Galakan Perkahwinan

Disediakan Untuk
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh
Izzati Husna Binti Sabri
2014665236

PENDAHULUAN
Isu berpasangan atau istilah anak muda sekarang, iaitu ber’couple’ seolah-olah kini sudah menjadi trend ataupun keperluan remaja walhal amalan itu sedikit pun tidak mendatangkan faedah dan manfaat lumayan di dunia mahupun akhirat kepada kita sebagai manusia, apatah lagi jika digelar Islam.  

Tidak salah untuk memiliki rasa cinta, kerana itu lumrah. Namun, jika tidak diuruskan dengan wahyu, ia sekelip mata bertukar menjadi fitnah. Maka, kita haruslah mengurus percintaan dengan bijak untuk mendapat kesejahteraan hidup dan yang paling utamanya, adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Tidak salah juga untuk kita mempunyai rasa cinta terhadap seseorang, misalnya cinta terhadap Rasulullah SAW atau pada ibu bapa kita dan ingatlah, bertaut cinta pada Yang Abadi tidak akan pernah mengecewakan. 

Persoalannya, adakah kita bijak menguruskan rasa cinta yang merupakan satu anugerah terindah yang Allah beri kepada kita dengan sebaik-baiknya? Bermanfaatkah setiap perilaku kita dalam kehidupan seharian kita? Jawapannya, pasti ada dalam detik muhasabah diri. 

Dewasa kini, mengapakah kebanyakkan manusia seolah-olah tidak dapat hidup tanpa cinta seseorang yang dicintai? Dikatakan bahawa remaja seawal umur yang masih bertadika sudah pun mengerti dan berpacaran, apatah lagi yang lagi bertambah umurnya. Bercinta ini seperti ubat yang jika pengambilannya secara tidak terkawal, maka akan ketagih. Hal ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya, peranan ibu bapa sangatlah penting dalam mencorak kain putih kehidupan anak-anak dalam mendidik dan mencurahkan kasih saying anak-anak untuk berbahagia di dunia dan akhirat. 

Oleh yang demikian, saya akan menyediakan petikan-petikan artikel tentang pencerahan mengurangkan isu ber’couple’ dalam kalangan remaja kerana sudah terang lagi bersuluh, bercinta tanpa ada tujuan untuk bernikah hanya membuang masa yang kita miliki Cuma sementara di alam dunia ini. Tambahann pula, terbukti bahawa ramai sahaja manusia Berjaya walaupun tanpa ber’couple’ bahkan tanpa berkahwin seperti Imam An-Nawawi. 

Sesungguhnya, di akhirat kelak, firman Allah yang bermaksud, ‘’Maka bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka di dalam taman(syurga) dan bergembira. ’’ (Al-Rum 30:15). 

Kesimpulannya, remaja sekarang tidak perlu merasa cemburu sekiranya tidak mempunyai pacar, malahan sepatutnya berasa beruntung kerana kita dipermudahkan di jalan percintaan bersama Pencipta untuk sepanjang hayat kita. Usahlah menjadi manusia yang bagai lembu dicucuk hidungnya kerana terlalu mengikut amalan bebas barat seperti bercinta sebelum nikah yang keterlaluan pada seseorang yang hanya mengundang kemungkaran Allah SWT. Saya petik ayat pedoman dari seorang novelis terkemuka, Fatimah Syarha binti Mohd Noordin iaitu;

‘’Setiap yang bertunang ataupun yang ada perasaan sebelum nikah ini sedang berdusta, sedang tidak menjadi dirinya yang sebenar. Kalau kamu bercouple, berkawan-kawan 20 tahun sekalipun, kamu takkan kenal dia, yang kamu kenal adalah lakonannya. Buang masa sahaja kalau kita nak kenal dulu sebelum nikah, sebab kita hanya kenal seorang pacar, bukan seorang suami. Sebab masa berkasih, yang kita cari cumalah keindahan dan keseronokan. Masa berkahwin, kita kenal kelemahan dan kebaikan dia, kita cuba bantu tingkatkan potensinya dan kalau kita berpacaran, bercouple sebelum nikah ini, syaitan akan jadikan itu satu modal penting untuk rosakkan alam rumahtangga kita nanti kerana masalah yang kita undang, kita tidak setia dengan tidak mengambil Allah sebagai cinnta nombor satu, maka cinta itu akan lenyap. ’’

GALAKAN PERKAHWINAN
1. 1PERKAHWINAN
Definisi;

Menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. 
Menurut istilah syarak ialah ijab dan qabul yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan. 

