Antara Hak-Hak Wanita Islam

Disediakan Untuk
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh
Nurul ‘Ain Rusydiah Bt Mohd Rodzi
2014664392
PENDAHULUAN

Wanita adalah golongan istimewa dan memainkan peranan yang besar dalam masyarakat. Wanita berkebolehan untuk melaksanakan dua kerja dalam satu masa seperti memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan juga sebagai seorang pekerja. Wanita juga mempunyai peranan yang amat besar di dalam keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa wanita, kehidupan seharian tidak dapat dilaksanakan seperti sedia kala. Hal ini kerana, wanita merupakan penyambung generasi akan datang dan wanita juga memainkan peranan yang berbeza hdengan kaum adam. 

Wanita dari segi biologi merupakan perbezaan hakiki dengan kaum lelaki. Perkara ini dapat dijelaskan dalam teori dimana perbezaan antara wanita dan lelaki terjurus kepada sifat jasmani dan rohani. 

Perkara utama didalam kerja kursus ini ialah untuk menerangkan beberapa hak wanita Islam di muka bumi ini. Antara hak-hak wanita Islam yang saya tampilkan didalam kerja kursus daya ialah hak politik, hak dalam menuntut ilmu, hak keatas harta warisan dan hak dalam memmilih bakal suami. 

Hak politik menerangkan kedudukan wanita dalam mentadbir negara. Hak ini juga membincangkan mengenai jawatan yang boleh disandang oleh kaum wanita dan juga jawatan yang tidak boleh dijawat oleh mereka. Selain itu, hak ini membincangkan mengenai kebebasan dalam menyuarakan pendapat bagi kaum wanita. 

Seterusnya ialah hak dalam menuntut ilmu. Hak ini menerangkan kepentingan ilmu terhadap semua umat Islam termasuk kaum wanita sendiri. Selain itu, hak inijuga membincangkan persamaan taraf antara kaum lelaki dan kaum perempuan dalam menuntut ilmu. 

Didalam hak keatas harta warisan pula, ditekankan bahawa kaum wanita juga mempunyai hak keatas harta peninggalan sama ada dari suami mahupun bapa mereka. Perkara ini juga membincangkan bahagian-bahagian kaum wanita terhadap harta peninggalan sama ada sebagai seorang isteri ataupun sebagai seorang anak perempuan. 

Tambahannya, hak wanita dalam memilih bakal suami. Hak ini akan menerangkan bahawa setiap perempuan mahupun seorang janda berhak dalam memilih bakal suami mereka. Mereka tidak boleh dipaksa oleh sesiapapun termasuk wali perkahwinan mereka. 

Akhir sekali, hak mahar (mas kahwin). Di dalam hak ini akan membincangkan mengenai hak wanita keatas mahar yang diberikan oleh pihak pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Hak ini juga menekankan bahawa taida siapa yang berhak keatas mahar itu melainkan pengantin perempuan itu sendiri. 
HAK POLITIK

Islam adalah agama yang diredhai Allah SWT untuk umat manusia. Sebuah agama di mana kaum wanita mewakili satu daripada dua bahagian kemanusiaan. Islam mengakui pentingnya peranan kaum wanita dalam kehidupan masyarakat dan impaknya pada kehidupan politik kita. Oleh kerana itu, kaum wanita telah diberikan hak-hak politik yang mencerminkan status mereka yang bermartabat, terhormat dan mulia dalam Islam. (FATIMA, 2003)

Definisi hak politik ialah memberikan hak kepada warga negara untuk ikut serta dalam menjamin keamanan negara sama ada secara langsung seperti mendaftar untuk pilihan raya mahupun secara tidak lansung seperti menghadiri majlis-majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh menteri dalam negara. (ACHMAD, 1985)

Hak politik bermaksud hak memilih dan dipilih, serta hak menjalankan tugas-tugas umum tanpa ada perbezaan kaum mahupun jantina, seperti yang dicetuskan di dalam deklarasi dan undang-undang yang dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Disember 1952. 
('ALI, 1984)

