Ibadah Dalam Islam

Disediakan Untuk : 
Ustaz Abd Aziz B Harjin 

Disediakan Oleh :
Mohammad Amar Arif B. Mohammad Nasir
2014454604

PENDAHULUAN

Saya Mohammad Amar Arif b. Mohammad Nasir. Di dalam tugasan ini, saya akan menulis tentang IBADAH DALAM ISLAM. Seperti yang kita ketahui, ibadah dalam Islam adalah sangat luas. Oleh itu, saya hanya akan menulis tentang beberapa jenis ibadah sahaja iaitu solat, puasa, haji, zikir dan zakat. Solat juga mempunyai pelbagai jenis solat. Antaranya solat fardhu, (Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak) Solat sunat (Sunat tahajjud, sunat taubat, sunat witir) . Jadi, saya hanya akan menulis tentang solat fardhu dan solat sunat tahajjud serta manfaat melakukannya. Manakala bagi puasa pula, saya akan menulis tentang cara bagaimana untuk melakukan ibadah puasa serta hikmahnya. Selain itu, bagi haji, saya akan menulis tentang rukun-rukun haji, syarat-syarat haji dan hikmah melakukan haji. Bagi ibadah zikir saya akan lebih menceritakan tentang pembahagian zikir serta kelebihan apabila melakukan ibadah zikir. Akhir sekali, ibadah zakat. Bagi ibadah zakat saya akan lebih menumpukan kepada jenis-jenis harta yang wajib dizakati. Semoga Allah merahmati akan kerja yang dilakukan oleh kita. InshaAllah. 

SOLAT
Pengertian Solat

Erti solat dalam Bahasa Arab, kata as-shalat bererti berdoa memohon kebaikan Allah SWT berfirman : Maksudnya : “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah at-Taubah : ayat 103) 

Maksud ayat di atas, berdoalah kepada Allah untuk mereka agar mendapat keampunan. Adapun menurut istilah pada Fuqaha’ kata as-shalat bererti : perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Disebut shalat, kerana perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan itu memuat doa dan juga kerana doa merupakan bahagian terbesar di dalamnya. 

Solat 5 waktu 

Solat 5 waktu merupakan antara ibadat wajib, hamba terhadap “khaliq ” iaitu Allah SWT yang memfardhukannya khusus ke atas umat Nabi Muhammad SAW. SOlat 5 waktu difardhukan secara langsung kepada baginda junjungan kita Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda menghadap Tuhan dalam peristiwa Israk dan Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail as sebgaimana kefardhuan dalam ibadat-ibadat lain. 
Ibadat solat juga merupakan ibadat kemuncak bagi segala ibadat seseorang hamba kepada tuhannya atau dalam ungkapan lain solat adalah yang paling penting. Solat diumpakan sebagai tiang agama Islam, sebgaimana sabda Rasulullah yang bermaksud : 

 “Solat adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya, maka di telah meruntuhkan agama ” (HR Baihaqi) 

Solat 5 waktu sehari semalam merupakan satu-satunya ibadat yang wajib ditunaikan oleh setiap individu muslim yang akil baligh lagi mukallaf. Selama mana hayatnya dikandung badan dan selama mana dia tidak ditimpa kecacatan akal fikirannya. Ini bersesuaian dengan sifatnya sebagai kemuncak bagi segala ibadat seseorang hamba terhadap Tuhannya. Maka solat merupakan yang terlebih dahulu diperiksa pada hari pengadilan di akhirat kelak mendahului peperiksaan amalan-amalan lain. Sehubungan dengan masalah ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Amalan pertama yang dihitung pada hari kiamat kelak oalah solat, sekirannya didapati baik, maka baiklah(sempurna) amalan-amalan ini. Sekiranya didapati rosak, maka rosaklah(ditolak) lain-lain amalan kebajikannya” (HR Ahmad, Abu Daud dan Nasaie) 

Ibadat solat juga merupakan wasiat terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah SAW sebelum junjungan menghembuskan nafas yang terakhir sebelum meninggalkan dunia yang fana ini. Di mana baginda bersabda dan bermaksud : “Jagalah solat, peliharalah solat dan hamba-hamba sahayamu” Tegasnya, melalui perantaraan solat ini hidup seseorang umat Islam sentiasa dalam perhubungan yang begitu erat dengan Tuhannya Allah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa 

