Hijrah Nabi Muhammad Saw Ke Madinah

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Maizatul Asyirah Binti Makhtar
2014684868
PENDAHULUAN
Hijrah telah memberi satu impak yang besar dalam tamadun Islam. Hijrah dikaitkan dengan hijrah ke Madinah, hijrah ke Habsyah dan hijrah ke Taif. Walaubagaimanapun, di dalam tugasan ini saya akan mengetengahkan tentang hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Hijrah merupakan perkataan Arab yang bermaksud pindah. Hijrah adalah perpindahan yang berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam konteks Islam, hijrah didefinisikan sebagai perpindahan umat Islam dari Kota Mekah ke Madinah untuk memperkukuh kedudukan Islam. Hijrah adalah strategi baru yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah Islam yang turut menegakkan kebenaran dan meninggalkan perbuatan jahat. Antara faktor yang menjadi pencetus kepada peristiwa hijrah adalah perintah Allah menerusi wahyuNya yang menyeru supaya Baginda segera berhijrah. Selain itu, jemputan daripada masyarakat Arab Madinah yang sedang menghadapi pelbagai konflik. Khususnya, suku Aus dan Khazraj yang sering bergaduh sesama sendiri. Hijrah juga bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam.

Dalam tugasan ini, sejarah daripada permulaan hijrah dan segala kesulitan yang dihadapi akan diperjelaskan dan diketengahkan. Hijrah yang bermula dengan perjanjian Aqabah Pertama dan Kedua diteruskan dengan Nabi Muhammad SAW memerintahkan sahabat-sahabatnya berhijrah ke Madinah. Baginda hanya berhijrah setelah menerima perintah Allah bersama Abu Bakar. Sepanjang perjalanan, pelbagai kesukaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan Abu bakar sebelum tiba di Madinah. Hijrah telah membawa pelbagai perubahan seperti wujud perpaduan antara penduduk-penduduk Madinah, khususnya Aus dan Khazraj. Selain itu, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar serta berlakunya pembinaan masjid kesan daripada peristiwa hijrah. Pemilihan tajuk hijrah ke Madinah adalah untuk mengingati sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam. 

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA HIJRAH KE MADINAH
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada peristiwa hijrah. Namun, faktor utama yang membawa kepada hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah ialah perintah Allah menerusi wahyuNya. Dalam Surah Al-Anfal, ayat 30 yang bermaksud:

“Dan ingatlah wahai Muhammad, ketika orang-orang bukan Islam Mekah menjalankan tipu daya ke atasmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. ”
Dalam wahyu ini, Allah telah mengkhabarkan kepada Nabi Muhammad SAW tentang niat orang Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Penurunan wahyu ini telah mempercepatkan penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah.

Selain itu, hijrah juga bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Berlaku penentangan hebat daripada orang Quraisy Mekah terhadap Islam. Sejak hari pertama kelahiran Islam, mereka sudah menentangnya. Walaupun Rasulullah SAW berusaha sekuat tenaga untuk menyampaikan Islam kepada penduduk Mekah, tetapi penduduk yang zalim itu tetap ingin mempertahankan kekafirannya. Mereka memandang perbuatan bertindak memerangi Islam sebagai perkara yang harus dilakukan untuk mempertahankan kedudukan mereka dalam ekonomi kerana kewujudan Islam telah mengancam perniagaan berhala mereka. Jelaslah bahawa dakwah Rasulullah SAW di Mekah mengalami kesulitan.