Dimanakah posisi kaum wanita dalam segi “hak politik” ini? Para ulama telah bersepakat mencapai persetujuan bahawasanya kaum wanita tidak boleh menjawat jawatan sebagai “Pemimpin Besar” atau dalam erti kata lain “Khalifah” dalam sesebuah negara. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan ada bahagia bagi suatu kaum yang urusannya diserahkan kepada perempuan” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Hal ini demikan kerana, tugas pemerintahan ini memerlukan seseorang wanita itu bercampur dengan kaum lelaki, berdekatan dan bergaul dengan kaum lelaki, berdua-duaan ditempat yang sunyi mahupun untuk bermesyuarat dan hal ini sudah jelas telah diharamkan oleh agama. ('ALI, 1984)

Dalam segi lain pula, sesetengah ahli fiqh berpendapat bahawakaum wanita tidak boleh menjadi Perdana Menteri kerana boleh mendatangkan kelemahandan kerosakan kepada negara manakala sesetengahnya pula berpendapat bahawa kaum wanita tidak boleh menjadi hakim kerana bidang ini memerlukan pandangan fikiran yang sempurna dan tidak terpengaruh dengan perasaan sedangkan kaum wanita bersifat emosional yang menjadi sifat semulajadi seseorang manusia yang bergelar wanita. ('ALI, 1984)

Sebahagian daripada ulama moden, berpendapat bahawa wanita boleh menjawat semua jawatan kecuali khalifa atau pemimpin negara. Pendapat ini terhasil kerana mereka telah mengkaji mengenai hak politik kaum wanita dengan berpandukan kepada keterangan didalam Al Quran dan hadis yang menetapkan persamaan hak antara lelaki dan perempuan dalam menjawat jawatan dalam negara kecuali nas-nas tertentu yang menghalang kaum wanita untuk menjawat jawatan sebagai seorang khalifa. (ACHMAD, 1985)

Sesetengah daripada meraka berpandapat bahawa masalah “hak politik” bagi kaum wanita bukanlah merupakan masalah yang sulit. Masalah ini merujuk kepada dasar persamaan hak, tetapi ketinggalan kerana tempat dan keadaan. Hal ini kerana, istilah “hak poitik” masih belum wujud semasa kurun pertama Islam. Maka orang yang membolehkan kaum wanita berkecimpung dalam bidang politik ialah orang yang melihat bahawa berpolitik ini termasuk dalam kategori atau amar ma’ruf nahi mungkar atau amal perbuatan atau kekuasaan tertentu didalam hukum walaupun ba’iat kaum wanita tidak menangkup amar ma’ruf nahi mungkar sebagai salah satu rukun. (ACHMAD, 1985)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran. ” (At-Taubah: 71)  

Ayat ini turun setelah bai’iat kaum wanita. Walaupun kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar bagi kaum wanita berbeza dengan kewajipan bagi kaum lelaki kerana kaum wanita tidak diwajibkan utnuk berjihad dan berperang namun diwajibkan bagi mereka untuk meminta izin ayah ataupun suami mereka untuk keluar dari rumah. ('ALI, 1984)

Selain itu, kebebasan dalam menyampaikan pendapat juga terdapat dalam hak politik kaum wanita. Saling bertukar pendapat adalah prinsip yang sangat penting dalam Islam. Metodologi yang disusun oleh Islam untuk menciptakan sebuah bangsa yang berhasil ini mengajak setiap umatnya untuk saling menasihati dan bermusyawarah antara satu sama lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan (bagi) orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka; dan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. ” (Asy-Syura: 38) (FATIMA, 2003)   

Maksud “sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka” ialah mereka tidak mengeluarkan kata sepakat apa pun mengenai persoalan-persoalan seperti perang atau persoalan-persoalan yang penting kalau tidak melalui musyawarah terlebih dahulu dan saling memberi nasihat antara satu sama lain. (FATIMA, 2003)

Umat Islam disuruh menyelesaikan segala urusan mereka dengan bermusyawarah, maka semua umatnya sama ada lelaki mahupun perempaun wajib menyampaikan pendapat mereka jika mereka merasakan bahawa dengan melakukan perkara sebegini dapat menyampaikan nasihat yang berharga dan bijaksana untuk kepentingan umat dan juga mengikut prinsip amar ma’ruf nahi mungkar. (FATIMA, 2003)

