Sumbangan Tamadun Islam Di Peradaban Dunia

Tajuk:
Sumbangan Tamadun Islam Di Peradaban Dunia

Nama Pensyarah :
Ustaz Abd Aziz Harjin

Disediakan Oleh : 
Norsyahirah Husna Bt Mohd Manuri
2014290738

1.0 Abstrak
Islam merupakan agama yang mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira tua, muda dan warna kulit. Islam telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia. Ilmuan seperti Ibn Sina atau Avicenna, Ibn Rushd atau Averroes dan Al-Khawarizmi telah menyumbang kepada sains dan teknologi dunia. Tamadun Islam berkembang dari Semenanjung Tanah Arab oleh Nabi Muhammad SAW. selepas menerima wahyu pertama. Kerajaan Islam yang pertama di dunia berada di Madinah semasa Baginda berhijrah ke Madinah pada tahun 622M. Kehebatan tamadun Islam telah mengubah arah kegelapan tamadun barat menjadi sebuah tamadun yang hebat hingga ke hari ini. Secara kasar tamadun Islam lebih mementingkan akhlak keperibadian mulia setiap insan tanpa membezakan setiap bangsa. Namun tamadun barat lebih mementingkan kepada keuntungan atau lebih tepat materialistik (kebendaan) walaupun soal ahklak insan terbiar. 

1.1 Pendahuluan
Ketamadunan dan peradaban merupakan ciri khas manusia yang tidak terdapat pada makhluk-makhluk yang lain. Tamadun adalah suatu istilah yang membincangkan tentang kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa dan pemerintah. Kaitan antara ketamadunan dengan kehidupan manusia jelas diungkapkan oleh Ibn Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah bahawa manusia secara tabiinya makhluk yang bertamadun atau makhluk sosial yang saling berinteraksi sesama sendiri dalam pelbagai aspek untuk memenuhi keperluan hidup mereka. 

Perkembangan sains dan teknologi yang pesat di dunia pada hari ini merupakan cetusan dan sumbangan daripada Islam. Dunia hari ini terhutang budi kepada Islam dan umatnya. Tamadun Islam yang bertapak sejak zaman Rasulullah SAW terus berkembang pesat sehingga ke seluruh pelusuk dunia. Golongan yang menjadi perintis dan banyak memberi sumbangan kepada kemajuan peradaban dunia hari ini adalah sarjana dan ulama Andalusia. Andalusia disebut sebagai anugerah tamadun Islam kepada kebangkitan Eropah khususnya dan tamadun dunia amnya. 

1.2 Perkembangan Tamadun Islam
Agama Islam telah diasaskan di Tanah Arab dan diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada 6 Ogos 610 Masihi bersamaan 17 Ramadan melalui malaikat Jibril di Gua Hira. Proses penyebaran Islam oleh baginda SAW menghadapi tentangan daripada golongan Quraisy Mekah. Baginda menerima jemputan untuk berhijrah ke Madinah pada 12 September 622 Masihi bagi melindungi dan menyebarkan Islam. Ajaran Islam disebarkan ke seluruh Tanah Arab dan seterusnya ke seluruh dunia dari Madinah. Agama Islam mengandungi dua aspek penting iaitu akidah dan syariah. Akidah meliputi kepercayaan seluruh jiwa dan raga manusia terhadap keesaan Allah SWT. Syariah pula meliputi undang-undang dan hukum Islam yang terkandung dalam kitab suci Al Quran dan Sunnah (Hadis). 
Kelahiran Islam di Mekah dan kemunculan kerajaan Islam pertama di Mainah adalah merupakan titik bersejarah lahirnya satu tamadun baru yang merubah sejarah dunia selama-lamanya. Tamadun ini Berjaya merubah corak dan budaya hidup masyarakat jahiliah dan geo-politik dunia. Hasil daripada asuhan dan bimbingan Rasulullah SAW serta para sahabat ra, penduduk Tanah Arab yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan budaya telah berjaya disatukan dengan ikatan akidah dan ukhuwah Islamiah. Dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam bermula dari abad ke-7 hingga abad ke-18 Masihi. Kejayaan dan kegemilangan yang dicapai tamadun adalah berasaskan kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam ajaran Islam sendiri. Penumpuan umat Islam terhadap kitab suci Al Quran menjadi punca serta asas kemajuan umat dan tamadun Islam. 

