Kehidupan Pendidikan Al-Ghazzali

Disediakan Untuk:
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam

Disediakan Oleh :
Afiqah Binti Rosdi
2014647692

TAKRIF

Hujjat al-Islam(bukti bagi Islam) merupakan gelaran terhormat yang diberikan kepada al-Ghazzali kerana beliau sangat komited mempertahankan Islam dari aliran pemikiran-pemikiran yang wujud pada masa itu. Al-Ghazzali adalah tokoh ilmuan yang disanjungi dan dikagumi kerana kehebatan beliau dalam menceburi bidang ilmu. Beliau telah berjaya mengubah dan mengembangkan pemikiran masyarakat dan umat Islam. Beliau telah mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil lagi dan kecerdasan serta ketajaman akal dan minda beliau yang dianugerahkan Allah SWT telah membantu menjadikan beliau seorang tokoh ilmuan yang hebat.
 Beliau mendapat pendidikan secara formal dan tidak formal. Pendidikan secara formal beliau bermula sejak kecil iaitu beliau dan saudaranya Ahmad telah belajar membaca dan menulis dengan seorang ahli sufi yang diamanahkan. Tarikh yang tepat tentang pendidikan awal al-Ghazzali tidak dinyatakan dengan tepat, namun kebiasaannya umur untuk memulakan pelajaran di sekolah ialah 11 tahun dan al-Ghazzali berumur 11 tahun pada 469 H/1069 M. Pada ketika itu, kemungkinan beliau telah bermula belajar fiqh di Tus daripada gurunya Muhammad al-Radhakaniyy.
 Al-Ghazzali banyak menuntut ilmu daripada ulama serta guru-guru yang terkenal pada ketika itu. Beliau juga merupakan seorang yang suka mengembara bagi menuntut ilmu dan mencari hakikat kebenaran yang sebenarnya. Di Kem(al-Mu’askar) beliau berjumpa wazir Nizam al-Mulk dan kediamannya dijadikan tempat perbincangan bagi para cerdik pandai dan al-Ghazzali berbahas dengan ulama lain di sana bagi mendapat penghormatan mereka. Selain menuntut ilmu, lebih kurang enam tahun berada di al-Mu’askar, al-Ghazzali telah dilantik oleh Nizam al-Mulk untuk mengajar di msalah sebuah madrasah di sana.
 Beliau telah banyak mengembara bagi menuntut ilmu kebenaran dan menghasilkan buku-buku yang banyak membantu masyarakat umat Islam dan para ulama. Beliau menghadapi banyak juga rintangan sepanjang pengembaraan dan perjalanan beliau dalam menuntu ilmu dan mencari hakikat kebenaran.

PENDAHULUAN

Al-Ghazzali merupakan seorang ilmuan yang berwibawa yang sangat dikagumi dan merupakan seorang tokoh yang sangat terkenal di dunia akademik antarabangsa. Sumbangan al-Ghazzali terhadap umat Islam teramatlah terkesan apabila dapat mempengaruhi pertumbuhan serta perkembangan pemikiran masyarakat Islam. Ketokohan Al-Imam al-Ghazzali ini bukan sahaja dikagumi pada zaman beliau sahaja, malah kehebatan beliau masih lagi disanjungi serta dihargai sehingga abad ini. Tidak disangkal juga, kemasyuran al-Ghazzali sebagai seorang tokoh yang terbilang dalam dunia akademik adalah kerana beliau mempunyai ciri pemikiran yang bersifat enclopaedic. Sungguhpun beliau merupakan seorang tokoh yang sangat terkenal dengan kehebatannya namun seperti manusia biasa beliau juga menghadapi cabaran-cabaran hidup getir sepanjang kehidupannya. Justeru, kita sebagai umat Islam perlu menjadikan al-Ghazzali sebagai contoh atau idola yang boleh dicontohi dari pelbagai aspek.
 Seperti yang kita ketahui, tokoh pemikir Islam seperti al-Ghazzali telah banyak menyumbang kepada umat Islam serta para ilmuan. Al-Ghazzali merupakan seorang tokoh yang mempunyai tahap kecerdasan akal yang tinggi serta amat mahir dalam bidang yang diceburinya terutama dalam disiplin ilmu.

