Kewafatan Imam Abu Hanifah

Tajuk:
Kewafatan Imam Abu Hanifah. 

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin. 

Disediakan Oleh:
Nur Fatihah Binti Jaafar. 
2014236826

PENDAHULUAN
Imam Abu Hanifah dilahirkan terlebih dahulu daripada imam-imam yang lain. Nama sebenarnya an-Nu’man bin Thabit lahir pada 80 hijrah atau 699 Masihi di sebuah kampung bernama Anbar di daerah Kufah, Baghdad. Mendapat gelaran Abu Hanifah kerana beliau mempunyai seorang anak bernama Hanifah. Ada pula yang mengaitkan beliau suka membawa dakwat ke mana sahaja dia pergi lalu digelar Hanifah bererti dakwat dalam bahasa parsi. 

Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang ilmu alim dalam ilmu fiqah dan tauhid. Beliau belajar lebih daripada 200 orang ulama terbilang pada masa itu, antaranya Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Masud. 

Imam Abu Hanifah dikurniakan umur yang panjang. Beliau sempat hidup di bawah pemerintahan kerajaan khalifah bani Umaiyyah dan bani Abbassiyah. 

Imam Abu Hanifah pernah berkata, “ Sekiranya aku tidak mempunyai keluarga, aku pasti tidak menyimpan duit walau satu dirham. ”

Imam Abu Hanifah adalah termasuk dalam kelompok ulama yang enggan untuk bekerjasama dengan pemerintah yang zalim kerana beliau yakin apabila bekerja dengan pemerintah lama-kelamaan pasti akan diperalat dan ramailah orang yang akan menjadi mangsa fatwa beliau yang terpaksa mengikut telunjuk dan nafsu pemerintah. Sudah tentu ini akan menyebabkan beliau mengharungi hukuman di akhirat kelak. Dengan itu beliau rela dihukum atau diseksa oleh pemerintah di dunia ini lagi. 

Imam Abu Hanifah meninggal dunia dalam penjara pada tahun 50 hijrah ketika berumur 70 tahun. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan al-Khairazan yang terletak di timur kota Baghdad. 

Kewafatan Imam Abu Hanifah. 
Pada suatu ketika seorang ulama yang terkenal di kota Baghdad mengatakan Uthman bin Affan itu seorang Yahudi kerana merampas jawatan khalifah daripada Ali. Beliau juga dituduhnya mengambil harta dari Baitulmal serta melantik kaum keluarganya bagi jawatan penting dalam pemerintahannya. 
“Saya berani mengatakan Uthman bin Affan itu seorang Yahudi”, kata Jamrus. 
Tiada siapa yang berani menyanggah kata-kata ulama itu memandangkan dia ulama kesayangan khalifah. Dia berdampingan rapat dengan khalifah. 
Orang ramai yang tidak menyenangi meminta Imam Abu Hanifah menasihatkan ulama itu supaya jangan menghina khalifah Uthman bin Affan. Pada suatu hari, Imam Abu Hanifah bertemu dengan ulama itu di masjid. 
“Adakah kamu mempunyai anak gadis?” tanya Imam Abu Hanifah. 
“Ada”. Jawab ulama itu. 
“Bolehkah saya melamarnya?” tanya Imam Abu Hanifah lagi. 
“Untuk siapa?” tanya lelaki itu. 
“Untuk seorang lelaki yang mulia keturunannya, banyak harta kekayaannya, bersifat pemurah dan taat kepada perintah Allah. Lelaki itu sering bangun malam kerana takutkan Allah, ” jawab Imam Abu Hanifah. 
“Sesungguhnya lelaki itu sangat baik, ” puji Jamrus sambil tersenyum. 
“Kecuali satu sahaja”, jawab Imam Abu Hanifah. 
“Apa dia”
“Ada orang menuduh lelaki itu Yahudi. ”
“Apakah kamu hendak mengahwinkan anak saya dengan lelaki yang dituduh Yahudi?”
“Bukankah Nabi Muhammad pernah mengahwinkan anaknya dengan Uthman bin Affan yang kamu tuduh dia seorang Yahudi?”
Jamrus berasa sangat malu lalu segera beredar dari situ. 

