Kepimpinan Khulafa Ar Rasyidin

Disediakan Untuk:
Abd. Aziz Bin Harjin

Disediakan Oleh:
Puteri Fatin Syazwani Binti Mohamad
2014257118

Pendahuluan
Khutbah Terakhir Nabi Muhammad Saw Pada Musim Haji Tahun Ke-10 H. Mempunyai Mesej Penting Kepada Umat Islam. Antara Intipati Khutbah Tersebut Termasuklah Gesaan Agar Umat Islam Bersatu Padu, Mencintai Perdamaian Danberpegang Pada Agama Islam Dengan Berteraskan Al Quran Dan Sunah. 

“ Hai Manusia, Saya Telah Meninggalkan Kepada Kamu Satu Pusaka Dan Kamu Tidak Akan Sesat Selama-Lamanya Selagi Kamu Masih Berpegang kepada pusaka ini iaitu kitab Allah atau Al Quran dan sunnah Rasulullah”

Perkara ini jelas menjadi asas kekuatan umat Islam. Ini adalah kerana selepas Nabi Muhammad SAW wafat, umat Islam menghadapi dugaan besar terutama untuk mendapatkan calon bagi menggantikan baginda sebagai pemimpin kerana semasa hayatnya baginda tidak pernah menamakan bakal penggantinya. 

Pada ketika itu juga telah muncul golongan yang mengambil kesempatan iaitu yang mengaku dirinya sebagai nabi, yang enggan membayar zakat dan murtad. Golongan ini dikenali juga sebagai golongan al-Riddah. 

Sistem pemerintahan kerajaan yang diasaskan oleh baginda telah diteruskan selepas kewafatan baginda melalui sistem pentadbiran yang diketuai oleh khalifah. Zaman pemerintahan khalifah dikenali sebagai zaman Khulafa al-Rasyidin. Tokoh-tokoh yang memegang jawatan ini ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Bin Affan dan Saidina Ali Bin Abu Talib. 

KONSEP KHALIFAH

Nabi Muhammad SAW setelah berhijrah ke Madinah pada tahun 622 M. telah berjaya membentuk sebuah pemerintahan Islam. Baginda berjaya menyatupadukan golongan Islam dan bukan Islam. Perlembagaan Madinah yang digubal pada tahun 622 M lebih menyerlahkan peranan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin kerajaan Islam sehingga Madinah menjadi pusat pemerintahan dan pusat perdagangan yang unggul. Namun, setelah kewafatan baginda sistem pemerintahan Islam ditadbir di bawah pemerintahan Khulafa Ar-Rayidin. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Khalifah ialah perkataan dalam bahasa arab yang bererti pengganti (kata jamaknya, khulafa). Dalam konteks ini khalifah bermaksud pengganti yang melaksanakan tanggungjawab pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang sebelumnya telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Selain itu, lafaz “khalifah” atau “khulafa” dan “khalaif” di dalam Al Quran disebut sebanyak 9 kali yang mengandungi erti ; pengganti (penguasa), pengganti (generasi penerus), pengganti (wakil), pengganti dari sesuatu yang telah ada sebelumnya dan pengganti yang menggantikan sesorang yang lain dalam menjalankan tugas atau sesuatu urusan. (Mustafa Hj.Daud, 1994)

Dari segi istilah yang dirumuskan sarjana Islam ialah Satu Jawatan Kuasa Umum dalam negara Islam yang bertanggungjawab mentadbir urusan dunia dan hal ehwal agama selepas Rasulullah SAW. Dalam konteks agama pula perkataan ini bermaksud tanggungjawab memelihara kemurniaan agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dan juga tanggungjawab mengekalkan keharmonian serta kestabilan umat Islam. (Mustafa Hj.Daud, 1994)

Firman Allah SWT : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat :-“ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi….. ” (Surah al-Baqarah:30)

