Sejarah Kehidupan Abu Bakar As-Siddiq

Disediakan Untuk : 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh : 
Nur Shafiqah Binti Zulkifle
2014809176

PENDAHULUAN
Alhamdulillah, dengan limpah dan karunia-Nya, saya Nur Shafiqah Binti Zulkifle berjaya menyiapkan tugasan yang diberi dengan jayanya. Selawat dan junjungan ke atas Baginda Muhammad SAW. dan sahabat serta ahli keluarganya kerana dengan jerih payah mereka, kita masih dapat merasai keindahan Islam. Tajuk tugasan ini ialah Sejarah Abu Bakar As-Siddiq. Tujuan tugasan ini adalah untuk mengetahui dan mendalami sejarah mengenai sahabat baik Rasulullah SAW. iaitu sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. 

Bagi menyiapkan tugasan ini, saya telah berusaha sedaya mampu mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan sejarah sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. antara buku-buku rujukan yang berjaya saya telahi ialah ‘Ini Sejarah Kita’ karya Thoriq Ahmad, ‘The Pious Caliph’ karya Majid Ali Khan, ‘Heroes Of Islam’, karya Prof. Mahmoud Esmail Sieny, dan lain-lain. 

BIOGRAFI ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Sejarah sayyidina Abu Bakar bermula apabila beliau lahir pada tahun 573 sebelum hijrah di Mekkah Al-Mukarramah. Ini menunjukkan bahawa beliau lahir 2 tahun selepas kelahiran Baginda Muhammad SAW. Beliau berasal dari kerabat bani Tamim, iaitu pecahan daripada kabilah arab Quraish. Nama sebenar beliau ialah Abdullah tetapi lebih dikenali sebagai Abu Bakar sehingga ada segelintir masyarakat tidak mengetahui nama sebenar beliau. Selepas memeluk Islam, beliau digelar As-Siddiq (yang membenarkan) kerana sentiasa membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Ayah beliau bernama Uthman yang lebih dikenali sebagai Abu Quhafah manakala ibu beliau pula bernama Salma dan lebih dikenali sebagai Ummul Khair. 

Di dalam sejarah beliau, Abu Bakar mengahwini empat orang wanita. Isteri pertama beliau bernama Qatilah Abd Aziz seterusnya Ummu Ruman, diikuti oleh Asma dan akhirnya Habibah. Beliau mempunya lima orang anak di mana dua darinya hasil daripada isteri pertama, dua lagi darinya daripada isteri kedua dan seorang lagi lahir dari rahim isterinya yang keempat. Salah seorang anaknya yang bernama Aisyah berkahwin dengan Rasulullah SAW. menjadikan beliau secara tidak langsung sebagai mertua nabi Muhammad SAW. (Khan, 1998)

KEHIDUPAN ABU BAKAR SEBELUM ISLAM
Sejak dari zaman kanak-kanak, beliau mempunyai peribadi yang mulia. Beliau seorang yang agak pendiam, seorang yang sangat jujur dan boleh dipercayai. Disebabkan sifatnya yang sangat mulia, beliau menjadi sahabat baik baginda SAW. sejak dari zaman remaja dan persahabatan mereka terbukti berpanjangan. Beliau mempunyai hati yang lembut dan mudah simpati terhadap kesengsaraan orang lain. Oleh itu, beliau sentiasa dan suka menolong mereka yang miskin dan mereka yang memerlukan pertolongan. 

Sunngguhpun sebelum memeluk agama Islam, beliau tidak suka akan kebanyakan adat-adat jahiliyyah seperti berjudi, menanam anak perempuan hidup-hidup, berkongsi isteri dan lain-lain. Beliau juga tidak pernah meminum arak walaupun ketika itu arak bagaikan air putih yang boleh menghilangkan dahaga. 