BIODATA AL-GHAZZALI

Biodata dan keterangan diri al-Ghazzali adalah berdasarkan pelbagai bahan rujukan. Beliau mempunyai beberapa catatan semi-biografi yang ditulisnya sendiri dalam Al-Muniqh min al-Dalal(Penyelamat Daripada Kesesatan) dan terdapat ramai sejarawan dan sarjana klasik dan moden yang menulis tentang beliau. Cendekiawan masa kini juga ada yang menulis biodata al-Ghazzali ini sewaktu mereka membentangkan asas-asas pemikiran beliau dalam bidang tertentu.
 Nama sebenar al-Ghazzali ialah Abu Hamid, Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Ahmad al-Ghazzali al-Tusi serta dirujuk dengan beberapa gelaran seperti Hujjat al-Islam(The Proof of Islam) dan Zayn al-Din(The Ornament of Religion). Beliau juga terkenal dengan gelaran Naysabur. Beliau mendapat nama julukan istimewa serta beberapa gelaran sebagai penghormatan tinggi masyarakat terhadap kehebatan beliau dalam menyumbang dalam bidang keilmuan serta melambangkan pengiktirafan mereka terhadap ketokohannya yang luar biasa. Ketokohan al-Ghazzali amat dikagumi berbanding dengan tokoh-tokoh yang lainsampaikan ada sarjana yang menggelarkannya sebagai “the greatest Muslim” selepas nabi Muhammad SAW. Beliau dilahirkan pada tahun 450 H. / 1058 M di Tabaran iaitu di sebuah kota di daerah Tus yang terletak dalam negeri Khurasan.
Keluarga al-Ghazzali merupakan keluarga yang berkedudukan sederhana dalam masyarakat serta mengaplikasikan aspek penghayatan ajaran Islam di dalam kehidupan mereka. Al-Ghazzali mempunyai seorang ayah yang bekerja sebagai penenun bulu binatang untuk dibuat pakaian dan dijual di kedai-kedai di kota Tus, Khurasan. Sumber-sumber sejarah menyatakan bahawa al-Ghazzali merupakan seseorang yang berbangsa Parsi walaupun sebahagian besar daripada hasil bukunya ditulis dalam Bahasa Arab. Al-Ghazzali merupakan seorang anak lelaki yang soleh dan sentiasa takut akan balasan buruk dari Allah SWT. Walaubagaimanapun, beliau telah kehilangan ayahnya semenjak dari kecil lagi. Namun, al-Ghazzali mempunyai seorang saudara lelaki yang bernama Ahmad serta beberapa orang saudara perempuan.
 Sebelum ayahnya meninggal dunia, ayahnya itu telah mewasiatkan seorang rakannya supaya menjaga, mengawasi mereka dalam menuntut ilmu serta mengajarkan ilmu Khat kepada dua orang anaknya. Rakan ayahnya itu telah diberikan sedikit harta peninggalannya bagi menampung perbelanjaan anak-anak mereka al-Ghazzali dan saudaranya meneruskan pengajian di salah sebuah madrasah di Tus. Tujuan beliau meneruskan pengajian di sana adalah setelah harta mereka telah habis dibelanjakan dan kedua-duanya disarankan oleh penjaga mereka supaya meneruskan pengajian di madrasah yang memberikan biasiswa. Di sana, al-Ghazzali telah membesar dan mendapat pendidikan yang sempurna daripada tokoh-tokoh ulama terkemuka pada ketika itu.