SYARAT DAN CIRI-CIRI PEMILIHAN KHALIFAH
Dalam pemilihan khalifah, beberapa syarat atau kriteria perlu dipenuhi oleh seseorang calon khalifah. Calon tersebut mestilah lelaki yang merdeka, beragama Islam, memiliki pengetahuan yang luas tentang Islam, mematuhi perintah Allah, bersifat adil dan mempunyai akhlak yang baik. Calon juga hendaklah mempunyai tubuh yang sihat dan sempurna, berfikiran cerdas, warak, berpengaruh, berketurunan baik dan pandai mentadbir kerajaan. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)
Selain itu, seorang khalifah mestilah menguasai teknik-teknik berkomunikasi, cekap membuat keputusan serta menguasai prinsip-prinsip perhubungan antara manusia. Seorang khalifah juga mestilah mempunyai keyakinan diri yang mantap serta memiliki semangat yang kuat supaya mampu bertindak sebagai penasihat. Di samping itu, seorang khalifah mestilah mampu mengawal emosi dengan stabil dan rasional serta mengetahui matlamat serta hala tuju sesuatu organisasi. (Azizah Zakaria, 2006)

CARA PEMILIHAN KHALIFAH
Kaedah pemilihan khalifah dalam Islam dapat dibahagikan kepada empat. Yang pertama, melalui musyawarah atau syura dan ini berlaku sewaktu perlantikan Saidina Abu Bakar. Pada waktu itu, di Saqifah, golongan Ansar daripada Bani Saadah, hamper melantik khalifah daripada kalangan mereka. Namun, atas cadangan Saidina Umar dan dengan persetujuan ramai, akhirnya Saidina Abu Bakar telah dilantik sebagai khalifah. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Kaedah kedua adalah dengan cadangan satu nama sahaja daripada khalifah terdahulu seperti perlantikan Saidina Umar. Nama beliau telah diusulkan oleh Saidina Abu Bakar sebelum kewafatannya. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Kaedah ketiga adalah melalui pemilihandaripada beberapa orang calon. Ini berlaku semasa pelantikan Saidina Uthman bin Affan akhirnya telah terpilih. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Kaedah keempat ialah pencalonan oleh sekelompok masyarakat seperti pencalonan Saidina Ali bin Abu Talib. Walaubagaimanapun, kesemua kaedah ini melalui proses syura atau musyawarah di kalangan umat Islam dan diperkukuh dengan upacara angkat sumpah atau lafaz taat setia atau baiah ini dapat menjamin pelantikan bakal pentadbir yang tepat, berkelayakan dan berhemah tinggi. Dengan itu pentadbiran kerajaan atau Negara menjadi lebih lancar. Setiap pemerintah yang dipilih pula hendaklah berusaha untuk menjadi pemimpin yang cemerlang dan berkemampuan untuk membawa kebahagiaan umat Islam di dunia dan di akhirat. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Syura bermaksud sebagai permuafakatan atau consensus. Di Negara kita para pemimpin kita memang telah sentiasa mengamalkan prinsip ini dan telah diamalkan sejak dahulu lagi. Sistem syura adalah satu sistem pemerintahan yang terbaik kerana sesuatu perancangan yang dibuat oleh pemerintah mendapat sokongan oleh semua pihak. Ini kerana pemerintah mengambil kira pendapat ramai melalui perbincangan, perundingan atau mesyuarat. (Azizah Zakaria, 2006). 

Dalam Al Quran, Allah SWT telah berfirman :

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan ini. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. ” (Surah Ali-Imran;159)

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB KHALIFAH

Sebagai ketua Negara, khalifah mempunyai tugas memelihara kedudukan agama Islam serta mentadbir negara mengikut hukum syariah yang berpandukan Al Quran dan sunah. Khalifah juga berkewajipan menitikberatkan sistem politik, sosial dan ekonomi supaya berlaku keseimbangan antara keperluan rohani dengan jasmani. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dalam bidang politik, khalifah bertanggungjawab memastikan kelancaran pentadbiran Negara termasuk mempertahankan Negara Islam daripada ancaman musuh dan bertanggungjawab melantik, jika perlu, melucutkan jawatan pegawai pentadbiran Negara. Selain itu, khalifah perlu melaksanakan hukum syariat tanpa mengira masa dan tempat seperti melaksanakan undang-undang jenayah secara menyeluruh, menjaga kedaulatan dan kemerdekaan Negara daripada dijajah kuasa asing supaya kesucian agama Allah SWT dapat dipelihara disamping berjihad menentang musuh Islam. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dalam bidang sosial, khalifah bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat supaya dapat menikmati kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat. Khalifah juga perlu menyeru dan menggalakkan rakyat supaya dapat membangunkan diri, masyarakat dan Negara. Khalifah juga bertanggungjawab menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran daripada berlaku supaya keharmonian dan perpaduan Negara terjaga. Konsep musyawarah atau syura perlu diteruskan untuk mengekalkan perpaduan ummah dan memantapkan sistem perundangan Islam. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dalam bidang ekonomi pula, khalifah bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kewangandan perbendaharaan Negara juga baitulmal serta mengatur pungutan kharaj, jizyah dan mengagihkan harta Negara kepada yang berhak seperti memberi zakat kepada golongan fakir dan miskin. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