Pada ayat kedua Surah Al-Ankabut, Allah bertanya kepada manusia yang telah mengaku beriman dengan mengucapkan kalimah syahadah bahawa apakah mereka akan dibiarkan begitu sahaja mengakui keimanan tersebut tanpa terlebih dahulu diuji? Tidak, malah setiap orang beriman harus diuji terlebih dahulu, sehingga boleh diketahui sampai di manakah mereka sabar dan tahan menerima ujian tersebut. Ujian yang mesti mereka tempuh itu pelbagai cara, umpamanya mengendalikan mengendalikan syahwat. Cabaran itu dimaksudkan untuk menguji siapakah di antara mereka yang bersungguh-sungguh beriman dengan ikhlas dan siapa pula yang berjiwa munafik.  (Al Quran al-Karim ar-Raudhah, 2013) 

Maka, sebagaimana yang dianjurkan oleh hadis Nabi, ‘’Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling mencintai kecuali pernikahan. ’’ (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim).  (Fatimah Syarha, 2012) 

Sebagai pencerahan, cara terbaik untuk seseorang yang beriman ataupun tidak dalam menguruskan syahwatnya dengan bijak adalah dengan bernikah. Malah dengan pernikahan juga merupakan satu bonus tertinggi dalam kehidupan ini bagi satu pasangan itu untuk menempah tiket ke syurga hanya dengan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Mudahnya mengumpul pahala dalam perkahwinan.  Tetapi, janganlah semberono mudah memilih pasangan hidup sebelum mengujinya dahulu. Dalam konteks ini, bukanlah menguji setinggi mana IQ seseorang itu dalam meraih bergulung sijil pendidikan hingga ke taraf PhD. Bahkan bukan dalam menguji kejantanannya dalam kejaguhan mengangkat bebanan dumbbell seberat 200kg dan bukan pula semata-mata menguji kearifan seseorang wanita dalam menyediakan masakan yang pelbagai. Inilah masanya untuk bermuhasabah diri dalam meraih perkahwinan yang membawa ke syurga berlandaskan cinta yang ‘high class’. Maka, bercintalah dengan seseorang itu kerana agamanya kerana kecantikan agamalah yang akan kekal dan tidak luntur oleh peredaran masa.  

Benar kata-kata seorang penulis, Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Tentang Cinta, ‘’Mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk badan. Tetapi hati tentulah menilai pada akhlak dan budi pekerti. ’’ (Fatimah Syarha, 2012) 

Untukmu wanita yang solehah; ‘’Asal seorang lelaki itu ialah akalnya. Kemuliannya ialah pada kekuatan agamanya dan maruah dirinya ialah pada kemuliaan akhlaknya. ’’ (Al-Mawardi, Kitab Adab al-Dunya wa al-Deen).  (Fatimah Syarha, 2012) 

Untukmu jejaka yang soleh; Sabda Rasulullah SAW, ‘’Barangsiapa diberi kurnia isteri yang solehah oleh Allah SWT, maka sesungguhnya Allah telah menolongnya atas separuh agamanya, maka bertakwalah (untuk melengkapi) yang separuh lagi. ’’ (Hadis Riwayat al-Hakim).  (Ramawan, 2011) 

Hukum perkahwinan dalam Islam ada lima, iaitu yang pertamanya boleh jadi wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menyebabkan jatuh ke lembah maksiat dan seterusnya zina sedangkan dia mampu menyediakan mahar, nafkah dan hak-hak perkahwinan yang lain. Seterusnya, perkahwinan menjadi sunat apabila seseorang itu berhajat untuk bernikah tetapi berupaya mengawal nafsunya dan mampu menyediakan hak-hak perkahwinan. Tambahan pula, sunat merupakan hokum asal perkahwinan. Harus dalam menunaikan perkahwinan bagi seseorang yang mampu dan aman dari fitnah, tetapi tidak berhajat. Selain itu, makruh berkahwin bagi seseorang itu jika tidak mampu atau tidak berminat terhadap wanita dan menyebabkan menzalimi perempuan. Akhir sekali, haram perkahwinan itu bagi seseorang yang tidak berkemampuan untuk memberi nafkah batin dan zahir dan mempunyai niat yang tidak baik terhadap bakal isteri.  (Ramawan, 2011) 

Namun, adakah kita sedar bahawa hukum perkahwinan terhadap diri kita sebenarnya bergantung pada keimanan kita. Dari Ibn Masúd r. a., sabda Nabi SAW, mafhumnya, ‘’Wahai pemuda, barangsiapa yang telah MAMPU untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin kerana kahwin itu lebih berupaya menundukkan pandangan dan lebih upaya memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang BELUM MAMPU berkahwin, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu laksana perisai bagi dirinya. ’’ (Bukhari, Kitabun Nikah; Muslim; kitabun Nikah) (Dr. Farhan Hadi, 2012) 

Sebagai konklusinya, berdasarkan ayat suci al Quran dalam Surah al-Rum 30:21, menjelaskan bahawa tujuan terjalinnya hubungan perkahwinan bagi mendapat ketenangan jiwa, ketenteraman Allah, ketenangan hidup dan kebahagiaan hati sanubari. Kerana itu, Allah SWT menyebut pernikahan dengan bahasa yang halus, iaitu ketenangan, saling cinta dan sayang, supaya manusia mengetahui hikmah yang ada di sebalik penciptaan mereka dalam dua jenis. Perkara ini disesuaikan dengan keperluan fitrah manusia, baik keperluan nafsu, akal, mahupun jasadnya, yang hanya akan dipenuhi melalui perkahwinan. Oleh itu, Allah SWT menjelaskan bahawa tujuan pernikahan iaitu untuk suami isteri mencari ketenangan, kecintaan dan kasih sayang.  (Al Quran al-Karim ar-Raudhah, 2013) 