 Berdasarkan catatan sejarawan, tidak banyak yang menceritakan tentang urusan kehidupan al-Ghazzali. Namun, seperti manusia biasa yang lainnya juga al-Ghazzali menjalani kehidupan berkeluarga iaitu ketika beliau telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun dan telah dikurniakan empat orang anak, iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. Namun, anak lelaki tuggalnya telah pun meninggal dunia ketika masih kecil.
 Al-Ghazzali juga merupakan seorang pengembara. Ini kerana, beliau merupakan seorang yang suka mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain bagi memantapkan dirinya dengan pelbagai disiplin ilmu dan mencari hakikat kebenaran. Beliau mengembara ke Naysabur, al-Askar(Iraq), Mesir dan ke Damsyik, Syria. Hasil pengembaraan al-Ghazzali beliau telah bertemu dengan ulama terkenal pada masa itu dan beliau sempat berguru dengannya sehinggalah gurunya itu meninggal dunia pada tahun 478 H. / 1085 M. Guru yang dimaksudkan itu ialah al-Imam al-Haramayn. Setelah furunya itu meninggal dunia, al-Ghazzali meneruskan pengembaraan ke al-Askar, Baghdad dan bertemu dengan menteri yang bernama Nizam al-Mulk, seorang tokoh pembesar keturunan Bani Saljuk. Di dana, al-Ghazzali telah dicabar dengan beberapa majlis perdebatan dan dialog antara beliau dengan kalangan bijak pandai di sana bagi menilai kemantapan ilmunya dan ternyata beliau mampu mengatasi cendekiawan tempatan pada masa itu. Al-Ghazzali telah dilantik menjadi profesor di Madrasah al-Nizamiyyah, Baghdad pada bulan Jamadil Awal, 484 H dan oleh menteri Nizam al-Mulk. Nama beliau menjadi sebutan di sana.
Tambahan lagi, di al-Askar beliau terlibat secara langsung dengan kegiatan pengajaran di Madrasah yang satu-satunya institusi pendidikan terkenal yang diasaskan oleh Nizam al-Mulk kira-kira 25 tahun sebelum perlantikan al-Ghazzali ke jawatan tersebut. Menurut Ibn al-Arabi (m. 543 H/1148 M), kuliah yang disampaikan oleh Al-Imam al-Ghazzali ini dihadiri oleh 400 orang pelajar yang diantaranya juga termasuk golongan tokoh besar ulama pada masa itu. Dalam pada itu, beliau telah mendalami bidang Falsafah dengan membaca sendiri karya-karya yang berkaitan yang berkaitan dengan bidang tersebut dan menghasilkan beberapa karya ilmiah. Al-Ghazzali merupakan tokoh yang sangat mahir dalam menceburi disiplin ilmu dan Ibn Khatir menyifatkan beliau sebagai seorang tokoh cendekiawan dunia dalam semua bidang yang diceburinya. Kehebatan dan tahap pemikiran yang tinggi menyebabkan beliau telah menjadi tokoh terkemuka dan mendapat gelaran hujjat al-Islam. Al-Ghazzali diberikan gelaran tersebut kerana beliau sangat komited dalam membela dan mempertahankan agama Islam. Gelaran hujjat al-Islam ini bermaksud orang yang berhujah mempertahankan agama Islam. Al-Ghazzali juga merupakan seorang pendukung aliran mazhab syafi’I, dan ada salah seorang daripada muridnya iaitu Al-Imam Muhammad ibn Yahya menganggap beliau sebagai Imam Syafi’i yang kedua. Selain itu, Ibn Khalikan menganggap beliau sebagai salah seorang tokoh yang tiada tandingan dalam kumpulan ulama syafi’iyyah pada akhir zamannya.