Kesimpulannya ialah, penyertaan kaum wanita dalam berbagai segi kehidupan dalam berbagai segi kehidupan, baik sosial mahupun politik bukan hanya sekadar “hak” mereka, tetapi juga kerana kewajipan mereka ketika melihat penguasa telah terkeluar dari landasan agama, dari nilai-nilai dan batas-batas kebenaran (makruf) atau ketika mereka melihat sebahagian rakyatnya yang tertindas. Sebab, hakikat daripada “politik” bagi mereka ialah menggesa, mengkritk dan memberi nasihat yang terkandung dalam pengertian amar ma’ruf nahi mungkar. Kewajipan utama dari setiap Muslim mahupun Muslimat ialah mengadakan kebaikan dalam hidup masyarakat menurut batas-batas hukum dan kebebasan yang diperintahkan oleh Allah SWT sama ada dengan tata cara keluar rumah, pakaian, pergaulan, sikap dan tindak tanduknya secara syara’. ('ALI, 1984)
HAK MENUNTUT ILMU
Di dalam Islam, ilmu pengetahuan keagamaan itu wajib hukumnya untuk setiap umat Islam tak kira lelaki dan juga perempuan. Oleh itu, ilmu pengetahuan secara umumnya sangat dijunjung tinggi dan dihormati dalam Islam. Maka tidak hairanlah kalau para ulama diberi penghormatan yang tinggi dan dipuji-puji didalam ayat-ayat al Quran. Penghormatan yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan dan terhadap mereka yang memilikinya nampak jelas di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat. ” (Al-Mujadilah: 11) (FATIMA, 2003)  

Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap umat Islam bagi lelaki mahupun perempuan”  

Hadis diatas telah menjelaskan bahawa Islam mewajibkan semua umat Islam baik lelaki mahupun perempuan untuk menuntut ilmu kerana dengan ilmu pengetahuan, kita dapat mencapai kemajuan. Hadis itu juga menunjukkan bahawa disamping seseorang wanita itu menjalankan kewajipannya dalam beribadat dan mentaati perintah Allah dan tidak menderhakai perintah suaminya yang benar, mereka juga diwajibkan untuk mencari ilmu pengetahuan. Ini adalah salah satu usaha Islam dalam menjadikan kaum wanita manusia yang bijak pandai. Tiada perbezaan dalam kewajipan menuntut ilmu antara kaum lelaki dan kaum perempuan kecuali kadar kemampuan dan kesanggupan seseorang itu untuk menuntut ilmu pengetahuan. (ACHMAD, 1985)

Muslimah yang berjiwa sensitif selalu menjaga mindanya seperti juga dia menjaga tubuhnya kerana minda tidak kurang pentingnya kepada tubuh. Pada masa dahulu, penyair Zuhair bin Abi Sulma berkata: “Lidah seseorang itu adalah separuh daripada dirinya, dan yang separuh lagi ialah hatinya; yang tinggal hanyalah daging dan darah”  

Ini bermakna bahawa seseorang itu adalah hasil daripada lidah dan hatinya, dengan kata lain, dia berfikir dan berbuat sesuatu mengikut kata hati dan lidah. Jelaslah bahawa mengisi minda dengan pelbagai ilmu yang bermanfaat itu sangat penting. (DR MUHAMMAD, 2009)

Perkara ini hanya disedari oleh kaum lelaki Islam akhir-akhir tahun 1980-an. Hal ini juga disebabkan oleh kaum wanita yang lambat menunjukkan minat dalam bidang pelajaran. Mereka bersemangat dengan melihat perempuan muda dari agama lain menghadiri sekolah dan universiti. Mereka juga mendapat inspirasi apabila mereka melihat kaum wanita dari agama lain bekerja didalam pejabat. Maka ilmu duniawi semakin berkembang dari hari ke hari, terima kasih kepada khidmat radio dan televisyen. Mereka juga menyedari bahawa ilmu pelajaran penting jika mereka mahu menjalankan urusan dibank atau membeli barang dipasar atau membaca penunjuk arah didalam bas. (MALLADI, 1988)

Maka, kaum wanita Islam yang telah membangunkan minat mereka dalam pelajaran sudah sedia dan sanggup untuk mengajar anak-anak mereka. Walaupun perubahan ini hanya dilakukan oleh segelintir kecil sahaja kaum wanita Islam tetapi perubahan ini perubahan yang digalakkan. Tetapi pelajaran dan perjalanan wanita Islam masih jauh lagi berbanding wanita agama lain. (MALLADI, 1988)

