Konflik Rumahtangga Dan Solusinya

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Nur Mahirah Binti Mohd Nor
2014424706

Pendahuluan

Saban hari kita membaca dalam akhbar kekecohan yang berlaku dalam rumahtangga antara suami isteri dan antara anak - anak dengan ibu bapa mereka. Senarionya, seolah - olah masing - masing memegang undang - undang di tangan sendiri. Mereka bertindak mengikut rasa hati. Jari tuding - menuding antara satu sama lain. Apa yang berlaku kini, alam rumahtangga penuh dengan gelora dan cerita yang menakutkan. Isteri diabai dan dizalimi oleh suami, manakala suami tidak lagi ditaati oleh isteri dan sebagainya. Gambaran ini boleh menakutkan pasangan yang belum mendirikan rumahtangga. Mereka mempunyai persepsi yang negatif berdasarkan kisah - kisah derita dalam alam perkahwinan ini. Adapun peraturan rumahtangga sebelum datangnya Islam, paling kemelut, mengandungi unsur cerai - berai, terputus - putus dan tidak ada lagi hubungan kasih sayang antara mereka dalam ikatan kekeluargaan. Dalam masyarakat seperti itulah bernaung sifat - sifat dengki, saling membelakangi antara satu sama lain, saling memarahi dan saling bermusuhan. 

Di sini, saya akan mengupas dengan lebih lanjut apa itu konflik dalam rumahtangga. Konflik dalam berumahtangga sering berlaku di kalangan pasangan yang baru berumahtangga. Tetapi, seperti yang kita tahu setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Solusi bagi konflik ini juga akan saya kupaskan. 