Pada suatu hari Jumaat, khalifah Abu Jaafar al-Mansur pergi ke masjid dengan diiringi ramai ulama yang bekerja dengannya. Beliau memakai pakaian yang cantik supaya dipandang hebat. Apabila sampai di hadapan masjid, orang ramai menumpukan perhatian kepadanya. Tetapi keadaan berubah dengan tiba-tiba. Orang ramai menumpukan pandangan ke arah Imam Abu Hanifah yang juga baru sampai di masjid. Mereka mengerumuni Imam Abu Hanifah bagi berjabat salam. Tetapi tidak dihiraukan khalifah yang turut berada di situ. 

“Siapakah lelaki itu?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur dengan rasa tidak senang hati. 
“Dia Imam Abu Hanifah, seorang ulama yang terkenal dan saudagar yang kaya-raya. beliau mempunyai beribu-ribu anak murid dan pengikut. Kilang batu jubin kepunyaannya membekalkan batu jubin bagi membina Kota Baghdad dan istana-istana khalifah, ” jawab Khalid bin Barmak yang turut mengiringi khalifah. 

 “Dahulu dia pernah datang ke istana tetapi sejak itu dia tidak pernah datang lagi, ” kata khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

 “Mungkin dia sibuk dengan perniagaannya, ” jawab Khalid Barmak. 
“Boleh kamu suruh dia datang menemui beta selepas sembahyang Jumaat nanti?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur sambil memandang ke arah Khalid bin Barmak. 
“Saya akan uruskan, ” janji Khalid bin Barmak. 
Selepas sembahyang Jumaat, Khalid bin Barmak segera menemui Imam Abu Hanifah lalu mengatakan khalifah mahu berjumpa dengannya. 

“Selepas sembahyang Jumaat saya ada tugas mengajar ilmu hadis. Tugas itu lebih penting daripada bertemu dengan khalifah. Sekiranya beliau mahu berjumpa juga, jemput hadir dalam kelas pengajian hadis, ” kata Imam Abu Hanifah. 
Penolakan Imam Abu Hanifah itu menyinggung hati khalifah Abu Jaafar al-Mansur. “Apakah selama ini beta tidak melayan baik para ulama hingga ada yang tidak mahu menghormati saya?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Wahai Amirul Mukminin, Imam Abu Hanifah disukai ramai. Anak murid dan pengikutnya berpuluh ribu orang ramainya. Dia juga seorang saudagar yang kaya-raya. Saya pernah mendengar orang ramai berkata, alangkah baiknya sekiranya Imam Abu Hanifah dilantik menjadi khalifah menggantikan Abu Jaafar al-Mansur, ” jawab Jamrus. 

Bertambah sakit hati khalifah Abu Jaafar al-Mansur pada Imam Abu Hanifah. 
“Apa pandangan kamu terhadap Imam Abu Hanifah?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur kepada menteri-menterinya. 

“Dia seorang ulama yang sangat berpengaruh. Seorang saudagar kain dan batu jubin yang kaya-raya. Kerana itu dia disayangi ramai orang, ” jawab Khalid bin Barmak. 
“Pernahkah kamu mendengar dia menghasut orang ramai supaya membenci saya?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 
“Tidak pernah, ” jawab menteri yang lain. 
“Pernahkah kamu mendengar dia menghasut orang ramai supaya menentang saya?” tanya khalifah lagi. 
“Tidak pernah, ” jawab Khalid bin Barmak. 

Kemudian ditanya lagi, “ Saya berpendapat lebih baik jadikan dia sahabat daripada menjadikannya musuh. Sekiranya dia memusuhi kita, orang ramai pasti menyebelahinya. Ini membahayakan kedudukan khalifah. ”

“Adakah kamu setuju sekiranya beta melantik dia memegang suatu jawatan penting? Contohnya ketua hakim ataupun ketua perbendaharaan?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Kami setuju kerana dia seorang ulama terkenal. Apabila dia mahu bekerjasama dengan kita, orang ramai juga pasti memberikan kerjasama kepada kita. Tambahan pula Imam Abu Hanifah mempunyai anak murid dan pengikut yang ramai, ” jawab Khalid bin Barmak. 

“Bagaimana pula sekiranya dia tidak mahu bekerja dengan kita?” tanya salah seorang daripada mereka. 
“Sesiapa yang tidak mahu memberikan kerjasama ataupun sokongan pada khalifah, dia bukan sahabat kita. Dia patut dilayan sebagai musuh, ” jawab Jamrus. 