2. 3. 1 Sumbangan dan Perubahan yang dilaksanakan Rasulullah SAW
Akidah

Rasulullah SAW telah membawa perubahan yang besar dalam aspek akidah. Sebahagian besar masyarakat Arab menyembah agama berhala yang membawa konsep berbilang Tuhan berubah kepada akidah mentauhid serta mengesakan Allah SWT dan menolak sebarang penyekuatan terhadap Allah SWT dalam sebarang bentuk semasa zaman jahiliah. Perubahan ini merupakan perubahan yang besar dan agak sukar untuk ditanam dalam kalangan masyarakat Arab yang sejak zaman berzaman menyembah bermacam-macam berhala yang dijadikan sebagai tuhan mereka. 
Akhlak

Di samping itu, baginda SAW juga telah bertungkus lumus untuk memperbaiki akhlak masyarakat Arab supaya selaras dengan ajaran Islam. Baginda SAW telah menekankan konsep tolong menolong, hormat menghormati, kasih mengasihi, lebih mementingkan orang lain berbanding diri sendiri, suci diri, rela berkorban, bertindak menentang adat istiadat serta pegangan masyarakat yang membawa kesan buruk terhadap masyarakat seperti semangat fanatik kepada suku kaum, dengki mendengki, dendam mendendami, bangga membangga, dan lain-lain yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pada masa itu. 
Sosial

Rasulullah SAW berjaya menyusun dan mengatur stratifikasi sosial Arab daripada negatif kepada positif. Kehidupan mereka menjadi aman dan tenteram tanpa sebarang perbalahan lagi. Persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar sehingga masing-masing sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentingan bersama. Bagi merealisasikan konsep persaudaraan secara lebih berkesan, Rasulullah SAW mewujudkan institusi masjid. Ia berfungsi sebagai pusat ibadat khusus sekaligus markas, sekolah, parlimen, tempat menerima tetamu, tempat musafir bermalam dan tempat menyelesaikan sebarang masalah. 
Dakwah

Rasulullah SAW memberi perhatian serius dalam bidang dakwah. Setelah kedudukan Madinah stabil, baginda SAW bertindak mengirim para pendakwah ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab dan negara-negara yang berjiran mengajak mereka kepada Islam. Baginda SAW selaku guru telah memberi latihan intensif kepada para pendakwah terutama dalam membaca ayat-ayat Al Quran supaya ia dapat diterima dan disebarkan dengan baik. 
Senibina

Titik permulaan senibina Islam telah bermula dengan terdirinya masjid pertama di dalam Islam iaitu Masjid Quba’. Rasulullah SAW juga membina rumahnya sendiri di Madinah di atas sebidang tanah yang luasnya 100 hasta persegi. Baginda SAW juga turut terlibat secara langsung di dalam pengajian parit bagi membina kubu di dalam Perang Khandak. Baginda juga telah terlibat dalam pembinaan semula Kaabah apabila runtuh di landa banjir. 
Pendidikan

Rasulullah SAW telah mengambil inisiatif utama sehingga tertubuhnya institusi pendidikan Islam sebaik sahaja Baginda SAW berhijrah ke Madinah. Dari Madinah ilmu pengetahuan dan pendidikan disebarkan ke seluruh ceruk rantau wilayah Islam. Baginda juga menghantar guru-guru untuk mengajar di seluruh wilayah Islam di Semenanjung Tanah Arab untuk menjadikan semua kabilah badwi dan yang lainnya berilmu dan berpendidikan khususnya di dalam memahami Al Quran. 

Akhirnya sebuah negara dapat dibangunkan di Yathrib (Madinah). Sejak daripada itu, tamadun Islam mula bertunas di mana pemerintahan Islam silih berganti daripada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar r. a sehinggalah kerajaan-kerajaan yang telah memperlihatkan kegemilangan tamadun Islam dalam pelbagai bidang. 