1. 2FIKRAH
Islam bersifat syumul. Setiap larangan yang tidak membenarkan penganutnya mengamalkan larangan tersebut pasti bersebab. Misalnya, pengharaman berzina. 
--Mengapa zina diharamkan?
Nah! Ambil peluang ini bermuhasabah diri. Tanyakan pada diri sendiri, adakah kita berzina?
--zina mata?
--zina mulut?
--zina hati?
Adakah kita bermaksiat?
--berdua-duaan?
--membuang masa?
--membohongi ibu bapa?

Sedar tidak sedar, era kini, fokusnya di negara kita, jarang sekali untuk menjumpai seseorang yang tidak mempunyai pacar, tidak bercinta sebelum nikah. Majoritinya, Islam ataupun tidak, ramai yang ber’couple’, bercinta sebelum nikah. Biarpun mereka yang bercouple itu berkekalan cintanya hingga ke jinjang pelamin. 

Sebenarnya perasaan bercinta ini membangun diri dan mendorong seseorang untuk membina hubungan antara lelaki dan perempuan. Akan tetapi, manusia mesti ingat bahawa hanya Allah SWT yang menciptakan pasangan mereka daripada jenis mereka sendiri dan menciptakan perasaan terhadap pasangannya. Cinta adalah kurniaan Tuhan yang sangat menakjubkan sehingga fenomena bercinta ini dianggap biasa dalam kalingan remaja pada masa ini kerana mereka beranggapan ianya satu cara untuk mengurangkan stress dan sumber inspirasi. 

Lumrah bercinta ini mempengaruhi iman kita sebenarnya kerana cinta itu penawar, cinta itu jugalah racun! Bercinta boleh menyebabkan lupa diri dan paling kemuncaknya, kita akan menderhakai kedua-dua ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta yang tidak direstui. Ingatlah, marahnya ibu bapa bukan kerana benci tetapi sudah semestinya untuk kesenangan kita. Mana mungkin ada ibu bapa yang inginkan zuriat yang sia-sia dilahirkan. Mudah terjerumus dengan dosa. 

Cinta pada usia terlalu muda merupakan suatu perkara yang sia-sia dan tidak member kebaikan kepada seseorang pelajar sebaliknya menyebabkan mereka mudah terjebak ke kancah maksiat. Hal ini kerana, sepasangan it uakan bergaul atau berinteraksi dengan bebas kononnya, untuk membuktikan tanda sayang dan cinta sebenar. Akan tetapi sebenarnya, mereka yang menagih pada cinta manusia sebelum nikah, tibanya masa yang sesuai, adalah kerana terburu nafsu yang termasuk gejala memenangkan sentiment dan emosi atas logik, ilmu dan perencanaan. Seseorang terburu nafsu tidak akan sabar dan berfikir tenang. Ia ingin menanam sekarang dan menuai esok. Malah ia ingin menanam pagi dan memetik petang harinya. Ini bertentangan dengan hukum Alah dalam alam raya ini yang sudah diterima oleh seluruh umat manusia. Segala sesuatu yang ada berjalan sesuai dengan ketentuan yang telah digariskan dan diproses menurut lazimnya Allah SWT menciptakan alam raya ini dalam masa enam hari, padahal Dia Maha Kuat utnuk hanya mengatakan ‘’Kun’’, jadilah, maka jadilah dia seperti apa yang yang dikehendaki-Nya. Tetapi Allah juga mengajar kita berfikir dan bertindak dengan cermat.   (Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, 1998) 

Bercinta sebelum nikah, penyakit yang sering menjangkiti seluruh umat kita di antara rentetan sentimen suka bertindak berlebih-lebihan dan di luar hukum. Penyakit ini telah menulari pergerakan Islam, sehingga bersikap berlebih-lebihan memuji diri sendiri, berlebih-lebihan dalam pelbagai kegiatan seperti mengagumi selain Allah dan Rasul, bercinta sehingga merangsang diri.  (Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, 1998) 

Umat kita dewasa kini kecuali yang dirahmati Allah, tidak menyuruh orang berbuat makruf dan nahi mungkar, malah perasaan dan pertimbangannya sudah tidak stabil lagi. Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan Maha Besar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud; ‘’Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereke sendiri. ’’(al-Hasyr:19) Fokusnya, salahkah bercinta sebelum nikah? 

Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara, Allah tidak berfirman pada hamba-hambaNya dalam al Quran untuk jangan berzina malahan Dia menyuruh kita untuk jangan mendekati zina.  ‘’Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang snagat keji dan satu jalan yang buruk. ’’(al-Israa’:32). Firman itu menjelaskan, usahkan melakukan zina, mendekatinya juga adalah dilarang keras. Apa jua jalan-jalan yang menjerumus kepada titik permulaan zina amat ditegah Islam. Maka, inilah kepentingan ikhtilat.    