SUMBANGAN KHULAFA AR RASYIDIN
(KHALIFAH-KHALIFAH ISLAM)

KHALIFAH ABU BAKAR AL-SIDDIQ

Nama sebenarnya ialah Abdullah Bin Abu Quhafah. Beliau dilahirkan dua tahun selepas kehadiran Nabi iaitu pada tahun 573 M. dan berketurunan Bani Tamim. Beliau merupakan orang yang mula-mula memeluk agama Islam dan diberi gelaran ‘As-Siddiq‘ kerana membenarkan percakapan dan perbuatan Nabi. Selain itu, beliau juga bersifat ikhlas, jujur dan setia kepada baginda. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Setelah Nabi Muhammad SAW wafat, orang Ansar bercadang untuk melantik Saad bin Ubadah sebagai pemimpin untuk menggantikan baginda. Apabila perkara ini diketahui oleh golongan Muhajirin, suatu pertemuan untuk membincangkan perkara tersebut telah diadakan oleh kedua-dua pihak. Atas cadangan Saidina Umar, mereka bersetuju memilih dan melantik Saidina Abu Bakar menjadi khalifah kerajaan Islam Madinah. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Sebagai pentadbir kerajaan Islam Madinah, Khalifah Abu Bakar telah berjaya mengatasi masalah perpecahan yang melanda masyarakat Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Perpecahan ini berpunca daripada kewujudan orang Islam yang murtad dan gerakan golongan al-Riddah yang telah menyalah tafsirkan ayat Al Quran hingga tidak mahu membayar zakat. Ketegasan Khalifah Abu Bakar yang telah mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit telah mendapat sokongan seluruh ahli masyarakat. Di sini sebagai pemimpin, Khalifah Abu Bakar telah menjadi sumber teladan kepada mereka. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Pemrintahan Khalifah Abu Bakar turut memperlihatkan keupayaan beliau mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar iaitu kerajaan Parsi di sebelah timur dan kerajaan Rom Timur (Byzantine) di sebelah barat. Contohnya beliau telah menghantar panglima perang Khalid bin al Walid, menentang angkatan tentera Parsi di Iraq dan Usamah bin Zaid ke Ghassan. Kedua-dua ekspedisi ini telah berjaya mengalahkan musuh Islam. Khalifah Abu Bakar yang telah berusaha melicinkan lagi pentadbiran kerajaan dengan membahagikan tanah Arab kepada 10 wilayah serta melantik seorang ketua atau ‘amir’ untuk mentadbir wilayah tersebut. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Beliau juga telah memperkenalkan bayaran gaji untuk tentera melalui hasil rampasan perang, undang-undang tanah dah hak rakyat terutama golongan mawali. Antara sumbangan beliau yang terbesar termasuklah usaha mengumpulkan tulisan Al Quran. Kematian ramai hafiz Al Quran sewaktu menentang golongan al-Riddah telah membimbangkan beliau dan ini seterusnya mendorong beliau memerintahkan Zaid bin Thabit supaya menghimpunkan ayat Al Quran pada batu, kulit binatang, kayu dan tulang serta menyalinnya semula. Sebagai pengiktirafan kepada kejayaan dan sumbangan beliau, Khalifah Abu Bakar telah digelar Penyelamat Umat Islam. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