Namun, ia bukan bererti hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah adalah kerana orang Islam kecewa dengan penentangan tersebut dan melarikan diri ke Madinah. Sebaliknya, ia merupakan strategi baru Nabi Muhammad SAW dalam mengembangkan Islam. Nabi Muhammad SAW terus melaksanakan tugas menyampaikan dakwah Islam di Madinah. Allah telah berfirman mengenai tugas Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam dalam Surah al-Juma’ah, ayat 2 yang bermaksud:
“Dialah yang mengutuskan kepada kaum buta huruf seorang Rasul di antara mereka, membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya dalam kesesatan yang nyata. ”

Akhir sekali, hijrah Nabi Muhammad SAW adalah disebabkan jemputan masyarakat Arab Madinah. Di Madinah, kebencian antara dua kabilah besar penduduk Madinah iaitu Aus dan Khazraj telah banyak menumpahkan darah mereka dan sibuk menjatuhkan satu sama lain sehingga terjadilah peperangan terus menerus. Bagi orang yang masih boleh berfikir dengan rasional, mereka menyesali semua perbuatan ini dan berharap ada pertolongan akan tiba untuk menghentikan semua ini. Mereka juga mengharapkan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi Muhammad SAW untuk memimpin mereka. Setelah mereka menemui Nabi Muhammad SAW dan memeterai Perjanjian Aqabah Pertama dan Kedua, wakil Nabi Muhammad SAW di Madinah iaitu Mus’ab telah menghantar surat kepada Nabi Muhammad SAW untuk menjemput Baginda ke Madinah. 

PERMULAAN HIJRAH KE MADINAH
Berlaku perubahan besar dalam perjuangan Nabi Muhammad SAW apabila baginda telah Berjaya menarik beberapa orang daripada suku Khazraj untuk mengenali Islam. Disinilah bermulanya Islam tersebar di kalangan orang Madinah. Suku Khazraj telah datang ke Mekah untuk menunaikan haji dan pada ketika itu mereka berada di sebuah tempat bernama Aqabah. Nabi Muhammad SAW datang menemui mereka dan menggunakan kesempatan itu untuk berdakwah dan membaca al Quran kepada mereka. Apabila mendengar bacaan al Quran daripada Nabi Muhammad SAW, mereka berbincang sesama sendiri. Mereka berkata bahawa inilah yang Yahudi di Madinah mengancam mereka. Orang Yahudi adalah satu per tiga daripada penduduk Madinah, manakala selebihnya adalah Aus dan Khazraj. Berlaku perebutan kuasa di antara ketiga-tiga kabilah ini. Apabila Yahudi merasakan seperti mereka diancam oleh Aus dan Khazraj, mereka berkata kepada kabilah Aus dan Khazraj;
“Allah akan segera mengutus nabiNya untuk kami ikuti dan bersama dia kami akan memerangi kalian seperti yang pernah dilancarkan terhadap A’ad dan Iram!”

Kata-kata yang dilemparkan oleh orang Yahudi sangat mengelirukan kerana sebaliknya orang- orang Yahudi merupakan golongan yang sangat membenci Islam dan mengingkari nabi yang dikatakan oleh mereka. Setelah mendengar dakwah Nabi Muhammad SAW di Aqabah, Khazraj berkata sesama sendiri bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang disebut-sebut oleh orang Yahudi. Mereka mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW dan tidak membiarkan Yahudi mendahului mereka. Dengan itu, mereka menyatakan keIslaman mereka. 

BAIAH AQABAH PERTAMA
Pada tahun berikutnya, mereka menghantar 12 orang wakil mereka kepada Nabi Muhammad SAW dan mewakili orang-orang lain di Madinah yang tidak dapat datang ke Mekah. Mereka mengadakan pertemuan dengan Nabi Muhammad SAW di Aqabah dan menyatakan baiah iaitu sumpah setia kepada Nabi Muhammad SAW Baiah Aqabah Pertama juga dinamakan Baiah Al-Nisa’ yang bermaksud perjanjian orang perempuan kerana ia adalah perjanjian taat setia yang berkaitan dengan iman dan akhlak dan seperti perjanjian orang-orang perempuan dengan Nabi Muhammad SAW yang tidak melibatkan perang dan jihad.

