Sejarah Kehidupan Nabi Muhammad SAW

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin. 

Disediakan Oleh : 
Nur Syafiqah Izzati Binti Ahmad. 
2014413456

PENDAHULUAN

Sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW. mempunyai banyak isi kandungannya tetapi disini ditulis secara ringkas sahaja. Pada peringkat pendahuluan, diceritakan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW.. Keadaan Nabi Muhammad SAW. sebelum dilantik menjadi rasul dan tingkah laku baginda yang terpelihara malah baik budi pekertinya sejak dari kecil. Apabila baginda diutus menjadi rasul, bermacam-macam dugaan, cabaran, penghinaan, dan kata-kata cacian oleh masyarakat yang mendustai kata-kata dakwah baginda. 
Penentangan kaum quraisy terhadap dakwah baginda adalah disebabkan oleh kepentingan diri, status, kedudukan dan kabilahnya. Malah kaum quraisy mengambil kesempatan atas kejadian isra’ dan mikraj untuk menfitnah Rasulullah SAW. dengan menyatakan bahawa baginda adalah seorang yang gila, berkata dusta dan mereka-reka cerita. Namun, tindakan mereka itu menyebabkan lebih ramai yang tertarik untuk mengenali gan mendengar sendiri cerita itu dari Rasulullah SAW.. 
Kesimpulannya, kaum quraisy tidak dapat menjumpai sebarang cacat cela keperibadian dan cara hidup Rasullah yang salah untuk menjatuhkan dakwah baginda. Malah segala tindak-tanduk dan cara kehidupan baginda dijadikan rujukan untuk kehidupan mereka setelah mereka mengetahui kebaikannya. 

KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW. 

Nabi Muhammad SAW. dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal (20 April 571M. ). Sebelum baginda dilahirkan, ayahnya Abdullah bin Abdul Muttalib telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang dari Syam untuk menemu isterinya, Aminah binti Wahab
Pada usia yang muda (6 tahun), baginda sekali lagi kehilangan orang tersayang iaitu ibunya, Aminah binti Wahab. Setelah kematian ibunya, baginda dijaga oleh datuknya Abdul Muttalib. Semasa baginda masih kecil, baginda disusui oleh Halimah as-Sa’diyah. 
Pada usia 12 tahun, baginda sekali lagi kehilangan orang yang tersayang iaitu datuknya. Baginda kemudiannya dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Baginda juga sering membantu Abu Talib menguruskan perniagaan, mengembala dan menjaga ternakan. 
Abu Talib merupakan saudara seibu sebapa dengan Abdullah justeru itulah beliau amat mengasihi Nabi Muhammad SAW. berbanding bapa saudara-bapa saudara baginda yang lain. baginda juga sering bersama Abu Talib pergi berniaga walaupun pada masa itu baginda belum mencapai usia remajanya. 
Sewaktu umur baginda 14 tahun terjadinya Peperangan Fijar keempat, antara kaum Quraisy dan kinanah di satu pihak, dengan Hawazin di pihak yang lain. Baginda turut sama menyaksikan peperangan tersebut. Peperangan itu terjadi pada bulan yang dilarang berperang (Zulqi’dah, Zulhijrah, Muharam dan Rejab) oleh bangsa Arab. Setelah 4 tahun, lamanya barulah peperangan itu tamat. 

NABI MUHAMMAD SAW. SEBELUM DILANTIK MENJADI RASUL. 

Salah satu usaha terpenting sebelum diutuskan menjadi Rasul ialah berniaga ke Syam membawa barang-barang perniagaan milik Khadijah binti Khuwailid. Baginda ditemani oleh hamba Khadijah iaitu Maisarah. Dalam perjalanan itu, perniagaan itu menghasilkan laba yang banyak dan terjadilah pertalian antara Nabi Muhammad dan Khadijah. 
Mereka kemudiannya berkahwin. Pada ketika itu, Muhammad berusia 25 tahun manakala Khadijah berusia 40 tahun. Sebelum Khadijah berkahwin dengan Muhammad, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali. 
Muhammad dikenali sebagai seorang yang berbudi pekerti yang baik dan tidak ada sesuatu yang dapat dituduh dengan ssuatu yang buruk ke atas baginda. Baginda juga tidak pernah meminum khamar, tidak pernah memuja berhala dan lain-lain yang digemari oleh bangsa Arab dewasa pada zaman itu. Dan disebabkan oleh keluhuran budi pekertinya, baginda diberi nama gelaran “al-Amin” (orang-orang yang dipercayai atau orang yang benar). 
Ketika berlaku pertengkaran di kalangan kabilah-kabilah Quraisy mengenai siapa yang layak meletakkan batu Hajaratul Aswad di tempat asalnya. Mereka bersetuju untuk menyerahkan kepada orang yang pertama memasuki Masjidil Haram melalui pintu Syaibah(salah satu pintu di Masjidil Haram). Setelah menanti beberapa ketika, masuklah seseorang lelaki melalui pintu itu. Lelaki tersebut adalah Nabi Muhammad SAW. dan mereka berkata “inilah dia al-Amin”. Mereka setuju supaya baginda yang menyelesaikan masalah itu. 
Tidak lama kemudiannya, baginda menyembah Allah menurut ajaran agama Nabi Ibrahim, yang banyak dianuti oleh bangsa Arab yang tidak menyukai penyembahan berhala. 