1. 3GALAKAN PERKAHWINAN  
‘’Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling mencintai kecuali pernikahan. ’’ (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim)

‘’Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agama nescaya beruntung kedua-dua tanganmu. ’’ (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Pentingnya perkahwinan kepada manusia sama ada secara individu, masyarakat dan negara, bukan sahaja digalakkan dalam Islam, malah memberikan perhatian serius agar perkahwinan dilaksanakan ke arah mengukuhkan masyarakatdan negara umat Islam dari pelbagai aspek. Dari segi perspektif Islam, yang pertama, perkahwinan adalah sunnah Nabi SAW dan juga para rasul. Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya; ‘’Empat perkara yang termasuk dalam sunnah para rasul ialah pemalu, suka berharum-haruman, bersiwak dan bernikah. ’’ (Riwayat Ahmad dan Tarmizi).  (Ramawan, 2011) 

Kedua, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘’Kahwinilah perempuan yang banyak keturunannya(ramai anak) lagi dicintai, kerana sesungguhnya aku akan bermegah-megah dengan ramainya umatku di hari kiamat kelak. ’’ (Riwayat Ahamad dan Ibnu Hibban). Doa anak-anak soleh dan solehah amat penting untuk kita di alam kubur nanti. Bukankah keceriaan anak-anak akan memeriahkan lagi alam rumahtangga dan mengeratkan lagi dua belah keluarga isteri dan suami. Ingatlah, Allah pasti mengabulkan permintaan yang baik dari hamba-hambaNya dan Dia merasa malu tidak tunaikan permintaan hamba-hambaNya yang soleh.  (Ramawan, 2011) Ketiga, perkahwinan digalakkan adalah kerana Rasulullah SAW tidak menyukai sesiapa yang tidak berkahwin tanpa sebarang halangan yang diterima syarak. Tetapi, Imam an-Nawawi tidak berkahwin sepanjang hayatnya kerana menuntut ilmu.  

Keempat, perkahwinan digalakkan kerana seseorang lelaki yang mencari nafkah utnuk anak isteri adalah sangat besar pahalanya di sisi Allah SWT. Seorang lelaki juga yang merupakan pembela dan ketua keluarga berpeluang mendidik generasinya dalam ketegasan mencurahkan kasih sayang berlandaskan segala ilmu yang membimbing keluarga untuk meraih kebahagiaan dunia dan akhirat. Seorang bapa juga berpeluang emas untuk melumaskan empayar dakwah terhadap keluarganya. Lihatlah, betapa mudahnya untuk mendekatkan diri dengan Pencipta melalui perkahwinan.  

Kelima, perkahwinan menyempurnakan iman seseorang. Anas bin Malik r. a. berkata, telah bersabda Rasulullah SAW dengan mafhumnya; ‘’Barangsiapa bernikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi. ’’ (Riwayat Thabrani dan Hakim). Menurut pendapat, seseorang yang berkahwin itu bukan sahaja mampu menyempurnakan iman dalam dirinya, bahkan ahli keluarga dan generasinya serta kaum kerabat. Allah SWT sudahpun memberi hidayah dalam perjalanan menuju ke syurganya, maka jangan lepaskan peluang terhebat ini. Kejarlah cinta Allah dengan mengamalkan apa yang disuruh-Nya dan tinggalkan laranganNya.  (Ramawan, 2011) 

Akhir sekali, perkahwinan menunaikan tuntutan syahwat secara halal, iaitu ibadat di sisi Allah SWT. Bukankah berzina itu berdosa besar kerana mengundang penyakit berbahaya dan menyebabkan keruntuhan rumahtangga di samping menjatuhkan maruah diri, keluarga dan agama. Oleh itu, berkahwinlah kerana yang halal itu indah, nikmat dari Yang Maha Esa. Selain itu, dengan berkahwin juga mampu menghalang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang ajnabi. Dengan berkahwin juga dapat membina akhlak suami isteri untuk saling toleransi.  (Ramawan, 2011) 

Tambahan pula, bukankah sudah dijelaskan bahawa Allah SWT menjelaskan bahawa tujuan pernikahan iaitu untuk suami isteri mencari ketenangan, kecintaan dan kasih sayang. Dan benarlah firman Allah SWT, bermaksud: ‘’Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya, yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum berfikir. ’’ (al-Rum 30:21) (Al Quran al-Karim ar-Raudhah, 2013) 

Sebagai konklusinya, Islam itu amatlah mudah, tetapi jangan pula dipermudahkan. Isteri yang taat iaitu isteri yang mengetahui kewajipannya dalam agama, dalam perkara ini menyedari sepenuh hati betapa pentingnya mematuhi suami. Isteri harus sentiasa mentaati suaminya dalam perkara-perkara yang bermanfaat hingga menciptakan rasa sejahtera dan kasih sayang dalam keluarga, terutamanya dalam mendidik anak-anak bersama-sama. Sebalik itu, Islam pun telah memberikan hak kepada seorang wanita yang harus dipenuhi oleh suaminya. Selain itu, Islam memerintahkan suami untuk menghormati isteri dan memberikan kehidupan yang selayaknya baginya sehingga isterinya pun patuh dan cinta kepadanya.  