“Imam Abu Hanifah itu besar pengaruhnya. Sekiranya dia memusuhi kita, alamat buruk padahnya, ” kata Khalid bin Barmak pula. 

“Khalifah Abu Jaafar al-Mansur seorang khalifah yang berani dan bijaksana. Beliau dapat menundukkan musuh-musuh yang jauh lebih hebat daripada Imam Abu Hanifah. Contohnya pemimpin puak Syiah Muhammad bin Abdullah, pemimpin puak Khawari Abdullah bin Ali dan pemimpin puak Khurasan Abu Muslim al-Khurasani. Sekiranya mereka yang begitu hebat dapat dihapuskan apatah lagi seorang ulama seperti Imam Abu Hanifah, ” kata Jamrus pula. 

“Khalid, tulis surat perlantikan kepada Abu Hanifah. Beta mahu dia menjadi hakim Baghdad, ” perintah khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 
Surat perlantikan sebagai hakim atau kadi Kota Baghdad itu segera disampaikan kepada Imam Abu Hanifah. Tetapi beliau menolaknya dengan alasan tidak layak memegang jawatan itu. Kerana menyangka ulama itu mahukan jawatan yang lebih tinggi, ditawarkan jawatan ketua perbendaharaan. Namun tetap ditolaknya. Akhirnya Abu Jaafar al-Mansur memaksa Imam Abu Hanifah datang menghadap. 

“Beta mendapat tahu kamu seorang ulama yang paling terkemuka. Boleh berikan kata-kata nasihat?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Amirul Mukminin, takutlah kamu pada Allah. Kamu perlu melantik mereka yang juga takutlah Allah. Khalifah- khalifah sebelum kamu ramai yang menjadi zalim kerana dikelilingi mereka yang tidak takutkan Allah, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

“Apa pendapat kamu mengenai jawatan khalifah?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur lagi. 
“Jawatan khalifah tidak dapat diwarisi dan tidak juga melalui wasiat. Tidak dengan paksaan. Kerana itu khalifah perlu dipersetujui semua orang mukmin ataupun melalui mesyuarat ahli masjid syura, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

 “Apa pandangan kamu mengenai saya?” tanya khalifah Abu Jaafar al-Mansur lagi. 
“Amirul Mukminin tidak dapat mencontohi khalifah Umar bin Abd Aziz, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

Dengan jawapan itu, tahulah khalifah Abu Jaafar al-Mansur bahawa Imam Abu Hanifah tidak menyukainya. 

“Imam Abu Hanifah, walaupun saya tahu kamu tidak kasihkan saya tetapi masih ada belas kasihan saya pada kamu. Sekarang kamu boleh pilih antara dua. Mahu menjadi sahabat saya yang paling akrab ataupun menjadi musuh yang paling saya benci, ” khalifah Abu Jaafar al-Mansur memberi kata dua kepada Imam Abu Hanifah. 

“Saya tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa termasuk khalifah, ” kata Imam Abu Hanifah. 
“Sekiranya kamu memilih menjadi sahabat saya yang paling akrab, kamu boleh hidup senang-lenang lebih daripada apa yang kamu nikmati sekarang. Tetapi sekiranya kamu memilih menjadi musuh, kamu akan merasai penderitaannya. Saya langsung tidak ada belas kasihan pada mereka yang memusuhi saya, ” kata khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Bila menolak pelantikan khalifah bermakna dia memilih menjadi musuh kita, ” kata Jamrus pula. 

“Benarkah kamu menolak pelantikan ini?” tanya khalifah. 

“Benar.., ” jawab Imam Abu Hanifah. 

“Kurung dia di dalam penjara dan jangan benarkan sesiapa melawatnya, ” perintah khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

Imam Abu Hanifah dikurung di dalam penjara selama seminggu. Pada suatu hari, khalifah Abu Jaafar al-Mansur datang melawatnya. 

“Beta boleh membebaskan kamu dengan syarat menerima tawaran beta. Sekiranya kamu masih menolak, kamu telah dikurung di dalam penjara. Setiap hari kamu didera. Pilihlah antara dua. Kebebasan ataupun kesengsaraan, ” kata khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Saya sanggup menderita di dunia tetapi tidak sanggup sengsara di akhirat, ” tegas Imam Abu Hanifah. 