Selepas kewafatan Baginda SAW pada tahun 632 Masihi, kerajaan Islam di pimpin oleh para sahabat yang di kenali sebagai khulafa’ al-Rasyidin. Zaman ini bermula daripada tahun 632 Masihi sehingga 661 Masihi dan ditadbir oleh empat orang khalifah. Setelah itu, kerajaan Islam di pimpin oleh kerajaan Bani Umayyah, seterusnya, kerajaan Bani Abbasiyah dan kerajaan Bani Uthmaniyyah. 

2. 3. 2 Sumbangan Tamadun Islam
Tamadun Islam khususnya Andalusia telah memberikan sumbangan yang begitu besar terhadap peradaban dunia amnya dan tamadun Eropah khususnya merangkumi aspek pemikiran, spiritual, dan fizikal. Antara sumbangan mereka ialah:

Spiritual
Sumbangan yang paling besar ialah dari segi agama kerana agama Islam membawa akidah yang menjadi aspirasi dan motif penggerak tamadun. Islam juga menyediakan undang-undang dan peraturan hidup manusia untuk menunjuk ajar dan memberi kaedah yang jelas kepada asas pembinaan tamadun. Aspek akhlak pula menjadi asas pembinaan peribadi yang luhur. Dengan ketibaan ajaran Islam, masyarakat Eropah tidak lagi terikat dengan kawalan atau sekatan Paus gereja Rom. Bukan sahaja mereka tidak menghormati institusi gereja bahkan mereka menentangnya (Mahayudin, 2001)

Definisi spiritual bukan bermaksud orang-orang Andalusia dan Eropah umumnya dipaksa memeluk Islam sebaliknya Islam memberi kebebasan mutlak kepada mereka untuk memilih pegangan dan kepercayaan masing-masing. Justeru itu, tidak semua masyarakat Andalusia menganut Islam tetapi ada yang masih kekal dalam agama Kristian atau Yahudi. Malahan dalam beberapa peristiwa mereka pernah menimbulkan masalah kepada pemerintahan Islam. Walaupun demikian, dengan kebijaksanaan para khalifah Islam kebanyakan mereka tunduk dan patuh kepada kerajaan Islam dan turut bersama-sama membangunkan Andalusia. Mereka ini dikenakan pembayaran jizyah. Masyarakat Kristian dan Yahudi mempunyai hubungan yang sangat erat dengan orang-orang Islam dan amat menghormati adat-istiadat orang-orang Arab Islam. Kebaikan yang ditonjolkan oleh orang-orang Islam menyebabkan ada di antara mereka yang menganut agama Islam. 

Politik
Islam telah memperkenalkan cara pemerintahan Islam yang adil kepada semua rakyat meskipun berbeza agama dan keturunan. Sebagai penghormatan kepada orang bukan Islam dilantik ketua-ketua daripada kalangan mereka yang dipanggil Comes. Mereka juga mempunyai hakim yang menyelesaikan masalah yang timbul dikenali sebagai Qadi al-Ajam (Wan Kamariah Leman & Mazlah Yaacob, 1997 ). Tamadun Islam mengemukakan kepada peradaban manusia sistem pemerintahan dan konsep kepimpinan yang meletakkan tanggungjawab secara keseluruhannya berasaskan perspektif syariah untuk tujuan kemaslahatan yang kesannya dinikmati manusia di dunia dan di akhirat secara bersama. Hal ini kerana ia pada hakikatnya tanggungjawab untuk menjaga agama dan menguruskan dunia dengan agama. 