Konflik Rumahtangga
Konflik rumahtangga bermaksud suatu keadaan dimana kehidupan suami isteri sentiasa berada di dalam suasana yang tidak harmoni, tegang dan bercanggah. Keadaan ini membawa mereka kepada perasaan saling membenci diantara satu sama lain. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Krisis rumahtangga boleh berlaku di dalam beberapa keadaan. Pertama, dalam keadaan yang jelas iaitu suami isteri mudah bertengkar, saling tuduh - menuduh, memaki hamun dan cepat bercekalan sebaik - baik sahaja ada sesuatu yang tidak kena. Kedua, dalam keadaan yang tidak jelas iaitu ketika perselisihan suami isteri tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mereka kelihatan rukun dan damai, tetapi sebenarnya kehidupan mereka sudah bertukar menjadi hambar, tidak mesra dan dalam suasana perhubungan yang renggang. Keadaan rumahtangga yang sedemikian selalunya memberi kesan yang mendalam terhadap pertumbuhan jiwa anak - anak. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Krisis di dalam rumahtangga selalunya mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada kemuncaknya ( klimaksnya ). Dalam jangka masa yang lama ini, dapat dilihat tahap demi tahap berlaku pertelingkahan dan suasana menjadi semakin genting jika salah satu pihak atau kedua - kedunya tidak mengambil sesuatu inisiatif untuk membendungnya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Tahap - tahap Konflik Dalam Rumahtangga
Terdapat beberapa tahap dan petanda berlakunya krisis di dalam rumahtangga. Tahap yang pertama ialah tahap aktiviti menunjukkan penurunan. Selalunya suami atau isteri tidak lagi sensitif biasa, kerja - kerja atau tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan sempurna, suka termenung dan berfikir. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Tahap berlakunya krisis rumahtangga yang kedua ialah tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan bersama semua ahli keluarga. Suami isteri tidak lagi saling menghormati di antara satu sama lain. Selalunya mereka akan menghadkan masa untuk berinteraksi seminima yang boleh ataupun hanya sekadar perlu sahaja. Nada suara akan turut berubah, kian menurun atau kerap menggunakan bahasa yang kasar dan kesat beserta suka menggunakan kata - kata sindiran ataupun perli. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Seterusnya, mereka seringkali menunjukkan tingkahlaku permusuhan terhadap pasangan. Suami isteri saling tuduh - menuduh dengan anggapan bahawa pasangannya adalah sumber kebosanan atau penderitaan yang dialaminya dan pasangannya juga sering menjadi sasaran kemarahan salah seorang diantara kedua - duanya atau kedua - duanya suka menentang apa - apa cadangan atau tindakan pasangannya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Kurang berkeupayaan mengawal emosi sendiri menjadi salah satu petanda timbulnya masalah dalam rumahtangga. Di dalam keadaan ini kerap terjadi ketegangan emosi, suka menengking ahli keluarga dan selalu menimbulkan ketegangan dalam perhubungan. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Petanda yang lain pula ialah selalu mengasingkan diri. Pada tahap ini, suami isteri suka mengasingkan diri ( boikot ). Diantara mereka berdua tidak lagi bertegur sapa dan segala keperluan diuruskan melalui perantaraan ataupun secara ‘message’ ( nota ). Mereka selalunya akan tidur berasingan dan kedua - dua pihak pada hakikatnya sudah tidak lagi menjalankan fungsi dan tugas masing - masing walaupun masih tinggal di dalam sebuah rumah. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Di samping itu, kerap bertengkar juga merupakan tahap - tahap konflik dalam berumahtangga. Pertengkaran yang sengit kerap terjadi. Mereka akan bergaduh asal saja bersua muka. Suami isteri sering mencari - cari punca kemarahan pasangannya dan segala ketidakpuasan hati diluahkan di samping kata - kata ungkitan dengan bahasa yang kasar. Kadangkala apabila kemarahan sudah memuncak akan melibatkan masalah keluarga, keturunan, dan sebagainya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Selain itu, tahap konflik dalam rumahtangga ialah mengambil tindakan yang nekad. Apabila pergaduhan suami isteri berlaku kerap kali juga mereka mengambil sesuatu tindakan yang agresif seperti menggunakan kekerasan fizikal terhadap pasangannya. Selain daripada itu, ada di antara suami isteri yang mengambil tindakan keluar rumah atau buat hubungan sulit di luar rumah. Di dalam setengah - setengah keadaan, kedapatan pasangan suami isteri yang berusaha mendapatkan sokongan daripada pihak - pihak lain bagi memperkuat ( backing ) tindakan seperti sokongan ibubapa, saudara mara, kawan - kawan, dan sebagainya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Pergaduhan ialah tahap konflik rumahtangga. Apabila sesuatu isu yang terjadi di dalam rumahtangga berpanjangan tanpa diselesaikan, pihak suami atau isteri akan membuat pengaduan kepada pihak - pihak tertentu seperti imam, ketua kampung, ataupun terus ke pejabat kadi untuk diambil tindakan yang wajar terhadap pasangannya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Tahap konflik dalam rumahtangga yang terakhir ialah tuntutan cerai. Kemuncak kepada krisis di antara suami isteri ialah masing - masing akan mengemukakan tuntutan penceraian melalui pejabat Kadi mahupun mahkamah. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Kategori Konflik Rumahtangga
Krisis rumahtangga boleh berlaku sama ada berpunca daripada pihak suami atau pihak isteri. Oleh itu, kedua - dua belah pihak adalah berperanan dalam mewujudkan sebuah rumahtangga bahagia ataupun menjadikannya porak peranda. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Krisis yang disebabkan oleh isteri berlaku apabila si isteri enggan memenuhi kehendak suami, sering marah, benci serta tidak taat kepada suami. Isteri juga meninggalkan tugas dan kewajipannya serta meninggikan diri serta berlaku curang terhadap suaminya. Banyak faktor - faktor yang menyebabkan isteri bertindak sedemikian, termasuk faktor yang terdapat pada diri si isteri itu sendiri, pada diri suaminya dan juga faktor - faktor luaran. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Faktor - faktor luaran tersebut ialah faktor diri isteri meliputi kecantikan diri, kedudukan dan pendidikannya. Suami memberi pengaruh yang kuat kepada seseorang isteri. Ia meliputi cara pergaulan, akhlak dan juga perlaksanaan tanggungjawab. Seringkali hal ini menjadi faktor penggerak kepada isteri untuk berfungsi dengan baik di dalam sebuah rumahtangga. Tambahan lagi, pengaruh luar meliputi rakan atau jiran, media massa dan juga keluarga ( mertua, ipar dan sebagainya ). (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Konflik rumahtangga yang berpunca daripada pihak suami biasanya terjadi apabila seorang suami bersikap keras terhadap isterinya, tidak bergaul dengannya menerusi cara yang baik, tidak menjalankan kewajipan terhadap isterinya, membuat hubungan dengan perempuan lain dan sebagainya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Punca - punca Konflik Rumahtangga
Sebenarnya, krisis rumahtangga yang diibaratkan seperti ribut dalam cawan, adalah merupakan perkara biasa dan lumrah berlaku pada setiap pasangan hidup dalam sesebuah rumahtangga, tetapi paling dibimbangkan sekiranya krisis dan pergaduhan suami isteri itu sampai ketahap boleh menimbulkan berbagai implikasi dan kehancuran rumahtangga. Walaubagaimanapun, maka diantara sebab - sebabnya ada seperti tidak wujud kerjasama dan persefahaman diantara suami isteri, tidak memahami tanggungjawab serta tidak melaksanakan tugas atau kewajipan sebagai suami isteri, tidak menghayati nilai - nilai murni dan ciri - ciri kasih sayang dalam kehidupan suami isteri, campur tangan dari keluarga yang bukan bertujuan membina dan membelakangi pengajaran Islam atau tidak mematuhi perintah - perintah agama. (Haron Din, Dr., 1992)