“Beritahu beta mengapa kamu menolak perlantikan ini?” tanya khalifah. 

“Khalifah seorang yang zalim dengan membunuh mereka yang tidak bersalah hanya kerana bimbang mereka merebut harta. Kamu juga mengambil harta rakyat bagi membina istana yang besar dan cantik. Sekiranya kamu mencontohi khalifah Umar bin Abd Aziz, saya orang yang pertama menawarkan diri bekerja dengan kamu, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

Baginda tersinggung mendengar kata-kata Imam Abu Hanifah itu lalu berkata, “ Beta bersumpah tidak memberikan jawatan itu kepada orang lain selain kamu!”

“Amirul Mukminin sudah bersumpah. Adakah kamu masih sanggup menolak pelantikan itu?” tanya al-Rabie yang turut berada di situ. 

“Amirul Mukminin perlu membayar kifarah sumpahnya. Bukankah dia lebih berkuasa daripada saya. Sedangkan saya tidak layak menjadi kadi apatah lagi ketua perbendaharaan, ” kata Abu Hanifah pula. 

“Kamu pembohong!” herdik khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Adakah Amirul Mukminin hendak melantik seorang pembohong menjadi kadi?” tanya Imam Abu Hanifah. 

“Saya akan penjarakan kamu sekiranya menolak pelantikan itu ini!” tempik khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Saya tetap tidak menerima jawatan itu sekalipun saya dibunuh!” balas Imam Abu Hanifah. Dia langsung tidak menunjukkan rasa takut. 

Khalifah Abu Jaafar al-Mansur bertempik marah lalu memerintahkan pengawalnya mengurung semula Imam Abu Hanifah ke dalam penjara. Kemudian baginda mencari ikhtiar bagi memujuk Imam Abu Hanifah menerima perlantikan itu. 

“Perintahkan Imam Abu Hanifah datang menghadap beta sekarang juga, ” perintah khalifah al-Mansur. 
Imam Abu Hanifah datang menghadap dalam keadaan yang letih kerana tidak diberi makanan dan minuman selama beberapa hari. 

“Imam Abu Hanifah, saya beri kamu dua pilihan. Kamu menerima perlantikan sebagai kadi dan kamu dibebaskan. Ataupun kamu menolak perlantikan beta dan kamu dikurung serta disebat setiap hari, ” kata khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Saya memilih menolak perlantikan itu, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

“Awak seorang yang gila dan bodoh!” herdik khlifah Abu Jaafar al-Mansur. 

“Kerana itu saya tidak layak menerima perlantikan itu, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

Khalifah Abu Jaafar al-Mansur menjadi marah hingga badannya menggigil. 
“Kurung orang tua ini dan sebat dia setiap hari, ” perintah khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

Hukuman itu pun dijalankan. Setiap hari Imam Abu Hanifah disebat dengan rotan hingga kulit badannya berdarah. Namun dia tetap tabah dan menganggap itu adalah dugaan. 

Pada suatu hari, salah seorang anak murid Imam Abu Hanifah menghadap khalifah Abu Hanifah al-Mansur memohon diizinkan melawat gurunya. 

“Beta benarkan kamu melawatnya tetapi dengan syarat pujuk dia supaya menerima perlantikan kadi, ” kata Abu Jaafar al-Mansur. 

“Baiklah, ” kata Yaakub. 

Dia menangis apabila melihat keadaan gurunya yang kelihatan begitu uzur kerana disebat setiap hari. 

“Wahai guruku, khalifah menyuruh saya memujuk supaya tuan menerima perlantikan itu. Tetapi saya tidak akan patuh dengan perintah khalifah yang zalim itu. Saya juga menghormati pendirian tuan guru, ” kata Yaakub sambil menangis. 

“Sekiranya khalifah atau raja melantik kamu bagi sesuatu jawapan, jangan diterima melainkan kamu melantik kerana ilmu pengetahuan, ” pesan Imam Abu Hanifah. Kemudian beliau membaca sebuah puisi yang dikarangnya sendiri. 

Aku didengki
Padahal aku tidak pernah mencela mereka
Sebelum aku
Sudah ramai orang yang terhormat didengki
Aku tetap dengan pendirianku
Alangkah ramainya manusia yang mati
Akibat didengki. 