Biar sekalipun Islam menggalakkan perkahwinan, tetapi, Rasulullah tidak pernah memadukan Khadijah sepanjang hayat Khadijah.  

1. 4 MENAWARKAN CINTA TANPA NODA
i. Kemanisan Cinta Allah SWT
Dalam Islam, ada perkara yang baik dan perkara yang terbaik. Balasan atau larangan-larangan yang Islam gariskan banyak kebaikannya. Perlaksanaan hukum mestilah mengambil kira hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia untuk mendapat impak yang lebih hebat, di dunia dan akhirat. Lumrah manusia ada baik dan buruknya. Akal dan nafsunya sering bercakaran. Allah sendiri sudah pun memberitahu kita, ‘’Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. ’’ (An-Nisa 4:28) 

Dalam Islam, ada perkara yang baik dan perkara yang terbaik. Sudah semestinya kita mahu menjadi yang terbaik dan mendapatkan juga yang terbaik. Namun, pernahkan kita bermuhasabah diri, cukup baikkah diri kita untuk menjadi lebih baik dan mendapatkan sesuatu yang terbaik. Terbaik dalam konteks ini, bukanlah bererti setakat menolong orang buta melintas jalan ataupun sekadar memberikan segala-galanya, baik wang mahupun jiwa raga kepada pasangan kita demi membuktikan masing-masing adalah yang terbaik. Namun, yang paling terbaik ialah memuliakan cinta Allah SWT, mengagungkan nikmat kebesaran Allah, menjaga kesetiaan dalam bercinta dengan-Nya dan menjadikannya nombor satu dalam hidup. Sedar tidak sedar, ramai orang yang memulai cara bercinta yang dikhuatirkan berbahaya dan syubhat dengan cara yang tidak benar dan adil. Seharusnya, kita sebagai umat Islam, meningkatkan mutu ciri-ciri unggul dalam diri kita dalam membentuk masyarakat yang kita idamkan.  

Untuk mendapatkan yang terbaik, kita mestilah menjadi yang terbaik. Firman Allah SWT, ‘’Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. ’’ (An-Nur 24:26) Benar kiasan yang mampu merubah keimanan seseorang untuk semakin bertambah; oleh Fatimah Syarha, ‘’Semakin besar cinta diletakkan pada Allah, semakin kecil nilai cinta manusia. Cinta manusia bukan untuk diperkecilkan. Namun, tidak untuk terlalu didamba-dambakan. ’’ Maka, jelaslah perjalannya sebelum berjaya mendapatkan yang terbaik, kita seharusnya berusaha mempersiapkan diri. Biar sama-sama jadi soleh dan solehah, berbahagia dunia dan berseronok di akhirat. Mari kita teliti dan mengulas poin-poin yang boleh kita amalkan sebagai bukti cinta terhadap Allah dan Rasul kerana mencintai-Nya dan baginda adalah yang terbaik dalam hidup.  

i. Untuk segala perubahan, ke arah kebaikan, muhasabah diri amatlah penting untuk kita mengesan lopak dalam kehidupan yang mengotori keimanan kita. Amalkan setiap hari sebelum lenanya tidur dan memohonlah kepada Allah agar hari yang mendatang membawa hikmah.  

ii. Berdoalah kerana Allah membenci manusia yang bongkak tidak mahu berdoa kepada-Nya. Sebagai manusia yang imannya sangat lemah, berdoalah agar diteguhkan iman dan diperkasakan diri untuk beramal ibadah agar tidak mudah dipengaruhi anasir-anasir yang datang daripada syaitan. Juga berdoalah agar sentiasa dikurniakan hidayah agar dapat menunaikan amal ibadat secara istiqamah kerana dalam hidup ini kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Tambahan pula, berdoa merupakan cara untuk kita berhubung dengan Allah.  iii. Malangnya, masyarakat kita sekarang lebih gemar ‘topup’ kredit telefon berbanding ‘topup’ amalan-amalan dan berhubung dengan-Nya.  

Kenapa membazir masa ber’dating’ atau berdua-duaan ketika bercouple, kerana yang ketiga ada syaitan sedangkan masa itu lebih berkat jika ‘dating’ dengan Allah iaitu dengan bangun solat malam.  Kenapa pacar ‘call’, kita gembira dan terus mengangkat, sedangkan ketika Allah ‘call’ kita dengan seruan azan, kita tidak terus tunaikan solat.  

