Bidadari Dunia

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Nur Hidayah Binti Mohd Said
2014267952

Pendahuluan

Alhamdulillah Bersyukur Kehadrat Ilahi Dengan Limpah Dan Kurnianya Dapatlah Saya Menghasilkan Kerja Kursus Tentang Wanita Dalam Islam Dengan Jayanya. 

Tujuan Kerja Kursus Ini Ditulis Adalah Untuk Menerangkan Tentang Persepsi Masyarakat Terhadap Wanita Sebelum Dan Selepas Kedatangan Islam. Wanita Dari Segi Bahasa Ialah Lawan Kepada Kaum Lelaki. Mengikut Kamus Dewan, Wanita Adalah Satu Ungkapan Halus Yang Beerti Perempuan. Wanita juga merupakan makhluk allah yang diciptakan penuh dengan lemah-lembut dan juga merupakan makhluk allah yang subjektif untuk dihuraikan dengan kata-kata ataupun lebih senang, sukar untuk ditafsirkan dan untuk difahami. 

Skop kerja kursus ini adalah menerangkan tentang perspektif agama lain terhadap wanita terus berubah. Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah untuk memperbaiki kepincangan dan menempatkan wanita ke taraf yang lebih tinggi. Dalam kerja kursus ini, saya menceritakan dimana wanita seharusnya mendapat hak dan status yang sewajarnya bersesuaian dengan fitrah penciptaannya. Saya juga menerangkan tentang akhlak-akhlak yang perlu ada pada semua wanita sebagai wanita yang muslimah. Selain itu, saya juga menulis tentang hukum-hukum dan dalil-dalil berkaitan dengan bersolek bagi wanita Islam. Hal ini kerana, bersolek merupakan perkataan yang sudah sinonim dengan wanita. Seterusnya, saya juga ada menerangkan tentang hak wanita untuk bekerja dan akhir sekali, saya menerangkan peranan wanita dalam Islam bagi membangunkan nama Islam itu sendiri. 

Harapan saya ialah agar hak dan status wanita Islam dihormati dan dilindungi oleh semua masyarakat supaya wanita tidak lagi ditindas dan dihina seperti pada zaman Jahiliah dahulu. 

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita hendaklah bersama-sama menjaga nama baik sesama kita agar agama Islam tidak dipandang serong dan hina oleh masyarakat lain dan supaya kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT. 

WANITA SEBELUM DAN SELEPAS KEDATANGAN ISLAM
Wanita sebelum kedatangan Islam tidak dapat menikmati haknya sebagai seorang manusia sedikitpun. Hak mereka dicabut, kemahuan mereka ditekan, pendapat mereka tidak didengar, saranan mereka tidak dihormati dan mereka tidak langsung diberikan tempat dan ruang dalam masyarakat. Hal inilah yang tersebar dikebanyakkan bangsa pada masa itu. Pada zaman sebelum Islam, kaum wanita dianggap rendah dan kurang berguna bagi kehidupan bahkan mereka hanya dianggap sebagai pelampiasan nafsu birahi kaum lelaki sahaja. Dengan kehadirannya Nabi Muhammad SAW, alhamdulillah telah mengangkat kaum wanita dari cara pergaulan masyarakat Jahiliah. Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud :

“Wanita adalah penjaga, penanggung jawab rumah suaminya, dan ia harus bertanggungjawab atas pengaturannya. ”

Sejak itulah bermulalah kehidupan baru bagi kaum wanita, hak dan kewajipannya sebagai wanita dijelaskan dalam Al Quran dan Al Hadith. 

Dalam masyarakat Yunani, wanita diperjualbelikan di pasar seperti menjualbelikan sesuatu barangan yang lain, mereka tidak pernah diberikan pendidikan dan harta warisan. Walaupun harta sendiri, wanita tidak dapat membelanjakannya sendiri kecuali mendapat keizinan daripada orang yang bertanggungjawab terhadap dirinya. Dalam kehidupan Yunani dahulu, wanita benar-benar tidak mempunyai hak sedikit pun, mereka dilalaikan dan sentiasa dilalaikan. Pada puncak kejayaan bangsa Yunani dahulu, keadaan wanita bukannya bertambah baik, malah semakin hari semakin buruk mereka dilayan. Wanita mula bergaul bebas dengan lelaki tanpa batas ditempat-tempat umum dan malah penzinaan sudah seperti menjadi suatu kebiasaan kepada mereka. 