Pada zaman sebelum keIslamannya, beliau merupakan seorang peniaga yang berjaya. Beliau pernah menemani Rasulullah dalam misi perniagaan. Disebabkan beloau terkenal dengan sifatnya yang jujur, peniaga-peniaga lain memberi kepercayaan kepada beliau dan seringkali meminta beliau menjaga duit-duit mereka. Hasilnya, sifatnya yang mulia dan terpuji menjadikan beliau seorang peniaga yang berjaya dan kaya raya. (Murni, Rofidah Ahmad Badri, & Eramaann)

RENTETAN PERISTIWA SAYYIDINA ABU BAKAR SELEPAS KEDATANGAN ISLAM

ISLAM MENYINARI HATINYA
Abu bakar merupakan sahabat paling baik Raulullah. Oleh sebab itu, beliau memahami baginda lebih dari orang lain dan sifat baginda yang jujur, mulia dan amanah berjaya menarik hati beliau. Apabila baginda Muhammad SAW. mengajak beliau beriman kepada Allah secara rahsia, beliau menerima dan beriman serta merta tanpa ada sedikitpun ragu di hatinya. Ini menjadikan beliau sebagai lelaki pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW. Apabila beliau menerima Islam, bagindalah orang yang paling bahagia. Semenjak beliau memeluk Islam, sayyidina Abu Bakar telah menjadi pembela Islam yang paling utama serta seorang sahabat yang paling setia dan sentiasa menyokomh bahinda Muhammad SAW. Beliau amat dikasihi dan dicintai baginda sehingga beliau dikenali sebagai kekasih baginda Muhammad SAW. (Rus'an, 1960)

DAKWAH BELIAU SECARA RAHSIA DAN TERBUKA
Sebaik sahaja beliau menerima cahaya Islam, beliau segera bergerak berdakwah secara rahsia. Orang pertama yang dikunjunginya ialah Uthman, Talhah, Zubair, dan said r. a. Keesokannya, beliau berdakwah kepada uthman bin Maz’un, Abu Ubaidah, Abdul Rahman bin Auf dan sebahagian lain kaum Quraish. Mereka kesemuanya menerima Islam dengan rela hati setelah diajak oleh beliau. Antara sebab utama dakwah beliau berjaya adalah kerana peribadi beliau yang terkenal dengan sifat jujur, amanah, mulia, berakhlak mulia dan adil. 

Sungguhpun begitu, beliau tidak terkecuali daripada mendapat gangguan dari orang kafir Quraish. Di kaabah, beliau menyaampaikan khutbahnya yang pertam mengumumkan tentang kedatangan Islam. Sayyidina Hamzah menerima Islam pada hari tersebut. Kemuliaan beliau tidak mengecualikan beliau dari dipukul dan dicaci. Beliau dipukul sehingga hidung dan teliganya mendapat kecederaan yang teruk dan seluruh muka beliau dipenuhi darah. Beliau disepak, dibaling dengan kasut, dan dipijak dengan kasarnya sehingga beliau pengsan dan hampir mati. Ini membuktikan kekuatan iman belia dan kecintaannya terhadap Rasulullah. (Khan, 1998)

SAYYIDINA ABU BAKAR DIGELAR AS-SIDDIQ
Abu bakar digelar As-Siddiq kerana kepercayaan dan sokongan beliau yang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah SAW. Beliau tidak pernah sekalipun meragui kata-kata mahupun perbuatan baginda SAW. Beliau membenarkan baginda ketika orang kafir Quraish menuduh baginda gila selepas peristiwa Isra’ Mikraj, dan dia juga tidak pernah tergugat dengan semua keputusan Rasulullah. Semasa perjanjian Hudaibiyah, saat mereka yang lain merasakan seolah-olah tertindas dan berat sebelah dengan isi kandungan perjanjian, beliau yakin dan mempercayai keputusan baginda Muhammad SAW. 