Sistem pemerintahannya teratur, sama ada di bidang eksekutif atau kehakiman. Semua keputusan pengadilan tercatat dan dibukukan dengan baik. Senario ini menyebabkan ramai orang Arab, Barbar, Mozarab dan Muwalladun penduduk Andalusia dapat hidup berdampingan serta saling membatu dalam proses pembangunan sehingga Andalusia mencapai tingkat kemakmuran yang tinggi. Dalam melaksanakan sistem pemerintahan yang berasaskan permusyawarahan, pemerintah eksekutif didampingi oleh satu dewan permesyuaratan iaitu majlis syura. Anggota majlis ini terdiri daripada para cerdik pandai dan wakil-wakil masyarakat. Tugasnya ialah memberi nasihat dan mengawal penguasa eksekutif dalam menjalankan tugas pemerintahan

Ekonomi
Kedatangan orang Islam ke Andalusia berjaya mengasakan satu bentuk baru yang dikenali sebagai ekonomi Mediteranean melalui sistem perladangan, perindustrian, dan perdagangan. Orang-orang Islam sememangnya terkenal dalam bidang perdagangan dan perniagaan telah menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka dalam mengembangkan pengaruh Islam ke Eropah. Mereka mendirikan kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang beroperasi mengimport barang-barang dari seluruh pelosok dunia.. 

Hubungan perdagangan dengan Eropah dilakukan melalui jalan darat manakala dengan Asia dan Afrika melalui jalan laut. Bandar-bandar pelabuhan di Andalusia menjadi tumpuan kapal-kapal dagang Asia seperti Venice, Itali dan Iskandariah. Hal ini membawa kepada perkembangan ekonomi yang pesat kepada Andalusia. Manakala di sektor pertanian, orang-orang Islam memperkenalkan metod-metod baru seperti pembinaan empangan, sistem saliran, tali air, jambatan dan jalan-jalan yang lebih baik di seluruh Andalusia meliputi suatu kawasan yang luas seperti Toledo, Cardova, Marseille dan Valancia. Sistem perairan sedia ada diperbaiki dan diperkemaskan sehingga memberi peluang maksimum kepada para petani (Wan Kamariah & Mazlah, 1997). 

Tanaman buah-buahan seperti delima (Arab) dan limau (India) diusahakan lebih giat. Industri ulat sutera yang dipelihara di atas daun-daun tut atau farsad (pokok keratu-mulberry) diperkenalkan untuk eksport. Hasil tanaman kapas dikeluarkan di Andalusia sejak abad ke-9 Masihi. Pokok-pokok jut yang dibawa dari cina ditanam untuk dibuat tali dan kertas. Tebu dan manisan lebah yang diperoleh daripada lebah yang dipelihara telah memberikan hasil lumayan kepada pengusaha. Menurut catatan Arib bin Said dan Razi, Andalusia ketika itu merupakan pengeluar gula utama. 

Kitab al-Arwa oleh abu al Hasan al Qurtubi mengandungi kalendar pertanian dan Kitab al-Fihah oleh Abu al-Qasim al-Suhrawi menjadi bahan rujukan penting dalam bidang pertanian ketika itu. Tulisan Abd al Rahman bin Wafid al-Lakhmi menjadi rujukan untuk pertanian di dunia Islam dan Barat. Ia diterjemahkan ke bahasa Catalan dengan tajuk Agrucultura General pada tahun 1513 Masihi oleh Alfonso de Herrera. Ibn Wafidmenjadi penjaga Taman Botanikal Di Raja di Toledo. Terdapat banyak lagi kerja-kerja yang dihasilkan mengandungi pengajian umum mengenai pertanian, penggunaan tanah dengan lebih sistematik, air dan tumbuh-tumbuhan supaya ia tidak memberi kesan buruk kepada sistem ekologi. 

Senibina
Perkembangan seni Islam telah mencapai taraf yang tinggi. Seni Islam merupakan gabungan atau sintesis unsur-unsur berlainan daripada pelbagai kawasan di dunia. Namun begitu senibina Islam tetap kekal dengan identitinya yang unik dan tersendiri. 

Di Andalusia, bandar-bandar dan kawasan-kawasannya diperindah dan dilengkapi dengan binaan masjid-masjid, istana, pasar, tempat-tempat mandi dan tembok-tembok yang mempunyai pintu-pintu besar di sekelilingnya di samping kemudahan-kemudahan lain. Masjid dan istana merupakan pusat segala aktiviti, justeru itu binaan dan hiasannya diberi tumpuan istimewa. Seni hias menjadi satu elemen penting di Andalusia dan di mana sahaja tempat umat Islam sampai sama ada di Kufah, Basrah, Afrika dan Asia Minor. Unsur-unsur alam menjadi pilihan utama masyarakat Islam dalam menghias tempat-tempat tersebut. Pemerintah-pemerintah kebiasaannya memberi galakan dengan mengupah sesiapa sahaja sama ada orang Islam atau bukan Islam yang mempunyai bakat dalam seni hiasan untuk mencapai keindahan paling maksimum. 