Yang lebih buruk lagi, agama mereka mengakui hubungan gelap antara wanita dan lelaki. Jadi, wanita pada mulanya tidak mendapat sama sekali, kemudian akhirnya wanita dijadikan permainan bagi kaum lelaki dan menjadi tempat untuk memuaskan keinginan dan nafsu bagi   kaum lelaki. Adapun dikalangan orang Jahiliah, kaum wanita sangat terhina sekali, bilamana  anak yang dilahirkan adalah seorang bayi perempuan, maka dikuburkannya bayi itu secara hidup-hidup. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :  “Apabila salah seorang daripada mereka diberi khabar gembira dengan anak perempuannya, nescaya hitam mukanya sambil menahan marah dalam hatinya. ” (Surah An-Nahl ayat 58) 

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud :  “Bersembunyilah dari kaumnya, kerana keburukkan berita yang diterimanya akan ditahannyalah anak itu dengan menanggung penghinaan atau diinjaknya di dalam tanah. Ketahuilah sungguh jahat sekali perbuatan mereka. ” (Surah An-Nahl ayat 59)  Kemudian datanglah agama Islam, memberikan hak-hak yang adil kepada kaum wanita yang berperikemanusiaan yang bersifat melindungi dan menjunjung tinggi harkat dan darjat kaum wanita, memberikan kesucian, dengan kesuciannya dan memberikan tempat dan kedudukan yang layak dengan keadaannya sebagai kaum wanita yang sesuai dengan firman Allah SWT dalam Al Quran yang bermaksud :  “Anak lelaki itu mempunyai bahagian daripada peninggalan ibu bapa dan kaum-kerabatnya, anak perempuan juga mempunyai bahagian dari peninggalan ibu bapa dan kaum-kerabatnya, baik sedikit mahupun banyak iaitu menurut bahagian yang telah ditetapkan. ”  (Surah An-Nisa' ayat 7)  

Sebagaimana dalam Islam mengharamkan pemaksaan terhadap budak perempuan untuk melakukan pelacuran, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Janganlah kamu paksa budak-budakmu berzina jika mereka suka terpelihara supaya kamu mendapat keuntungan kehidupan duniawi. ” (Surah An-Nur ayat 33) 

Islam sama sekali tidak menganggap wanita sebagai suatu bakteria yang mengandungi penyakit sebagaimana persepsi orang-orang Yahudi dan Nasrani. Islam mengakui kebenaran azali (eternal) yang dapat menghilangkan kehinaan. Islam brbeza dengan agama-agama lain yang cenderung menganiaya kaum wanita. Islam datang untuk melepaskan wanita daripada belenggu-belenggu kenistaan dan perbudakan terhadap sesama manusia. Islam memandang wanita sebagai makhluk yang mulia dan terhormat, makhluk yang memiliki hak yang telah disyariatkan oleh Allah. Dalam Islam, haram hukumnya berbuat aniaya dan memperbudakkan wanita. Allah akan mengancam orang yang berani melakukan perbuatan itu dengan ancaman seksa yang amat pedih diakhirat nanti.   