Wanita Muslimah itu tahu bahawa perintah dari al Quran dan as-Sunnah diarahkan sama ada lelaki dan wanita wajib menuntut pelbagai bentuk ilmu yang wajib ke atas setiap individu dan masyarakat (fardhu ‘ain dan fardhu kifayah) agar mempelajarinya dari masa ke masa sehingga kewajipan ini diketahui oleh semua masyarakat Islam. (DR MUHAMMAD, 2009)

Bagi lelaki yang ingin berkahwin tetapi tidak mampu untuk membayar mas kahwin kepada pihak perempuan, maka lelaki tersebut diwajibkan untuk membayar mas kahwinnya dengan mas kahwin yang merupakan jasa iaitu jasa untuk memberikan pelajaran agama kepada isterinya. Sabda Rasulullah SAW kepada lelaki yang tidak berkemampuan bayar mas kahwin kepada pihak perempuan yang bermaksud: “Berikanlah apapun walaupun hanya cincin dari besi” Calon suami itu pun menjawab bahawa cincin besi pun tidak mampu dimilikinya. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Kukahwinkan kamu dengan apa yang kamu hafal dari ayat-ayat Al Quran. Maka ajarilah isterimu!” ('ALI, 1984)   

Hal ini menerangkan adanya hak ilmu, kepentingan dan nilainya kepada kaum wanita. Sejarah juga ada menerangkan ramai kaum wanita yang menghafal al Quran, pandai ilmu agama serta meriwayatkan hadis-hadis Nabi. Dalam sabda Rasulullah SAW mengenai Aisyah yang bermaksud:
“Ambillah separuh dari agamamu, dari Aisyah si himar betina ini”

Hak menuntut ilmu ini tidak terbatas pada ilmu agama sahaja tetapi meliputi segala jenis ilmu pengetahuan yang terdapat dimuka bumi ini untuk menurut keperluan hidup dan kehidupan. ('ALI, 1984)

Rasulullah SAW sangat menggalakkan untuk mengajari dan mendidik kaum wanita sehinggakan bagi mereka yang berkongsi ilmu dengan kaum wanita dijanjikan pahala yang berlipat ganda di akhirat. Baginda juga berkata:
“Barangsiapa memiliki seorang budak wanita, kemudian dia mengajar dan mendidiknya dengan baik dan dia merdekakannya lalu menikahinya, maka dia akan memperolehi pahala dua kali ganda”

Rasulullah SAW juga ada berkata bahawa pahala mengajar dan mendidik sama dengan memerdekakan iaitu – suatu amal yang mendapat dorongan jauh lebih banyak lantaran nilai kebebasan yang dicapai. (RIDHA, 1987)
HAK KEATAS HARTA PENINGGALAN

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bagi kaum lelaki ada hak bahagian dari harta warisan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi kaum wanita ada pula bahagian atau harta peninggalan orang tua dan kerabat, sedikit ataupun banyak mengikut bahagian yang telah ditetapkan” (An-Nisa: 7) 

Ayat diatas diturunkan kerana pada zaman Jahiliyyah harta peninggalan (harta warisan) hanya dikhususkan kepada kaum dan anak-anak lelaki sahaja manakala kaum wanita dan anak-anak perempuan tidak diberikan hak untuk menerima harta peninggalan itu. (ACHMAD, 1985)

Pada zaman Jahiliyyah dahulu, kaum wanita dijadikan sebagai harta warisan dan tidak ubah seperti barang dagangan apabila bapa atau suami wanita tersebut sudah meninggal dunia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita dengan memaksa mereka dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya” (An-Nisa: 19) ('ALI, 1984)    

Dalam surah yang sama, ayat 10, 12 dan 116, Allah menjelaskan hak warisan lelaki berdasarkan prinsip “bahagian lelaki dua kali ganda daripada bahagian kaum wanita”. Dibawah ini diberikan beberapa contoh seperti berikut: (1)Waris: 1 anak lelaki dan 1 anak perempuan, maka harta warisan terbahagi kepada 3 bahagian.  

(a)2 bahagian kepada anak lelaki.  
(b)1 bahagian kepada anak perempuan. 

(2)Waris: 2 anak lelaki dan 1 anak perempuan, maka harta warisan terbahagi kepada 5 bahagian. 
(a)4 bahagian kepada anak-anak lelaki, iaitu 2 bahagian seorang. 
(b)1 bahagian kepada anak perempuan. 