Problematika rumahtangga terjadi juga dikeranakan kekurangan ilmu suami isteri tentang dua hal yang amat penting iaitu, pertama, kekurangan ilmu tentang hukum - hukum dan hak - hak suami isteri yang berdasarkan syariat, sehingga mereka tidak melaksanakan hak dan kewajipan suami isteri. (Shalih bin Ahmad Al Ghazali, 2004)

Kedua, kekurangan ilmu tentang pembentukan jiwa serta tidak mengetahui tabiat dan perilaku masing - masing, sehingga timbul salah faham dalam pergaulan suami isteri, walaupun keduanya mengetahui tentang hukum - hukum syariat yang berkenaan dengan kehidupan suami isteri. (Shalih bin Ahmad Al Ghazali, 2004)

Krisis rumahtangga boleh berlaku disebabkan oleh berbagai - bagai faktor. Bagaimanapun, ia boleh disimpulkan kepada tiga faktor utama yang membuatkan kegagalan suami isteri untuk bersefahaman dan seterusnya mengakibatkan krisis di dalam rumahtangga. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

i ) Komunikasi
Kegagalan pasangan suami isteri untuk berkomunikasi dengan berkesan selalunya akan membawa implikasi yang buruk terhadap sesebuah rumahtangga. Komunikasi agresif seringkali terjadi di dalam hubungan suami isteri. Di mana suami isteri memaksa pasangannya menerima sesuatu pendapat. Hal ini kerap menimbulkan riaksi pertelingkahan. Bagaimanapun teknik inilah yang kerap digunakan oleh suami isteri di dalam menyampaikan hasrat masing - masing. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Terdapat pelbagai bentuk teknik agresif iaitu paksaan, meyakinkan, penilaian, berselindung, menangguhkan dan menyalahkan. Keadaan yang menunjukkan paksaan contohnya, dengan memaksa pasangan menerima apa yang dikemukakan dengan menggunakan bahasa yang keras, ugutan, dan sebagainya. Meyakinkan dalam bentuk ini adalah dengan cara pujuk rayu, berjanji dan bersumpah, tujuannya ialah untuk meyakinkan pasangannya bahawa apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan bersama. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Contoh situasi bagi penilaian pula, seseorang itu memberi penilaian kepada sesuatu perkara dengan cara merendah - rendahkan pasangan. Seterusnya, tabiat berselindung iaitu tidak menyatakan atau melahirkan sesuatu dalam bentuk yang sebenar. Bentuk teknik agresif bagi sikap 

menangguhkan ialah melengah - lengahkan sesuatu harapan atau permintaan dengan tujuan supaya ia dilupakan atau sebagai satu dalihan untuk menolak. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Bentuk teknik agresif yang terakhir ialah sikap suka menyalahkan orang lain. Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang merasa marah dan tidak mengetahui akan sebabnya. Oleh itu, ia mula mencari sasaran untuk melepaskan kemarahannya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Di samping itu, apabila pasangan suami isteri tidak mendengar rintihan dan keluhan masing - masing juga boleh menyebabkan komunikasi antara satu sama lain menjadi tidak sihat. 