Bukti yang paling besar yang menunjukkan betapa wanita itu sangat tinggi kedudukkannya, adalah wasiat Nabi Muhammad SAW pada peristiwa pertemuan Islam paling agung, iaitu dalam peristiwa Haji Wada'. Waktu itu baginda bersabda :  “Baik-baiklah dalam memberikan wasiat kepada kaum wanita. ”  

Firman Allah SWT yang menerangkan salah satu kedudukan wanita didalam Islam dimana kehormatan dan kemuliaannya dijaga :  “Dan, orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik(berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-selamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik. ” (Surah Ibrahim ayat 4)  

AKHLAK WANITA MUSLIMAH
Akhlak dalam Islam ialah peringkat tata nilai yang bersifat samawi dan azali, yang mewarnai cara berfikir, bersikap dan bertindak seorang Muslim terhadap dirinya, terhadap Allah dan Rasul-Nya, terhadap sesamanya dan terhadap lingkungannya. Dari sudut samawi pula, akhlak bermaksud seluruhnya bersumberkan Al Quran dan Al Hadith, sedangkan azali beerti bahawa akhlak Islam tersebut bersifat tetap, tidak berubah, walaupun tata nilai atau norma-norma dalam kehidupan bermasyarakat berubah sesuai dengan perubahan masa dan keadaan. 

Akhlak bukanlah sekadar perilaku manusia yang bersifat dari lahir tetapi merupakan salah satu daripada dimensi kehidupan seorang Muslim yang merangkumi akidah, ibadah, akhlak, dan syariah. Terdapat beberapa akhlak yang ditegaskan dalam Islam kepada wanita-wanita muslimah. 

•Akhlak terhadap Allah SWT. 

Setiap peribadi muslim yang sejati wajib berakhlak terhadap Allah SWT dengan akhlak yang baik dan terpuji. Sebagai seorang wanita muslimah, kita wajib mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT, tidak akan mempersekutukan-Nya dengan apapun, dalam bentuk apapun dan keadaan mahupun situasi yang bagaimanapun. Sebagai wanita juga, kita patut tunduk dan patuh ketentuan-ketentuan dan hukum Allah yng bersifat abadi. Tidak berubah sepanjang masa dan tidak akan dapat diubah oleh sesiapa apun, berbeza dengan ketentuan dan ketetapan undang-undang yang dibuat oleh manusia. 

Seterusnya, berserah diri kepada ketentuan Allah SWT kerana setiap apa yang ditakdirkan kepada kita pasti ada hikmahnya kerana kita harus yakin bahawa setiap qada' dan qadar Allah adalah yang terbaik untuk hambanya. Selain itu, sebagai muslimah, kita hendaklah sentiasa ikhlas dan redha dalam menerima setiap keputusan dari Allah SWT setelah kita bersungguh-sungguh berusaha dan bertawakal. Jika kita menghadapi sesuatu masalah atau  musibah, kita hendaklah sentiasa berdoa memohon pertolongan kepada Allah SWT  daripada kita terus berputus asa. Alangkah sombongnya seseorang yang tidak pernah berdoa kepada Allah, sedangkan dirinya sangat memerlukan pertolongan daripada Allah SWT. Salah satu doa yang sempurna yang boleh kita amalkan ialah : “Ucapkanlah : “Ya Allah, sesunggunya aku memohon kepadaMu semua kebaikan yang lalu dan yang akan datang, yang kuketahui dan yang tidak kuketahui. Aku berlindung kepadaMu dari semua kejahatan yang lalu dan yang akan datang, yang kuketahui dan yang tidak kukeetahui. Dan aku memohon syurga kepadaMu dan yang dapat mendekatkan aku kesana, berupa perkataan atau perbuatan. Dan aku berlindung kepadaMu dari neraka dan apa yang mendekatkan aku kepadanya, berupa perkataan atau perbuatan. Dan aku memohon kepadaMu urusan yang Engkau tetapkan bagiku, agar Engkau menjadikan kesudahannya sebagai kebenaran. ” (Riwayat dari Aisyah Radiyallahu'anhu)  

•Akhlak terhadap Rasulullah SAW. 

Sebagai seorang wanita muslimah, kita wajib berakhlak mulia terhadap Rasulullah SAW selain daripada berakhlak kepada Allah SWT kerana Rasulullah merupakan pesuruh Allah. Antara akhlak terhadap Rasulullah ialah ikhlas menyatakan pengakuan dan bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah. Kita juga perlu sentiasa mengucapkan selawat dan salam kepada junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad SAW kerana beliau merupakan utusan Allah untuk membimbing hambanya ke jalan yang lurus dan benar. 