Orang-orang Islam juga membina monumen-monumen peringatan dengan bentuk dan ukiran yang cantik. Barang-barang seperti pinggan mangkuk, kotak barang, cincin, jubah semuanya turut dihias indah. Walaupun terpengaruh dengan corak dan gaya timur tetapi seni di Andalusia mempunyai ciri keperibadiannya yang tersendiri dikenali sebagai Hispano-Mauresque. Pada masjid dan istana dibina menara-menara, gerbang arca dan pintu-pintu yang dihias ukiran tembaga. Contohnya Masjid Cordova, al-Cazan dan Giralda di Seville dan masjid al-Hambra di Granada. 

Sains dan Teknologi
Kaedah sains merupakan sumbangan terpenting umat Islam kepada barat selain daripada penemuan dan penciptaan yang berbagai-bagai. Prof. Ismail al-Faruqi menjelaskan di antara kaedah tersebut adalah istidlal (pembuktian yang melibatkan pemerhatian data dan pengujiannya melalui eksperimen), itiqra (membiarkan data menjelaskan dirinya sendiri) dan istinbat (kaedah analisis, mengeluarkan daripada data makna yang tersirat di dalamnya). Kaedah saintifik ini merupakan sesuatu yang baharu di dalam dunia sains Barat yang pada masa itu hanya bergantung pada kaedah spekulasi tamadun Yunani. Kaedah yang diilhamkan oleh kitab suci al Quran ini telah digunakan para saintis Islam yang masyhur seperti Jabir Ibn Hayyan, Ibn al-Haitham, al-Biruni, Ibn Sina dan lain-lain lagi. 

Antara sumbangan besar para saintis muslim di dalam bidang sains dan teknologi ialah memulakan tradisi menjalankan uji kaji yang teliti dan teratur. Mereka tidak terikat atau terpengaruh dengan keterangan dogmatis. Teknik uji kaji telah dilaksanakan secara meluas di universiti-universiti Islam. Buku- buku yang dihasilkan oleh sarjana-sarjana muslim kekal relevan hingga kini dan teori-teori yang mereka utarakan adalah tepat atau hampir tepat (Azam, 2008). 

Masyarakat Eropah memperoleh banyak teknologi baru hasil daripada kedatangan orang-orang Islam di Sepanyol menerusi Perang Salib. Contohnya kompas, walaupun berasal dari China tetapi menurut sarjana Barat ia telah diperkenalkan oleh orang-orang Islam. Para pelaut Islam telah menjelajahi lautan dari Kilwa di Afrika Timur hingga ke Selat Melaka sejak daripada abad ke-6 Masihi. Teknologi membuat kertas di Eropah dikatakan berasal dari negeri China melalui perantaran kerajaan Islam Sepanyol pada abad ke-13 Masihi. Manakala teknologi asid nitrik iaitu bahan penting industri logam terutamanya dalam memisahkan logam bes daripada emas dan perak diambil daripada tamadun Islam pada abad ke-14 Masihi (Sabri, 2008). 
Intelektual

Bidang intelektual mendapat peruntukan terbesar. Boleh dikatakan hampir setiap bandar dan daerah, sekolah-sekolah dan institusi pengajian dibina untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menerima pendidikan secara percuma. Situasi ini turut menjadi tumpuan masyarakat Eropah untuk menimba pelbagai disiplin ilmu yang tidak mungkin diperolehi di negara mereka sendiri. Selain daripada itu, istana-istana khalifah atau gabenor turut dijadikan pusat pertemuan cerdik pandai untuk berbincang dan mencari formula-formula baru bagi meninggikan lagi tahap pendidikan sedia ada (Wan Kamariah &Mazlah, 1997). 