(3)Waris: 1 anak lelaki dan 2 anak perempuan, maka harta warisan terbahagi kepada 4 bahagian. 
(a)2 bahagian kepada anak lelaki. 
(b)2 bahagian kepada anak perempuan, iaitu 1 bahagian seorang. (ACHMAD, 1985)

Jika si mati tiada anak lelaki maka anak perempuan waris akan mendapat separuh daripada harta warisan tersebut. Jika pewaris mempunyai 2 orang atau lebih anak perempuan, mereka akan mendapat dua per tiga harta tersebut. Kita ambil salah satu kes dimana seorang lelaki Islam meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Maka satu per lapan akan diberikan kepada isterinya, lebihan tujuh per lapan harta warisan tersebut akan dibahagikan kepada anak lelaki dan anak perempuannya seperti yang telah dinyatakan diatas. (MALLADI, 1988)

Hal ini kerana kaum lelaki wajib memberikan nafkah kepada kaum wanita iaitu isterinya. Oleh itu, boleh dikatakan bahagian kaum wanita sama banyak dengan bahagian kaum lelaki bahkan mungkin lebih banyak. Sesuai dengan kedudukan mereka dalam peringkat ahli waris. (RIDHA, 1987)

Harta peninggalan yang diberikan kepada kaum lelaki haruslah diberikan juga kepada isterinya tanpa mengira keturunan isteri jika sudah berkahwin dan jika lelaki itu juga sudah mempunyai anak, dia haruslah memberikan nafkah. Sebaliknya kepada kaum wanita yang sudah berkahwin, maka dia berhak keatas mas kahwin dan nafkah dari suaminya. Oleh yang demikian, harta kaum wanita terdiri daripada mas kahwin, nafkah dari suami dan harta peninggalan daripada suami atau bapa. (RIDHA, 1987)

HAK DALAM MEMILIH BAKAL SUAMI

Islam telah memuliakan martabat kaum wanita dan memberikan kebebasan pada mereka untuk menentukan pilihan, menegakkan hak-hak mereka dan yang paling penting memberikan mereka hak untuk memilih suami. Kerana itu, setiap perempuan diberikan hak untuk menolak atau menrima lamaran. Pada zaman dahulu, kaum wanita biasanya diperjualbelikan kepada calon suami seperti barang dagangan. Mereka tidak diajak berbincang ataupun diberitahu bahawa mereka telah atau akan dinikahkan. (FATIMA, 2003)

Ibu bapa tidak berhak untuk memaksa anak perempuan mereka untuk bernikah dengan orang yang tidak disukainya. Wanita Muslimah tahu tentang hak ini, tetapi tidak menolak nasihat dan petunjuk dari ibu bapanya ketika hendak memilih calon suami yang sesuai, kerana ibu bapa sangat menyayangi anak-anak, pengalaman mereka pula banyak dan pergaulan mereka lebih luas. Tetapi jika ibu bapa ingin memilihkan pasangan hidup yang tidak disukainya, maka dia boleh menolak kerana dia berhak menentukannya. (DR MUHAMMAD, 2009)

Islam tidak mahu meletakkan beban ke atas wanita dengan memaksa mereka berkahwin dengan lelaki yang dibenci, kerana Islam mahu agar perkahwinan itu berjaya, berasaskan keserasian di antara pasangan maka harus ada asas yang baik di antara mereka dari segi rupa paras, sikap, perangai, kecenderungan dan kesukaan. Jika ada sesuatu yang tidak kena, dan wanita itu merasa bahawa dia tidak dapat mencintai suaminya dengan ikhlas, khuatir dia melakukan dosa kerana khianat dan melawan suami yang tidak dicintai, maka dia boleh meminta cerai. (DR MUHAMMAD, 2009)

Tetapi, meskipun Islam telah menekankan dengan jelas, masih banyak kaum bapa yang memaksa anak perempuannya untuk berkahwin dengan orang yang mereka tidak sukai. Kejadian ini bukan sahaja terjadi di daerah-daerah kampung malah terjadi juga di daerah Bandar. Jika seorang perempuan muda memprotes dan membela hak-hak alamiahnya, maka ia sering dituduh kurang ajar, tidak patuh dan tidak menghormati tradisi serta adat istiadat yang berlaku. Memaksa seorang perempuan untuk berkahwin tanpa persetujuan darinya adalah melanggar hukum Islam dan melanggar ajaran Rasulullah SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: “Seorang janda tidak boleh dikahwinkan tanpa diajak berbincang dahulu; dan seorang gadis tidak boleh dikahwinkan tanpa meminta persetujuannya terlebih dahulu. ” (FATIMA, 2003)
HAK MAHAR (MAS KAHWIN)