Seterusnya, kita mestilah sentiasa taat akan perintah Rasulullah dan sentiasa cinta akan baginda. Kita wajib percaya atas semua berita yang telah disampaikan oleh Rasulullah kepada semua umat Islam kerana apa yang disampaikan kepada kita adalah yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita juga tidak boleh mengabaikan Rasulullah dengan tidak melaksanakan segala perintah dan ajarannya. Sentiasa menghidupkan sunnah Rasulullah iaitu dengan mengamalkan segala sunnahnya. Dengan mengamal sunnah baginda, nescaya kita tidak akan terpesong akidah dan akan memperoleh pahala. 

•Akhlak terhadap orang tua. 

Sebagai seorang wanita dan juga anak, kita wajib berakhlak baik terhadap orang tua. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan, Rabbmu telah memerintahkan supaya kamu semua jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu semua berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sesekali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan mengucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, “Wahai Rabbku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihaniku dan mendidik aku sewaktu kecil. ” (Surah Al-Isra' ayat 23-24)  

Dasar-dasar akhlak terhadap orang tua adalah sebagai seorang anak kita harus mentaati kedua orang tua kita dalam urusan apa pun selagi di dalamnya tidak terkandung kedurhakaan terhadap syariat Islam. Berbicara atau bercakap dihadapan kedua ibu bapanya dengan cara yang lemah lembut, merendahkan suara dan tidak bercakap keras dihadapan mereka. Tidak membuat sesuatu keputusan kecuali setelah meminta pendapat kedua-dua ibu bapa kerana mereka berdua lebih memiliki pengalaman hidup yang lebih banyak berbanding kita. Sentiasa mendoakan keduanya, mengeluarkan sedekah atas nama kedua-duanya, meminta keampunan dan menyelesaikan hutang-hutang mereka sama ada hutang harta atau ibadah seperti puasa dan haji setelah keduanya meninggal dunia. 

•Akhlak terhadap diri sendiri. 

Akhlak seorang wanita muslimah terhadap dirinya sendiri adalah tidak meninggalkan perkara-perkara yang wajib dilakukan sebagai seorang muslimah sejati seperti solat lima waktu  tepat pada masanya dan berpuasa di bulan ramadhan. Meninggalkan setiap perkara yang dapat   merosakkan kesihatan jasmani dan juga rohani. Kita juga hendaklah sentiasa memelihara diri dengan sifat-sifat yang terpuji seperti 'iffah iaitu mengawal diri daripada meuruti hawa nafsu. Janganlah sesekali kita menjadi hamba kepada nafsu kita sendiri dan jangan biar nafsu yang mengawal diri kita.   

Sifat yang seterusnya ialah muruah iaitu sifat yang selalu memelihara diri dari segala perkara yang terlarang dalam agama contohnya tidak menutup aurat. Sebagai seorang wanita muslimah, kita hendaklah sentiasa meutup aurat kita daripada diperlihatkan kepada lelaki yang bukan mahram kita kerana hukumnya haram mendedahkan aurat. Sifat seterusnya ialah wara' iaitu menjauhkan diri dari barang yang haram dan syubhat (sifatnya yang meragukan, antara halal dan haram). Terdapat yang halal dan mubah mengambilnya hanya sekadar yang diperlukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :  “Tiap-tiap daging yang tumbuh dari yang haram maka neraka itu lebih utama melayaninya. ” (Diriwayatkan dari Hakim)  

Selain daripada melakukan sifat-sifat yang terpuji, kita juga hendaklah menjuahi semua sifat-sifat yang tercela seperti membunuh diri. Allah SWT melarang hamba-Nya daripada mencela dan menyakiti diri sendiri walaupun sebesar zarah. Bagi sesipa yang menyakiti diri sendiri seperti membunuh diri maka tempatnya adalah didalam neraka jahanam. Kita juga dilarang bersifat sombong dan takabur kerana Allah membenci dan mencela orang yang bersifat sombong terhadap orang lain.   