 Seterusnya, al-Ghazzali sebenarnya melalui dua peringkat penting sepanjang kehidupannya. Perbezaannya dua peringkat kehidupannya ini adalah terhadap bidang ilmu yang diceburi oleh beliau. Al-Ghazzali lebih cenderung terhadap ilmu yang berbeza bentuknya pada kedua-dua peringkat. Pada peringkat pertama atau awalnya, beliau cenderung melibatkan diri dalam semua disiplin ilmu yang berbentuk teoretikal(al-ulum al-nazariyyah) seperti Ilm al-Khalam, Ilm al-Fiqh, dan Falsafah dan beliau telah mengkaji Ilm al-Kalam ini secara mendalam bagi memahami aliran mazhab tersebut. Al-Ghazzali juga mengkaji aliran mazhab al-Isma’illiyyah secara kritikal bagi mengkritik dan menyangkal aliran bercorak kebatinan setelah Nizam al-Mulk iaitu pelindungnya dibunuh oleh salah seorang pendukung aliran mazhab ala-Isma’illiyyah.
 Pada peringkat kedua, al-Ghazzali telah melepaskan jawatannya sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Nizamiyyah, Baghdad dan jawatannya itu telah digantikan oeh saudaranya iaitu Ahmad. Beliau telah menjadi tenaga pengajar di madrasah tiu selama empat tahun. Pada peringkat kedua ini, kehidupan al-Ghazzali adalah bercorak kerohanian setelah beliau merasakan perasaan syak wasangka terhadap beberapa asas pemikiran yang beliau miliki. Setelah melepaskan jawatannya, beliau mula mengasingkan diri daripada masyarakat umum bagi meneliti serta memikirkan semula dan melihat kembali ilmu-ilmu yang beliau peroleh selama ini. Pada ketika itu, beliau banyak meluangkan masa beliau dengan beribadat kepada-Nya bagi mendekatkan diri beliau terhadap Allah SWT. Al-Ghazzali telah beruzlah secara tenang dan menjalani kehidupan sebagai seorang ahli ibadat, seorang zuhud dan ahli sufi yang selalu melakukan amalan dan beliau melakukan semua itu selama 11 tahun. Tambahan lagi, al-Ghazzali sekali lagi sekali lagi Berjaya menghasilkan karya iaitu kitab Ihya “Ulum al-Din”, serta beliau sempat mengerjakan haji di Makkah pada bulan Zulkaedah, tahun 488 H. /1095M.
 Al-Ghazzali kemudiannya telah memutuskan untuk kembali semula ke kampung halamannya di Tus, Naysabur setelah lama beliau mengembara. Beliau mendapat keputusan untuk kembali ke kampong halamannya itu juga disebabkan oleh faktor pujukan Sultan Mahmud al-Saljuqi, yang menaiki takhta pada tahun 498 H. / 1104 M dan Fakhr al-Mulk ibn Nizam al-Mulk adalah menterinya. Lima tahun sebelum kewafatannya, beliau sempat mengajar semula di Madrasah al-Nizamiyyah, Naysabur dan takdir Ilahi beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir, 505 H bersamaan 19 Disember 1111 M di Tabaran. Beliau wafat ketika beliau berusia 55 tahun. Kehilangan seorang tokoh seperti al-Ghazzali adalah merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam. Kemunculan al-Ghazzali adalah membenarkan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Allah SWT akan membangkitkan seorang yang akan mentajdidkan urusan agama umat-Nya pada setiap seratus tahun dan beliau merupakan tokoh mujaddid pada kurun kelima hijrah.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN

Umummnya kita mengetahui, kita mengetahui al-Ghazzali sangat terkenal dengan ketokohann beliau serta kehebatannya dalam bidang ilmu yang diceburinya sehinggakan bermacam gelaran telah diberikan kepadanya sebagai tanda penghargaan dan betapa kagumnya masyarakat terhadap al-Ghazzali. Beliau merupakan cendekiawan yang tiada tandingannya dan mempunyai dan mempunyai tahap kecerdasan akal yang tinggi. Sebagai mujaddid ummah, al-Ghazzali telah berjaya mencetuskan perubahan besar dalam pemikiran masyarakat terutama bagi umat Islam. Al-Ghazzali telah mendapat pendidikan yang sempurna secara formal atau sebaliknya sejak kecil.
 Sejarawan juga ada mengatakan bahawa ayah beliau juga memainkan peranan yang besar dalam pendidikan al-Ghazzali. Beliau mempunyai seorang ayah yang mempunyai keperibadian yang sangat cemerlang dan terkenal sebagai seorang bapa mithali kerana ayah beliau sangat mengambil berat tentang pendidikan anak-anaknya. Selain itu, ada juga sarjana yang menyatakan bahawa ayah beliau turut member khidmat bakti kepada para ulama pada zamannya kerana ayahnya juga merupakan seorang yang gemar mendampingi para ulama. Kelahiran al-Ghazzali menjadi bukti dan rahmat doa ayahnya yang sering dipanjatkan kepada Allah SWT telah dimakbulkan. Al-Ghazzali telah membantu umat Islam dalam perkembangan dan pertumbuhan tahap pemikiran. Meskipun al-Ghazzali kehilangan ayahnya sejak kecil, namun beliau juga sempat didedahkan dengan didikan yang sempurna dari ayahnya serta nilai-nilai kehidupan yang bercorak keIslaman seperti ajaran Tasawuf. Al-Ghazzali sempat didedahkan dengan ajaran Tasawuf ini kerana ayahnya merupakan seorang darwisy yang bertaqwa. Sejarawan juga menyatakan, selepas ayah beliau meninggal dunia, al-Ghazzali tetap mendapat pendidikan yang sama sebagaimana diterapkan oleh ayahnya kerana beliau meneruskan corak pendidikan yang sama.
 Pendidikan awal daripada tokoh sufi ini, al-Ghazzali telah didedahkan dengan beberapa disiplin ilmu dan diantaranya adalah ilmu Khat, pengajian al Quran dan Hadis, pendahuluan tentang cerita wali-wali Allah dan penghafalan syair-syair kesufian mengenai kecintaan kepada Allah(Mystical Love Poems). Ilmu yang didedahkan kepada al-Ghazzali merupakan asas-asas ilmu agama yang biasa diajar kepada kanak-kanak Muslim pada zaman itu. Kemudian, kelebihan al-Ghazzali ialah beliau telah mendapat peluang untuk menimba ilmu daripada bebrapa orang tokoh ilmuan yang terkenal pada masa itu. Al-Ghazzali memulakan pendidikan secara formalnya do kota Tus. Al-Ghazzali meneruskan pengajiannya di sebuah institusi pendidikan yang dapat memberinya biasiswa kerana penjaganya sudah tidak dapat menyara kos perbelanjaan al-Ghazzali dan saudaranya kerana harta peninggalan yang diberikan ayah beliau kepada penjaganya bagi menampung perbelanjaan al-Ghazzali dan keluarganya sudah kehabisan.                                                                      
 Al-Ghazzali telah disarankan oleh penjaganya untuk mempelajari al-Fiqh di mana-mana madrasah di Tus. Ini kerana, ilmu al-Fiqh merupakan antara ilmu yang masyur ketika itu dan al-Ghazzali telah diajar oleh seorang guru yang terkenal iaitu Ahmad al-Radhkani yang mana telah mengajar al-Ghazzali tentang Ilm al-Fiqh berdasarkan mazhab al-Syafi’i. Al-Ghazzali berhijrah ke Jurjan bagi menyambung dan mendalami pengajiannya dalam bidang al-Fiqh sebelum umur beliau mencecah 15 tahun. Pengajiannya dalam bidang al-Fiqh kali ini adalah di bawah bimbingan al-Imam Abi Nasr al-Isma’ili. Ketika berada di Jurjan, beliau telah membuat beberapa catatan tentang ilmu yang dipelajarinya di sana, iaitu himpunan ilmu-ilmu agama yang berkaitan dengan asas akidah, syariat dan akhlak. Al-Ghazzali kemudiannya kembali semula ke kampong halamannya di Tus selepas dua tahun berada di Jurjan.
