Imam As-Syafi’i

Disediakan Untuk : 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Ilie Nabilah Binti Kamaluddin
No. Kad Pelajar : 2014831274


1. Pengenalan
Imam Muhammad bin Idris As-Syafi’i rahimullah ialah seorang daripada Imam Besar ilmu fikah dan hadis yang sangat banyak jasanya kepada Islam dan ummah terutamanya di Asia Tenggara. 
Seperti Imam-imam lain, Imam As-Syafi’i juga seorang yang cintakan ilmu dan berminat mendalami ilmu agama sejak kecil. Menghafal Al Quran, hadis, fikah, ilmu bahasa dan syair. Beliau sentiasa gigih dan tabah menghadapi cabaran sepanjang hayatnya. Beliau juga sangat takwa, warak dan tidak cinta pada dunia seperti beliau cinta pada Allah dan Rasul-Nya. 

Pemilihan beliau untuk kerja kursus kali ini didorong rasa ingin mengenali pelopor mazhab Shafi’i ini. Menyingkap kisah hidup beliau yang penuh berliku dan cabaran menjadikan saya bersemangat untuk berjihad di jalan Allah bukan dengan mengangkat pedang tetapi dengan menuntut ilmu. Beliau sangat senang menyebarkan ilmu yang dimiliki sehingga sampai suatu tahap beliau tidak tidur atau rehat demi menyelesaikan masalah umat Islam. Pernah Imam Ahmad Bin Hanbal mengatakan kepada anaknya berkenaan Imam As-Syafi’i bahawa :

“Gerak dan diamnya, perkataannya, zikir dan fikirannya, semuanya hanya untuk Allah SWT sahaja. Qiamnya itu taat, tidurnya itu sedekah, zikirnya itu tasbih, diamnya dan ilmunya itu ubat bagi seluruh manusia. ”

2. Kelahiran dan Nasab Keturunan

•Nasab Keturunan sebelah Bapa 
Nama sebenarnya ialah (Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Shafi’I bin Sa’ib bin Abid bin Abu Yazid bin Hisyam bin Muthalib bin Abdu Manaf bin Qusayyi bin Killab bin Murrah) Daripada kenyataan nasabnya ini, jelas menunjukkan Imam Syafi’I bersatu dengan nasab Nabi Muhammad SAW pada Abdu Manaf bin Qusayyi. (Mustaffa Suhaimi, 2007)

•Nasab Keturunan sebelah Ibu

Apabila disusur kembali, ternyata ibunya juga daripada keturunan Saidatina Fatimah Binti Muhammad SAW. Ibunya bernama Fatimah binti Abdullah bin Al-Hasan bin Husain bin Ali bin Abi Talib. (Mustaffa Suhaimi)

•Kelahiran Imam As-Syafi’i

Kelahiran Imam As-Syafi’i dikatakan bertepatan dengan Kewafatan Imam Abu Hanifah bahkan sesetengah pendapat mengatakan pada malam kewafatan Imam tersebut Imam As-Syafi’i dilahirkan (bulan Rejab 150H). Beliau dilahirkan di Gaza wilayah Palestin. Driwayatkan :

“Ketika sedang mengandung, Ibu imam As-Syafi’I bermimpi melihat bintang Musytari (Planet Jupiter) Keluar dari perutnya, lalu meluncur ke angkasa kemudian jatuh ke bumi. Tiba-tiba bumi menjadi terang dan bersinar-sinar. Apabila dia memberitahu mimpinya kepada seorang yang alim di kampungnya, diberitahu bahawa dia akan melahirkan seorang anak yang ilmunya akan memenuhi muka bumi. ”(Husein Abdul Hamid, 2007)

Dapat disimpulkan bahawa Imam As-Syafi’i adalah seorang ulama’ yang susur galur keturunannya daripada suku kaum Quraisy dari sebelah bapanya. Beliau dilahirkan dari sebuah keluarga yang miskin di wilayah Palestin. Menurut riwayat Imam As-Syafi’i merupakan anak yatim (kehilangan bapanya) di saat beliau masih kecil. Ibunya kemudian membawa beliau berpindah ke Makkah kerana dikhuatiri akan nasib garis keturunan beliau dan pada ketika itu umur beliau ialah sepuluh tahun. (Muhammad Abu Zahrah, 2005)