Semasa berada di bawah pemerintahan Islam, Andalusia mencapai kedudukan peradaban paling tinggi pada kaca mata dunia Kristian dan lainnya iaitu daripada tahun 710 Masihi hingga kurun ke-10 Masihi semasa di bawah pemerintahan hakam II dan Abdul Rahman III serta wazir-wazir mereka khususnya, Andalusia telah memainkan peranan penting di Eropah dan Afrika. Zaman pemerintahan Hakam II merupakan zaman keemasan Andalusia dalam bidang intelektual. Di kebanyakan bandar besar terdapat universiti dan di bandar kecil terdapat sekolah-sekolah. Antara bidang keintelektualan yang cukup pesat perkembangannya di Andalusia ialah: 

Falsafah
Umat Islam Andalusia bejaya menyepadukan antara ilmu falsafah kuno(Yunani) dengan ilmu falsafah baru(Islam). Ahli-ahli falsafah kurang mendapat tempat di dalam masyarakat Islam Andalusia tetapi keadaan ini tidak menghalang ilmu falsafah daripada berkembang kerana kegiatan ahli falsafah sentiasa mendapat perlindungan dan galakan daripada pemerintah. Antara ahli falsafah Andalusia yang terkenal di dunia ialah Abu Bakar Muhammad bin Malik bin Taufail. Ibn Rushd adalah salah seorang ahli falsafah Islam paling terkenal di dunia Barat dan beliau menduduki tempat kedua di dalam dunia falsafah selepas Aristotle. Dengan usaha beliau, karya Aristotle menjadi terkenal di dunia Barat. Kitab Tahufat al-Tahufat karya beliau masih dipelajari dan menjadi bahan kajian di institusi-institusi pengajian tinggi di Barat. 
Astronomi
Walaupun ilmu astronomi dicurigai masyarakat umum, namun Andalusia tetap berjaya melahirkan ramai ahli astronomi terkenal dan ilmu ini turut mendapat tempat di sini. Hal ini disebabkan oleh sebab mereka mendapat galakan daripada pemerintah dalam menjalankan kajian dan pencerapan astronomi. Salah satu tempat yang digunakan sebagai kajian pencerapan angkasa lepas ialah di menara masjid. Seterusnya sebuah lagi balai cerap yang dikenali sebagai Giralda dibia berhampiran Masjid Seville pada tahun 1190 Masihi. 

Para sarjana astronomi Islam telah mencipta pelbagai alat astronomi yang belum diketahui oleh dunia sebelum ini. Contohnya astrolab yang digunakan oleh orang Eropah sehingga kurun ke-12 Masihi untuk menentukan saiz bumi dengan lebih tepat dengan cara yang dilakukan oleh orang Greek sebelumnya. Antara ahli astronomi Andalusia yang terkenal ialah Abu al-Qasim Ahmad bin Abdullah al-Jafiqi, Abu Ishaq Ibrahim bin Yahya, Ma Sha allah, al-Farghani, Abu Ma syar, Maslamah al-Majriti, al-Zarqali, Jabir bin Aflah dan al-Bitruji ialah seorang ahli astronomi mutakhir Andalusia yang ulung dan merupakan murid Ibn Tufail. Beliau menghasilkan kitab al-Hai’ah yang menandakan kemuncak pergerakan anti-Ptolemy di kalangan ahli-ahli astronomi Islam telah meninggalkan kesan yang besar dalam bidang astronomi seterusnya memberi laluan kepada generasi kemudian untuk membuat kajian dan penyelidikan. 