Kita juga haruslah menjauhi sifat cepat buruk sangka terhadap orang lain kerana ianya merupakan sifat buruk. Sebagai seorang muslimah sejati, kita harus sentiasa bersangka baik terhadap semua orang supaya tidak timbul pergaduhan dan saling membenci. Bersikap buruk sangka terhadap orang lain hanya akan mendatangkan banyak keburukkan. Bersifat buruk sangka hukumnya adalah haram keran boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, keluarga dan keharmonian kehidupan bermasyarakat.    

“Jauhilah sifat berprasangka buruk kerana sifat itu adalah sedusta-dusta pembicaraan. Dan janganlah kamu mencari kesalahan, memata-matai, janganlah kamu berdengki-dengki, janganlah juga kamu membelakang-belakangkan dan janganlah kamu membenci-bencian. Dan hendaklah kamu semua hamba-hamba Allah bersaudara antara satu sama lain.  (Hadis riwayat Bukhari) 

BERSOLEK BAGI WANITA (TABARRUJ)
Bersolek adalah memperlihatkan kecantikkan wanita yang semestinya wajib ditutup kepada lelaki yang bukan muhrimnya. Bersolek ialah suatu hal yang perlu bagi seorang wanita, ia berhak berdandan dihadapan suaminya dan di hadapan orang-orang yang haram dia kahwini dengan bentuk perhiasan apa pun yang dia ingini. Tetapi tidak dibolehkan baginya berdandan dan memperlihatkan bahagian tubuhnya yang bisa mengakibatkan fitnah dan keonaran. 

Memperlihatkan kecantikkan wanita kepada lelaki yang bukan muhrimnya, yang termasuk dalam menampakkan kecantikkan itu adalah membuka dan mempamerkan keelokan serta bahagian-bahagian susuk tubuh yang menghairahkan seperti pinggang, lengan, betis, dada, leher dan wajah. Menurut Syeikh Al-Maududi, 'Tabarruj' bila dikaitkan dengan seorang wanita membawa tiga maksud iaitu yang pertama, menampakkan keelokkan wajah dan bahagian-bahagian tubuh yang membangkitkan berahi, dihadapan kaum lelaki yang bukan muhrimnya. Yang kedua ialah mempamerkan pakaian atau perhiasan yang indah dihadapan kaum yang bukan muhrim. Akhir sekali, yang ketiga ialah mempamerkan diri dan jalan berlenggang-lenggok di hadapan kaum lelaki yang bukan muhrim. 

•Hukum bersolek bagi wanita. 

Bersolek hukumnya adalah haram menurut Al Quran, hadis dan ijmak para ulama'. Hal ini kerana keseluruhan anggota tubuh seorang wanita itu adalah aurat. Orang yang bukan muhrimnya sedikit pun tidak boleh melihat rambut, tubuh, perhiasan, mahupun baju dalamnya. Apabila seorang wanita itu keluar dengan memperlihatkan tengkuk, dada, serta mendedahkan betisnya adalah dia termasuk dalam kemungkaran besar yang menyimpang dari ketentuan syarak dan berdoa besar. 

Bagi wanita yang keluar rumah dengan berpakaian yang boleh merangsangkan atau memakai baju yang nipis yang dapat melihat auratnya, maka kesemua itu adalah tergolonng dalam bersolek yang diharamkan oleh Alla SWT dan Rasulullah SAW. Dosa-dosa besar yang sering dilakukan oleh wanita-wanita hari ini ialah keluar rumah dengan berhias yang menjadi kemurkaan Allah SWT dan akan membawanya kepada seksaan allah yang sangat pedih. 

•Dalil-dalil tentang haramnya bersolek. 