3. Pencarian Ilmu

Sebermulanya pencarian ilmu beliau setelah berpindah ke Makkah. Beliau dianugerahkan akal yang cerdas dan ingatan yang kuat sehinggakan beliau dapat menghafal keseluruhan Al Quran pada ketika usianya 10 tahun. Imam As-Syafi’i bercerita “saat saya mengkhatamkan Al Quran dan memasuki masjid, saya duduk di majlis para ulama’, saya berjaya menghafal beberapa hadith beberapa masalah fiqh. Pada waktu itu, kami berada di Makkah. Keadaan kehidupan saya sangat miskin, tidak memiliki wang untuk membeli kertas, akan tetapi saya mengambil tulang-tulang sehingga saya dapat gunakan untuk menulis. ”(Husein Abdul Hamid, 2007)

•Guru-guru Imam As-Syafi’i

Apabila diserahkan untuk menuntut ilmu, pelajaran yang digemari beliau adalah syair, sastera dan sejarah. Dalam proses menuntut ilmu, salah seorang guru beliau yang juga seorang Mufti Makkah (Muslim bin Khalid Al-Zanji) mengesan keistimewaan yang dimiliki Imam As-Syafi’i lantas menasihati beliau untuk mempelajari ilmu fekah. (Mustaffa Suhaimi, 2007)

Memiliki otak yang cerdas dalam menuntut ilmu dikagumi Muslim bin Khalid Al-Zanji sehinggakan beliau memberi keizinan kepada Imam As-Syafi’i untuk mengeluarkan fatwa. Berkatalah beliau :

“Berfatwalah wahai Abu Abdillah. Saat ini anda telah berhak untuk mengeluarkan fatwa. ”

Meskipun mendapat keizinan untuk mengeluarkan fatwa kecenderungannya dalam menuntut ilmu tidak pernah luntur. Tambahan pula, beliau ada mendengar mengenai seorang ulama’ besar (Imam Malik)yang masyhur di Yathrib (Madinah). Kepakaran Imam tersebut dalam ilmu hadis menarik minat Imam As-Syafi’i. Tidak mahu pergi dalam keadaan kosong beliau menghafal Kitab Muwattha’ karangan Imam Malik yang membahaskan mengenai hadis-hadis Rasulullah SAW. (Muhammad Abu Zahrah, 2005) 

•Menjadi anak murid “Pengasas Mazhab Maliki”

Imam As-Syafi’i berangkat ke Kota Madinah bersama dengan salah seorang ulama’ Makkah bernama Mas’ab. Sesetengah riwayat mengatakan beliau diberi sepucuk surat oleh Gabenor Kota Makkah untuk diperkenalkan kepada Imam Malik. 

Berdasarkan surat tersebut Imam Malik mengetahui bahawa pemuda di hadapannya bukan murid biasa. Ucapan pertama keluar daripada mulut Imam Malik :“Allah telah memasukkan cahaya (nur) ke dalam hati engkau maka janganlah memadamkan cahaya itu dengan berbuat maksiat atau derhaka. ”

Dalam pertemuan pertama itu katanya kepada Imam Syafi’i : “Pulanglah dan datanglah lagi esok untuk mendengar bacaan kitabku (Al-Muwattha’) daripada mulutku sendiri. ” Jawab Imam As-Syafi’i : “Sesungguhnya saya telah membaca kitab itu dengan hafal, wahai tuan guru. ” Berkatalah Imam Malik :“Kalau begitu bacakanlah supaya lebih meyakinkan aku” Maka diulang Imam As- Syafi’i kandungan kitab tersebut daripada ingatannya tanpa perlu merujuk teks.  Beliau diterima sebagai anak murid Imam Malik dan belajar ilmu hadis dan fikah bersamanya. Imam As-Syafi’i diminta untuk tinggal sekali bersama dengan Imam Malik selama empat tahun. Sekali-sekala beliau meminta izin gurunya untuk mengembara ke negeri lain. Setelah itu beliau pulang ke pangkuan gurunya semula di Madinah bagi mengikuti majlis ilmu Imam Malik hingga wafatnya Imam Malik.  

