Saidina Ali Bin Abi Talib

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh :
Nurhadaina Dalila Binti Mohd Afendi
2014445554


PENDAHULUAN

Syukur ke hadirat Allah kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya menyiapkan tugasan CTU 151 ini. Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah CTU 151 saya, iaitu Ustaz Abd Aziz Bin Harjin, ibu bapa saya serta rakan-rakan yang telah banyak memberikan maklumat kepada saya mengenai sejarah hidup Saidina Ali Bin Abi Talib.

Tujuan esei ini ditulis adalah untuk menceritakan tentang sejarah hidup khalifah yang terakhir pada zaman Khulafa ar-Rasyidin iaitu Saidina Ali Bin Abi Talib. Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam.

Skop esei ini adalah mengenai sejarah hidup beliau dan masalah yang dihadapi serta cara penyelesaian yang dilakukan oleh Saidina Ali untuk menyelesaikan masalah pemberontakan, kelemahan pentadbiran dan tentangan politik daripada Muawiyah. Selain itu, Saidina Ali juga telah banyak memberikan sumbangan dalam memajukan negara Islam. Saidina Ali juga mempunyai sifat peribadi yang mulia sebagai seorang khalifah.

Harapan saya apabila menulis esei ini adalah supaya dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada semua umat Islam tentang cara kehidupan Saidina Ali yang boleh dijadikan contoh teladan yang baik dan patut dicontohi oleh kebanyakkan umat Islam terutamanya golongan muda dan pemimpin. Jika setiap pemimpin di negara mempunyai sikap mesra rakyat dan mementingkan keamanan seperti Saidina Ali, maka negara kita akan aman dan makmur tanpa peperangan.

PENGHARGAAN

Bismillahirohmanirohim. Alhamdulillah bersyukur ke atas Ilahi dengan limpahan rahmat serta nikmat masa, nyawa dan tenaga yang dikurniakan kepada saya akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

Pertamanya, saya ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada pengsyarah CTU 151 saya iaitu Ustaz Abd Aziz Bin Harjin kerana dengan tunjuk ajar serta bimbingan daripadanya membuka ruang untuk saya menyiapkan tugasan ini dengan suksesnya.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapa saya yang telah banyak memberikan saya pemudahcara untuk menyiapkan tugasan ini. Mereka telah memberikan segala kemudahan dan sokongan moral yang tidak terhingga sehingga saya berjaya menyelesaikan tugasan ini.

Ucapan penghargaan ini juga saya tujukan kepada rakan-rakan yang banyak memberi peringatan terhadap setiap apa yang saya telah lupa. Mereka membantu saya dengan menjawab setiap pertanyaan yang saya soalkan kepada mereka.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau sebaliknya dalam pembikinan kerja kursus ini.

i. BIODATA SAIDINA ALI

Khalifah yang terakhir dalam tamadun Khulafa Ar-Rasyidin ialah Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau dilahirkan pada 602 Masihi iaitu sepuluh tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul. Beliau merupakan sepupu kepada Nabi Muhammad. Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib. Manakala nama kecilnya ialah Hadarah. Ibu beliau bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdu Manaf iaitu sepupu bapanya, Abu Talib manakala ayah beliau pula bernama Abu Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abd Manaf. Oleh itu, asal keturunan beliau adalah daripada keturunan Bani Hasyim yang sejati. Beliau adalah anak Abu Talib yang paling bongsu.
Saidina Ali Bin Abi Talib telah diasuh dan dididik oleh Rasulullah sejak kecil lagi. Hal ini kerana ayah Saidina Ali dan kaum Quraisy telah dilanda kesusahan yang teramat sangat. Oleh itu, Abu Talib terpaksa menyerahkan Saidina Ali kepada Rasulullah manakala Jaafar kepada al-Abbas untuk dijadikan anak jagaan mereka. Saidina Ali telah diasuh seperti anak sendiri oleh Rasulullah dan isterinya iaitu Siti Khadijah binti Khuwalid.
Beliau telah mendapat gelaran “KaramallahuWajhah” yang bermaksud orang yang dimuliakan wajahnya kerana tidak pernah menyembah berhala sejak kecil lagi. Beliau telah mengahwini anak Rasulullah iaitu Fatimah pada tahun ke dua Hijrah. Pada ketika itu usia beliau ialah 21 tahun manakala usia Fatimah pula ialah 15 tahun. Mas kahwin untuk perkahwinan mereka hanya 400 dirham sahaja.
Ketika peristiwa Hijrah, Saidina Ali bin Abi Talib hampir dibunuh oleh pemuda-pemuda kafir Quraisy yang ketika itu datang untuk membunuh Rasulullah di rumah baginda. Rasulullah telah meminta bantuan daripada Saidina Ali untuk menggantikan baginda dengan tidur di katil baginda dan menyamar seolah-oleh Rasulullah yang tidur di katil tersebut. Pada mulanya beliau berasa takut namun untuk menyelamatkan Rasulullah dan menegakkan Islam beliau pasrah dan terima tugasan itu dengan rela hati. Itulah pengorbanan Saidina Ali bin Abi Talib yang terbesar yang pernah beliau lakukan untuk menyelamatkan Rasulullah.
Saidina Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi khalifah Islam yang keempat setelah kematian Saidina Uthman bin Affan yang telah dibunuh oleh pemberontak. Beliau telah menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah/655 Masihi. Beliau telah dipilih menjadi khalifah dalam keadaan negara yang huru-hara akibat kewafatan Saidina Uthman yang tidak mewasiatkan waris penggantinya. Namun begitu, beliau menerima jawatan itu dengan rela hati.
Semasa zaman pemerintahan beliau telah terjadi dua peristiwa peperangan sesama Islam iaitu perang Jamal (unta) dan perang Shiffan. Pada perang Shiffin telah berlaku perpecahan antara penyokong Saidina Ali bin Abi Talib. Hal ini kerana mereka tidak bersetuju dengan keputusan Saidina Ali yang memberhentikan peperangan dengan pasukan Muawiyah dan menolak penubuhan Majlis Tahkim.
Pada 19 Ramadhan 40 Hijrah Saidina Ali bin Abi Talib telah menghembuskan nafas terakhirnya di Kufah ketika usinya 63 tahun. Beliau telah diserang oleh Abdur Rahman bin Muljam yang ketika itu beliau dalam perjalannya ke Masjid Agung. Akibat menderita dengan kecederaan yang parah Saidina Ali telah pergi menghadap Ilahi. Syahidnya Saidina Ali bin Abi Talib maka berakhirnya zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin.
ii. Masalah yang dihadapi oleh Saidina Ali