Al Quran dan Al Hadith kedua-duanya merupakan sumber pokok untuk menentukan hukum syarak sesuatu perkara. Di dalam Al Quran dan juga hadis terdapat larangan dan haramnya bersolek dan disertai pula dengan ancaman seksa yang sangat pedih, ini kerana terdapat banyak fitnah dan bahaya. Firman Allah yang bermaksud :  “Dan hendaklah kamu tetap dirumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu. ” (Surah Al-Ahzab ayat 33)  

Maksud ayat diatas adalah menganjurkan para wanita-wanita supaya tetap tinggal dirumah, tidak boleh keluar tanpa ada hajat yang penting, kerana yang demikian itu lebih selamat dan terpelihara dan lebih terjamin (dari fitnah dan sebagainya).   

Sabda Rasulullah yang bermaksud :  “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka bila dia keluar dari rumahnya maka syaitan sentiasa menunggu-nunggunya. ” (Hadis riwayat Tarmizi)  

Kesimpulannya, wanita bila keluar rumah dengan perhisan yang kompleks seperti memakai pakaian-pakaian yang mendedahkan aurat, memakai perhiasan yang boleh mendatangkan fitnah dan bahaya ianya mempunyai aura yang negatif yang tidak diingini dalam Islam. Umpamanya dia akan diganggu oleh lelaki-lelaki yang berhidung belang yang mungkin dapat menjerumuskannya kedalam kejahatan atau maksiat.    

HAK WANITA UNTUK BEKERJA 
Sikap Islam yang mewajibkan nafkah terhadap bapa untuk puterinya (anak perempuan), saudara lelaki untuk saudara perempuannya dan suami terhadap isterinya. Itu, agar wanita tidak perlu lagi mencari pekerjaan untuk membiayai dirinya dan juga untuka memelihara kehormatannya serta menjauhkannya dari bergaul dengan orang-orang yang menyimpang dari landasan syariat. Suatu hal yang sangat penting, wanita harus mencurahkan semua waktunya untuk mengatur rumah dan mendidik anak serta menciptakan kebahagiaan untuk suami dan keluarganya sekiranya sudah berumah tangga. 

Disamping Islam menjaga kehormatan dan martabat wanita, ia juga tidak membebankan kepadanya untuk membiayai dirinya sendiri. Tetapi hal itu diwajibkan kepada bapa dan saudara lelaki sebelum wanita itu berkahwin dan setelah berkahwin hal itu diwajibkan kepada suaminya. Wanita bukannya dilarang untuk bekerja tetapi apabila situasi menghendakinya bekerja, wanita diharuskan bekerja tetapi dengan syarat tidak boleh melampaui batas-batas yang telah ditetapkan dalam syariat Islam. 

•Syarat wanita yang bekerja di luar rumah. 

Syarat-syarat seorang wanita untuk bekerja yang pertama adalah pekerjaannya harus masyru' (sesuai syariat). Maksudnya, tidak boleh melakukan pekerjaan yang tidak sesuai dengan syariat Islam seperti menjadi penari ditempat-tempat hiburan, bekerja dikelab malam. Pekerjaan itu diharamkan bukan sahaja untuk wanita bahkan juga untuk kaum lelaki. Ada juga pekerjaan yang tidak boleh bagi wanita iaitu menjadi pembantu kepada lelaki yang belum berkahwin. Alasan untuk larangan tersebut adalah kerana takut berlakunya maksiat. 

Kedua ialah pekerjaannya harus mengikut aturan syariat yang bermaksud apabila wanita pergi bekerja, dia harus berpegang pada adab-adab yang disyariatkan seperti menundukkan pandangan. Firman Allah SWT yang bermaksud :   “Katakanlah kepada wanita-wanita mukmin yang “hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya... ” (Surah Al-Nur ayat 31)  

Ketiga ialah mengenakan pakaian yang sesuai dengan syariat iaitu menutup aurat. Masalah ini tidak perlu diragukan lagi. Menurut jumhur ulama', pakaian yang sesuai dengan syariat adalah menutupi seluruh tubuhnya kecuali wajah dan kedua tapak tangannya. Leher dan rambutnya juga adalah aurat dihadapan lelaki yang ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut hingga hujung tapak kaki dalah aurat bagi wanita dan wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman allah SWT yang bermaksud :  “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah menunjukkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhisan tubuh mereka melainkan terhadap suami mereka, terhadap bapa atau bapa mertua mereka, dan kepada anak-anak atau anak-anak tiri mereka, atau terhadap saudara-saudara mereka, atau terhadap anak-anak lelaki saudara mereka atau anak-anak perempuan saudara mereka atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.  (Surah An-Nur ayat 31) 

•Sebab-sebab wanita tidak patut bekerja. 