SOLAT TAHAJJUD

Pengertian Tahajjud

Berkata Imam Syafi’e r. a : Solat malam baik sebelum tidur mahupun sesudahnya dan solat witir dinamai “Tahajjud”. 
Dan berkata sebahagian Ahli Agama :Witir itu nama bagi satu rakaat yang diasingkan dari yang sebelumnya, atau nama bagi solat yang ganjil rakaatnya. Solat sunat witir ini menjadi penutup bagi solat malam. 
Adalah Rasulullah SAW kadang-kadang mengerjakan solat sunat witir di awal malam, kadang-kadang di pertengahan malam dan kadang-kadang pula di akhir malam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Bagi siapa dariapda kamu yang merasa tidak akan sanggup bangun di akhir malam, maka witirlah kamu di permulaan malam, dan bagi siapa daripada kamu yang merasa sanggup bangun di akhir malam, maka witirlah kamu di akhir malam itu. Dan sesungguhnya, solat di akhir malam itu, dihadiri oleh para Malaikat maka malam itu lebih baik ” (HR Ahmad Muslim dan Ibnu Majah) 

Adapun solat tahajjud itu adalah suata malam yang sentiasa dikerjakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat, para ulama dan para solihin yang dijadikan “amalan wirrid”(amalan yang tersusun dengan tertib) . Allah SWT berfirman yang bermaksud :

 “Wahai orang yang berselimut. Bangunlah untuk solat di malam hari. Kecuali sedikit daripadanya, seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al Quran itu dengan bacaan yang perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan turunkan kepadamu perkataan yang berat/al Quran. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan di waktu itu lebih berkesan” (Surah al-Muzammil : ayat 1-6) 

TERJEMAAH
Diriwayatkan dari Abdullah bin umar al-Qawariri r. a, ia berkata : 

“ Aku sama sekali belum pernah lalai dari solat Isyak berjemaah. Hanya di suatu malam aku kedatangantamu, sehingga aku terlambat solat Isyak berjemaah. Setelah tamu pulang, aku pergi ke beberapa masjid di Kota Bashrah dan kudapati semua orang sudah sembahyang dan semua pintu masjid sudah tertutup

 Akhirnya aku kembali ke rumah, dan aku ingat sebuah hadis yang mengatakan bahawa solat berjemaah lebih utama dari solat bersendirian dan berpahala 27 kali ganda. Maka aku pun solat Isyak sebanyak 27 kali. 

 Kemudian aku tertidur dan bermimpi mengikuti lumba kuda dengan sekelompok orang. Kupacu kudaku demi mengejar kuda mereka, namun kudaku tetap tertinggal dari mereka. Lalu salah seorang dari mereka menoleh ke belakang, sambil berkata kepada : Jangan kau buat letih kudamu. Engkau tidak boleh mengejar kami ! Aku pun bertanya : Mengapa ? Dia menjawab : kerana solat berjemaah, sedangkan engkau solat bersendirian 

 Setelah itu aku terbangun dan aku pun diliputi oleh kesedihan yang mendalam lantaran mimpi itu ”

Menyandarkan ajaran atau amalan pada mimpi memang suatu tindakan naïf, namun mimpi Abdullah b Umar al-Qawariri itu sesungguhnya mengingatkan kita akan amalan nabi dan para sahabatnya yang sering dianggap remeh oleh umatnya kini, iaitu solat berjemaah. Diam-diam, dinamika dan aktiviti kehidupan yang kita jalani tiap hari telah membuat kita begitu pelit meluangkan waktu untuk merapatkan saf dalam solat berjemaah. Sementara itu, Allah berfirman yang bermaksud : 

 “Dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk (yakni melakukan solat dengan berjemaah) ” (Surah al-Baqarah : ayat 43) 












5
Keistimewaan Solat Berjemaah 

a) Mematuhi perintah Allah

Dengan solat berjemaah bererti seseorang telah mematuhi salah satu perintah Allah yang dibebankan kepada umat yang beriman. Dalam hal ini Allah telah menegaskan yang bermaksud :

“Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama-sama orang –orang yang rukuk” (Surah al-Baqarah : ayat 43) 

b) Mengagungkan Syiar Islam

Dengan solat berjemaah bererti menampakkan dan mengagungkan salah satu di antara syiar Islam, bahkan termasuk syiar yang paling agung. Perihal orang yang mengagungkan syiar Islam, Allah telah berfirman dalam al- Quran yang bermaksud : 

“Demikianlah perintah Allah. Dan sesiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu adalah timbul dari ketakwaan hati ” (Surah al-Haj : ayat 32) 

c) Memelihara Diri dari Syaitan 

Solat berjemaah akan menyelamatkan pelakunya dari godaan syaitan yang menjadi musuh tradisinya. Sebab syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggoda manusia, hingga dia terjerumus ke jurang neraka. Dalam hal ini Rasulullah telah menegaskan :