As-Siddiq bermaksud membenarkan dan tidak meragui apa-apa pun kata-kata yang keluar dari mulur Rasulullah. Beliau mendapat gelaran ini daripada Rasulullah selepas peristiwa Isra’ Mikraj iaitu perjalanan Nabi Muhammad SAW. pada waktu malam dari Mekkah ke Jurussalam. Apabila mendapat berita mengenai Isra’ Mikraj, beliau berkata ; “Apakah Muhammad yang berkata begitu? Jika dia berkata begitu, maka aku mempercayainya. ”. Begitulah teguhnya kepercayaannya terhadap Rasulullah. (Sieny, 2000)

SAHABAT DI DALAM GUA
Apabila baginda Muhammad SAW membuat keputusan untuk berhijarah ke Madinah, Abu Bakar merupakan satu-satunya sahabat yang menemani baginda. Beliau membawa semua duitnya dan mula berhijrah pada waktu malam bersama baginda. Mereka bersembunyi di gua hira’ selama tiga hari. 

Firman Allah di dalam kitab-Nya : “ Jika kamu tidak menolongnya ( Muhammad ), sesungguhnya Allah telah menolongnya ( iaitu ) ketika orang-orang kafir mengusinya ( dari mekah ); sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada di dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya “ Jangan engkau bersedih sesungguhnya Allah bersama kita. ” Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya ( Muhammad ) dan membantu dengan bala terntera ( malaikat ) yang tidak terlihat olehmu, dan dia menjadikan seruan orang-orang kafir itu rendah. Dan firman Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana. “ ( At-Taubah : 40 ) 

Oleh itu, antara sahabat-sahabat baginda yang lain, Abu Bakar mendapat kemuliaan untuk menemani baginda di saat nyawa baginda diancam oleh kaum Quraish. Di sini, beliau terbukti amanah dalam setiap keadaan. (Khan, 1998)  

PEPERANGAN YANG DISERTAINYA BERSAMA RASULULLAH SAW. 
Beliau menyertai hamper kesemua perang bersama Rasulullah. dalam peperangan pertama dalam Islam iaitu perang Badar, beliau berjuang bersama baginda seperti baying-bayang. Anak lelakinya yang belum memeluk Islam pada masa itu turut berperang berpihak kepada tentera musuh, iaitu kafir Quraish. Suatu hari, selepas anak lelakinya memeluk Islam, dia berkata kepada ayahnya, “wahai ayahku, aku menemui kamu dua kali ketika peperangan badar tetapi aku tidak mampu mengangkat tanganku memerangimu kerana cintaku kepadamu” Abu Bakar kemudiannya menjawab “Jika aku berpeluang, nescaya aku akan membunuhmu. ” Di dalam perang itu juga, Abu bakar jugalah yang mencadangkan kepada Rasulullah untuk membebaskan tahanan perang selepas mengambil wang tebusan. 

Di dalam perang Uhud pula, apabila segelintir tentera Islam melarikan diri dari medan perang, Abu bakar tetap teguh dan apabila baginda Muhammad SAW. cedera dan di bawa ke bukit, beliaulah yang setia bersama baginda. 

Semasa perjanjian Hudaibiyah, Abu Bakar merupakan orang pertama yang menyetujui cadangan pelan damai Rasulullah tanpa ragu dan banyak soal sedangkan ketika itu ramai muslimyang tidak setuju dengan cadangan baginda. Bahkan Umar Al-Khattab ragu-ragu untuk menerima perjanjian bersama kaum kafir Quraish. 

Di dalam perjalanan ke tabuk, Abu Bakar membawa semua harta yang dimiliknya untuk diinfakkan ke jalan Allah. Apabila Rasulullah bertanya kepada beliau : “Apakah harta yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” beliau menjawab “ sesungguhnya, aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya. ” Sedangkan umar pun mengakui bahawa dia takkan pernah dan mampu untuk menandingi abu Bakar dalam berkorban demi Allah dan Rasul-Nya. 