Wanita wajib baginya memakai hijab menurut syariat Islam sebagaimana yang kita semua telah ketahui. Wanita adalah haram baginya membuka wajahnya yang dapat   menimbulkan fitnah, sedangkan membuka wajah sudah menjadi kebiasaan bagi wanita yang bekerja. Selain itu, wanita adalah haram baginya bergaul dan bercampur dengan lelaki yang bukan mahramnya. Wanita sepatutnya sibuk menguruskan rumah tangganya dan juga tanggungjawabnya harus diutamakan terhadap anak-anak dan suaminya.   

Dengan pelbagai pertimbangan yang kita ketahui, maka tidak ada alasan untuk menyuruh wanita bekerja diluar rumah. Oleh itu, bapa atau suamilah yang harus menanggung segala keperluan wanita. Bapa dan sumi akan ditanya di akhirrat nanti tentang tanggungjawabnya. Firman Allah SWT yang bermaksud :  “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihi sebahagian mereka (lelaki) atas yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. ”  

•Batas-batas pekerjaan wanita.   
Had kawasan pekerjaan bagi wanita adalah dirumahnya, sememangnya wanita itu tercipta untuk menguruskan rumah tangga dan keluarga. Kalau suaminya itu orang yang harus mempunyai harta, maka isteri adalah orang yang harus menjaga harta suaminya dan membelanjakan harta itu untuk kepentingan rumah tangganya. Sabda Rasulullah yang bermaksud :  “wanita adalah sebagai pengurus rumah tangga suaminya dan ia akan ditanya tentang hal yang diuruskannya itu. ”  

Wanita yang paling dekat dengan Allah SWT adalah wanita yang tetap tinggal dirumahnya, mencari keredhaan allah SWT dengan beribadah kepadaNya dan mentaati suami. Khalifah Ali RA berkata yang bermaksud :    “Apakah tidak merasa malu kamu semua, apakah tidak merasa tertipu kamu semua, kamu membiarkan perempuan-perempuan keluar rumah diantara lelaki, dia melihat kepada lelaki dan lelaki melihat padanya.   

PERANAN WANITA DALAM ISLAM 
Dalam kehidupan kita dianugerahkan akal dan fikiran, mendambakan terwujudnya keadilan yang sempurna sehingga banyak sekali kaum wanita sekarang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinngi, baik dalam ilmu agama ataupun dalam segi yang lain. Kita perlu sedar yang sebenarnya wanita banyak terkenal dalam sejarah Islam yang telah mengambil kepeloporan dalam berbagai-bagai bidang kehidupan. 

Pada zaman sekarang, banyak wanita telah mencapai suatu tingkat kehidupan yang tinggi. Di antaranya ada yang menjadi perdana menteri yang duduk di dalam pemerintahan negara dan mereka berkuasa seperti berkuasa dalam kehidupan rumah tangga sendiri, bahkan kaum wanita itu cermat dan berani sekali mengambil sikap-sikap politik dan tidak menghiraukan akibat dan risiko yang bakal mereka tanggung. 

Kalau kita llihat, perkembangan wanita-wanita di negara-negara Islam sekarang ini, kita akui bahawa ramai umat Islam tidak ketinggalan dan terus berusaha agar wanita menjadi lebih maju. Kemajuan disini beerti kemajuan yang dituntut dalam syariat Islam yang maha suci lagi adil. Kita harapkan kaum wanita dapat sama-sama memperhatikan dan memikirkan sehingga dapat memberikan jalan keluar bagi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam tetapi tetap berpegang pada garis-garis agama Islam(syariat). 