Kenapa bazirkan banyak masa untuk bergosip, mengumpat dan bergaul bebas melalui mesej ringkas atau aplikasi sosial (contoh; Whatsapp), sedangkan berdoa selepas solat pun tiada masa, membaca teks mesej lagha sepanjang sungai Nil, sedangkan Al Quran pun tak dipandang.  

iv. Patutkah kita, solat tetapi sia-sia? Ada segelintir yang solat dengan laju sepantas kilat seolah-olah tidak ikhlas, seperti hanya untuk dibanggakan, utnuk dipertontokan?.. atau sekadar untuk orang tahu bahawa kita solat? Awas! Carilah kemanisan iman, keredhaan Allah dalam ibadat. Ketika berpuasa sunat, jagalah iman, jagalah mulut. Turut sama dengan ibadat-ibadat yang lain. Poinnya, ikhlaslah ketika beribadat.  

v. Yang paling penting, menjaga ikhtilat, iaitu pergaulan lelaki dan perempuan. Tetapi wahai wanita, nak jaga ikhtilat, lebih indah jika kita jaga aurat dengan sempurna. Tidak bercampur kecuali dasar urusan seperti spesifikasi dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi: 

a. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing kecuali kerana kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi seperti solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan.  

b. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian.  

c. Berasa malu dan berpakaian sopan.  

d. Berhati-hati mengatur langkah dan pertuturan.  

e. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.  

f. Mengelakkan diri daripada berkhalwat.  (Fatimah Syarha, 2012, p. 488) 

ii. Istikharah dan Perbincangan 

Jika sesuatu keputusan yang besar perlu dibuat, maka istikharahlah. Konteks ini berkait rapat dengan perhubungan antara ibu bapa dan anak. Keakraban dalam ukhwah fillah antara keluarga amatlah penting untuk menghasilkan perbincangan dan buah pemikiran. Sekiranya kita sudah pun jatuh cinta pada orang yang tepat mengikut syariat, setelah menguji keimunan dan kelebihan yang boleh si dia sumbangkan ketika hidup bersama-sama, hendaklah kita utamakan wali, iaitu waris yang membesarkan kita dan si dia.  

Bersedialah dengan tanggapan-tanggapan mendatang dan sentiasalah berfikiran positif kerana wali yang soleh tidak akan sesekali berdampak pada hal-hal yang tidak terpuji. Rasulullah bersabda, ‘’Cukuplah seseorang itu berdosa apabila ia menyia-nyiakan orang menjadi tanggungannya. ’’ (Riwayat Ahmad, Abu Dawud. Al-Hakim berkata bahawa sanad hadis ini sahih. ) Tetapi jangan lupa bahawa petunjuk Allah adalah yang paling tinggi dan terbaik.  

Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa petunjuk istikharah itu mungkin datang dalam bentuk mimpi, ilham, ketenangan dan sebagainya. Ada juga ulama yang berpendapat bahawa istikharah dan mimpi tiada kaitan seperti Imam as-Sya’rawi. Katanya, mimpi adalah mainan tidur dan ia boleh dipengaruhi oleh banyak faktor termasuklah kecenderungan kita sendiri. Petunjuk yang diberikan berupa ketenangan hati, ilham dan dimudahkan urusan tanpa faktor mimpi. Sabda Rasulullah SAW; ‘’Mimpi ada tiga jenis; mimpi yang dating daripada Allah, mimpi yang berpunca daripada dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan. ’’ (Riwayat Muslim) (Dr. Farhan Hadi, 2012) 

Merujuk kata-kata Prof Syeikh Dr Yusufal-Qaradhawi, dipetik daripada buku Wanita Dalam Fikh al-Qaradhawi: ‘’Pernikahan yang baik itu ialah pernikahan yang tiada halangan daripada kedua-dua pihak, keluarga, undang-undang dan adat. ’’ Inilah pernikahan yang high class. Sudah tentu impaknya berbeza dengan pernikahan yang dipaksa, tidak direstui ibu bapa, lari dari proses undang-undang seperti bernikah di Siam. Maka tidak hairanlah kalau Allah memerintahkan kepada Rasul-Nya dan kepada kaum mukminin, agar bersabar dan tidak terburu nafsu seperti dalam surah al-Ahqaf: 35.  

iii. Ilmu Rumahtangga dan Pengisian dalam Pembentukan Fikrah.  
Allah SWT menjanjikan dua jenis kegembiraan bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan, iaitu kegembiraan semasa berbuka dan juga kegembiraan apabila menemui Allah SWT kelak. Begitu juga kegembiraan bagi mereka yang berpuasa syahwat, tentu sekali akan dikurniakan kegembiraan semasa berbuka puasa selepas berkahwin dan juga ketika menemui Allah SWT di akhirat kelak. Apabila meletakkan Allah SWT sebagai pengawas kehidupan, persepsi terhadap cinta bukan persepsi orang kebanyakan. Jika mengambil nafsu sebagai Tuhan, jadilah cinta ingin bermaksiat sentiasa.  