NABI MUHAMMAD SAW. DIUTUS MENJADI RASUL. 

Nabi Muhammad SAW. selalu mengasingkan diri di Gua hira’ dan memikirkan tentang alam dan Khaliqnya, tentang mati dan keadaan manusia sesudah mati itu dan lain-lain lagi. Dengan ketentuan Allah SWT. pada siang hari bulan yang mulia 17 Ramdhan pada tahun 609 Masihi, semasa baginda berada di dalam Gua Hira’ tibalah hari yang dijanjikan oleh Allah iaitu hari turunnya wahyu yang pertama. 
 Maka datanglah Malaikat Jibril pada waktu itu dengan membawa wahyu dari Allah SAW. dengan ayat al-‘Alaq yang mengandungi 5 ayat yang membawa maksud :
1. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan makhluk. 
2. Yang telah menjadikan manusia dari segumpal darah beku. 
3. Bacalah! Dan Tuhanmu yang amat pemurah. 
4. Yang mengajar manusia menggunakan pena. 
5. Yang mengajarka kepada manusia tentang apa yang belum diketahui. 
Ayat-ayat itu mengesankan sesuatu yang luarbiasa, yang belum diketahui oleh Muhammad apakah ia. Baginda segera pulang ke rumah dan seluruh badannya menggeletar. Baginda menceritakan peristiwa itu kepada Khadijah dan Khadijah yang mendengarnya juga turut merasai apa yang dirasai baginda. Khadijah kemudiannya mengajak suaminya itu menemui sepupunya Waraqah bin Naufal, seorang tua yang dihormati, luas penyelidikannya dan sangat berpengalaman. 
 Mereka menceritakan apa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW. kepada Waraqah. Waraqah mengatakan bahawa itulah tanda-tanda yang diturunkan kepada para Nabi. Waraqah sangat gembira menerima berita kebenaran itu walaupun berita ini belum tersiar luas, beliau sudah lama menanti dan berhasrat untuk menyaksikannya. Namun, ajalnya tidak panjang malah beliau meninggal sebelum tiba hari yang penuh kebenaran iaitu untuk menyampaikan seruan agama-Nya. 

USAHA DAKWAH NABI MUHAMMAD SAW. 

Pada peringkat pertama, Rasulullah menyeru keluarga dan sahabat-sahabat baginda yang paling akrab kepada pokok-pokok Agama Islam iaitu percaya akan kewujudan Allah dan meninggalkan pemujaan berhala. Ada beberapa orang yang telah menerima seruan tersebut iaitu isterinya, Khadijah; sepupunya, Ali; sahayanya, Zaid dan Abu Bakar. 
Deangan perantaraan Abu Bakar ramai orang yang masuk Islam dan juga terkenal dengan gelaran “as-Sabiqun al-Awwalun” (orang-orang yang terlebih dahulu masuk Islam). Mereka ialah Usman bin Affan, Zubair Ibnul-Awwam, Sa’ad bin Abu Ubaidah Ibnul-Jannah dan al-Arqam bin Abil-Arqam. Rumah al-Arqam dijadikan markas seruan kepada agama baru itu. Selain mereka yang disebut itu, ramai pula hamba sahaya dan orang-orang miskin yang masuk Islam. dakwah ini berlangsung selama tiga tahun. 
Peringkat kedua, Rasulullah menyeru keluarga yang dekat-dekat. Sesudah baginda menyampaikan dakwah, ada yang membenarkan dan ada pula yang mendustakan kata-kata Nabi Muhammad SAW.. Ada pun Abu lahab, saudara Rasulullah sendiri beserta isterinya adalah di antara orang-orang yang mendustakan seruan dakwah baginda itu. 
Peringkat ketiga, Rasulullah menyeru secara umum baik golongan bangsawan mahupun lapisan hamba sahaya, begitu juga kaum kerabat baginda sendiri atau orang-orang jauh. Mula-mulanya, baginda menyeru penduduk Makkah. Kemudiannya penduduk negeri-negeri lain. Di samping itu, baginda juga menyeru orang dari bermacam-macam negeri yang datang ke Makkah untuk mengerjakan Haji. 
Walaupun Rasulullah mengalami banyak rintangan, dugaan, kesakitan dan kata cacian oleh masyarakat Quraisy yang sangat menolak ajaran Islam ini tetapi baginda tidak pernah berputus asa akan semua itu. Malah Rasulullah sering berusaha untuk menyedarkan mereka dan bersabar dengan menyampaikan dakwah secara berterusan selama sepuluh tahun itu. 