KHALIFAH UMAR AL KHATTAB
Nama sebenar beliau ialah Umar Bin Al-Khattab Bin Naufal. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW dan berketurunan kaum Quraisy. Beliau terkenal dengan sifat berani, tegas dan berterus-terang dan digelar ‘Al-Faruq ‘ yang bererti “Pemisah antara kebenaran dengan kepalsuan”. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Pelantikannya telah dicadangkan melalui wasiat oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, iaitu pada ketika Khalifah Abu Bakar sakit. Cadangan ini telah dipersetujui oleh para sahabat dan orang ramai. Jangka masa pemerintahan Khalifah Umar dianggap sebagai Zaman Keemasan kerajaan Islam di Madinah kerana banyak pembaharuan dan perubahan yang telah berjaya dilakukannya. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dalam bidang politik, Khalifah Umar telah menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Percukaian dan Jabatan Perbendaharaan Negara. Setiap jabatan ini diketuai oleh katib atau setiausaha Jabatan Kehakiman pula telah dipisahkan daripada jabatan lain. Dalam bidang sosial terutama pendidikan, Khalifah Umar telah mengembangkan pengajaran Al Quran dengan menyediakan tempat pembelajaran di kawasan masjid dan beliau juga telah menghantar guru agama ke pelbagai wilayah untuk mengembangkan sistem pendidikan. Khalifah Umar juga telah memperkenalkan kalendar Islam dengan menjadikan tahun Hijrah sebagai titik permulaan pengiraan tahun menurut Islam. Sistem ketenteraan juga tidak dipandang ringan. Beliau telah menyusun sistem ketenteraan dengan membentuk tentera tetap dan tentera sukarela. (Azizah Zakaria, 2006)

Untuk mempertingkatkan ekonomi, Khalifah Umar telah membina terusan dan tali air untuk menambahkan lagi hasil pertanian seperti Empangan Abu Musa di Basrah dan Terusan Amirul Mukminin. Rakyat telah digalakkan meneroka tanah baru untuk pertanian di samping mengusahakan tanah terbiar. Khalifah Umar juga telah memperkenalkan pelbagai jenis cukai seprti cukai jizyah dan cukai kharaj. Sistem baitulmal turut didirikan. Dengan kejayaan dan sumbangannya yang besar, beliau telah diberikan gelaran “Amirul Mukminin” atau “Panglima Agung Mukminin”. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Sarjana-sarjana sejarah yang menganalisis pentadbiran dan pengurusan membuat kesimpulan bahawa Umar al-Khattab lebih terkenal sebagai penegak pentadbiran dan pengurusan Islam yang sangat dinamis serta moden. (Azizah Zakaria, 2006)

KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN
Nama sebenar beliau ialah Uthman Bin Affan bin Abu Al’-As. Beliau dilahirkan lima tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW. dan berketurunan Bani Umaiyah dan merupakan salah seorang pembesar Quraisy yang terkemuka. Beliau terkenal sebagai hartawan yang dermawan, bersifat lemah lembut, bertolak ansur dan mempunyai sikap simpati yang tinggi terhadap golongan yang memerlukan. Beliau digelar “Zun Nurain” (mempunyai 2 cahaya) kerana pernah mengahwini 2 orang puteri Nabi Muhammad SAW. selepas salah seorang daripadanya meninggal dunia. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Pelantikan Saidina Uthman bin Affan menjadi khalifah adalah melalui Majlis Syura. Sebelum Khalifah Umar meninggal dunia, 6 orang calon yang layak telah dicadangkan termasuk Saidina Ali bin Abu Talib. Dalam mesyuarat itu, Saidina Ali dan Saidina Uthman telah mendapat undi yang sama. Abdul Rahman bin Auf yang menjadi pengerusi mesyuarat telah meninjau pendapat orang ramai tentang isu tersebut. Akhirnya, dengan persetujuan orang ramai Saidina Uthman telah dilantik menjadi khalifah yang ke-3. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dari segi politik, Khalifah Uthman berjaya meluaskan wilayah Islam hingga ke Afgahnistan, Samarkand, Cyprus dan Tripoli. Beliau juga telah bertanggungjawb mengukuhkan pertahanan Negara dengan membina angkatan tentera laut Islamyang dianggap sebagai yang pertama dalam sejarah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Apabila agama Islam semakin tersebar luas, berlakulah kepelbagaian cara bacaan (qiraat) ayat Al Quran di pelbagai wilayah itu untuk menyelaraskan bacaan tersebut, Khalifah Uthman telah mengisytiharkan sebuah naskah Al Quran yang dikenali sebagai Mushaf Uthmani. Dari segi sosial pula Khalifah Uthman telah membina jalan raya, jambatan dan rumh rehat bagi kemudahan para pengembara. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Beliau juga telah meneruskan usaha mempertingkatkan ekonomi dengan meneruskan peranan baitulmal dengan menggunakannya untuk membiayai pembangunan Negara dan juga memperkuat angkatan tentera laut Islam seperti membeli peralatan senjata dan kapal. Beliau juga mengutamakan sistem syura dan mengekalkan sistem pentadbiran dan semua gabenor yang dilantik oleh Saidina Umar Bin Al-Khattab dikekalkan. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)
KHALIFAH ALI BIN ABU TALIB
Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib Bin Hasyim. Beliau dilahirkan pada tahun ke-10 sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Beliau merupakan orang yang pertama memeluk Islam dari kalangan kanak-kanak dan berketurunan Quraisy dan sepupu kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanannya serta berwatak tegas dan berpengetahuan luas dalam perundangan Islam. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Saidina Ali dilantik menjadi khalifah selepas Khalifah Uthman meninggal dunia. Perlantikan Khalifah Ali mendapat sokongan suara terbanyak. Sesuai dengan kepakarannya dalam selok belok hukum, beliau telah banyak membantu menyelesaikan masalah yang berhubungan dengan masyarakat dan undang-undang Islam. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dari sudut sosial, beliau sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan dan keharmonian Negara. Misalnya, dalam satu peperangan saudara, iaitu Perang Siffin, walaupun tenteranya hamper mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut, tetapi disebabkan ada pihak lawan yang telah mengangkat Al Quran, maka, beliau sanggup menghentikan peperangan dan melakukan proses rundingan. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Untuk mengembangkan sistem ekonomi Negara, kutipan jizyah diteruskan. Perkara ini dinyatakan dalam surat yang dihantarkannya kepada al-Asytar. Khalifah Ali meminta beliau mengikat perjanjian dengan golongan zimmi untuk mengenakan jizyah kepada mereka. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Dari segi politik, beliau mengikut jejak langkah semua khalifah sebelumnya. Gabenor yang dilantik diberikan kuasa mutlak untuk menjalankan pentadbiran dan pengurusan wilayah masing-masing. Semua gabenor digalakkan menjalani cara hidup sederhana dan dalam menyelesaikan masalah rakyat, Khalifah Ali menggalakkan pegawainya menggunakan kebijaksanaan dan lemah lembut. Khalifah Ali juga memiliki keistimewaan dan kelebihan kerana memberikan arahan, nasihat dan garis panduan yang jelas terperinci dan bijaksana. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

KEPIMPINAN KHULAFA AR RASYIDIN

Khulafa Ar Rasyidin merupakan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang sangat rapat dan mendapat pengajaran secara langsung daripada Rasulullah SAW. Mereka merupakan tempat rujukan kepada umat Islam dan pengganti selepasnya. Khulafa Ar Rasyidin memiliki sahsiah yang terpuji seperti bijaksana, berilmu, bertawaduk, berani, amanah, adil dan sebagainya. Para khalifah telah meneruskan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Selain bersikap terbuka, para khalifah juga bersedia menerima pendapat rakyat yang tidak bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah. (Nor Aslina Bt Mamat, 2009) Firman Allah SWT :

“ Dan jika kamu mengadili urusan mereka, maka adililah di antara mereka yang adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil” (Surah Al-Maidah:42)

Mereka melaksanakan pentadbiran negara dengan penuh tanggungjawab bagi kesejahteraan dan kemajuan umat dan Negara Islam. Selain melakukan pembaharuan kepada Negara Islam, mereka juga mengamalkan sikap kesederhanaan, tidak menggunakan harta Negara untuk kemewahan hidup atau mementingkan diri sendiri. (Nor Aslina Bt Mamat, 2009)