ABU BAKAR DILANTIK MENJADI KHALIFAH PERTAMA DI DALAM SEJARAH ISLAM

KEWAFATAN NABI MUHAMMAD SAW
Apabila beliau mendapat berita tantang kewafatan Rasulullah, dia bergegas ke rumah sayyidatina Aisyah r. a. di mana jasad Rasulullah berada. Setelah mendapat izin, beliau masuk dan mencium muka Rasulullah dan mengalirkan air mata kesedihan. Di luar masjid pula, kebanyakan muslim menangis menangisi pemergian baginda Muhammad SAW. Bahkan Hadrat Umar juga tidak terkecuali, beliau bahkan menjerit mengatakan baginda Muhammad SAW. masih belum wafat. Saydina Abu Bakar cuba menenangkan Hadrat Umar tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia berdiri di satu sudut bertentangan dengan tempat berdirinya hadrat Umar lalu berkata “Wahai manusia, jika kamu beriman kepada Rasulullah, maka kamu seharusnya tahu bahawa baginda telah wafat. Tetapi sesiapa yang beriman kepada Allah, mereka seharusnya tau bahawa Dia maha Hidup dan tidak akan mati. 

Allah telah berfirman di dalam kitabnya :  “ Muhammaditu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuuh kamu berbalik ke belakang (murtad) ? Barangsiapa berbalik ke belakang, ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. “ ( Ali-Imran: 144 ) 

Kata-kata Abu Bakar menyentuh hati semua orang dan meyakinkan orang ramai bahawa baginda Muhammad SAW. hanyalah seorang Rasul yang di utuskan-Nya dan pasti akan mati kerana baginda juga manusia biasa. Akhirnya, orang ramai mula bertenang dan hadrat Umar redha dan merelakan pemergian baginda Muhammad SAW. (Sieny, 2000)  

DIPILIH MENJADI KHALIFAH
Semasa hayat baginda Muhammad SAW, baginda tidak melantik mana-mana pengganti. Oleh itu, selepas kewafatan baginda, orang Ansar dan Muhajirin mengadakan syura untuk melantik seorang khalifah. Perbincangan menjadi hangat apabila orang Ansar mahukan Khalifah dari kalangan mereka dan cadangan itu tidak dipersetujui oleh hadrat Umar. Walau bagaimanapun, Hadrat Bashir bin Abu Nu’man dari kalangan Ansar bangun dan berkata bahawa Nabi Muhammad SAW. dating dari kabilah Arab Quraish, jadi khalifah mestilah dilantik dari kalangan mereka dan kami orang Ansar adalah penolong agama Allah, jadi biarlah kami (orang Ansar ) tetap menjadi penolong agama Allah. Kata-kata hadrat Bashir bin Abu Nu’man menenangkan semua orang lalu Abu Bakar mencadangkan dua nama iaitu Hadrat Umar Al-Khattab dan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah. Mereka keduanya menolak lantas hadrat Umar berkata “Abu Bakarlah yang terbaik antara kita semua kerana Allah telah mencatat namanya di dalam Al Quran ( salah seorang di dalam gua ). Akhinya, semua ahli syura bersetuju dan beliau dilantik menjadi Khalifah pertama Islam. (Khan, 1998)   

MASALAH YANG DIHADAPINYA SEMASA PEMERINTAHANNYA. 
Selepas kewafatan baginda Muhammad SAW. pemberontakan berlaku dalam kalangan masyarakat Arab Quraish. Kaum-kaum yang memberontak kebanyakannya daripada mereka yang baru memeluk Islam. Mereka belum benar-benar memahami hakikat Islam kerana masuknya mereka ke dalam Islam hanyalah dipengaruhi oleh gerakan ramai dan segan terhadap kekuasaan Nabi Muhammad SAW. Bahkan ada di antara mereka yang berkata bahawa mereka hanya mahu solat tetapi enggan menunaikan zakat. Begitulah bahaya yang mendatang tetapi Abu Bakar tidak berputus asa bahkan berkata “ Apakah agama Islam itu mundur sedangkan aku masih hidup?” Abu Bakar yang terkenal dengan sifat lembut dan berhemah sangat tegas dalam menangani masalah ini ( orang Islam yang tidak mahu membayar zakat ). Beliau berkata “Demi Allah, kalau mereka itu enggan menunaikan kepadaku seutas tali pengikat unta seperti yang telah ditunaikan kepada Rasulullah SAW, pasti aku akan perangi mereka selagi pedang masih berada di tanganku”. Hari pertama sebagai khalifah, beliau telah menghantar sebanyak 11 batallion tentera untuk memerangi mereka yang murtad dan enggan membayar zakat, selain memerangi nabi-nabi palsu contohnya Aswad Al-Ansi, Tulaiha, Sajah binti Al-Harith di Suwaid dan Musailamah Al-kadzab.  