Contoh keluhan dari seorang suami, “ Aku mengeluh kerana isteriku banyak keluar rumah. Kadang pergi ke saudara perempuanku, kadang pergi ke pasar, kadang pergi temasya, kemudian ia pergi ke acara - acara walimah tetangga sehingga hampir tidak pernah melekat di rumah. ” (Muhammad Alwi Al - Maliki Al - Hasani, 1992) 

Sementara Allah SWT. ada berfirman yang berbunyi :Bermaksud : Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang - orang Jahiliyah yang dahulu. ( al - Ahzab : 33 )

Contoh keluhan dari seorang isteri pula, “ Engkau tidak pernah mengajak saya bermusyawarah pada urusan - urusan yang berhubungan denganmu, seperti urusan perabot rumah, urusan anak - anak, bahkan sampai pada pemberian nama - nama mereka. Engkau terpedaya dengan 

hadith yang engkau dapatkan dari sebahagian manusia, “ Bermusyawarahlah kepada manusia dan bantahlah mereka. ” Tidakkah kamu tahu bahawa para ulama’ berkata, “ Hadith tersebut palsu ! ” Tidakkah kamu tahu Nabi SAW, bermusyawarah kepada sebahagian isteri - isterinya ( iaitu Ummu Salamah ) dalam urusan penting, seperti perjanjian Hudaibiyah, sebagaimana disebutkan oleh hadith sahih. (Muhammad Alwi Al - Maliki Al - Hasani, 1992) 

ii ) Tanggungjawab
Pertelingkahan di dalam rumahtangga berlaku apabila satu - satu pihak tidak menjalankan kewajipannya dengan sempurna. Tanggungjawab di dalam rumahtangga meliputi nafkah, tempat tinggal, kebajikan, keselamatan dan kasih sayang. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Nafkah dimaksudkan adalah memenuhi keperluan makan, tempat tinggal, pembantu rumahtangga, rawatan perubatan isteri, sekali pun dia orang kaya. Hukum memberi nafkah adalah wajib menurut al - Quran, Sunnah dan Ijmak. (Muhammad as - Sayyid Sabiq, 2009)
Allah SWT. berfirman : Bermaksud : Para ibu hendaklah menyusukan anak - anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. ( al - Baqarah : 233 )

“ Rezeki ” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah makanan yang secukupnya. “ Pakaian ” pula adalah baju dan penutup badan. “ Makruf ” adalah amalan kebaikan sesuai dengan ketentuan agama, tidak berlebihan dan tidak berkurangan. (Muhammad as - Sayyid Sabiq, 2009)

Di sini, dapat dilihat jika si suami tidak menyediakan nafkah yang mencukupi kepada anak dan isterinya seterusnya mengakibatkan pergaduhan dalam rumahtangga. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Selain itu, pertelingkahan mungkin timbul jika si suami tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa dan kadang kala tidak menjelaskan sewa rumah yang menjadi kediaman mereka dan sebagainya. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Kebajikan pula termasuklah soal tidak memberikan perhatian, tidak mengambil berat tentang kesihatan, perubatan, layanan persekolahan anak - anak dan pendidikan kerohanian. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Keselamatan pula apabila suami kurang mengambil berat tentang perlindungan dari segala macam ancaman sama ada luar dan dalam. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Seterusnya, kasih sayang di antara suami isteri perlu sentiasa dipupuk supaya sentiasa mekar dan bersemarak. Jika suami isteri gagal atau tidak berusaha ke arah tersebut maka ia akan semakin pudar dan berkurangan. Keadaan ini jika berlanjutan akan membibitkan krisis yang memusnahkan hubungan suami isteri dan pada akhirnya ia akan menghancurkan rumahtangga yang dibina selama ini. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