Dalam sebuah riwayat, U’badah bin Shamit mengatakan: “Rasulullah SAW mengambil sumpah setia kami pada malam pertama di Aqabah bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa pun juga, kami tidak akan mencuri, kami tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan berdusta untuk menutup-nutupi apa yang ada di depan atau di belakang kami dan tidak akan membantah perintah beliau dalam hal kebajikan. ” Setelah mereka pulang ke Madinah, Nabi Muhammad SAW mengutuskan seorang sahabatnya yang bernama Mus’ab bin Umair untuk mengajarkan Islam kepada kaum muslimin di Madinah. Oleh itu, Mus’ab dipanggil sebagai duta Islam yang pertama. Mus’ab bekerja siang dan malam menyampaikan Islam di Madinah sehingga tidak ada satu pun rumah di Madinah yang tidak mengetahui tentang Islam. 

BAIAH AQABAH KEDUA
Islam telah berkembang pesat di Madinah dan telah ramai yang memeluk Islam melalui Mus’ab bin Umair. Pada tahun berikutnya, Mus’ab bin Umair pulang ke Mekah bersama rombongan daripada Madinah yang terdiri daripada 70 orang lelaki dan 2 wanita iaitu Nasibah binti Kaab dan Asma’ bin Amru. Ditengah-tengah musim haji itu, mereka menghantar wakil untuk meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk bertemu di Bukit Aqabah iaitu salah satu bukit di Mekah. Pada malam perjanjian, rombongan tersebut tidur bersama kaum mereka dan keluar apabila sudah larut malam secara sembunyi-sembunyi. Dalam pertemuan ini, Nabi Muhammad SAW membacakan al Quran kepada mereka dan mengajak mereka mengimani Allah.

Setelah mereka memeluk Islam, mereka meminta dinyatakan syarat-syarat kepada mereka. Nabi Muhammad SAW menyatakan syarat-syarat agar mereka bersedia membela Islam dan Nabi Muhammad SAW. Apabila dinyatakan kepada Baginda tentang perjanjian kaum muslimin Madinah dengan orang Yahudi dan mereka sanggup membatalkan perjanjian tersebut, Rasulullah SAW hanya tersenyum dan berkata:
“Darahmu adalah darahku, negerimu adalah negeriku; aku darimu dan kamu dariku, aku berperang melawan siapa sahaja yang memerangimu dan aku berdamai dengan siapa saja yang berdamai denganmu. ”

Kemudian Rasulullah SAW meminta mereka memilih 12 orang ketua daripada kalangan mereka yang mereka persetujui bersama. 12 orang wakil tersebut berjanji jihad bagi mempertahankan Nabi Muhammad SAW sehingga ke titisan darah terakhir mereka. Maka, termeterailah perjanjian jihad yang pertama. Seterusnya, Nabi Muhammad SAW meminta agar mereka bersurai dan kembali ke khemah. Pertemuan Nabi Muhammad SAW dan rombongan dari Madinah telah diketahui oleh orang Quraisy Mekah. Orang Quraisy yang marah telah mencari maklumat dan mengumpulkan semua orang dari Madinah dan bertanyakan mereka tentang pertemuan tersebut tetapi tiada seorang pun yang mengaku, malah mereka bersumpah di hadapan orang Quraisy. Mereka yang terlibat pada malam itu hanya mendiamkan diri dan kesemua mereka dilepaskan.

Orang Quraisy tetap mengesyaki bahawa orang dari Madinah yang terlibat dalam perjanjian tersebut. Mereka lalu mengejar orang-orang Madinah tersebut namun sudah terlambat kerana mereka telah pulang ke Madinah kecuali Saad bin Ubadah dan seorang lelaki yang sudah Islam. Bagaimanapun, lelaki tersebut sempat melarikan diri tetapi Saad bin Ubadah telah ditangkap oleh orang Quraisy dan diseksa serta dipukul. Saad juga disuruh membuat pengakuan menunjukkan dia terlibat dalam perjanjian tersebut. Kemudian, ada seorang dari Mekah yang mengenalinya telah menjamin Saad dan Saad dibenarkan pulang ke Madinah. 