 “Adakah tuan guru hendak meninggalkan wasiat?” tanya Yaakub. 
“Selepas saya meninggal dunia, kebumikan mayat saya di tanah perkuburan yang baik supaya tidak dirampas oleh pemerintah atau pemerintah atau pembesar negeri, ” jawab Imam Abu Hanifah. 

Tahulah Yaakub gurunya itu akan meninggal dunia tidak lama lagi. Dia sedih lalu menangis. Pengawal penjara segera menyuruhnya keluar. Sebelum pulang, khalifah bertanya adakah dia sudah berjaya memujuk gurunya. 

“Sekiranya Amirul Mukminin sendiri tidak dapat memujuknya apatah lagi saya yang cuma anak muridnya, ” kata Yaakub. 

Khalifah Abu Jaafar al-Mansur terus mencari jalan bagi mengubah pendirian Imam Abu Hanifah. 

“Adakah ibunya masih hidup?” tanya khalifah. 

“Ibunya masih hidup tetapi agak uzur;” jawab Khalid Barmak. 
“Jemput ibunya datang menghadap bila tentu dapat memujuk anaknya yang degil itu, ” perintah khalifah Abu Jaafar al-Mansur. 

Tidak lama kemudian ibu Imam Abu Hanifah datang menghadap khalifah. Baginda memujuk supaya Imam Abu Hanifah bersetuju menerima tawaran jawatan khalifah. Ibu Imam Abu Hanifah bersetuju memujuk anaknya. Namun, setelah dipujuk pun Imam Abu Hanifah tetap dengan pendiriannya untuk tidak akan menerima jawatan itu. Si ibu keewa kerana tidak dapat memujuk anaknya. 

Kemarahan khalifah Abu Jaafar al-Mansur pada Imam Abu Hanifah tidak dapat ditahan lagi apabila semua usaha yang dilakukannya tidak berjaya. Akhirnya baginda mengambil keputusan membunuhnya. Baginda menyuruh pembantunya membubuh racun ke dalam air minuman. Kemudian Abu Hanifah disuruh datang menghadap dalam keadaan kaki dan tangannya diikat dengan rantai. 

Setelah Imam Abu Hanifah berteleku di hadapan baginda, khalifah Abu Jaafar al-Mansur telah menghulur kepada Imam Abu Hanifah segelas minuman dan memaksa agar Imam Abu Hanifah meminumnya. Setelah Imam Abu Hanifah meminumnya lalu khalifah al-Mansur memerintahkan para pengawalnya supaya segera membawa semula Imam Abu Hanifah ke penjara. 

Sebaik sahaja Imam Abu Hanifah dikurung semula ke dalam penjara, beliau merasa badan beliau semakin tidak selesa kerana meminum racun itu. Terasa oleh Imam Abu Hanifah bahawa ajalnya telah tiba. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah telah duduk semula ke tempat beliau selalu solat dan beliau merebahkan dirinya tunduk sujud kepada Allah SWT. dalam keadaan membongkok sujud itu Imam Abu Hanifah menghembuskan nafasnya yang terakhir. 


Setelah pengawal penjara mendapati Imam Abu Hanifah sudah meninggal dalam keadaan sujud, lalu dibukanya pintu penjara dan diusung jenazah Imam Abu Hanifah keluar. Dipanggilnya kaum kerabat Imam Abu Hanifah dan mereka menguruskan jenazah iamam yang mati dianiaya itu. 

Kaum keluarga Imam Abu Hanifah membawa pulang jenazah Imam Abu Hanifah dengan penuh kesedihan dan esak tangis. Orang yang diamanahkan untuk memandikan jenazah Imam Abu Hanifah terdiri daripada beberapa orang dan diketuai oleh Hasan bin Imarah. 

Sebaik sahaja Hasan bin Imarah selesai memandikan jenazah Imam Abu Hanifah, beliau berkata sebagai meratap, “Mudah-mudahan Allah mengasihani engkau dan mengampunkan semua kesalahan engkau. Wahai orang yang merasai lapar selama tiga puluh tahun, dan selalu bangun malam selama empat puluh tahun. Demi Allah! Engkau adalah seseorang yang menyusahkan orang ramai setelah pemergian engkau ini. ”

Sejak kematian Imam Abu Hanifah dan selepas melihat keadaan orang ramai yang begitu bersimpati pada ulama terbilang itu barulah khalifah Abu Jaafar al-Mansur berasa bersalah. Dia insaf atas kesalahan yang dilakukannya. 