iii ) Seksual
Seksual di dalam sesebuah perkahwinan merupakan suatu tuntutan biologikal. Ia juga merupakan terjemahan kepada perasaan cinta dan kasih sayang suami isteri. Oleh itu, hubungan seksual adalah keperluan yang mesti dipenuhi dengan penuh kerelaan di antara suami isteri. Bagaimanapun, kerap juga berlaku krisis rumahtangga apabila suami isteri mengalami masalah seksual seperti berikut. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Rendah nafsu atau perbezaan keinginan di antara suami isteri disebabkan oleh penyakit atau kejemuan. Nafsu yang tinggi juga boleh mengakibatkan masalah seksual di kalangan suami isteri. Selain dari itu, berlaku penghindaran seks. Suami isteri seringkali menolak atau mencari helah untuk tidak melakukan hubungan seks. Tambahan lagi, suami atau isteri enggan melakukan seks dengan pasangan tetapi dalam masa yang sama berkeinginan untuk melakukannya dengan orang lain. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Timbulnya masalah dalam rumahtangga bila mana suami isteri mengalami masalah seksual seperti tidak ada tindak balas atau dingin apabila bersama dengan pasangannya. Masalah yang lain juga ialah tidak sampai kemuncak, mungkin hanya sebelah pihak sahaja yang merasakan kepuasannya. Keuzuran, seperti salah seorang di antara suami isteri berada di dalam keadaan yang uzur. Hal ini menyebabkan hubungan seks tidak dapat dilakukan atau dilakukan dalam keadaan yang tidak memuaskan. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Solusinya :
Langkah - langkah Dalam Mengatasi Konflik Rumahtangga

Sesebuah perkahwinan diketuai suami yang memimpin ke atas semua ahli keluarganya. Hal ini telah disebutkan dengan jelas oleh Allah SWT. di dalam firmanNya :

Bermaksud : Kaum laki - laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka ( laki - laki ) atas sebahagian yang lain ( wanita ), dan karena mereka ( laki - laki ) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. ( an - Nisa’ : 34 )

Sesuai dengan tanggungjawab dan penghormatan yang begitu tinggi kepada suami maka dia berkewajipan untuk mencari jalan bagi mengatasi persoalan - persoalan yang timbul di dalam rumahtangga, termasuklah apabila berlaku krisis, dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Di antara tindakan - tindakan yang patut dilakukan oleh si suami ialah hendaklah sentiasa sensitif dengan setiap kejadian di dalam rumahtangga, dan hendaklah mengkaji dengan teliti sebab - sebab atau sesuatu punca insiden itu berlaku. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Setelah tindakan tersebut dilakukan dan ternyata ia berpunca daripada pihak suami sendiri maka si suami mestilah mengakui kesilapannya sendiri dan sekaligus melakukan perubahan terhadap tingkah lakunya. Selain dari itu, suami mestilah melaksanakan segala tanggungjawab dengan sempurna dan membentuk sifat kepimpinan pada dirinya sendiri. Di samping segala usaha yang dilakukan, suami hendaklah berdoa dan bertawakal kepada Allah. (Mat Saad Abd. Rahman, Prof Madya Dr., 1993)

Bagi menyuburkan kembali rumahtangga yang semakin layu atau menyuburkan terus rumahtangga yang bakal dibina, beberapa langkah perlu diberi perhatian seperti berikut. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

i ) Saling mengenali antara satu sama lain
Maksud mengenali di sini ialah kenal dalam erti kata yang sebenarnya. Mahir tentang watak, kegemaran, mood pasangan dan sebagainya. Banyak cara boleh dilakukan untuk mengenal emosi, kelebihan dan kelemahan pasangan anda. Antaranya ialah masing - masing perlu menyenaraikan sendiri secara bertulis kelebihan dan kelemahan diri. Kemudian, diberi kepada pasangan untuk perhatian dan ingatan. Setiap perkara yang disenaraikan itu perlu diamati oleh setiap pasangan. Manfaatkan segala kelebihan dan perbaiki segala kelemahan yang wujud. Dengan cara ini kita tidak akan marah kepada pasangan jika dia tidak sempurna ketika melakukan sesuatu kerana kita telah mengetahui hal itu satu kelemahan dirinya. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004) 

Andai si isteri mempunyai kelemahan tidak pandai memasak dengan baik maka pasangan perlu bekerjasama untuk memperbaiki keadaan ini. Jika si suami pula mempunyai kelemahan terlalu panas baran dan ringan tangan maka pasangan suami isteri ini perlu memastikan sikap itu diubah melalui latihan tertentu. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Mungkin sahaja para suami merasa malu untuk mempraktikkan semacam itu. Namun pada prinsipnya iainya merupakan hakikat yang harus kita hadapi. Berusahalah secara baik agar menjadi suami yang memahami kehendak isteri dan kelemahannya. Berilah sedikit pujian terhadap isteri, kerana ia memang berhak menerima penghargaan dari suaminya. (Mohd. Isa Selamat, 1994)