PERKEMBANGAN HIJRAH KE MADINAH
Selepas Nabi Muhammad SAW menerima baiah daripada kaum muslimin Madinah, Baginda merasakan sudah tiba masanya untuk kaum muslimin di Mekah berhijrah. Wakil Nabi Muhammad SAW di Madinah iaitu Mus’ab juga telah menghantar surat kepada Baginda untuk menjemputnya datang ke Madinah. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW memerintahkan para sahabatnya untuk segera berhijrah. Sahabat pertama yang berhijrah ke Madinah adalah Abu Salamah dan Ummu Salamah bersama anak kecil mereka, Salamah. Apabila orang Quraisy terlihat mereka, Quraisy menahan Ummu Salamah dan berusaha merebutnya daripada Abu Salamah. Hal ini telah menyebabkan Salamah dan Ummu Salamah terpisah daripada Abu Salamah. Abu Salamah berangkat seorang diri ke Madinah. Salamah dan Ummu Salamah berada dalam keadaan sengsara dan hanya selepas setahun kemudian, mereka dapat melepaskan diri ke Madinah.

Setelah Abu Salamah berhijrah, gelombang hijrah ke Madinah diikuti oleh sahabat-sahabat yang lain secara senyap-senyap. Tidak ada seorang pun sahabat Nabi Muhammad SAW yang berani berhijrah secara terang-terangan kecuali Umar bin Khattab. Beliau menyiapkan kenderaan, bekalan, pakaian dan senjata seperti pedang, busur, panah dan tongkat. Dengan segala kelengkapan itu beliau pergi ke Kaabah sambil diperhatikan oleh orang Quraisy. Selepas tawaf 7 kali, beliau mengumumkan di situ, “Sesiapa yang mahu ibunya kehilangan anak, isterinya menjadi janda dan anak-anaknya menjadi yatim, tunggu aku di belakang bukit ini. Aku mahu berhijrah ke Madinah. ” Setelah mendengar pengumuman tersebut, tiada siapa pun yang berani menghalang beliau untuk berhijrah. Secara beransur-ansur, semakin ramai yang meninggalkan Mekah kecuali Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar, Ali bin Abi Thalib, orang-orang yang ditahan dan orang-orang yang tidak mampu ke luar. 

PERANCANGAN QURAISY UNTUK MEMBUNUH NABI MUHAMMAD SAW
Kaum musyrikin Quraisy berasa terancam dengan penghijrahan yang telah berlaku. Mereka takut jika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, Baginda dapat membentuk satu kekuatan yang dapat melemahkan mereka. Kemudian, kaum Quraisy mengadakan pertemuan tergempar di Darul Nadwah bersama Abu Jahal dan pembesar-pembesar Quraisy. Hasilnya, mereka bersetuju untuk memilih seorang pemuda perkasa dari setiap kabilah untuk membunuh nabi. Allah menyatakan tentang rancangan jahat orang Quraisy untuk membunuh Baginda dan mengarahkan Baginda berhijrah melalui Surah al-Anfal, ayat 30. Baginda memerintahkan Ali bin Abi Thalib tidur di tempatnya. Pada malam itu, semua pemuda yang telah dipilih sudah bersiap sedia mengepung rumah Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak berani hendak merempuh masuk ke dalam rumah tersebut kerana di dalamnya terdapat kaum wanita. Nabi Muhammad SAW kemudiannya keluar dari rumahnya dengan membaca Surah Yaasin bermula daripada ayat pertama sehingga tiba di ayat ke 9 yang bermaksud;

“Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu mereka tidak dapat melihat jalan yang benar. ”
Nabi Muhammad SAW kemudian mengambil segenggam pasir dan ditaburkan ke atas kepala pemuda-pemuda tersebut dan menuju ke rumah Abu Bakar yang belum tahu berkenaan penghijrahan ini. 