PENENTANGAN KAUM QURAISY. 

Dakwah Rasulullah SAW. secara rahsia telah diketahui oleh Quraisy, akan tetapi dalam peringkat ini Quraisy tidak memperdulikannya kerana mereka tidak menjangkakan bahawa seruan itu akan hidup dan kuat, dan akan dianut oleh orang ramai. Begitu juga mereka tidak memperdulikan Muhammad menyeru keluarga Abdul Mutallib, kerana mereka manganggap ini adalah soal dalam keluarga itu. Jadi mereka tidak mahu mencampurinya, seolah-olah mereka berpuas hati dengan penentangan yang ditunjukkan oleh Abu Lahab dan orang-orang seumpamanya. Kemudian sesudah Rasulullah mulai berdakwah secara umum, maka kaum Quraisy menyatakan tentangnya terhadap agama baru itu dan mereka cuba hendak membunuh agama ini dengan cara apa sekalipun. 
Sebab-sebab penentangan :
1. Persaingan berebut kekuasaan – Kaum Quraisy tak dapat membezakan antara kenabian dan kekuasaan, atau antara kenabian dan kerajaan. Mereka mengira bahawa tunduk kepada agama Nabi Muhammad SAW. adalah bererti tunduk kepada kekuasaan keluarga Abdul Muttalib. Sedangkan suku-suku bangsa Arab selalu bersaingan untuk merebut kekuasaan dan pengaruh. 
2. Penyamaan hak antara kasta bangsawan dan kasta hamba sahaya – Bangsa Arab hidup berkasta-kasta. Tiap-tiap manusia digolongkan kepada kasta yang tidak boleh dilampauinya. Tetapi seruan Muhammad memberikan hak yang sama kepada manusia. Hak sama ini adalah suatu dasar yang penting dalam agama Islam. Agama Islam memandang sama antara hamba dan tuannya, malah hamba sahaya itu dipandang lebih mulia dari tuannya apabila dia lebih bertaqwa dari tuannya. 
3. Takut dibangkitkan – Agama Islam mengajarkan bahawa pada Hari Kiamat manusia akan dibangkitkan semula dari kuburnya, dan bahawa semua perbuatannya akan diperhitungkan. Orang yang berbuat baik, kebaikannya itu akan dibalasi, sebagaimana orang yang bersalah akan disiksa kerana kejahatan-kejahatannya dan dosa-dosannya. 
4. Taqlid kepada nenek moyang – Taqlid kepada nenek moyang secara membabi buta, dan mengikuti langkah-langkah mereka dalam soal-soal peribadatan dan pergaulan adalah suatu kebiasaan yang berurat-berakar pada bangsa Arab. Kerana itu amat beratlah terasa oleh mereka meninggalkan agama nenek moyang dan mengikut agama baru itu. 
5. Memperniagakan patung berhala – ini adalah satu sebab materi. Salah satu perusahaan orang Arab pada ketika itu, ialah memahat patung yang menggambarkan al-Lata, al-Uzza, Manat dan Hubal. Patung-patung itu dijual kepada Jemaah-jemaah Haji yang membelinya untuk dapat berkat atau kenang-kenangan. Tetapi Agama Islam melarang menyembah, memahat, dan menjualnya. Kaum Quraisy menganggap agama Islam menghalang sumber rezeki mereka. 



KEJADIAN ISRA’ DAN MIKRAJ. 