Matematik
Sarjana Islam Andalusia telah memperkembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang matematik sehinggakan mereka berjaya menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu daripada orang Yunani terutamanya dalam bidang algebra dan trigonometri (Russanani, 2006). Orang-orang Islam telah mempersembahkan kepada dunia ilmu algebra dalam bidang geometri (Wan Kamariah & Mazlah, 1997). Jabir b. Aflah telah mengasaskan ilmu algebra, beliau mempelajari hasil-hasil karya Teodoro, Aristoro dan Autolico serta menghasilkan karya-karya mengenai astronomi dan matematik. Beliau juga telah mengemukakan beberapa formula baru yang amat dihargai oleh ahli-ahli matematik mutakhir melalui buku trigonometrinya (Russanani, 2006). 
Al-Karmani, Abu al-Hakam Amr bin Abd Rahman bin Ahmad bin Ali juga banyak menghasilkan karya dalam bidang ini terutamanya bidang arithmetik (Maruwiah, 2003). Individu lain yang masyhur ialah al-Khawarizmi. Beliau memperkenalkan persoalan darab dan bahagi mengikut cara algebra. Bukunya al-Jabar wa al-Muqabala telah digunakan di eropah sehingga abad ke-16 Masihi. Usaha al-Khawarizmi disempurnakan lagi oleh Umar bin Brahim al-Khayyam. Sumbangan al-Khawarizmi yang lain ialah angka sifar yang akhirnya digunakan dengan begitu meluas sama ada oleh sarjana Islam ataupun Barat. 

Kimia
Sumbangan sarjana Islam dalam bidang kimia amat penting kerana mereka berjaya memperbaiki pengetahuan kimia orang Greek. Abbas bin Firnas berjaya menemui teknik menghasilkan kaca daripada kristal dan percubaan beliau untuk menghasilkan guruh dan kilat di makmalnya. Selain daripada itu, beliau adalah orang yang pertama membuat percubaan terbang di angkasa menggunakan sayap, tokoh kimia yang lain, Jabir (Geber) berjaya menemukan asid sulfurik, asid nitrik dan asid nitro muriatic di samping mencipta sejenis alat dipanggil alambique yang digunakan untuk mengeksploitasi pokok-pokok dalam dalam hutan bagi mendapatkan getahnya. 

Perubatan
Sarjana Islam Andalusia berjaya menghasilkan kemajuan yang amat membanggakan dalam bidang ini dan kejayaan mereka mengatasi pencapaian ahli-ahli perubatan Timur. Berdasarkan teori-teori baru, ahli-ahli perubatan Islam Andalusia telah berjaya melakukan eksperimen-eksperimen yang sukar. Mereka sentiasa berhati-hati di dalam semua operasi yang dilakukan khususnya di dalam pelbagai cabang ilmu kedoktoran dan mereka telah menghasilkan karya-karya perubatan yang dilengkapi dengan ilustrasi alat-alat pembedahan. Inilah sumbangan terbesar sarjana perubatan Islam dan dunia perubatan moden terhutang budi kepadanya. Orang Yahudi mempelajari ilmu perubatan daripada sarjana Islam dan mereka terkenal di merata-rata tempat. 

Selain daripada itu, para sarjana perubatan menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti seluruh Andalusia. Mereka bertanggungjawab menganugerahkan diploma atau ijazah kepada para pelajar yang tamat pengajian kedoktoran. Seseorang itu tidak dibenarkan mengajar atau mempraktiskan ilmu kedoktoran tanpa diploma atau ijazah berkenaan. Banyak hospital awam didirikan di semua bandar utama di Andalusia hasil daripada ramainya pakar perubatan Islam yang lahir di sini. Contohnya pada zaman pemerintahan para khalifah Bani Umayyah terdapat lebih kurang 40 buah hospital di Cardova. Di antara sarjana perubatan Islam Andalusia yang terkenal ialah Abu al- Qasim Khalaf bin Abbas al-Zahrawi, Abd. Rahman Ishaq bin Haitham, Ibn Zuhr, Ibn Rushd, Ibn al-Khatib dan lain-lain lagi. 

Geografi dan Kartografi
Zaman keemasan dan andalusi dalam bidang geografi ialah pada abad ke-10 dan ke-11 Masihi kerana pada masa itu muncul beberapa orang ahli geografi terkenal seperti al-Bakri, Ibn Jubair, al-Zuhr, al-Idrisi dan lain-lain. Abu Ubaid Abdullah bin Abd Aziz al-Bakri atau al-Bakri telah menghasilkan beberapa buah karya geografi seperti Kitab al-Masalik wa al- Mamalik dan sebuah kamus geografi bertajuk Mu’jam ma Isti’jam (russanani, 2006). Tebalnya kitab al-Masalikwa al-mamalik (buku mengenai jalan-jalan dan kerajaan-kerajaan) berjilid-jilid. Malangnya hanya sebahagian sahaja daripada bukunya yang dapat dijumpai pada masa kini (Nourouzzaman, 1986). 