Pada zaman pemerintahan Saidina Ali, beliau terpaksa menghadapi pelbagai masalah yang rumit. Antara masalah yang dihapai oleh Saidina Ali ketika zaman pemeritahan beliau ialah penentangan daripada kumpulan pemberontak. Pemberontakkan ini belaku disebabkan terdapat beberapa individu yang tidak menyokong Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah. Pemberontakkan ini dibuat oleh golongan Rafidhah yang menghasut para sahabat. Isteri Rasulullah iaitu Ummul Mukminin Saidatina Aisyah dan dua orang sahabat Nabi iaitu Talhah ibn Ubaidillah dan Zubair Ibn Awwamtetah juga turut terlibat sama dalam pemberontakkan ini.

Manakala masalah yang kedua yang perlu dihadapi oleh Saidina Ali ialah kelemahan pentadbiran. Kelemahan pentadbiran ini berlaku semenjak zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan lagi. Saidina Uthman telah melantik gabenor-gabenor dan pemerintahan dari golongan ahli keluarganya sendiri. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati daripada segelintir umut Islam. Akibat daripada pelantikan itu, berlakunya salah penggunaan kuasa dikalangan ahli keluarga Uthman dan rasuah dikalangan pemerintah ketika itu.

Saidina Ali juga terpaksa berhadapan dengan Muawiyah. Ketika itu, Muawiyah berpendapat bahawa siasatan berkenaan dengan pembunuhan Saidina Uthman adalah keutamaan kepada negara dan beliau ingin tahu siapakah pembunuh itu dengan secepat mungkin supaya pembunuh itu mendapat hukuman qisas. Bagi Saidina Ali pula keamanan negara perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum menyiasat kes pembunuhan Saidina Uthman.

iii. Penyelesaian

Saidina Ali telah melaksanakan beberapa langkah penyelesaian untuk mengatasi masalah yang dihadapi olehnya. Langkah untuk mengatasi masalah pemberontakan ialah melalui peperangan. Pemberontakan itu berjaya ditumpaskan oleh Saidina Ali dalam Perang Jamal(unta). Dalam peperangan ini, Talhah dan Zubair telah terkorban akibat dibunuh oleh golongan Rafidhah yag megaku sebagai pengikut Saidina Ali. Manakala Saidatina Aisyah dikembalikan ke Madinah oleh Saidina Ali. Beliau menjalankan satu misi dengan mengarahkan 100 orang wanita menyamar sebagai lelaki dan menutup mata, lalu menarik unta Ummul Mukminin Aisyah kembali ke Madinah.

Seterusnya, Saidina Ali telah membuat beberapa perbaharuan dalam pentadbirannya. Beliau telah menggantikan pegawai-pegawai yang dilantik oleh khalifah Uthman dengan pegawai dari kaum Ansar dan golongan pemberontak. Hal ini adalah untuk mengurangkan pemberontakkan yang akan berlaku. Beliau juga telah memindahkan pusat pentadbiran Islam dari Madinah ke Kufah, Iraq.