Setahun sebelum Nabi berhijrah ke Madinah, terjadilah peristiwa Isra’ dan Mikraj. Maka sekali lagi Kota Makkah menyaksikan satu peristiwa besar yang mengemparkan, yang pernah terjadi di kota itu. Nabi Muhammad menceritakan pada suatu pagi bahawa baginda malam tadi dibawa oleh Malaikat Jibril ke Masjid al-Aqsa di Palestin, dari sana baginda naik ke atas langit dan di malam itu juga baginda kembali ke Makkah. 
Kaum Quraisy amat gembira mendengar cerita Nabi ini kerana hal ini menurut mereka dapat dijadikan bukti yang jelas akan kedustaan dan kepalsuan seruan dakwah Nabi Muhammad. Cerita yang menurut mereka amat berlebih-lebihan dan melampaui batas ini akan menyebabkan orang menjauhkan diri dari Nabi Muhammad dan tidak lagi memikirkan lagi untuk mengikut dan menerima ajarannya. 
Perkiraan kaum Quraisy meleset. Hal ini terbukti dengan cepat. Utusan yang dikirimkan Quraisy kepada Abu Bakar menyampaikan pertanyaan “Dapatkah engkau, hai Abu Bakar, membenarkan Muhammad yang mengatakan bahawa dia dibawa malam tadi pergi ke Baitul-Maqdis, dan dari sana dia naik ke langit dan kemudiannya malam itu juga kembali ke Makkah?” pertanyaan itu dijawab oleh Abu Bakar dengan yakin dan tegas sehingga mereka tercegat “Kalau memang dia berkata demikian, benarlah dia. ”. Tanya mereka lagi “Apa engkau benarkanlah, hai Abu Bakar, perkataannya yang demikian?”. Balas Abu Bakar “Ya, saya benarkan, bahkan saya membenarkan yang lebih lagi dari yang demikian, iaitu wahyu yang diturunkan kepadanya dari langit”. 
Dengan demikian hancurlah harapan Kaum Quraisy kepada Abu Bakar dan Kaum Muslimin yang lain. Akan tetapi, peristiwa ini tetap mereka jadikan bahan untuk memfitnah Muhammad dan menuduhnya sebagai pendusta, gila dan sebagainya. Kenyataannya, bahawa fitnah dan tuduhan itu semakin menambah perhatian manusia kepada Nabi Muhammad. Mereka bertambah ingin hendak berkenalan dengan Nabi Muhammad agar dapat menyaksikan sendiri bagaimana akhlak dan budi pekertinya, dan dapat pula mendengarkan apa yang dituturkan mengenai agama baru itu. 

KESIMPULAN. 

Musuh sentiasa mencarijalan menjatuhkan lawannya. Satu cara popular yang sering digunakan adalah mendedahkan kelemahan lawan daripada sudut peribadinya. namun dalam konteks Nabi Muhammad SAW., musuh-musuh baginda pada zamannya tidak dapat menonjolkan kelemahan-kelemahan itu. Mereka yang menentang Nabi Muhammad SAW. dengan keras pada peringkat awal Islam mungkin melakukannya kerana kejutan yang tidak dapat dikawal walaupun pada waktu yang sama, mereka mengakui kejujuran baginda. 
Akhirnya, seorang demi seorang beriman dam memeluk Islam. Adapun tokoh-tokoh lain yang terus menentang kerana mementingkan diri, staus, pangkat, kaum dan kabilahnya. Walaupun demikian, kesemua mengakui Nabi Muhammad SAW. adalah benar dan tidak pernah berdusta. 
Nabi Muhammad SAW. tidak pernah mengupah sesiapapun bagi memuji dan mentaati baginda. Keikhlasan dan kejujuran bagindalah yang menawan hati-hati manusia supaya mengikut kebenaran yang dibawa dan seterusnya memperjuangkannya. 
Umat Islam pada waktu sekarang leka dengan hiburan yang dibawa oleh bangsa asing. Sedangkan kita sepatutnya berusaha untuk memperjuangkan maruah dan hak orang Islam. Kita seharusnya menjadi contoh teladan masyarakat Islam pada zaman Rasulullah SAW. berjuang demi Islam. 

RUJUKAN. 

Ahmad Shalaby, Prof. Dr. (1987). Sejarah Dan Kebudayaan Islam, Jilid 1. Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD. 
Annemarie Schimmel, 1991. Dan Muhammad Adalah Utusan Allah, Terjemahan Dari “And Muhammad Is His Messenger. The Vederation Of The Prophet In Islamic Piety” (1985). Bandung : Penerbit Mizan. 
Denial Zainal Abiding, Dr (2011). Bukti-Bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad. Batu Caves Selangor : PTS Millennia SDN. BHD.. 
Khalid Muhammad Khalid, 1994. Sepuluh Hari Berkesan dalam Kehidupan Rasulullah SAW.. Kuala Lumpur : Pustaka Syuhada. 
Roziah Sidik @ Mat Sidek, (2004). Genius Muhammad bin Abdullah. Bentong Pahang : PTS Publications & Distribubutors SDN. BHD.. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015