PENGHIJRAHAN KE MADINAH
Nabi Muhammad SAW menemui Abu Bakar dan memaklumkan tentang keizinan berhijrah bersamanya. Ketika Abu Bakar mendengar berita tersebut, beliau menangis kerana gembira dan segera menyiapkan 2 ekor unta serta mengupah Abdullah bin Uraiqah untuk menunjukkan jalan ke Madinah. Baginda membawa Abu Bakar berjalan kearah selatan sedangkan Madinah berada di utara. Abu Bakar juga telah bersedia dengan strateginya bagi menjamin keselamatan Baginda. Abu Bakar memerintahkan pekerjanya membawa kambing-kambing ternakannya berjalan di belakang Baginda dan Abu Bakar untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki mereka. Apabila tiba di Gua Thur, Abu Bakar memerintahkan pekerjanya, Amru bin Fuhairah menjaga unta mereka. Abu Bakar turut memerintahkan puteranya, Abdullah bin Abu Bakar untuk menyelidik berita-berita di Mekah dan Asma’ binti Abu Bakar diminta untuk menyediakan makanan bagi Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar.

Abu Bakar sanggup melakukan apa sahaja bagi melindungi Baginda. Beliau tidak senang hati dan sesekali berjalan di hadapan dan sesekali di belakang Baginda kerana merasakan musuh datang dari hadapan mahupun belakang. Ketika Baginda dan Abu Bakar tiba di muka pintu Gua thur, Abu Bakar meminta izin untuk masuk terlebih dahulu bagi memastikan gua tersebut selamat. Dalam pada itu, orang Quraisy yang telah mengetahui tentang hijrah Baginda sedang mencari di merata tempat dan memeriksa setiap tempat persembunyian, bahkan Gua Thur. Namun, mereka menjadi hairan apabila mendapati sarang labah-labah di hadapan pintu gua dan tiada siapa pun yang menjenguk ke dalam gua kerana percaya bahawa tidak mungkin ada orang baru masuk ke dalam gua. Sekiranya salah seorang menjenguk kedalam, pasti mereka akan mendapati Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar. Begitulah kekuasaan Allah yang menutup mata orang Quraisy. Nabi Muhammad SAW menenangkan Abu Bakar dengan berkata “wahai Abu Bakar! Jangan kamu sangka kita berdua sahaja, tetapi Allah ada bersama dengan kita. ”

Ketika kaum Quraisy gagal menangkap Rasulullah SAW, mereka membuat tawaran kepada sesiapa yang berjaya menangkap Baginda akan diberi hadiah 100 ekor unta. Setelah bersembunyi selama 3 hari, Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar meneruskan perjalanan mereka ke Madinah. Suraqah bin Malik terpengaruh mendengar pengumuman orang Quraisy dan segera mengejar Baginda dan Abu Bakar. Sampai suatu saat, Suraqah sudah hampir mendekati mereka tetapi Baginda sedikitpun tidak menoleh dan khusyuk membaca al Quran. Apabila sudah sampai jarak Suraqah dapat memanah mereka, Abu Bakar semakin cemas. Pada masa itu, Baginda berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan mereka dengan apa cara sekalipun. Belum sempat Baginda habis berdoa, kaki kuda Suraqah yang merupakan pakar menunggang kuda telah terbenam dan Suraqah terjatuh dari kudanya. Hal ini berulang berkali-kali sehingga Suraqah akhirnya tersedar akan kesilapannya dan berasa takut. Suraqah memohon maaf kepada Baginda dan Abu Bakar dan memohon agar Baginda sudi mendoakan keampunan untuknya.

Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar menyambung perjalanan melalui jalan yang jarang digunakan oleh rombongan yang ke Madinah. Baginda dan Abu Bakar singgah di perkhemahan Ummu Ma’bad. Baginda melihat di dalam khemah itu terdapat seekor kambing tetapi kambing tersebut sudah uzur dan tidak mengeluarkan susu lagi. Lalu, Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing itu bagi mendapatkan bekalan makanan. Ummu Ma’bad tidak menghalang Baginda dan apabila Baginda memerah susu kambing tersebut, kambing itu mula mengekuarkan susu. Semua bekas susu Ummu Ma’bad Berjaya terisi penuh dengan susu kambing itu. Baginda juga memerah susu untuk diberikan kepada suami Ummu Ma’bad yang kebetulan tiada di rumah dan meneruskan perjalanannya semula. 