Beliau sentiasa dahagakan ilmu dan tidak pernah puas menuntut ilmu untuk mengisi dadanya dengan pelbagai cabang ilmu dan sempat pulang ke Makkah menjenguk ibunya tetapi kemudiannya beliau pergi meninggalkan ibunya bagi menuntut ilmu. 

•Redha Seorang Ibu
Diriwayatkan bahawa orang yang mendorong beliau terus menuntut ilmu ialah oleh telah mengetuk pintu agak kuat sedikit kerana terlalu ingin menemui ibunya. Tetapi ketukan itu mendatangkan kemarahan ibunya. Apabila melihat anaknya di muka pintu, si ibu berkata :“Pergilah lagi dan jangan pulang hingga engkau belajar adab sopan yang baik dan budi pekerti yang mulia. ” Sindiran tajam oleh ibunya sungguh menusuk ke sanubarinya. Semenjak itu, beliau berazam untuk terus menimba ilmu dan tidak akan pulang sehingga ilmu pengetahuannya sempurna. (Mustaffa Suhaimi, 2007) 

Kalau diikutkan beliau berguru bersama dengan ramai lagi ulama’ kerana beliau merasa masih belum mencukupi ilmu itu di ruang dadanya. 

•Dugaan Sang Pencinta Ilmu
Ketokohan ImamAs-Syafi’i sebagai murid terpintar Imam Malik mulai diiktiraf oleh ramai pengkaji Islam dan juga cendekiawan Islam. 

Menurut riwayat, Imam As-Syafi’i juga pernah mengambil alih sebentar kedudukan pejabat oleh Gabenor Yaman. Oleh kerana kesempitan hidup jadi beliau bekerja di wilayah Najran. Jawatan itu tidak dipegang lama oleh beliau kerana dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Konspirasi yang ingin menjatuhkan beliau itu, telah membawa beliau ke penjara Baghdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasiyah. (Syed Maahad Zain, 2005)

Riwayat juga ada menceritakan, di saat beliau dibawa menghadap Khalifah Harun Ar-Rasyid, beliau dijatuhkan hukuman sebat dan suatu ketika apabila sampai giliran Imam As-Syafi’i, beliau segera berkata :

“Tolong perlahankan sedikit pukulan itu wahai Amirul Mukminin, kerana tuanku berkuasa berbuat demikian, sedangkan saya tidak berkuasa melakukan apa-apa. Wahai Amirul Mukminin, apakah pendapat tuanku tentang dua orang yang seorang tuanku anggap sebagai saudara tuanku dan yang seorang lagi sebagai hamba, mana satu yang lebih tuanku kasihi. ”

Khalifah menjawab : “ Sudah tentu aku lebih kasihi orang yang ku anggap sebagai saudaraku. ”

Setelah itu Imam As-Syafi’i menjawab :“Benarlah sikap tuanku, wahai Amirul Mukminin. Tuanku adalah daripada kalangan Al-Abbas dan mereka juga daripada nasab Ali bin Abi Talib dan kami daripada suku Al-Muttalib. Tuanku tentu memandang kami saudara tuanku, padahal mereka (Bani Umaiyah) memandang kita sebagai hamba mereka. (Mustaffa Suhaimi, 2007)

•Imam Muhammad bin Al-Hasan
Setelah melihat dan mendengar dialog antara Khalifah Harun Ar-Rasyid dan Imam As-Syafi’i, Imam Muhammad Al-Hasan dapat melihat kefakihan dan ilmu yang begitu mendalam pada beliau. Pada ketika itu, ditanya pendapat oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid kepada Imam tersebut maka apa jawapannya :

“ Sesungguhnya orang ini mempunyai ilmu yang mendalam dan apa yang dituduhkan kepadanya sama sekalitidak mendasar. Tidak mungki orang sepertinya berperilaku sedemikian. ”

Kemudian Khalifah menyuruh Imam As-Syafi’i dibawa bersama dengan Imam Muhammad sehingga dia dapat melihat perkembangan itu. (Muhammad Abu Zahrah, 2007)

4. Sumbangan Melalui Penulisan
Apabila memperkatakan mengenai Imam As-Syafi’i, kebanyakkan kitab-kitab yang dihasilkan mengenai ilmu fikah, usul fikah dll. 