Penyelesaian terakhir, Saidina Ali menghadapi Muawiyah ialah melalui peperangan. Hal ini berlaku kerana Muawiyah terlebih dahulu melancarkan serangan ke atas Saidina Ali. Oleh itu terjadilah Perang Shiffin iaitu peperangan di antara pasukan Muawiyah dan pasukan Saidina Ali bin Abi Talib. Pada mulanya, peperangan Shiffin akan dimenangi oleh pasukan Saidina Ali namun disebabkan kelicikan Muawiyah yang telah mengarahkan Amr bin Ash untuk mengangkat mushaf sebagai tanda perdamaian dengan rundingan menyebabkan Saidina Ali kalah dalam peperangan tersebut.

iv. Sumbangan Saidina Ali

Saidina Ali telah memberikan pelbagai bentuk sumbangan semasa pemerintahan beliau sebagai khalifah. Antara sumbangan terbesar Saidina Ali bin Abi Talib kepada kerajaan Islam ialah beliau sanggup menerima jawatan khalifah iaitu pemimpin tertinggi kerajaan Islam pada ketika itu walaupun pada masa itu berlakunya kegoyahan di mana bermulanya titik pertukaran politik negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak yang berebut untuk berkuasa dan menjadi ketua. Saidina Ali telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan dan mengekalkan keamanan dalam negara Islam yang telah dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad dan akhirnya beliau dibunuh oleh Abdur Rahman bin Muljam.
Beliau juga turut bermati-matian berusaha untuk menghentikan sebarang peperangan yang berlaku di antara umat Islam. Contohnya dalam perang Shiffin, walaupun ketika itu tenteranya hampir menang dalam peperangan tersebut tetapi disebabkan ada di kalangan pihak musuh yang rela mengangkat mashaf, maka beliau sanggup menghentikan peperangan tersebut dan memulakan proses perundingan demi mendapatkan keamanan untuk negara Islam.
Selain itu, Saidina Ali juga tidak pernah melupakan soal pertahanan negaranya serta keamanan rakyatnya. Buktinya, beliau telah membina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria. Beliau juga pernah dilantik untuk mengetuai misi dakwah di Hamadan, Iraq.
Saidina Ali juga turut melaksanakan dan meneruskan cukai Jizyah kepada zimmi untuk mengembangkan ekonomi negara. Beliau juga pernah menjadi penasihat dalam bidang kehakiman kepada ketiga-tiga khalifah khurafa ar-Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab dan Saidina Uthman bin Affan.
Akhir sekali, Saidina Ali juga telah banyak membantu menyelesaikan masalah berhubung masyarakat dan perundangan Islam. Beliau juga tidak pernah lupa untuk pergi ke masjid dan membincangkan masalah yang dihaapi oleh rakyatnya.