KETIBAAN NABI MUHAMMAD SAW DI MADINAH
Berita tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW sudah lama tersebar di Madinah. Oleh kerana Baginda berada di Gua Thur selama 3 hari dan tidak melalui jalan yang biasa dilalui oleh rombongan ke Madinah, maka penduduk Madinah tidak mengetahui waktu yang tepat ketibaan Baginda di Madinah. Setiap hari mereka menunggu kedatangan Baginda. Setiap hari selepas solat Subuh, mereka akan keluar beramai-ramai ke pintu masuk Madinah untuk menunggu Baginda. Apabila tiba waktu Zuhur dan matahari semakin panas, mereka akan pulang semula. Bukan orang Islam sahaja yang menunggu, bahkan orang bukan Islam dan orang Yahudi turut melakukan hal yang sama. Baginda tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal, hari isnin. Apabila matahari sudah terik, kesemua mereka beransur pulang, namun pada ketika itulah Baginda tiba di Madinah. Orang pertama yang melihat Baginda adalah seorang Yahudi yang masih tidak pulang dan berada di atas pokok kurma. Dia menjerit memanggil semua penduduk Madinah dan mereka semua berpatah balik.

Ketibaan Baginda disambut dengan gembira oleh mereka. Namun, mereka tidak dapat membezakan antara Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar kerana mereka tidak pernah bertemu dengan Baginda. Akhirnya, matahari terkena pada Nabi Muhammad SAW, lalu Abu Bakar memayungkan Baginda. Dengan itu, tahulah penduduk Madinah yang mana satu Nabi Muhammad SAW. Setiap daripada mereka mengharapkan Baginda berhenti ditempat mereka agar beroleh keberkatan daripada Baginda. Namun, Baginda singgah di Quba’ dan telah memerintahkan sahabat-sahabatnya mendirikan masjid disitu. Selama 4 hari, Baginda berada di Quba’ dan pada masa itulah Ali bin Abi Thalib tiba dari Mekah setelah menyelesaikan tugasnya. Pada hari jumaat, Baginda bergerak dari Quba’ dan sembahyang jumaat di kediaman suku Salim bin Auf, tempat di antara Quba’ dan Madinah. Pada hari itu juga, Baginda menyampaikan khutbah jumaat pertamanya. 

KESAN-KESAN HIJRAH KE MADINAH
PEMBINAAN MASJID NABAWI
Setelah Nabi Muhammad SAW masuk ke Madinah, Baginda diminta oleh orang kampong untuk singgah dan tinggal di rumah mereka. Namun, Baginda menolak permintaan tersebut dan menyuruh supaya membiarkan sahaja unta Baginda berjalan dan berhenti dengan menurut perintah Allah. Akhirnya, unta Baginda berhenti di daerah suku Najjar yang mempunyai kawasan kosong kepunyaan dua orang anak yatim. Baginda membayar harga tanah tersebut kepada waris anak yatim itu dan memerintahkan agar masjid dibina disitu. Kedatangan Baginda ke situ disambut oleh Abu Ayyub Khalid al-Ansari dan Baginda memilih untuk tinggal di rumahnya yang mempunyai dua tingkat. Abu Ayyub meminta Baginda tinggal di bahagian atas tetapi telah ditolak oleh Baginda yang tidak mahu menyusahkan Abu Ayyub kerana Baginda akan didatangi oleh ramai tetamu.

Dalam pada itu, pembinaan Masjid Nabawi telah bermula. Nabi Muhammad SAW turut serta dalam pembinaan masjid tersebut dan turut mengangkat batu bersama kaum muslimin dan sahabat-sahabatnya. Walaubagaimanapun, masjid pertama yang dibina dalam sejarah perkembangan Islam ialah Masjid Quba’. Pembinaan Masjid Nabawi merupakan langkah pertama Baginda dalam membangunkan Negara Islam. Dengan terbinanya masjid ini, ia bukan sekadar menyediakan tempat ibadah malah ia juga merupakan tempat untuk menjalinkan ukhuwah Islamiyah. 