Walaupun sibuk memerangi kumpulan pemberontak itu, beliau tidak lupa dan tidak membelakangkan hal penghantaran pasukan tentera di bawah pimpinan Usamah semasa baginda Muhammad SAW masih hidup. Misi membawa Islam ke serata dunia diteruskan walaupun selepas kematian baginda. Sebelum Usamah bertolak, Abu Bakar telah meminta izin dari Usamah supaya hadrat Umar, dimana ketika itu menjadi tentera Usamah untuk tetap di Madinah bagi membantunya menghadapi krisis yang ada.  

Tentera Usamah pun berangkat menuju Qudha’ah. Mereka mengepung Qudha’ah selama empat puluh hari. Pertempuran hebat berlaku dan akhirnya mereka kembali dengan meraih kemenangan. Kemenangan ini telah berjaya membuka mata musuh Islam kerana semua orang maklum bahawa untuk menewaskan Qudha’ah memerlukan sebuah pasukan yang amat kuat dan kepimpinan yang mantap. (Khan, 1998) 

PERLUASAN KUASA DAN SUMBANGAN ABU BAKAR SEMASA PEMERINTAHANNYA. 
Selepas menyelesaikan permasalahan yang timbul selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Abu Bakar mula mengorak langkah untuk meluaskan empayar Islam ke luar Tanah Arab. Pertelingkahan dengan Parsi bermula apabila tentera Islam dihantar ke timur untuk menghapuskan pemberontakan orang Badwi. Orang parsi yang memusuhi Islam telah menghasut penduduk di sempadan sebelah timur untuk menentang Daulah Islam Madinah menyebabkan pemberontakan berlaku. 

Bagi menyelesaikan masalah ini, Abu Bakar telah mengarahkan panglima Al-Muthana bin Harithah dengan bantuan Panglima Khalid bin Al-Walid ( Saifullah ) bersama dengan 10000 tentera untuk menentang Parsi. Pasukan tentera ini akhirnya berjaya menguasai beberapa tempat di Hirah setelah berjaya menewaskan Hurmuz, iaitu pemimpin Parsi. Al-Muthana kemudiannya dilantik sebagai wakil pemerintah di Hirah dan Anbat. Peperangan yang dinamakan ‘Battle Of Chain’ ini merupakan perang pertama yang tercetus antara pihak muslim dan orang Syiria. 

Setelah itu, penaklukan Syam pula berlaku dan tercetusnya perang Yarmuk. Peperangan ini merupakan peperangan yang paling mahsyur ketika penaklukan Syam. Ia diambil dari nama satu sungai besar di Jordan, bermula daripada penaklukan Yarmuk, parajurit Islam terus membuka negeri Al-Quds, Damsyik, Hams, Humaat, Halab dan lain-lain. 

Di medan Yarmuk, kaum muslimin menghadapi 240, 000 tentera romawi yang ternyata jauh lebih besar. Abu Ubaidah lantas meminta Abu Bakar menghantar bantuan. Panglima Khalid al-Walid yang berada di Iraq diarahkan oleh Abu Bakar berangkat menuju ke Syam dengan membawa separuh pasukannya. Kepada Khalid Al-Walid juga, Abu Bakar memerintahkan agar memimpin pasukan di syam setibanya di negeri tersebut. 