v. Sifat-sifat Saidina Ali

Saidina Ali mempunyai sifat-sifat yang mulia. Antara sifat-sifat yang terdapat pada diri Saidina Ali ialah beliau seorang pemerintah yang adil dan kreatif. Beliau telah menubuhkan pasukan polis yang diberi nama ‘As-Syurtah’ dan juga tentera berjalan kaki serta badan perisik yang belum ditubuhkan oleh khalifah sebelumnya. Saidina Ali juga telah melengkapkan angkatan tentera berkuda Islam
Seterusnya, Saidina Ali juga terkenal dengan sifatnya yang gagah dan berani. Buktinya, beliau telah menghadapi banyak peperangan dan pertempuran seperti Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar dan lain-lain lagi. Beliau tidak pernah terkecuali dalam setiap perang kecuali perang Tabuk. Saidina Ali juga sangat arif mengatur strategi pasukan memanah.
Sifat Saidina Ali yang selanjutnya pula ialah beliau seorang yang sangat bijaksana dan berfikiran terbuka. Persahabatan dan keakraban dan hubungan di antara beliau dan Rasulullah SAW. telah memudahkan beliau untuk mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan ayat-ayat al Quran. Beliau telah menjadi tokoh ilmuan yang pintar dan bijaksana serta seorang ahli fiqh yang berupaya mengeluarkan sebarang hukum dari al Quran dan sunnah nabi SAW. Oleh itu, beliau selalu dijadikan tempat rujukan dalam hal-hal keagamaan setelah kewafatan nabi SAW.
Selain itu, Saidina Ali adalah seorang lelaki yang fasih dan bersastera tinggi. Kata-kata beliau mengandungi banyak hikmah dan perumpamaan. Beliau tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan sesuatu rangkap puisi semuanya beliau lafazkan secara spontan namun ianya sangat padat dan berisi. Menurut perkiraan, Saidina Ali telah meriwayatkan sebanyak 586 buah hadith secara langsung daripada Rasulullah SAW.
Walaupun Saidina Ali dikenali sebagai seorang yang berani, luas pengetahuan strategi peperangan dan keperkasaannya, pada diri beliau menonjol sifat sopan santun dan lemah lembut terutamanya terhadap seseorang yang lemah dan tidak berdaya di hadapannya. Saidina Ali sangat mengasihi orang-oran tua dan suka menghiburkan orang lain.
Akhirnya, Saidina Ali adalah seorang yang taat mengerjakan suruhan Allah SWT sejak kecil. Beliau merupakan kanak-kanak yang pertama memeluk Islam pada usianya baru 10 tahun. Beliau tidak pernah melakukan perkara yang keji seperti menyembah berhala.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Saidina Ali merupakan seorang khalifah yang sangat komited dengan tugasan atau tanggungjawab yang telah diberikan atau diamanahkan kepada beliau. Walaupun Saidina Ali terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sepanjang pemerintahannya seperti pemberontakan daripada kumpulan Rafidhah, kelemahan pentadbiran dan juga tentangan politik daripada Muawiyah. Namun begitu beliau bijak untuk mengawal keadaan dan memperbaiki keadaan tersebut.
Saidina Ali terpaksa mengambil langkah peperangan untuk mengatasi masalah pemberontakan dan menghadapi Muawiyah juga melalui peperangan. Hal ini menunjukkan bahawa Saidina Ali sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan keamanan negara walaupun terpaksa mengadaikan nyawanya sendiri. Beliau juga turut melakukan perbaharuan dalam pentadbiran dengan menggantikan gabenor-gabenor yang pernah dilantik oleh Saidina Uthman dengan kaum Ansar dan golongan pemberontak. Hal ini adalah untuk mengelakkan terjadinya pemberontakkan.
Sumbangan dan jasa Saidina Ali yang terbesar ialah beliau sanggup menerima jawatan sebagai khalifah ketika negara Islam dalam keadaan huru-hara setelah kewafatan Saidina Uthman. Beliau juga pernah dilantik menjadi penasihat dalam bidang perhakiman kepada ketiga-tiga khalifah khulafa ar-Rasyidin dan mengetuai misi dakwah di Hamadan, Iraq. Saidina Ali juga turut bermati-matian berusaha menyatupadukan umat Islam yang sedang berpecah belah.
Saidina Ali turut terkenal sebagai seorang yang berani dan gagah perkasa. Beliau tidak pernah terkecuali dalam mana-mana perang sekalipun kecuali perang Tabuk. Beliau juga seorang yang fasih dan suka bersastera serta mempunyai keilmuan terhadap hal-hal agama yang sangat tinggi. Beliau juga mempunyai sifat sopan santun dan lemah lembut terhadap orang yang tidak bermaya dan lemah daripada beliau.
Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah yang terakhir pada zaman pemerintahan khulafa ar-Rasyidin telah banyak memberikan sumbangan pada umat Islam dan telah memberikan teladan yang baik untuk dijadikan ikutan kepada masyarakat Islam. Beliau sanggup mempertaruhkan nyawa beliau hanya untuk menegakkan agama Islam. Kegigihan dan ketekunan Saidina Ali bin Abi Talib untuk mengekalkan keamanan negara dan menegakkan ajaran agama Islam ini patut dijadikan teladan dan ikutan semua umat Islam dan pemimpin di negara Islam.
Ini adalah kerana, jika pemimpin menonjolkan semangat cinta akan negara dan budi pekerti yang baik, maka rakyatnya juga akan mencontohi pemimpinnya dan mengamalkan sikap yang baik.




RUJUKAN

Syed Ahmad Semait (1995). Sepuluh yang dijamin masuk syurga. Singapura : Pustaka Islamiyah Pte Ltd.

H. M. H Al Hamid Al Husaini. Sejarah hidup Imam Ali bin Abi Thalib r. a.. Kuala Lumpur : Victory Agencie

Mahmud Syakir(2004). Siri empat Khalifah terunggul, Biografi Gemilang Ali Bin Abi Talib(Abu Turab). Penterjemahan Ibnu Ghazali : Jasmine Enterprise

Dr. Khalid Muhammad Khalid(2009). Sejarah 133 wira terbilang di zaman Rasulullah SAW. Terjemahan dan Tambahan Abu Mazaya Al Hafiz. Batu Cave : Al-Hidayah Publications.

5. Yunus Ali Al-Muhdhor(1993). Kehidupan Nabi Muhammad SAW. Dan Amirul Mukminin Ali Bin Abi Thalib R. A.. Kuala Lumpur : Victory Agencie.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
URL: abdazizharjin.blogspot.com
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
HP: 013-4006206
PJ: 04-9882701
R: 04-9882597

Last update 27/01/2015