“Tidaklah tiga orang yang berada dalam satu kampong atau perkampungan, kemudian mereka tidak mendirikan solat berjemaah, kecuali mereka telah dikuasai syaitan. Kerana itu, hendaklah kamu selalu melakukan solat berjemaah. Sungguh serigala hanya akan memangsa haiwan ternak yang jauh dari gerombolan kawan-kawannya”
 (Kitab Shahihul Jami’, hadis yang ke - 5071) 

PUASA

Pengertian Puasa

Pengertian puasa atau Assaum dalam Bahasa Arab, ertinya menahan daripada segala sesuatu seperti menahan tidur, menahan bercakap menahan makan dan sebagainya 
Menurut istilah agama Islam, puasa ialah menahan diri daripada sesuatu yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sampai terbenam matahari dengan niat dan syarat-syarat tertentu

Syarat-syarat sah puasa

Sah atau tidaknya puasa seseorang itu adalah tergantung kepada syarat-syarat ini :
a) Islam sepanjang hari kerana puasa itu adalah suatu ibadat Islamiah maka tidak 
sah dilakukan oleh orang yang bukan Islam

b) Mumayyiz yakni dapat membezakan antara yang hak dan bathil

c) Suci daripada haid dan nifas

d) Berpuasa dalam waktu yang dibolehkan. Terlarang puasa pada dua Hari 
 Raya dan Hari-Hari Tasyrik yang tiga iaitu hari sebelas, dua belas dan tiga 
belas bulan Zulhijjah

Rukun Puasa

Yang menjadi rukun atau fardhu puasa dua perkara :

a) Berniat pada tiap-tiap malam selama bulan Ramadhan. Berniat dalam 
mengerjakan sesuatu amal yang diperintah oleh syarak adalah menjadi syarat sah atau syarat sempurnanya sesuatu amalam itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

 “Sesungguhnya segala amalan itu adalah dengan berniat dan hanya setiap manusia memperolehi sekadar apa yang diniatkannya”
 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Meneliti hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa syarak tidak mengharagai sesuatu amal melainkan dengan adanya niat dan tempat niat itu ialah di hati. 
Orang yang berpuasa diwajibkan berniat tiap-tiap malam sebelum terbit fajar dan tidak sah puasa fardhu melainkan dengan erbniat pada malam hari sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

“Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajar, tidak adalah puasa baginya”

Lafaz niat 
Niat untuk sebulan iaitu pada malam pertama daripada bulan Ramadhan ialah : “Sahaja aku berpuasa sebulan, bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala”
Niat untuk tiap-tiap malam ialah : “Sahaja aku berpuasa esok, fardhu bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala”

b) Menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar sehingga terbenam matahari. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan makan minumlah kamu sehingga nyata kepadamu benang putih dari benang hitam iaitu ”
(Surah al-Baqarah : ayat 187) 

Orang-orang yang diwajibkan berpuasa

Diwajibkan ke atas seorang :
a) Islam, maka tiadalah diwajibkan ke atas orang kafir asli 
b) Baligh (cukup umu) yakni sampai umur 15 tahun atau keluar mania tau haid
c) Berakal (tidak gila) , orang gila tidak diwajibkan berpuasa keatasnya sama sekali. 
d) Suci daripada haid dan nifas 
e) Tidak uzur atau sakit

Rahsia Puasa 

Mengurangkan kekuatan badaniah, dengan mengurangkan makan dan minum supaya dengannya tinggilah jiwa keikhlasan dan supaya bertambahlah jiwa malakiah yang bersifat dengan aneka macam sifat keutamaan dan kesempurnaan serta dengannya juga terhindarlah segala jenis penyakit jasmani yang disebabkan oleh tersalah makan atau melebihi dalam makan dan minum, kerana perut yang sentiasa dipenuhi dengan serba aneka makanan dan minuman dengan tiada berhenti-henti itu akan mendatangkan penyakit yang merbahaya kepada tubuh badan, sebagaimana 2 sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : 

“Uncang makanan itu tempat sarang penyakit dan punca segala penyakit terbit dari makan yang terlalu banyak”

“Berpuasalah kamu nescaya kamu menjadi sihat”