Wanita dalah guru dan rumah tangganya adalah sekolahnya yang akan menghasilkan kesatria-kesatria yang cerdik dan pandai dan dapat memimpin dimasa akan datang kerana wanita banyak berada dirumah untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya serta membimbing anak-anaknya ke jalan yang benar dan lurus dan diredhai oleh Allah SWT serta menyediakan keperluan suami dan anak-anaknya. 

Seperti apa yang kita ketahui, dunia merupakan harta benda yang diantaranya adalah wanita yang solehah, yang berbudi luhur dan yang harus diberi pendidikan agama untuk mengangkat darjat wanita itu sendiri demi kehormatan bangsa dan agamanya. Wanita yang   berakal sihat adalah wanita yang sentiasa bersama-sama suaminya memikul beban sertatanggungjawab dan sentiasa bersama-sama suami dan keluarganya tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang. Wanita adalah manusia yang lemah lembut yang bertugas sebagai ketua dan pengawal rumah tangga, menjadi ibu dan pendidik kepada anak-anak. Seorang perempuan atau isteri tidak boleh memberikan beban kepada suaminya lebih daripada batas kemampuan suaminya dan tidak boleh meminta sesuatu yang suaminya tidak mampu untuk tunaikan.  

PENUTUP
Secara kesimpulanya, apa yang dapat saya simpulkan daripada kerja kursus ini ialah selepas kedatangan Islam, banyak perspektif masyarakat luar terhadap kaum wanita brubah. Islam memuliakan wanita sebagai anak, ibu dan sebagai saudara perempuan. Wanita sebelum kedatangan Islam tidak dapat menikmati hak mereka sendiri dan tidak mendapat keadilan yang sepatutnya dari masyarakat sekeliling. Sebagai wanita muslimah, kita hendaklah mempunyai akhlak dan peribadi yang mulia dan terpuji seperti berakhlak mulia kepada Allah, Rasulullah, orang tua ataupun ibu bapa dan berakhlak terhadap diri sendiri. Selain daripada memiliki akhlak yang terpuji, kita juga hendaklah menghindari akhlak yang tercela dan buruk. Hukum bersolek bagi kaum wanita adalah haram sama sekali menurut Al Quran dan hadis kerana keseluruhan tubuh badan wanita merupakan aurat. Wanita juga tidak digalakkan untuk bekerja diluar rumah kerana boleh mendatangkan pelbagai fitnah. Wanita ditegaskan untuk berada dirumah. Peranan wanita dalam Islam ialah sentiasa memastikan kebahagiaan rumah tangganya, mendidik anak-anak dan membimbing mereka kejalan yang lurus dan benar dan membantu suami memikul beban dan tanggungjawab bersama-sama tidak kira susah mahupun senang. 

RUJUKAN

  1. Hanafiah binti Uthman (2001). 50 Wasiat Rasulullah SAW untuk Wanita. Penerbitan Pustaka Syuhada : Kuala Lumpur. 
  2. Haya binti Mubarok Al-Barik (2001). Ensiklopedia Wanita Muslimah. Penerbitan Jiwa Sdn. Bhd : Kuala Lumpur. 
  3. Ny. Hadijah Shaleh (1989). Hak dan Kewajipan Wanita Dalam Islam. Penerbitan HUSAINI : Bandung, Indonesia. 
  4. Sa’id Muhammad Al-Jandul (1988). Wanita Dibawah Naungan Islam. Penerbitan Pustaka Al-Hidayah : Jakarta, Indonesia. 
  5. Shahidah Nafishah Az’Zahra (2012). Persoalan Wanita. Penerbitan Mulia Terang Sdn. Bhd : Kuala Lumpur. 
  6. Yusuf Qardhawi (2003). Bicara Soal Wanita. Penerbitan Mizan Media Utama(MMV) : Bandung, Indonesia. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 6/02/2015