Pada peperangan ini, Panglima Khalid Al-Walid membawa seramai 30, 000 hingga 40, 000 tentera Islam. Jumlah ini merupakan jumlah pasukan muslim yang terbesar dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam sejarah Arab. Walaupun begitu, jumlah ini masih kecil berbanding dengan jumlah musuh. Hal ini sedikit pun tidak membuatkan Khalid dan pasukannya gentar. 

Mereka terus berjuang dan akhirnya, dengan pertolongan Allah, perang yang dahsyat ini dimenangi oleh pasukan Muslim. Kemenangan mereka adalah disebabkan mereka solat di tengah malam, berpuasa di siang hari, menepati janji, mengajak kepada perbuatan ma’ruf, mencegah dari perbuatan mungkar dan saling jujur antara mereka. 

Abu Bakar As-Siddiq dalam suratnya menjelang perang Yarmuk menulis :

“ Allah pasti akan menolong orang-orang yang menolong agama-Nya. Sebaliknya, Dia pasti akan menghinakan orang-orang yang kafir terhadap-Nya. Sesungguhnya kalian tidak akan dikalahkan kerana jumlah kalian yang sedikit, tetapi kalian akan dikalahkan disebabkan dosa-dosa kalian. “

Abu Bakar sangat mengambil peduli tentang etika dan akhlak semasa dalam peperangan. Apabila beliau menghantar tenteranya ke Syiria, beliau memberi arahan dan nasihat seperti berikut :

“ Semasa expidisi, kamu akan menemui segelintir masyarakat yang mengabdikan diri mereka semata-mata untuk beribadah kepada pencipta mereka. Jangan ganggu mereka dan biarkan mereka dengan kepercayaannya. Aku memberikan kepada kamu nasihat berikut :

1)Jangan membunuh mana-mana wanita, kanak-kanak mahupun orang tua. 
2)Jangan memotong mana-mana pokok yang berbunga. 
3)Jangan memusnahkan mana-mana tempat yang di diami. 
4)Jangan membunuh unta atau kambing kecuali apabila kamu memerlukan mereka untuk dijadikan makanan kamu. 
5)Jangan menipu dalam pembahagian rampasan perang. 
6)Jangan menjadi pengecut di medan perang. “(Khan, 1998)

PENGHIMPUNAN AL QURAN
Idea penghimpunan Al Quran tercetus apabila syahidnya beberapa orang huffaz Al Quran semasa perang Yamamah. Seramai 1200 orang syahid termasuk 73 orang sahabat besar dan juga para huffaz. Umarlah orangnya yang pertama kali mengusulkan cadangan penghimpunan Al Quran ini. Abu Bakar lalu memerintahkan kepada Zaid bin Thabit untuk menghimpunkan Al Quran daripada pelepah kurma, kulit binatang dan daripada hafalan kaum muslim yang lain. (Ahmad, 2010)

ABU BAKAR, PENYELAMAT UMAT ISLAM
Abu Bakar telah memegang jawatan sebagai Khalifah pertama Islam ketika Islam berada di tahap yang kritikal dalam sejarah Islam. Beliau memberi Islam nafas baru selepas kewafatan baginda Muhammad SAW. Semasa beliau menjadi Khalifah, Islam diancam dengan golongan pemberontak, kebangkitan nabi palsu dan gerakan orang murtad. Beliau berjaya menumpaskan mereka kerana kepercayaannya yang tak pernah goyah. Beliau juga berjaya membawa semua ummat Islam bersatu di bawah pemerintahannya. (Murni, Rofidah Ahmad Badri, & Eramaann)  

HARI AKHIR SAYDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Pada tarikh 7 Jamadil Akhir 13 tahun selepas hijrah, Abu bakar jatuh sakit. Beliau mengalami demam panas yang teruk. Apabila sakitnya bertambah teruk, beliau telah memanggil ahli syura untuk berbincang mengenai penggantinya. Abu bakar telah mencadangkan Saydina Umar Al-Khattab untuk menggantikannya selepas kematiannya. Mereka akhirnya sepakat untuk melantik Saydina Umar sebagai khalifah kedua selepas Abu Bakar. (Khan, 1998)

