebagai latihan jiwa dengan tujuan menajaga, mengasuh, memenuhi kewajipan terhadap keluarga dan sabar menghadapi perangai wanita. Semua itu adalah amal perbuatan yang besar pahalanya. 

4 PERKAHWINAN MERUPAKAN SATU CARA UNTUK MEMPERBAIKI AKHLAK DAN BUDI PEKERTI
Perkahwinan adalah satu cara yang berguna untuk menjaga kebahagian umat dari kerosakkan dan kemerosotan akhlak. Selain itu, perkahwinan berguna untuk menjaga keselamatan individu dari pengaruh yang merosakkan masyarakat kerana kecenderungan nafsu kepada sama jenis. Kerana itu Islam memberi perhatian khusus kepada manusia untuk menyelamatkan mereka dari perbuatan liar dan kemerosotan akhlak, kerosakkan, penzinaan dan keburukkan tingkah laku seperti menyerupai lelaki dan sebaliknya. 

5 PERKAHWINAN DARI SUDUT KEMASYARAKATAN
Perkahwinan adalah satu cara yang berfaedah bagi tujuan-tujuan yang mulia dan menjamin lahirnya hubungan yang kukuh antara anggota-anggota masyarakat. Beberapa keluarga yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa berhubungan antara satu sama lain yang disebut sebagai silaturrahim atau hubungan kesihatan. 

PERKAHWINAN DARI SUDUT KESIHATAN
Islam memandang perkahwinan sebagai cara yang bermanfaat untuk menjaga kaum lelaki dari keburukan dan bahaya yang dilakukan secara tersembunyi, penyelewengan seks dan segala gejala yang dapat merosakkan kesihatan fizikal dan mental, jasmani dan rohani. Azhar b Abd Aziz. (2006). Undang-Undang Keluarga Islam. iBook Publication Sdn Bhd
PANDANGAN ISLAM TERHADAP PERKAHWINAN

Perkahwinan juga merupakan hukum alam yang tidak boleh diubah atau berlangsungnya perkahwinan pada setiap generasi dan zaman. Islam memandang perkahwinan semata-mata sebagai cara untuk menyatukan lelaki dan perempuan atau cara hubungan antara tubuh yang satu dengan tubuh yang lain dan tidak pula memandangnya sebagai satu cara untuk memenuhi kebuasan nafsu syahwat tetapi Islam memandangkan perkahwinan jauh dan lebih mendalam dari semuanya itu, ianya lebih agung dan lebih mulia. 

“Dialah(Allah SWT) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) dari makhluk jenis kamu sendiri, agar kamu condong kepadanya dan merasa tenteram dengannya, kemudian Allah SWT menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. 

Yang dimaksudkan “ketenteraman” dalam ayat suci tersebut bukanlah ketenteraman nafsu syahwat yang menyala-nyala atau gelora naluri yang membara, sebaliknya satu rasa yang tersembunyi dibalik keresahan dan kegelisahan pada tabiat manusia. Dengan kata lain yang dimaksudkan dengan ketenteraman itu ialah ketenteraman rohani dan tenaga batin. Melalui perkahwinan juga manusia akan dapat merasai nikmat kasih sayang, merasa senang hati dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Selain itu, perkahwinan dianggap telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya. Melalui perkahwinan juga dapat memelihara hawa nafsu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam. 

Demikianlah bersarnya penghargaan Islam terhadap ikatan suci, ikatan perkahwinan dan demikian tinggi Islam memberikan penilaiannya. Begitu penting sekali masalah perkahwinan dalam perkahwinan Islam sehingga dinilai sebagai “separuh agama”, “separuh iman”. 

Ustaz Safwan Fathy. (2006). Membina Keluarga Bahagia. Times Editions

LARANGAN MEMBUJANG BAGI ORANG YANG MAMPU NIKAH

Dari Ibnu Abbas r. a :
“seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW menanyakan tentang membujang. Tanyanya : “Bolehkan saya bersendiri?” Jawabnya : “Bukan termasuk golongan umatmu orang yang menyendiri dan minta sendiri. ”

Ustaz Sulaiman Endut. (2001). Asas-Asas Fardu Ain. Pustaka Haji Abdul Majid
KESIMPULAN

Perkahwinan adalah ikatan zahir dan batin antara seorang lelaki dan perempuan untuk hidup bersama. Dalam bahasa agama Islam, ia dinamai “akad nikah”. Perkahwinan yang merupakan ikatan batin itu memiliki tali-temali dari tiga rangkaian pengikat. Cinta(mawwadah), Rahman(Kondisi Psikologis yang muncul didalam hati untuk melakukan pemberdayaan), Amanah(ketenteraman) oleh Dr. Quraish Shihab. 

Rumahtangga yang ideal menurut ajaran Islam adalah rumahtangga yang diliputi Sakinah(ketenteraman jiwa), Mawaddah(rasa cinta) dan Rahman(kasih sayang), Allah SWT berfirman: Ertinya: dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu hidup tenteram bersamanya. Dan dia (juga) telah menjadikan diantaramu (suami, isteri) rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. 

RUJUKAN
  1. Fatimah bt Salleh, (2004), Pedoman Lengkap. Jasmin Enterprise. 
  2. Muhammad Ali Quthb, (1999), Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur Warni Sdn Bhd. 
  3. Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, (2003), Intisari Islam Jakarta, Indonesia. PT Lentera Basritama. 
  4. Azhar b Abd Aziz, (2006), Undang-Undang Keluarga Islam. iBook Publication Sdn Bhd. 
  5. Ustaz Safwan Fathy, (2006), Membina Keluarga Bahagia. Times Editions. 
  6. Ustaz Sulaiman Endut, (2001), Asas-Asas Fardu Ain. Pustaka Haji Abdul Majid. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015