Ahli geografi Islam Andalusia juga memberikan sumbangan yang besar dalam penghasilan peta atau kartografi. Al-Idrisi atau nama sebenar abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Abdullah bin Idrisi al-Syarif merupakan seorang sarjana geografi Islam paling terkenal di Barat. Beliau telah mengembara ke seluruh dunia Islam dan Eropah serta talah menghasilkan peta glob berkenaan dengan kawasan-kawasan dunia yang diketahui manusia. Glob yang berbentuk bulat telah menjadikan beliau terkenal di kalangan ahli-ahli geografi Islam. Di samping itu sarjana Islam Andalusia turut memberikan sumbangan dalam bidang geografi-astronomi dan geografi matematik, mereka mengembangkan idea yang mengatakan bumi ini berbentuk sfera (Russanani, 2006). 

Ilmu-ilmu lain yang turut diperkenalkan oleh sarjana Islam ialah Zoologi, fizik, kesusasteraan dan lain-lain Hasil kemajuan yang dicapai oleh oleh orang Islam Sepanyol menarik minat orang Barat untuk mempelajari ilmu pengetahuan bangsa Arab. Hal ini menyebabkan mereka mendirikan sebuah sekolah di Paris bagi mempelajari bahasa-bahasa Timur pada abad ke-12 Masihi. Mereka meniru cara mempelajari ilmu pengetahuan seperti yang dilakukan oleh sarjana-sarjana Islam iatu melalui perbahasan. Daripada bangsa Arab juga orang Eropah mengetahui cara membuat gula, sutera serta cara membuat dan menggunakan pedoman. Orang Arab amat terkenal tentang kemahiran mereka dalam ilmu peperangan dan membuat kapal terbang. Angkatan laut Islam di lautan Mediterranean menjadi contoh kepada angkatan laut nagara Kristian. Antara kitab Arab yang diterjemah daripada bahasa Greek diterjemahkan pula oleh orang Eropah ke dalam bahasa mereka ialah Geografi Butlaimus, Geometri Ilkidius dan Falsafah Aristotle (Modul Pembelajaran Kursus Pemikiran dan Tamadun Islam). 

4. 0 Penutup
Intihanya, jelaslah bahawa kedatangan Islam di peradaban dunia telah memberi kesan yang amat besar dan meluas dalam kehidupan masyarakatnya sehingga telah berjaya merealisasikan ajaran dan tuntutan Islam dalam kalangan mereka secara berkesan sekaligus dapat mengangkat martabat mereka kepada tahap yang lebih baik dan bermaruah. Keadaan tersebut berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan mereka baik dalam kalangan individu, keluarga ataupun masyarakat. 

Kedatangan Islam telah membawa perubahan menyeluruh kepada sistem kehidupan masyarakat di peradaban dunia seperti akidah atau agama, sosial, politik, pemikiran, perundangan, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Namun, masih terdapat sebahagian bentuk budaya atau adat dari pengaruh Hindu sebelumnya diamalkan seperti adat bersanding dalam majlis perkahwinan dan lain-lain lagi. 

5. 0 Rujukan
1. Mohd Shauki Abd Majid (2006). Wacana Ketamadunan dalam Masyarakat Islam Hadhari. Kuala Lumpur : iBook Publication Sdn. Bhd. 

2. Ali Abdullah Al-Daffa’ (1992). Sumbangan Islam Dalam Bidang Matematik, penterjemah Amin Senin. Kuala Lumpur : Ampang Press Sdn. Bhd. 

3. Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain (1985). Pengenalan Tamadun Islam dalam Sains dan Teknologi. Kuala Lumpur : Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

4. Zulkifli Dahalan et. al (2009). Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam. Shah Alam : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi MARA Shah Alam. 

5. Hassan Langgulung (1986). Pengenalan Tamadun Islam dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

6. Sulaimi Hassan (2006). Azam & Baterah. Ampang : Communication Sdn. Bhd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com