Beliau telah berpesan dan menasihati Umar lalu berkata “ Wahai Umar, sesungguhnya Dia tidak menerima nafilah (amalan sunat) sebelum yang wajib dilaksanakan. Orang-orang yang timbangannya di akhirat menjadi berat kerana mereka mengikuti kebenaran di dunia. Orang-orang yang timbangannya di akhirat menjadi ringan kerana mereka mengikut kebatilan, sehingga timbangan mereka pun ringan di dunia. Jadikan Al Quran dan kepercayaanmu sebagai petunjuk jalan mencapai kejayaan. Umar, jika kamu mengikuti jalan yang aku lalui, maka aku akan sentiasa di sisimu… “(Khan, 1998)

Akhirnya, pada tarikh 22 Jamadil akhir 13 tahun selepas hijrah, Abu Bakar menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abu Bakar meninggal ketika umurnya 63 tahun iaitu pada hari khamis. Beliau berkhidmat menjadi khalifah selama 2 tahun, 3 bulan dan 3 hari. Beliau kemudiannya dikebumikan di kamar Aisyah di samping makam sahabatnya yang mulia iaitu baginda Muhammad SAW. (Khan, 1998)

PENUTUP
Secara kesimpulannya, Abu Bakar telah menjadi sahabat karib Rasulullah semenjak mereka masih kanak-kanak. Ukhuwwah mereka berlanjutan sehingga ke akhir hayat baginda. Beliau tidak pernah lokek dalam memberi sumbangan dan sentiasa menginfakkan hartanya di jalan Allah sehingga tiada seorang sahabat pun yang mampu menandinginya dalam berbuat kebaikan. 

Semasa pemerintahannya, beliau berjaya mengembalikan keamanan dalam kalangan umat Islam setelah berjaya menumpaskan golongan murtad, nabi palsu dan mereka yang enggan membayar zakat. Beliau juga berjaya meneruskan penghantaran Usamah bagi memperkenalkan Islam ke serata dunia. Pada ketika ramainya huffaz gugur syahid, beliau bertindak segera dengan mengumpulkan Al Quran supaya ia tidak hilang di muka bumi. 

Abu bakar mempunyai sifat yang terpuji sejak beliau masih kecil. Beliau tidak pernah minum arak, sentiasa jujur, amanah dan berkata yang benar. Sifat-sifat yang ditonjolkan oleh beliau sepatutnya terhias di setiap individu muslim. Sifat kepimpinan, kebijaksanaan, kesabaran dan prihatinnya beliau dalam memimpin masyarakat Islam pada zaman itu juga sewajarnya dicontohi oleh pemimpin masa kini. 

Seperti harimau mati meninggalkan belang, Sayyidina Abu Bakar pergi meninggalkan nama. Sumbangannya terhadap kerajaan khulafa’ Ar-Rasyidin sangat banyak walaupun hanya memegang jawatan sebagai khalifah selama 2 tahun sahaja. Beliau berjaya membuktikan, keimanan dan kepercayaan yang kukuh terhadap Allah membawa kemenangan yang gemilang. 

RUJUKAN


  1. Ahmad, T. (2010). Ini Sejarah Kita. Pustaka Buku Putih. 
  2. Al Quran dan Terjemahannya. (n. d. ). Pustaka Darul Iman. 
  3. Khan, M. A. (1998). The Pious Caliphs. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust. 
  4. Marhaban, H. S. (1967). Tokoh-Tokoh Islam di Zaman Nabi. Pustaka Nasional Singapura. 
  5. Murni, N. H., Rofidah Ahmad Badri, & Eramaann. (n. d. ). Sejarah. Oxford Fajar. 
  6. Rus'an, H. (1960). Lintasan Sejarah Islam Zaman Abu Bakar As-Shiddiq. Wicaksana. 
  7. Sieny, P. M. (2000). Heroes of Islam. Darussalam. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015