MEMPERSAUDARAKAN MUHAJIRIN DAN ANSAR
Langkah seterusnya yang dilakukan oleh Baginda ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Perkara yang menjadi tunggak utama dan asas kekuatan Islam adalah hubungan sesame Islam. Muhajirin merupakan pengikut Nabi Muhammad SAW yang berhijrah daripada Mekah ke Madinah. Manakala, Ansar ialah penduduk Madinah yang telah memeluk Islam. Al-Imam Ibn Qayyim pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah menjalankan upacara persaudaraan di rumah Anas bin Malik. Baginda mengikat persaudaraan tersebut dengan suatu akad yang diamalkan dan bukan hanya ucapan semata-mata. Rasulullah SAW turut bersabda;“Bersaudaralah kamu di jalan Allah berdua, berdua. ” (Sirah Ibn hisyam)

Golongan Muhajirin dan Ansar banyak berkorban dan membantu sesama mereka. Mereka tidak mengambil kesempatan terhadap sahabat-sahabat mereka dan hanya meminta bantuan dan pengorbanan apabila diperlukan sahaja. 

PENUTUP
Selama dalam proses untuk menyiapkan tugasan ini yang bermula dengan faktor-faktor berlakunya hijrah, permulaan hijrah, perkembangan hijrah dan berakhir dengan kesan-kesan hijrah, terdapat banyak pengetahuan yang telah saya terima. Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat Islam harus dijadikan teladan untuk umat Islam. Allah telah mensyariatkan prinsip berkorban dengan harta dan tanah air demi mempertahankan agama dan akidah amat diperlukan. Buktinya, Nabi Muhammad SAW sanggup meninggalkan Mekah untuk menyebarkan Islam dan pertahankan Islam. Kisah hijrah ke Madinah turut menunjukkan perasaan kasih saying antara Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya. Pertama, Ali bin Abi Thalib sanggup menggantikan tempat Baginda pada malam penghijrahan walaupun beliau sedar bahawa orang Quraisy tidak akan berdiam diri selepas itu. Kedua, Abu Bakar sangat prihatin dan melakukan apa sahaja untuk melindungi Baginda sepanjang perjalanan ke Madinah. Kadangkala beliau akan berjalan di hadapan apabila merasakan musuh tiba dari hadapan dan ke belakang apabila merasakan musuh datang dari belakang. Beliau juga meminta izin untuk masuk dahuku ke Gua Thur. Dalam tugasan ini juga menjelaskan tentang asas-asas yang dilakukan oleh Baginda untuk menegakkan Madinah sebagai sebuah Negara Islam. Pembinaan masjid dan persaudaraan Muhajirin dan Ansar merupakan strategi Baginda yang telah banyak merubah Madinah. 

RUJUKAN


  1. Muhammad Al-Ghazali, (1986). Fiqh Al-Sirah, jilid 1, terjemahan Abu Laila dan Muhammad Tohir. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar. 
  2. Haji Abdul Hadi Awang Muhammad, (1992). Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar. 
  3. Zulkifli Mohd Yusoff, Noor Naemah Abd. Rahman, (2012). Biografi Muhammad Bin Abdullah. Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd. 
  4. Abu Bakar Omar, (2011). Muhammad Bin Abdullah: Perjalanan Hidup Seorang Rasul. Rawang: Pustaka Ilmuwan. 
  5. Nik Hassan Shuhaimi bin Nik Abdul Rahman, Muhd Yusof bin Ibrahim, Muhammad Bukhari bin Ahmad, Rosnainani binti Sulaiman, (2012). Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
  6. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthy, Dr (2001). Sirah Nabawiyyah: Kajian Mendalam Manhaj Gerakan Islam Pada Zaman RasulullahSAW. Shah Alam: Pustaka Dini Sdn. Bhd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
URL: abdazizharjin.blogspot.com
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
HP: 013-4006206
PJ: 04-9882701
R: 04-9882597

Last update 27/01/2015