 Sebelum umur al-Ghazzali mencecah 30 tahun, beliau telah berhijrah ke Naysabur untuk berguru dengan Abu al-Ma’li al-Juwayni(M. 478 H. /1047M). Abu al-Ma’li al-Juwayni ini juga terkenal dengan gelaran Imam al-Haramayn dan merupakan seorang tokoh ulama al-Asya’irah yang sangat mashur ketika itu. Al-Juwayni telah memberikan tunjuk ajar kepada al-Ghazzali dengan begitu baik sekali sehinggakan beliau menjadi sangat mahir dalam beberapa disiplin ilmu seperti aliran mazhab, khilaf, al-Jalal, Falsafah dan Logik. Kehebatan al-Ghazzali menguasai disiplin ilmu ini juga disebabkan oleh ketekunan dan kesungguhan beliau sehinggakan beliau muncul sebagai salah seorang tokoh ilmuan yang unggul pada ketika itu dalam masa yang singkat. Al-Ghazzali telah menguasai disiplin ilmu dengan sangat baik dengan memahami pandangan atau ungkapan kata tokoh-tokoh ilmuan yang mempelajari disiplin ilmu yang dipelajarinya sehingga beliau mampu menolak pandangan batil yang terkandung dalam disiplin ilmu yang dipelajarinya.
 Sebelum Al-Juwayni iaitu guru beliau yang meninggal dunia, al-Ghazzali sudahpun berjaya menghasilkan karya sulungnya dalam bidang usul al-Fiqh menerusi kitabnya yang bertajuk Al-Mankhul min Ilm al-Usul(Tapisan Ilmu Perundangan Islam). Jelas sekali gurunya itu sendiri amat mencemburui kebolehan al-Ghazzali yang mampu menguasai bidang ilmu yang diajarkan kepada beliau. Selepas al-Ghazzali berguru dengan al-Juwayni, beliau turut berguru dengan beberapa orang ulama yang lain. Walaubagaimanapun, para Sejarawan turut tidak menyatakan dengan lebih lanjut mengenai beberapa orang ulama tersebut melainkan seorang tokoh yang bernama Abu Ali al-Farmadhi(m. 477 H. / 1084 M). Dengan berguru kepada al-Farmadhi beliau telah didedahkan dengan disiplin ilmu Tasawuf, beberapa asas teori dan amalan ahli-ahli tasawuf. Selain itu, al-Ghazzali turut didedahkan dengan beberapa amalan yang bercorak kerohanian dan beliau seterusnya mengamalkan beberapa amalan ibadat, solat sunat dan zikir-zikir yang diajar oleh gurunya. Kenyataan ini adalah berdasarkan kenyataan yang dialporkan oleh Al-Dhahabi.
 Namun, terdapat satu pendapat oleh sesetengah sarjana dan pandangan umum yang berbeza. Sesetengah sarjana berpendapat, pada ketika ini atau pada peringkat ini al-Ghazzali telah pun didedahkan dengan beberapa asas pemikiran aliran al-Talim atau aliran al-Isma’ili berbeza dengan pandangan umum yang menyatakan bahawa al-Ghazzali mula secara serius mengkaji aliran ini apabila khalifah al-Mustazhir berkuasa pada tahun 487H. /1094M). Pendukung aliran ini mendakwa bahawa mereka mempunyai autoriti menyampaikan pengajaran (ta’lim) dan memiliki keistimewaan memperoleh ilmu pengetahuan menerusi imam yang maksum.
 Seterusnya, al-Ghazzali secara langsung tidak didedahkan tentang asas-asas pemikiran Falsafah termasuk Logik yang tidak hanya tergolong dalam komponen disiplin ilmu Falsafah Greek, malah berfungsi sebagai manhaj bagi Falsafah itu sendiri. Ilm al-Kalam merupakan suatu mata pelajaran yang tidak diajar oleh guru-guru yang lain melainkan al-Juwayni, Al-Juwayni bertanggungjawab dalam memperkenalkan Ilm al-Kalam ini kepada al-Ghazzali. Al-Subki telah menguatkan kenyataan dengan dakwaan bahawa al-Juwayni telah memperkenalkan pengajian Falsafah, Logik dan al-Hikmah kepada al-Ghazzali. Diakui, al-Juwayni bukanlah seorang ahli Falsafah yang sesuai dikategorikan dalam kumpulan nama-nama besar seperti al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rusyd dan lain-lain, namun asas pemikiran Falsafah secara tidak langsung dapat disematkan dalam pemikiran al-Juwayni melalui pengetahuan kalamnya.
 Fakta-fakta latar belakang pendidikan al-Ghazzali, telah menunjukkan bahawa beliau telah mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil lagi. Kecerdasan akal dan mindanya juga secara tidak langsung mempengaruhi diri beliau untuk menjadi tokoh ilmuan yang hebat dan cendekiawan yang dikagumi masyarakat yang juga banyak menyumbang dalam perkembangan pemikiran umat Islam.