Mahar adalah hak kewangan bagi perempuan. Mahar diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan pada saat menikah. Di zaman Jahilliyah, hak ini dipaksa dari pihak perempuan dengan cara yang berbeza. Si ayah atau wali biasa membuat perkahwinan sebagai satu transaksi, di mana mahar merupakan harga bagi seorang perempuan muda. Dia kaan menjual anak gadisnya kepada sesiapa sahaja yang dia suka selagi dia boleh dapat memperoleh harga yang dia inginkan. Alternatif lainya ialah syighar. Syighar adalah perkahwinan di mana mereka menukarkan anak perempuan atau saudara perempuan tanpa mahar kerana setiap perempuan dianggap sebagai mahar dari pihak lain. Pada dasarnya ini adalah transaksi dimana lelaki sebagai pemenang dan perempuan sebagai hadiah kepada pemenang, dan jenis pernikahan ini dihapuskan oleh Islam tanpa syarat. (FATIMA, 2003)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan” (An-Nisa: 4) 

Ayat ini menunjukkan keharusan memberi mahar kepada wanita. Hal ini telah menjadi kesepakatan dan tidak ada perbezaan pendapat mengenai itu, kecuali apa yang diriwayatkan dari sebahagian ulama dari penduduk Iraq, bahawa jika seorang majikan menikahkan seorang budak lelaki dengan budak perempuannya, maka dia tidak wajib memberikan mahar dalam pernikahan itu. Dan tidak ada kewajipan didalamnya. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah diatas. Sehinggalah hal ini bersifat umum. Maka Allah SWT ada berfirman yang bermaksud:  “… Kerana itu kahwinilah mereka dengan seizin tuan mereka dan berilah mas kahwin menurut yang patut” (An-Nisa: 26)

Ayat diatas menekankan bahawa yang pasti, seorang lelaki wajib membayar mahar kepada bakal isterinya. Ketika memberikan mahar tersebut, dia haruslah memberikannya secra suka rela dan jiwa yang baik. Jika isterinya menerima dengan baik setelah penyebutan mahar tersebut, maka dia boleh memakannya secara halal dan baik. (SALAMAH, 2005)

Islam telah menegakkan tujuan-tujuan yang luhur dan mulia untuk pernikahan antara dua orang manusia. Islam juga menetapkan mahar sebagai hak eksklusif perempuan. Mahar adalah hak kewangan yang sah dan tidak boleh dilanggar oleh sesiapapun. (FATIMA, 2003)

Zaman sekarang sudah menjadi kecenderungan para ayahatau wali dari pengantin perempuan untuk mengambil maharnya dan membelanjakannya untuk perlengkapan pengantin perempuan atau barang rumahtangga lain, bahkan membeli perabot rumah yang baru untuk rumah pengantin perempuan. Menurut hukum Islam, tindakan ini salah kerana pengeluaran semacam ini aldalah tugas suami dan mahar adalah khas diperuntukan bagi pengantin perempuan. Ini adalah hak Ilahiah yang dijamin dan diberikan kepada semua perempuan oleh Allah SWT. (FATIMA, 2003)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seorang diantara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali sedikit pun daripadanya. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil kembali, padahal kamu telah bergaul satu sama lain (sebagai suami-isteri). Dan mereka (isteri-istermu) telah mengambil perjanjian yang kuat melalui (ikatan pernikahan) dari kamu. ” (An-Nisa: 20-21) 

Ayat diatas menjelaskan bahawa bekas suami tidak boleh meminta balik mas kahwin walaupun sebahagian daripadanya jika mereka sudah bersetubuh atau berdua-duaan dalam satu bilik walaupun tidak bersetubuh atau berbaring atas satu tempat yang sama walaupun tidak bersetubuh. Tetapi, jika suami isteri belum bersetubuh, tidak berdua-duan dalam bilik dan tidak berbaring atas satu tempat yang sama, maka si suami boleh meminta separuh daripada mas kahwin yang telah diberikan kepada isterinya. (ACHMAD, 1985)