Puasa adalah menjadi suatu ubat penyakit fizik yang paling mujarab sebagaimana doktor-doktor pernah menasihatkan kepada mereka yang ada penyakit kencing manis, darah tinggi, dan sebagainya supaya berpuasa dengan demikian penyakit yang merbahay itu dapat dikurangi kalau tidak pun dapat dihapuskan sama sekali. Sebenarnya kebaikan berpuasa itu sudah diakui oleh seluruh tabib, doktor-doktor dan ahli-ahli bijak pandai

Hikmat Puasa 

Dalam berpuasa banyak mengandungi hikmat. Hikmat berpuasa dalam Islam ialah untuk menyiapkan kita buat memperolehi tangga takwa yang akhirnya akan mencapai darjat muttaqin. Dengan memperhatikan dan mempelajari rahsia-rahsia puasa kita mengerti bahawa Allah memfardhukan puasa ke atas kita adalah :

a) Untuk menanam rasa sayang dan belas kasihan kepada orang fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang melarat hidupnya. 
b) Untuk membiasakan diri dan jiwa memelihara amanah, kita sudah mengetahui bahwa puasa itu adalah amanah yang berat dan sukar kita memeliharanya. Maka apabila kita dapat memelihara amanah Allah dengan sempurna terdidiklah kita untuk memelihara segala amanah yang dipertanggungkan ke atas kita. 
c) Untuk menyuburkan dalam jiwa kita kekuatan menderita bila kita terpaksa menderita dan untuk menguatkan kemahuan dan kehendak kita dan untuk meneguhkan azam keinginan kita 

HAJI

Penyempurna Rukun Islam 

Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima. Ia adalah suatu ibadah yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang telah berkemampuan dengan memenuhi syarat dan rukun serta wajibnya sebagaimana yang telah ditentukan oleh hokum syarak
Haji hanya diwajibkan satu kali dalam seumur hidup. Sekiranya seseorang berjaya menunaikan haji beberapa kali maka yang lain adalah diambilkira sebagai ibadah sunat. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa Aqra’ bin Haakis bertanya kepada Rasulullah :

“Ya Rasulullah SAW, apakah haji itu wajib dilakukan tiap-tiap tahun ataupun cukup sekali sahaja ? Baginda SAW menjawab :Ya, ia hanya wajib satu kali sahaja, maka sesiapa yang mahu menambahnya diambilkira sebagai tatawwu’/sunat”
 (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Nasal) 

Pahala Mengerjakan Haji

Ibadah haji adalah suatu ibadah yang sangat menyeluruh. Maksudnya bahawa ia merangkumi ibadah hati, fizikal, harta benda, dan pengorbanan-pengorbanan lain yang begitu besar. Pahalanya pula adalah sangat besar. Di antaranya adalah bahawa haji mabrur akan mendapatkan balasan syurga dan diampuni dosanya sebagaimana ia keluar dari Rahim ibunya. Berkenaan dengan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang mengerjakan haji di Baitullah, lalu ia tidak berkata keji dan berlaku fasik, maka terhapuslah dosanya sebagaimana ia dilahirkan oleh ibunya”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Haji mabrur itu lebih baik daripada dunia dan apa yang ada didalamnya. Dan haji yang mabrur tiada balasan keculi syurga”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Syarat-syarat yang mewajibkan haji 

Seseorang dikira telah wajib menunaikan haji sekiranya telah memenuhi beberapa syarat. Di antaranya adalah :

a) Islam 
b) Baligh dan berakal sihat 
c) Merdeka yakni bukan seorang hamba abdi 
d) Kuasa, iaitu mempunyai kemampuan. Ini termasuklah bekalan bagi dirinya dan seluruh keluarga yang ditanggungnya selama ia tinggal menunaikan ibadah haji, aman perjalanannya, sihat tubuh badannya, dan mahram bagi seorang wanita 

Rukun Haji, Wajib Haji, Sunat Haji

Di dalam ibadah haji terdapat istilah rukun haji, waji haji dan sunat haji 
Rukun haji ialah sesuatu perbuatan yang apabila tidak dilakukan maka akan menyebabkan haji seseorang itu tidak sah dan perbuatan tersebut tidak boleh digantikan dengan sebarang denda. Antara rukun haji ialah :

a) Ihram (bernait mengerjakan haji) 
b) Wukuf di Arafah pada waktu yang ditentukan 
c) Tawaf Ifadhah
d) Sa’ie
e) Tahallul (bercukur atau bergunting) 
f) Tertib(berturut-turut mengikuti aturan) 