Memiliki nafsu bukan untuk disesali. Nafsu untuk diuruskan bukan untuk diturutkan tanpa sempadan. Suatu amanah agar taatkan Allah. ‘’Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ’’ (Yusuf 12:53) (Dr. Farhan Hadi, 2012) 

Pesan Saidina Umar r. a., ‘’Dalamilah ilmu agama sebelum kalian menjadi pemimpin. ’’ Konklusinya, detik-detik percintaan sebelum nikah, bukankah lebih afdal dan manis untuk diisikan dengan detik-detik menuntut ilmu kerana menuntut ilmu adalah kewajipan kaum lelaki dan perempuan. Diantara tokoh perempuan yang menguasai ilmu iaitu anak perempuan Said bin Al-Musayyab, seorang ulama terkemuka. Dia berani menolak mengahwinkan anak perempuannya dengan salah seorang anak Amirul Mukminin, Abdul Malik binMarwan, yang berkuasa ketika itu. Bahkan Said mengahwinkan anak perempuannya dengan salah seorang muridnya yang bernama Abdullah bin Wada’ah. Lelaki itu dipilihnya bukan kerana keturunan, jawatan atau kekayaan, melainkan kerana kesolehannya. Selepas berkahwin dengan anak perempuan Said, Abdullah menemui isterinya yang ternyata mempunyai rupa paras yang sangat cantik, menghafal dan memahami al Quran dan sunnah Rasulullah SAW dan mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri.  

Ketika pagi telah tiba, Abdullah hendak keluar dari biliknya. Lalu isterinya bertanya, ‘’Mahu ke mana, wahai suamiku? Lalu Abdullah menjawab, ‘’Aku mahu mengikuti majlis ilmu yang diajar oleh ayahmu. Aku berhasrat belajar dan menyerap ilmu daripada beliau. ’’ Lantas isterinya berkata, ‘’Duduklah, aku akan mengajarkan ilmu ayahku kepadamu. ’’ Abdullah pun belajar selama sebulan dari isterinya, tidak Said. Seperti itulah seharusnya para perempuan, gemar menuntut ilmu sebagai bekalan hidupnya agar berbahagia di dunia dan akhirat.  (Al Quran al-Karim ar-Raudhah, 2013) 

Dikemukakan faktor utama kebangkitan umat Islam dalam menuntut ilmu; 
1. Pengajian bahasa al Quran. 
2. Beberapa aspek penting yang mempunyai kaitan rapat dengan melaksanakan kewajipan agama seperti ilmu falak, ilmu matematik, kebersihan dan kesihatan. 
3. Ajaran dan bimbingan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menggesa umat supaya menuntut ilmu dan membuat pengkajian. 
4. Kewajipan mendapatkan ilmu-ilmu lain yang bukan daripada sumber Islam utnuk dijadikan senjata bagi mempertahankan umat Islam. 
5. Pengalaman yang luas melalui hijrah, pengembaraan dan urusniaga. 
6. Suasana yang menggalakkan pemikiran bebas dan toleransi.  (Muhammad Said Ramadan al-Buti, 2004).  

Kewajipan mentaati suami tidak lain kerana tanggungjawab suami yang begitu besar. Suami iaitu pemimpin dalam rumahtangga dan bertanggungjawab menanggungnya. Di samping itu, suami harus mempunyai pandangan jauh ke depan dan berwawasan luas sehingga dapat mengetahui perkara-perkara yang tidak diketahui isteri berdasarkan pengalaman dan kepakatan dalam bidang tertentu.  

Isteri yang bijaksana, iaitu isteri yang mematuhi suaminya, melaksanakan perintahnya, serta mendengar dan menghormati pendapat dan nasihatnya dengan penuh perhatian. Jika melihat pendapat suaminya salah, dia berusaha utnuk membuka perbincangan dengan suaminya, lalu menyebutkan kesalahannya dengan lembut dan rendah hati. Sikap tenang dan lemah lembut dapat melembutkan hati seseorang.  

Daripada Abu Hurairah r. a., Nabi SAW bersabda, ‘’Seandainya aku boleh memerintah seseorang bersujud kepada orang lain, tentulah aku menyuruh seorang isteri bersujud kepada suaminya. ’’ (Hadis Riwayat Tarmizi).  (Fatimah Syarha, 2012) (Dr. Farhan Hadi, 2012) 

1. 5 PERANAN DIRI
Sebagai seorang Islam, besar peranannya dalam membentuk masyarakat mengikut syariat Islam. Bukan pula kita menyumbang pada gejala jenayah maksiat seperti membuang bayi setelah mengandungkan anak luar nikah. Kita seharusnya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Mencintai Allah sebelum mencintai makhlukNya kerana Dia-lah yang menciptakan kita. Dari Allah kita datang, dan kepada-Nyalah kita dikembalikan. Sesungguhnya, Allah lebih mencintai pemuda yang beribadat kepada-Nya berbanding seorang yang tua beribadat kepada-Nya.  