•Takrif Fikah
Makna dari segi bahasa “ faham” Firman Allah Taala : Maka mengapa orang-orang itu (golongan munafik) hampir tidak memahami perbicaraan (pengajaran-pengajaran dan nasihat-nasihat yang diberikan kepada mereka) (An-Nisa’ : 78) 

Mengikut Istilah Fikah dua makna :
1. Mengetahui hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan dan perkataan orang-orang mukallafyang diambil daripada dalil-dalil yang nyata dan jelas iaitu Al Quran, As-Sunnah dan pecahan daripada keduanya seperti ijtima’ dan ijtihad. 

2. Hukum-hukum syarak itu sendiri. Oleh itu, apabila kita berkata : Anda mempelajari fikah bermakna anda mempelajari hukum syarak yang ada dalam kitab fikah yang bersandarkan kepada Al Quran, As Sunnah, ijma’ ulama’ dan ijtihad mereka. 

Oleh itu, perbezaan antara kedua-dua istilah di atas ialah :
Istilah (1) digunakan pada “ mengetahui hukum-hakam” dan istilah (2) digunakan pada “hukum-hukum syarak itu sendiri”. (Dr. Mustoffa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji, 2010)

•Kitab Ar-Risalah
Kitab ini membahaskan mengenai Usul Fiqh. Ilmu ini membahas tentang sumber-sumber dalil-dalil hukum sharie berdasarkan nas Al Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias. 
Ianya bukan kitab Fiqh, ia hanya menunjukkan cara-cara atau panduan yang betul mengaji nas bagi merumuskan sesuatu hukum untuk memastikan sumber hukum yang dijadikan dalil itu tepat. 

Menurut riwayatnya, beliau menyusun isi kitab ini adalah atas permintaan Abdul Rahman Al-Mahdi dan Imam Yahya Sa’id Al-Qatuthan. 
Imam Syafi’i merupakan pengasas ilmu usul fiqh dan ianya menjadi rujukan para ulama’ kerana ianya satu penemuan baharu. 

•Kitab Al-Umm
Sebuah Kitab Ilmu Fiqh yang besar dan terperinci perbahasannya. Al-Umm (induk) diakui sebagai kitab fiqh yang unggul kerana ianya mengemukakan pendapat aliran Mazhab Syafi’i yang jelas dan lengkap beserta dalil-dalilnya sekali. 
Dalam kitab tersebut susunan bahasanya yang tepat, jelas dan indah menggambarkan cendekiawan Islam ini yang juga seorang ahli atau pakar dalam bahasa arab bahkan juga ahli syair. 
Oleh kerana kandungannya sangat panjang dan ilmunOleh kerana kandungannya sangat panjang dan ilmunya yang luas, biasanya kitab ini diterbitkan dalam tujuh jilid atau jilid besar dan telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa.  (Mustaffa Suhaimi, 2007)   

5. Hilangnya Bulan dan Matahari
Para murid dan pengikut Imam As-Syafi’i merasa terkilan dan bersedih kerana seorang alim besar dan ikutan ramai orang mukmin tidak panjang umurnya. Beliau wafat ketika berumur 54 tahun padahal gurunya Imam Malik hidup hingga 90 tahun. 

Beliau wafat di rumah sahabat dan muridnya yang dikasihi, Abdullah bin Hakam pada malam Khamis akhir bulan Rejab tahun 204 Hijrah. Menurut riwayat Imam As-Syafi’i wafat kerana diserang pengikut fanatik Imam Malik. Ada setengah riwayat mengatakan Imam As-Syafi’i wafat kerana buasir. 

Imam As-Syafi’i telah meninggalkan wasiat kepada Imam Ar-Rabi’ yang sering menziarahinya ketika beliau sakit supaya meminta Gabenor Mesir, Abbas bin Musa datang memandikan jenazahnya. 

Setelah mendapat tahu mengenai hal itu Gabenor itu pun datang ke rumahnya. Beliau faham erti sebenar di sebalik wasiat tersebut. Beliau pun bertanya pada keluarga Imam As-Syafi’i, “Apakah beliau mempunyai tanggungan atau hutang yang belum dijelaskan?”Mereka pun menjawab bahawa beliau masih mempunyai sedikit hutang. Gabenor mengarahkan kepada para pegawainya supaya mengeluarkan wang untuk menjelaskan hutang-hutang itu. 