Rasulullah SAW tidak mengizinkan perkahwinan tanpa mahar. Sesungguhnya, ilmu lebih penting dan lebih berharga daripada wang dan dengan mengajar isteri, maka si suami boleh menggantikan sejumlah yang yang harus dia bayar sebagai mahar dengan mengajar isterinya ilmu pengetahuan seperti yang saya telah nyatakan dalam hak dalam menuntut ilmu. (FATIMA, 2003)

Oleh itu, tidak ada batasan jumlah mahar di dalam Islam. Kita belajar dari kebiasaan para sahabat Rasulullah SAW yang membayar mahar dengan apa yang mereka mampu. (FATIMA, 2003)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Takutlah kalian kepada Allah dan leyanlah isterimu dengan baik. Mereka telah diamanatkan oleh Allah kepadamu dan telah dihalalkan bagimu melalui firman Allah” Hadis diatas adalah untuk mereka yang menganggap mahar ini adalah harga bagi seorang pengantin perempuan atau jaminan yang dibayar kepada ayah pengantin perempuan atau sebuah transaksi yang menjadikan seorang perempuan halal bagi suaminya. (FATIMA, 2003)  

Kesimpulannya, mahar adalah hak yang menghormati kaum perempuan dan melambangkan komitmen suami untuk menyayangi dan menjaga isterinya sepanjang perkahwinan mereka. 
PENUTUP

Disini saya ingin mengatakan kepada mereka diluar sana agar menghargai semua kaum wanita dimuka bumi ini tidak kiralah sama ada ibu, kakak, ibu saudara, adik perempuan, kakak saudara dan ramai lagi selagi seseorang manusia itu bergelar wanita. 

Kita juga janganlah mengabaikan hak-hak kaum wanita dengan melebihkan hak kaum lelaki sahaja didalam semua perkara. Saya mengaku bahawa di dalam sesetangah hal kita akan melebihkan hak kaum lelaki tetapi kita janganlah pula terus tidak memberi peluang kepada kaum wanita untuk mempertahankan hak mereka yang telah diberi oleh Allah SWT dan juga baginda Rasulullah SAW. 

Kepada kaum wanita pula janganlah berlebihan dalam mempertahankan hak sebagai wanita Islam. Kita haruslah sentiasa berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara itu kerana walauapapun yang kita lakukan kita harus mendapat persetujuan daripada bapa kita dan jika seseorang wanita itu sudah berkahwin, haruslah dia meminta kebenaran daripada suaminya sebelum membuat sesuatu dalam kehidupannya. Perkara ini termasuk juga jika seseorang wanita itu ingin bekerja, berkahwin bagi yang belum berkahwin mahupun bergelar janda ataupun keluar rumah. 

Kesimpulannya, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab kita haruslah bersama-sama mempertahankan hak wanita Islam walau dimana kita berada. Tetapi kita haruslah berjaga-jaga juga kerana perkara ini juga boleh membawa kaum wanita kepada arah kemungkaran. Dan sebagai pembimbing, kaum lelaki haruslah memimbing kaum wanita kearah yang lebih baik dan tidak mendiskriminasikan hak-hak wanita dengan mengamal sifat amar ma’ruf nahi mungkar. 

Rujukan
  1. Achmad, Achmad Masruch Nasucha. Kaum Wanita Dalam Pembelaan Islam. Indonesia: Cv. Toha Putra Semarang, 1985. 
  2. 'Ali, Muhammad 'Ali Quthub. Bai'at Kaum Wanita Terhadap Rasulullah. Surabaya: Pt Bina Ilmu, 1984. 
  3. Dr Muhammad, Dr Muhammad Ali Hasyimi. Keperibadian Seorang Muslimah Dari Al Quran Dan Al-Sunnah. Johor Bahru: Bin Halabi Press, 2009. 
  4. Fatima, Fatima Umar Nasif. Hak & Kewajipan Perempuan Dalam Islam. Jakarta: Cv. Cendikia Sentra Muslim, 2003. 
  5. Malladi, Malladi Subbamma. Islam And Women. India: Sterling Publishers Private Limited, 1988. 
  6. Ridha, Muhammad Rasyid Ridha. Panggilan Islam Terhadap Wanita. Selangor: Thinker's Library Sdn Bhd, 1987. 




Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 6/02/2015