ii ) Memanggil pasangan dengan nama yang paling disukai
Secara logiknya, semua orang akan gembira dan senang hati apabila dipanggil dengan nama yang paling disukainya. Aspek ini merupakan fitrah semula jadi manusia. Semua orang akan marah atau sekurang - kurangnya tidak senang apabila nama yang tidak disukainya digunakan. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Andai isteri bernama Zainab maka suami perlu bertanyakan isterinya apakah ringkasan nama yang paling sesuai untuk digunakan. Ada juga pasangan yang memanggil isteri atau suami dengan panggilan sayang, manja dan sebagainya. Sapaan ganti nama ini juga satu contoh panggilan yang baik dan disenangi. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Apabila memanggil pasangan dengan gelaran yang disukai boleh mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang dan ketenangan jiwa suami isteri dalam rumahtangga itu. Inilah salah satu tanda kesempurnaan kudrat Tuhan. (Muhammad Alwi Al - Maliki Al - Hasani, 1992) 

Sebagaimana firman - Nya dalam al - Quran : Bermaksud : Dan di antara tanda - tanda kekuasaan - Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri - isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan - Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. ( ar - Rum : 21 )

iii ) Bertolak ansur, bertimbang rasa dan jangan ego
Semua unsur ini amat diperlukan untuk menjana pembentukan rumahtangga yang bahagia. Setiap pasangan perlu ada sikap tersebut jika mahu memastikan bahtera hidup tidak karam. Jangan sekali - kali ada perasaan ego yang kuat dalam diri pasangan terutamanya suami. Sifat merasakan dirinya sentiasa betul dan sering menggunakan kuasa veto perlu dielak sama sekali. Dalam banyak perkara kita perlu berbincang untuk meleraikan sesuatu kekusutan. Jangan menganggap pasangan yang tidak sebaya atau tidak setaraf dari segi pendidikan maka dia tidak boleh diajak berbincang. Sikap sedemikian merupakan satu fahaman yang silap kerana setiap manusia itu dikurniakan Tuhan dengan kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Rasulullah SAW. mempunyai keperibadian yang luhur, lemah lembut dalam mengembangkan ajaran Islam. Begitu juga dalam pergaulan sehari - hari, baginda sangat menghargai orang lain. (Mohd. Isa Selamat, 1994) 

Firman Allah SWT. : Bermaksud : Maka disebabkan rahmat dari Allah - lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu.. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang - orang yang bertawakkal kepada - Nya. ( al Imran : 159 )

iv ) Lakukan aktiviti bersama
Konsep berjemaah ini perlu diterapkan sepenuhnya dalam kehidupan berumahtangga kerana inilah makna sebuah perkongsian hidup. Amalkan solat berjemaah sedapat mungkin. Selain mendapat keberkatan, langkah ini juga dapat memupuk kasih sayang dalam keluarga. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Cara ini sebenarnya dapat membina hubungan kasih sayang secara dalaman yang cukup hebat kerana ia mengukuhkan pertautan hati dan perasaan yang sukar untuk dirungkai. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Sekali - sekala bolehlah diaturkan program berkelah pada hujung minggu atau melancong ke destinasi menarik. Ia tidak semestinya melibatkan kos yang besar, kerana yang dipentingkan ialah program bukannya tempat. Apa yang penting ialah kelainan dan gerakan bersama. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Selain itu juga, setiap pasangan perlu tolong - menolong dalam pelbagai perkara. Contohnya, suami menolong isteri di dapur atau isteri menolong suami membasuh kereta dan sebagainya. Aktiviti sedemikian boleh memupuk perasaan kasih mesra yang berpanjangan. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

v ) Mengaku kesilapan dan memohon maaf
Mengaku kesilapan merupakan satu sikap yang amat sukar dibudayakan, walaupun perlakuan ini sikap terpuji dan disukai oleh semua orang. Sikap sebegini tidak akan merendahkan harga diri kita. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Sebaliknya, kita akan lebih dihargai kerana bersifat berani dan bertanggungjawab. Setiap pasangan perlu berani mengakui kesilapan diri masing - masing tanpa perlu berdalih. Orang akan lebih bersimpati dengan sikap telus dan terus terang ini. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Apa yang penting ialah selepas memohon maaf perlu ada jaminan yang kita tidak akan mengulangi kesilapan yang serupa. Tunjukkan yang kita benar - benar menyesal atas apa yang berlaku. Apa yang telah terjadi dahulu, sebenarnya berlaku secara tidak diduga. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

vi ) Sentiasa berbincang
Berbincanglah dalam semua perkara yang melibatkan kepentingan keluarga. Tetapi hal yang perlu diingat ialah cara berbincang, pemilihan masa dan tempat yang sesuai. Ketika berbincang perlu ada pihak yang menjadi pendengar yang setia. Jangan cepat memotong cakap sebelum pasangan habis bercakap. Dengar dengan teliti dan jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. (Mohd Fadli Sulaiman, 2004)