 PENUTUP

Seperti yang kita ketahui, ketokohan serta kehebatan al-Ghazzali dalam keilmuan amatlah dikagumi. Sumbangan beliau terhadap perkembangan pemikiran terutama dalam dunia Islam adalah begitu besar. Hasil mendapat didikan yang sempurna sejak kecil oleh bapanya secara tidak langsung mempengaruhi beliau dalam bidang keilmuan. Pendidikan sejak kecil daripada bapanya telah mendorong beliau untuk mendalami ilmu-ilmu secara mendalam. Beliau memulakan pengembaraan intelektual yang panjang dalam pencarian kebenaran yang membawanya mempersoalkan perkara-perkara yang meragukan dalam sejarah pemikiran.
 Menjadi seorang guru di salah satu madrasah yang terkenal di Nizamiyyah, Baghdad, beliau turut pengajian tentang falsafah dalam pencarian terhadap ilmu yang benar. Al-Ghazzali banyak menyumbang pendiriannya terhadap Logik dan telah menulis banyak buku-buku bagi membentangkan kriteria-kriteria ilmu. Walaubagaimanapun, setelah bertahun-tahun beliau mengajar di madrasah dan mengkaji ilmu-ilmu yang dipelajarinya, al-Ghazzali telah memencilkan diri bagi menekankan dan mengkaji semula penulisan dan ilmu yang telah ditimba sejak kecil. Kemudian, beliau kembali ke kampong tanah tumpah darahnya di Tus sebelum beliau meninggal duina.

 RUJUKAN

Wan Mohd. Azam Mohd. Amin, (2004), Al-Ghazzaliyy Kajian Epistemologi Islam, Al-Ghazzaliyy:A Study In Islamic Epistemology. Selangor:Darwama Sdn. Bhd.
Kamran As’ad Irsyady, (2002). Samudera Pemikiran Al-Ghazzali, Majmu’ah Rasa’il al-Imam al-Ghazali, Jilid 1. Yogyakarta:Pustaka Sufi.
Kamran As’ad Irsyady, (2002). Samudera Pemikiran Al-Ghazzali, Majmu’ah Rasa’il al-Imam al-Ghazali, Jilid 2. Yogyakarta:Pustaka Sufi.
W. Montgomery Watt, (1994). The Faith And Practice of Al-Ghazali. England:One World Publications.
Mohd Fauzi Hamat, (2005). Ketokohan Al-Ghazzali Dalam Bidang Logik, Edisi 1. Kuala Lumpur:Universiti Malaya.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
URL: abdazizharjin.blogspot.com
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
HP: 013-4006206
PJ: 04-9882701
R: 04-9882597

Last update 27/01/2015