Kesabaran merupakan kemampuan seseorang untuk mengawal dirinya supaya tidak mengikut hawa nafsunya. Kesabaran hanya dimiliki oleh orang-orang yang mempunyai kemampuan dan kekuatan. Jika seseorang tidak mempunyai kemampuan dan kekuatan, dia tidak akan boleh bersabar. Ada banyak riwayat dan nas al Quran yang berkata tentang kesabaran dengan pelbagai macam bentuknya, seperti bersabar dengan mengawal diri supaya tidak mengikut segala hasrat hawa nafsu, bersabar ketika melaksanakan pelbagai perintah-Nya dan ketika meninggalkan pelbagai larangan-Nya, bersabar ketika berhadapan musibah dan bersabar terhadap takdir yang Allah tetapkan. Bahkan, ada satu pendapat mengatakan bahawa kesabaran iaitu salah satu faktor penyebab kemenangan dan kejayaan seseorang.  

Selagi hidup, kita takkan pernah terlambat untuk berubah, tetapi kita mungkin mati sekejap lagi. Awas! Jangan terbuai dengan fantasi. Firman Allah yang bermaksud ‘’Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. ’’ (Al-Zumar 39:53) Daripada Iman bin Hussain, ‘’Sesungguhnya ada seorang wanita daripada Juhainah datang menghadap Rasulullah SAW, wanita ini sedang mengandung bayi kerana perbuatan zinanya. Dia berkata, ‘’Wahai Nabi Allah, aku telah melakukan perbuatan keji, hukumlah aku. ’’ Kemudian Nabi SAW memanggil wali daripada perempuan ini. Nabi SAW berkata, ‘’Perlakukan wanita ini dengan baik. Apabila sudah melahirkan, bawalah dia kepadaku. ’’ Kemudian wali daripada wanita mengikut perintah Rasulullah SAW. Ketika sudah melahirkan, dia dihadapkan kepada Rasulullah, lalu baginda memerintahkan agar pakaian wanita itu diikat dengan ketat. Baginda pun menyuruh orang-orang untuk merejamnya. Kemudian Umar bertanya kepada Rasul, ‘’Apakah dia akan disembahyangkan, wahai Rasulullah, padahal dia telah berzina?’’ Maka Nabi SAW berkata, ‘’Sesungguhnya dia telah bertaubat. Seandainya taubatnya dibagikan kepada 70 penduduk Madinah, nescaya akan cukup untuk mereka. Apakah kamu pernah menemukan taubat yang lebih baik daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah SWT ini?’’ 

Dalam hadis itu, Rasul memerintah wali wanita itu untuk memperlakukannya dengan baik kerana dua alasan; pertama, kebimbangan baginda di atas kejayaan wanita itu kerana boleh jadi saudara dan kerabatnya memarahi dan menyakitinya kerana ingin bertaubat. Oleh itu, Rasul memerintahkan wali wanita itu untuk memperlakukannya dengan baik. Kedua, wanita itu sudah bertaubat sehingga mesti disayangi dan dilindungi agar tidak dicela orang dengan perkataan yang tidak baik.  

Perintah Nabi untuk mengetatkan pakaiannya bertujuan agar ketika pelaksanaan rejam, aurat wanita itu tidak terbuka. Mengikut jumhur ulama, jika yang direjam adalah lelaki, maka dia direjam sambil berdiri. Namun mengikut Malik, perkara itu diserahkan kepada hakim. Apabila yang direjam wanita, dia direjam sambil duduk berdasarkan kesepakatan ulama.  
PENUTUP
Kesimpulannya, daripada tajuk yang saya kaji ini, terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan utnuk mendapatkan keredhaan Allah SWT jika kita sentiasa mengamalkan perkara-perkara yang disukai-Nya. Wahai anak muda sekalian, berubahalah ke arah kebaikan. Ikhlaskan dirimu hidup hanya kerana Allah. Tidak perlu untuk kita terlalu menikmati keseronokan dunia, tetapi untuk mengubah cara hidup menjadi lebih baik, jangan menekan diri. Katakan, no couple before akad! 

RUJUKAN

  1. Farhan Hadi bin Mohd Taib, Dr. (2012).  Cintaku Kerana Agamamu.  KL; Penerbit Galeri Ilmu Sdn. Bhd..   
  2. Fatimah Syarha binti Mohd Noordin, (2012).  Cinta High Class.  KL; Penerbit Galeri Ilmu Sdn. Bhd.. 
  3. Ketua Editor; Ahmad Yani bin Abd Manaf, (2013).  Al Quran Al-Karim Ar-Raudhah.  Shah Alam; Karya Bestari Sdn. Bhd..   
  4. Muhammad Said Ramadan al-Buti, (2004).  Yayasan Islam Hadhari.  Putrajaya; Mashi Publication Sdn. Bhd..  
  5. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, (1998).  Di Mana Kerosakan Umat Islam Masa Kini?.  KL; Al-Hidayah Publishers.   
  6. Ramawan bin Ab. Rahman, (2011).  Pengantar Tamadun dan Sejarah Pemikiran Islam.  Shah Alam; Penerbitan Alambaca Sdn. Bhd..   


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 2/02/2015