Antara tempat yang sesuai adalah di dalam bilik tidur ketika hendak tidur, restoran, tepian pantai dan pusat rekreasi. Tempat ini sebenarnya mempengaruhi pemikiran dan menimbulkan mood perbincangan. Jika tempat perbincangan tidak sesuai maka natijahnya tidak seperti yang diharapkan. Pemilihan masa pula perlu dilihat ketika cuaca dingin seperti pada waktu petang atau malam. Pastikan fikiran ketika itu berada dalam keadaan tenang dan badan tidak letih. Jangan sekali - kali berbincang ketika pasangan letih, lapar, sedih, sibuk, tertekan, terlalu gembira dan sebagainya. Ini kerana keadaan sangat mempengaruhi sesuatu keputusan yang hendak diambil. 

Bagi meningkatkan kebahagiaan rumahtangga, maka suami harus mengajak isteri untuk berbincang bersama. Tidak perlu malu dengan kekurangan yang kita miliki, kerana selaku manusia pasti mempunyai sifat kekurangan ini. Mungkin dengan cara bekerjasama antara suami isteri, maka setiap masalah dalam rumahtangga akan mudah diselesaikan. (Mohd. Isa Selamat, 1994)

Penutup
Kebahagiaan hidup sesebuah keluarga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam hubungan suami isteri. Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan melahirkan ketegangan dan konflik. Adalah tidak mustahil jika dikatakan bahawa krisis di antara suami isteri itu adalah sesuatu perkara lumrah di dalam sesebuah rumahtangga. Tetapi keadaan ini boleh diatasi dengan kebijaksanaan si suami dan dengan sokongan isterinya yang pengasih. Krisis di kalangan suami isteri merupakan suatu perkara yang lumrah berlaku di dalam sesebuah rumahtangga walau sebagaimana rukun sekalipun hubungan mereka. Sebenarnya krisis ini, biarpun kedudukannya kadang - kadang sukar diatasi, tetapi boleh memberi kesan yang positif apabila ia dikendalikan atau diselesaikan dengan baik kerana ia mampu berperanan mengeratkan lagi hubungan di antara suami isteri yang berkaitan. Bagaimanapun, jika terlalu kerap berkrisis akan menjadikan rumahtangga sentiasa bergelombang dan jika terus dibiarkan maka ia pada akhirnya akan karam juga. Oleh itu, tolak ansur dan persefahaman di antara suami isteri selalunya akan menyelamatkan keadaan dan rumahtangga akan terus kekal bahagia. 

Rujukan

  1. Mat Saad Abd. Rahman, Prof. Madya Dr. (1993). Undang - undang Keluarga Islam Aturan Perkahwinan Suatu Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa. Selangor Darul Ehsan : HIZBI Sdn. Bhd. 
  2. Mohd Fadli Sulaiman (2004). Kebahagiaan : Definisi Islam. Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. 
  3. Mohd. Isa Selamat (1994). Rumah Idaman Syurga Impian Suami Teladan. Kuala Lumpur : Darul Nu’man. 
  4. Muhammad Alwi Al - Maliki Al - Hasani (1992). Etika Dalam Rumahtangga Islam. Singapura : Pustaka Islamiyah. 
  5. Muhammad as - Sayyid Sabiq (2009). Fiqh Sunnah Jilid 4. Kuala Lumpur : Al - Hidayah Publications. 
  6. Shalih bin Ahmad Al Ghazali (2004). Romantika Rumah Tangga. Indonesia : Penerbit Buku Islam. 
  7. Haron Din, Prof. Dato’, Dr. (1992). Soal Jawab Fiqh Harian. Selangor Darul Ehsan : HIZBI Sdn. Bhd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin. blogspot. com
abdazizharjin@perlis. uitm. edu. my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 4/02/2015