Gabenor menjelaskan bahawa itulah maksud wasiat beliau supaya datang memandikan jenazahnya. Maksudnya supaya beliau menolong membersihkan dirinya daripada segala hutang dan tanggungan menjelang pemergiannya menghadap Ilahi. 

Jenazah Imam As-Syafi’i dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zuhrah yang dimiliki oleh anak-anak keluarga Abdul Hakam yang terletak di sebelah Barat Al-Khandak dan di Bukit Al-Muqattam. 

Selepas Kewafatan Ulama’ besar ini, Ibnu Farhun pernah menceritakan dalam kitabnya Al-Dibajul Mazhab bahawa ketika orang ramai sedang duduk dalam majlis ilmu yang dahulunya dipimpin Imam As-Syafi’i, tiba-tiba datang seorang Arab yang kelihatan seperti musafir kejauhan. 

Orang itu memberi salam kepada Al-Buwaiti dan para hadirin dan bertanya: “Di mana bulan dan matahari majlis ini?”

Mereka menjawab :“Imam As-Syafi’i telah wafat. ”

Maka orang itu pun menangis lalu berkata :“Semoga Allah mengasihinya dan mengampunkan segala dosanya. Beliau adalah pembuka segala pintu hujah yang tertutup, penyuci air muka yang hitam dan penyingkap pintu fikiran yang tertutup. ”

6. Penutup 

Berdasarkan riwayat hidup Imam As-Syafi’i, dapat disimpulkan bahawa ulama’ besar ini memberi pengaruh besar dalam dunia Islam. Beliau yang merupakan pelopor mazhab Syafi’i di Asia Tenggara yang juga mempunyai ramai pengikut itu terkenal dengan sifat yang sentiasa merendah diri dengan ilmu yang dimiliki. Sejarah telah meriwayatkan bahawa, dalam membicarakan konteks ilmu, kita tidak dapat lari dari menyebut nama Imam As-Syafi’i kerana beliau merupakan salah seorang Ilmuwan Islam yang unggul. Bahan-bahan penulisan serta kajiannya menjadi rujukan ramai golongan bijak pandai Islam berabad-abad lamanya. Ilmu yang ditinggalkan beliau kini menjadi sumber dalam menjalani kehidupan ummah. 

Memetik kata-kata Imam As-Syafi’i :
“Engkau tidak akan memperoleh sebarang ilmu kecuali dengan enam perkara. Enam perkara itu ialah kecerdasan, semangat yang kental atau keras, rajin dan tabah, biaya yang cukup, bersahabat dengan guru. Ingatlah! Orang yang diberikan darjat yang mulia kerana ilmu yang ada di dalam dadanya tidak mungkin akan diberi harta yang melimpah. Kerana ilmu dan harta tidak mungkin berjalan seiring. Sudah ditakdirkan, bahawa orang yang akan dinaikkan darjatnya, pasti akan diuji dengan kemelaratan. Buktinya, ramai orang pandai yang hidupnya melarat tetapi ramai orang bodoh yang hidupnya serba cukup serta kaya-raya. Orang yang diberi rezeki dengan mudah, pahalanya sedikit, tidak terpuji dan tidak mendapat taufik. ”

7. Rujukan

1. Husein Abdul Hamid (Ulama Al-Azhar Al-Sharif). (2007).  Mukhtasar Kitab Al-Umm (Imam As-Syafi’i). Jilid 1. Terjemahan.  Johor Darul Takzim. Perniagaan JAHABERSA.   
2. Syed Maahad Zain. (2005).  Pendidikan Islam.  Selangor Darul Ehsan. PCT Sdn. Bhd.   
3. Mustaffa Suhaimi. (2007).  Imam Shafie & Imam Ahmad bin Hanbal.  Kuala Lumpur. Progressive Publishing House Sdn. Bhd.    
4. Muhammad Abu Zahrah. (2005).  Imam Syafi’I : Biografi & Pemikirannya dalam masalah akidah, politik dan fiqih. Cetakan 1.  Jakarta, Indonesia. Lentera.    
5. Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji. (2010).  Kitab Fikah Mazhab Syafie.  Kuala Lumpur. Pustaka Salam.    

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015