Manakala undang-undang syariat pula diperketatkan berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Para khalifah juga lebih bersifat terbuka dan mendengar pendapat rakyat yang bertepatan dengan Al Quran dan Al Hadis. Mereka juga banyak memberikan sumbngan harta untuk menegakkan Islam kejalan yang diredhai-Nya. (Maimon Husin, 2013)

DASAR PENTADBIRAN KHULAFA AR RASYIDIN
Para Khulafa Ar Rasyidin melaksanakan undang-undang dan perlembagaan Negara berlandaskan Al Quran dan As Sunnah. Khalifah merupakan ketua Negara yang bertanggungjawab menegakkan keadilan dan tidakmempunyai keistimewaan undang-undang Negara. Setiap rakyat wajib mentaati pemimpin yang melaksanakanpemerintahan Negara berlandaskan syariat Allah SWT dan Rasul-Nya. Tambahan pula, rakyat bebas bersuara dan memberi pendapat atau teguran kepada pemimpin mengikut cara dan saluran yang betul supaya rakyat hidup dalam keadaan makmur dan harmoni. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Kuasa membuat sesuatu keputusan terhadap sesuatu perkara dibuat oleh khalifah berdasarkan pandangan ahli Majlis Syura dan ijtihad serta pelantikan gabenor dan pegawai adalah berdasarkan kecekapan dan kewibawaan supaya Negara yang dipimpin lebih teratur dan strategik serta dicontohi oleh Negara yang lain. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

Ini menyebabkan wilayah-wilayah Islam semakin luas dan berpengaruh sehingga berjaya menakluk beberapa buah Negara seperti Iraq, Syria, Palestin dan lain-lain lagi. (Nik Hassan Shuhaimi, 2010)

PENUTUP

Khulafa Ar- Rasyidin merupakan suatu sistem pemerintahan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Kepimpinan empat khalifah yang dibincangkan di atas amat menitikberatkan kesejahteraan agama, rakyat dan Negara. 

Hasil daripada kajian saya, dengan adanya perpaduan yang kukuh, kerajaan Islam di Madinah dapat berkembang menjadi sebuah Negara yang kuat dan mempunyai kawasan pentadbiran yang stabil. Kerajaan Islam di Madinah juga berjaya menyaingi empayar Rom dan Parsi yang kuat pada waktu tersebut. Keempat-empat khalifah Islam tersebut juga telah menjalankan tugas dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Mereka tidak mementingkan diri dan tidak mengamalkan kehidupan mewah. Mereka telah berjuang untuk mengekalkan pembangunan, kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat jelata. 

Kejayaan dan keupayaan pemerintah menjalankan tugas dengan baik telah membolehkan golongan rakyat menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup, maka, sewajarnyalah mereka memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah dan Negara seperti yang dapat kita lihat pada Zaman Ar Rasyidin ini. 

Kesimpulannya, Khulafa Ar Rasyidin merupakan golongan terbaik dan generasi pertama yang menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Oleh itu, umat Islam harus mencontohi keperibadian mereka dan mengambil teladan daripada corak pemerintahan dan kepimpinan mereka. 

RUJUKAN
1)Nor Aslina Bt Mamat, Norlela Bt Mamat (2009). Master Memori Melalui Peta Minda Tasawwur Islam. Selangor : Penerbit PNI Neuron (M) Sdn. Bhd. 
2)Mustafa Hj. Daud (1994). Pengurusan Islam. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 
3)Azizah Zakaria, Nurizan Yusoff, Rosidah Mahmood, Noorul Huda Sahari (2006). Tasawwur Islam. Kuala Lumpur : Book Publication Sdn. Bhd. 
4)Maimon Husin, Apendi Sahi, Zulhilmi Omar, Muhammad Zaini Yahya (2013). Nexus Bestari Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : Sasbadi Sdn. Bhd. 
5)Nik Hassan Shuhaimi, Muhd Yusoof Bin Ibrahim, Muhammad Bukhari, Rosnanaini Sulaiman (2010). Sejarah Tingktan 4. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015