Khalifah Abu Jaafar al-Mansur juga turut menyembahyangkan jenazah Imam Abu Hanifah.  Kemudian beliau turut mengiringi jenazah ulama besar itu hingga ke tanah perkuburan al-Khairazan yang terletak di timur Baghdad. Jumlah orang ramai yang berada di tanah perkuburan itu dianggarkan lima puluh ribu orang. 

Khalifah al-Mansur cuba merahsiakan sebab-sebab kematian Imam Abu Hanifah. Tetapi akhirnya rahsia itu bocor apabila seorang pelayan istana berpaling tadah kerana tidak sanggup bersubahat dengan kezaliman khalifah. Dia menghebahkan kepada orang ramai yang Imam Abu Hanifah diracun oleh khalifah. Ini menimbulkan kemarahan orang ramai. Mereka semakin membenci serta menjauhkan diri daripada khalifah. 

Imam Al-Azim Abu Hanifah an-Nu’man bin Thabit meninggalkan seorang isteri dan seorang anak. Semasa hidupnya, Imam Abu Hanifah tidak sempat menyusun kitabnya. Namun, beliau mempunyai anak murid yang ramai. Mereka yang menulis dan menyusun kitab berdasarkan pendapat yang dicurahkan oleh guru mereka. 

Dengan itu hilanglah sebutir bintang yang telah menerangi dunia Islam dan mazhabnya telah dianuti oleh satu perempat penganut Islam di seluruh dunia. 

PENUTUP
Hasil pembacaan saya, saya dapati Imam Abu Hanifah seorang manusia yang banyak dan kuat beribadat. Beliau dikatakan telah mengerjakan ibadah haji di Baitullah sebanyak 55 kali selama hidupnya. Diriwayatkan beliau mengerjakan solat Subuh dengan air wudhuk solat Isyak selama 40 tahun sehingga beliau digelar “ Al-Watid”yang bererti “ orang yang sangat banyak beribadat pada waktu malam”. Penderitaan yang Abu Hanifah alami adalah disebabkan beliau tidak mahu bekerjasama dengan pihak pemerintah pada masa itu. 
Nama Imam Abu Hanifah semakin harum kerana kewibawaan dan ketegasan telah jelas menujukkan kepada masyarakat bahawa beliau adalah seorang ulama yang tidak gila pangkat dan kedudukan. Hari demi hari, pengikutnya semakin bertambah ramai. 

Pada umumnya, mazhab Imam Abu Hanifah telah menjadi anutan penduduk-penduduk di negara Algeria, Tunisia, Syria, Iraq, Afrika, India, Pakistan, Turki, Afghanistan, Balkan, Turkestan, Armenia dan lain-lain. Dianggarkan penduduk India yang menganut mazhab Imam Abu Hanifah ialah seramai 48 juta orang. Manakala penduduk di Brazil seramai 25000 orang. 
Namun sehingga hari ini, mazhab Imam Abu Hanifah dianuti oleh hampir satu perempat daripada umat Islam di seluruh dunia dan inilah mazhab yang dikenali pada masa kini dengan sebutan Mazhab Hanafi. 

RUJUKAN

Acheh, Prof. Dr. HjAboebakar (1976). Ahlus Sunah WalJama’ah, Cetakan Pertama. Kota Baharu, Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. 

Daud, Ustazah Fatimah (2011). Nota Pendidikan Islam Tingkatan 4, Cetakan Kelapan. Sg. Petani, Kedah: Jejak Jaya Dua Enterprise. 

Helmi, Ustaz Muhammad (2002). Siri Tokoh-Tokoh Islam: Imam Abu Hanifah, Cetakan Pertama. Kuala Lumpur: Jade Green Publications Sdn. Bhd. 

Talib, Abdul Latip (2011). Kisah 4 Imam Mazhab, Cetakan Pertama. Batu Caves, Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd. 

Tarikuddin, Hj. Hassan (2007). Riwayat Hidup 4 Imam Mazhab, Cetakan Keempat. Johor Baru, Johor Darul Takzim: Perniagaan Jahabersa. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com