Wajib haji pula adalah sesuatu yang mesti dikerjakan, namun sahnya haji pula tidak bergantung kepadanya, kerana ianya boleh diganti dengan denda seperti dengan menyembelih kambing. Antara wajib haji ialah :

a) Ihram serta berniat haji dari miqat 
b) Bermalam di Muzdalifah 
c) Bermalam di Mina
d) Melontar di 3 jamrah 
e) Meninggalkan perakra-perkara yang diharamkan dalam ihram

Adapun sunat haji ialah sebarang perbuatan yang menjadikan haji seseorang akan sempurna. Jika tertinggal ataupun ditinggalkan maka ia tidak mencatatkan ibadah hajinya dan sekirannya dilakukan maka ia mendapat pahala dan hajinyan bertambah sempurna. Antara sunat haji ialah :

a) Mengerjakan haji dengan cara ifrad 
b) Membaca talbiah 
c) Tawaf qudum iaitu tawaf yang dilakukan oleh orang yang tiba di Mekah sebelum tiba masanya wuquf di Arafah 
d) Solat sunat tawaf dua rakaat dan lebih utama dilakukan di belakang makan Ibrahim 
e) Bermalam di Mina pada tarikh 10 Zulhijjah 
f) Tawaf wada’ yang juga disebut tawaf perpisahan, dilakukan sebaik sahaja akan meninggalkan Mekah
g) Berpakaian ihram dan serba putih
h) Berhenti di Masjidil Haram pada 10 Zulhijjah 

Hikmah Haji

Mentauhidkan Allah 

Falsafah dan hikmah lain daripada disyariatkan ibadat haji dengan mengunjungi Kaabah adalah untuk mentauhidkan Allah SWT. Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membina Kaabah dan menjadikannya sebagai tujuan manusia daripada pelbagai negara adalah untuk mentauhidkan Allah dan membersihkannya daripada segala bentuk kesyirikan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud : 

“Dan (ingatlah) ketika kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan) : ‘Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu pun dengan aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang yang tawaf dan orang yang beribadat dan orang yang rukuk dan sujud’”
 (Surah al-Haj : ayat 22-26) 
Tingkatkan Taqwa

Falsafah dan hikmah lain disyariatkan haji adalah sebagai saranan untuk peningkatan ketaqwaan. Itulah sebabnya banyak sekali disebutkan wasiat taqwa oleh Allah dalam ayat-ayat haji antaranya dalam firmanNya yang bermaksud :

“Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras seksaan-Nya” (Surah al-Baqarah : ayat 196) 

ZIKIR

Pengertain Zikir

Zikir ialah perbuatan mengingat Allah dengan menyebut kalimah-kalimah seperti Subhanallah, Alhammdulillah dan Allahuakbar sama ada dengan lidah, dengan perbuatan atau dalam hati. Ia disebut juga zikrullah (mengingati Allah ) . Zikir berperanan melembutkan hati manusia. Sebab itu sangat penting kita mengingati Allah. Bukan sahaja hati malah anggota pancaindera kita turut mengingati Allah. Lidah kita turut sentiasa basah mengingati Allah 

Pembahagian Zikir

Zikir boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu :

a) Zikir Quali

Zikir yang berhubung dengan suara dan lidah seperti menyebut Subhanallah, Alhamdulillah, atau Allahuakbar yang dapat didengar 

b) Zikir Qalbi 

Zikir yang berhubung dengar hati, iaitu hatinya sentiasa mengingati Allah dan merasakan Allah sentiasa mengawasi setiap tindak-tanduknya. Zikir Qalbi ini susah untuk dipraktikkan melainkan bagi mereka yang bersungguh-sungguh serta melalui Zikir Qauli terlebih dahulu. Selain dari itu dia mestilah memahami serta menghayati makna zikir yang diucapkannya itu. Biasanya zikir qauli yang telah menjadi darah daging, secara automatic akan beralih kepada hati. 

c) Zikir Fe’li 

Zikir Fe’li ialah seseorang yang telah bersyariat dan bertareqat ataupun seseorang yang memahami seluruh hukum hakam Allah dan terus mengamalkannya. Seluruh perbuatan yang memenuhi tuntutan syariat dan tareqat dikira berzikir samada dalam bekerja mencari rezeki, menghubungkan silaturahim, memelihara keluarga, beribadah dan berjuang serta berjihad 

Kelebihan Zikir

Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, tidur, berdiri, baring dan sebagainya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka sebutlah (berzikirlah kepada Allah) sambil berdiri, sambil duduk atau sambil berbaring”
 (Surah An-Nisa’ : ayat 103) 

Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas. Zikir boleh dilakukan walaupun tatkala sedang berhadas samada hadas kecil mahupun hadas besar. Cuma ketika berada di dalam tandas dimakruhkan berzikir secara lisan. Namun masih dibenarkan zikir di dalam hati 
Mudah dibuat, senang diucapkan dan besar pahalanya. Walaupun sedang melakukan kerja-kerja seharian namun hati boleh terus berzikir samada zikir dengan lisan mahupun di dalam hati

ZAKAT

Pengertian Zakat

Zakat menurut bahasa bererti nama’=kesuburan, thaharah = kesucian, 
barakah = keberkatan dan juga bererti tazkiyah tahhier = mensucikan. Syara ‘ memakai kalimat tersebut dengan kedua-dua pengertian ini 

Zakat sebagai Rukun Islam 

Zakat adalah salah satu rukun dan fardhu Islam, di samping hak syari’ie yang berkaitan dengan hak-hak hamba Allah, kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :
 “Dan dirikanlah, tunaikan lah zakat”  (Surah al-Baqarah : ayat 43) 

Dan Allah telah berfirman pula dalam ayat lain yang bermaksud :

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kalian membersihkan dan mensucikan mereka”  (Surah at-Taubah : ayat 103) 

Jenis-jenis Harta yang Wajib Dizakati

Wang dengan segala bentuknya yang mencakup emas, perak dan wang kertas 
Barang – barang dagangan, yang mencakup setiap sesuatu yang telah dipersiapkan sebelumnya untuk menarik keuntungan, menurut tradisi yang berlaku di kalangan para saudagar dan pedagang dengan segala jenis bentuknya yang banyak ragamnya. 
Ternak yang diklasifikasinya mencakup unta, sapi kambing dan termasuk ke dalam klasifikasi kambing iaitu kambing kacang(kambing jawa) 
Hasil pertanian dengan segala jenis dan bentuknya 
Mineral, yang diklasifikasinya mencakup setiap apa yang dikeluarkan (dieksploitasi) dari bumi, berpa benda-benda logam, seperti bijih besi, tembaga dan sebgainya

PENUTUP

Secara kesimpulannya, ibadah dalam Islam bukanlah solat semata-mata, tetapi ibadah itu sangat luas dan setiap ibadah yang dilakukan akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Semakin banyak ibadah yang kita kerjakan, semakin banyaklah pahala yang akan kita perolehi. 5 ibadat yang saya tulis di dalam tugasan ini merupakan ibadah yang selalu dilakukan oleh umat Islam. Melalui ibadahlah kita dapat membentuk jiwa yang bersih dan terhindar dari pelbagai jenis penyakit jiwa. Oleh itu, saya berharap kita akan bersama-sama meningkatkan kualiti ibadah kita supaya dapat mengelakkan diri dari terkena azab di akhirat kelak. Wallahualam. Sekian terima kasih. 

RUJUKAN

  1. Ahmad Abu Asyraf (2002) , Petunjuk solat-solat sunat dan Doa-doa matsur Nabi SAW, Pustaka Jiwa Sdn. Bhd
  2. Ahmad Kamil Syahid (2003) , Rahsia & Keistimewaan Solat Berjemaah, Jasmin Enterprise 
  3. Al Imam Al Ghazali (1995) , Rahsia serta Hakikat Ibadat Puasa dan Zakat, Al Hidayah Publication
  4. Dr. Abdullah Nashih ‘Ulwah (1988) , Hukum Zakat, Gema Risalah Press Bandung
  5. Haji Abu Mazaya Al Hafiz (2013) , Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Al Hidayah Publication 
  6. Mat Din b Ismail (1983) , Ramadan dan Ibadat Puasa, Yayasan Islam Terengganu
  7. Muhammad Abdullah al-Amin (2008) , Zikir & Doa Selawat Popular, Telaga Biru Sdn. Bhd
  8. Muhammad Al Fateh (1997) , Rahsia Zikir & Kelebihnnya, Perniagaan Jahabersa
  9. Muhd Najib Abdul Kadir (2010) , Rahsia Haji, Telaga Biru Sdn. Bhd
  10. Prof T. M Hasbi Ash-Shiddieqy (1981) , Pedoman Zakat, N. V Bulan Bintang
  11. Ustaz Seman Haji Ja’afar (2012) , Tertib Solat Lima Waktu, Ar-Risalah Product Sdn. Bhd


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P) 
04-9882597 (R) 
013-4006206 (H) 

Tarikh: 2/02/2015