Mutiara Perkahwinan

Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Pensyarah Pendidikan Islam

Disediakan Oleh :
Nor Khaleda Binti Khalid
2014232134

Pendahuluan
Assalamualaikum W. B. K. Dalam Assignment Ini, Saya Akan Menaip Mengenai Serba Sedikit Mengenai Perkahwinan. Sebagai Seorang Muslim, Kita Haruslah Mengetahui Dan Mempelajari Tentang Ilmu Perkawihnan Kerana Setiap Orang Akan Merasai Dan Mengalaminya Suatu Hari Nanti. Perkahwinan Juga Tidak Terhad Kepada Orang Yang Telah Berkahwin Sahaja Tetapi Ia Meliputi Seluruh Manusia Kerana Terlalu Banyak Ilmu Yang Boleh Kita Dapati Melalui perkahwinan.
Antara perkara yang akan saya taip dalam assignment ini ialah mengenai konsep perkahwinan dalam Islam. Kebahagiaan dalam perkahwinan boleh dicapai sekiranya kita memahami secara mendalam konsep perkahwinan itu. Sebagai seorang Islam, memahami konsep dengan betul adalah penting supaya kita dapat menjauhi perkara-perkara yang mendatangkan mudarat atau perkara yang tidak diingini.
Selain itu, tujuan perkahwinan juga memainkan peranan yang penting. Hal ini kerana tanpa tujuan, pelbagai perkara boleh terjadi dan dapat mendatangkan pelbagai masalah. Disebabkan oleh itu, maka Islam telah menganjurkan hukum-hukum perkahwinan supaya setiap orang boleh menilai kelayakan individu itu untuk berkahwin. Hal ni juga dapat memudahkan pelbagai pihak dan dapat juga menjimatkan masa.
Di samping itu, setiap perkara ada baik dan ada juga buruknya. Seperti solat, ia mempunyai rukun-rukunnya tersendiri. Begitu juga dengan perkahwinan, ia juga mempunyai rukun-rukunnya tersendiri. Dengan wujudnya rukun-rukun ini, maka sempurna lah perkahwinan itu.
Secara keseluruhannya, perkahwinan merupakan sunnatullah yang dianjurkan dalam Islam. Sebagai seorang umat, kita amat digalakkan untuk berkahwin kerana ia merupakan sunnah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, kita haruslah mempelajarinya dari awal lagi sebagai salah satu persediaan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

KONSEP PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Pengertian ibadah di dalam Islam amat luas. Islam memandang setiap amal perbuatan yang dilakukan oleh seseorang demi memperoleh keredhaan Allah SWT. Perkahwinan adalah salah satu ibadah yang telah dianjurkan dalam Islam.
Yang pertama, perkahwinan merupakan cara untuk mendapat pengampuan daripada Allah SWT, peringkat darjat dan istiqamah (kemantapan iman dan kelurusan sikap). Di dalam perkahwinan, terdapat unsur perjuangan melawan nafsu latihan jiwa dengan tujuan menjaga, mengasuh, memenuhi kewajipan terhadap keluarga, sabra menghadapi perangai wanita, tabah, menghadapi gangguan mereka, berusaha memperbaiki dan menunjukkan mereka ke jalan agama, bekerja keras mencari nafkah yang halal bagi mereka dan terus menerus memberikan pendidikan yang sihat dan baik kepada anak-anak. Semuanya itu adalah amal perbuatan yang besar pahalanya kerana semuanya meruakan tugas memelihara, mengasuh dan memimpin. Tugas demikian itu amat besar kelebihan dan pahalanya.
Yang kedua, dalam pandangan Islam, perkahwi nan adalah satu-satunya cara yang berguna untuk manjaga kebahagiaan umat dari kerosakan dan dari kemerosotan akhlak. Selain itu, perkahwinan juga berguna untuk menjaga keselamatan individu dan pengaruh kerosakan masyarakat kerana kecenderungan nafsu kepada jenis kelamin lain dapat dipenuhi melalui perkahwinan yang sah. Kerana itu, Islam memberi perhatian khusus kepada kaum pemuda mengenai soal perkahwinan untuk menyelamatkan mereka daripada perbuatan liar dan kemerosotan akhlak. Jelaslah bahawa perkahwinan dapat meredakan keresahan hati, membersihkan rohani, menyenangkan jiwa dan menjaga diri daripada perbuatan zina.
Yang ketiga ialah perkahwinan dari sudut kemasyarakatan. Menurut pandangan Islam, perkahwinan adalah salah satu cara yang berfaedah bagi tujuan-tujuan sosial yang mulia dan menjamin lahirnya hubungan yang kukuh di antara anggota-anggota masyarakat. Misalnya, jika tiga orang lelaki bersaudara kahwin dengan tiga orang wanita dari keluarga yang berlainan, maka perkahwinan itu tentu menjadi semakin meluas iaitu saling berkenalan dan saling mengerti di antara beberapa lingkungan keluarga atau beberapa puak dan beberapa suku bangsa, hasil dari pembentukan dan ikatan hubungan perkahwinan dan hubungan tersebut tidak ada. Hubungan itulah yang disebut sebagai silaturrahim atau hubungan kekerabatan. Hubungan itu dengan sendirinya menimbulkan semangat tolong-menolong, cinta-mencintai, kenal-mengenal dan saling bantu membantu di antara semua anggota keluarga daan kerabat. Dengan demikian maka hubungan antara sesame anggota masyarakat semakin erat kerana diikat oleh tali persaudaraan Robbani.
Yang keempat ialah perkahwinan dari sudut kesihatan. Islam juga memandang perkahwinan sebagai cara yang bermanfaat untuk menjaga kaum lelaki dari keburukan dan bahaya yang dilakukan secara bersembunyi, penyelewengan seks dan segala gejala yang dapat merosak kesihatan fizikal dan mental, jasmani dan rohani. Oleh yang demikian seseorang itu perlulah bersegera melakukan perkahwinan setelah mencapai cukup usia sangat penting bagi memelihara kesegaran jasmani agar tidak membazir untuk menjaga kesihatan badan dari serangan penyakit yang berbahaya.
Yang kelima, perkahwinan dari sudut politik. Keutuhan dan kemuliaan suatu umat atau bangsa itu memiliki persediaan dan kemampuan yang secukupnya sebagai satu cara untuk mencapai kekuatan dan keutuhan tersebut. Kekuatan tersebut tidak akan lepas dari dua bentuk asas, iaitu kekuatan spiritual dan kekuatan material. Umat atau bangsa yang memiliki dua kekuatan itu dengan sempurna maka umat atau bangsa itu pasti akan dapat menguasai dunia. Dengan kedatangan Islam, kekuatan spiritual itu lahir dari keimanan kepada Allah SWT. Sedang unsur kekuatan material yang terpenting ialah kaum pemuda yang memiliki semangat perjuangam. Kerana itulah Rasulullah SAW menyerukan umatnya supaya melaksanakan perkahwinan dan dapat melahirkan anak-cucu keturunan yang soleh, sihat dan kuat jasmaninya, sanggup bekerja keras dan berjuang. Mereka itulah yang akan membela dan mempertahankan umat dan bangsanya, melindungi negerinya dari serangan musuh dan menyebarkan agama Allah.
Akhir sekali, perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW. Menolak atau mengaibkan perkahwinan adalah perbuatan yang menyimpang dari sunnah Rasulullah SAW. Pada dasarnya, perkahwinan adalah sebahagian dari fitrah manusia dan berdasarkan fitrah itulah Allah menciptakan manusia. Selain dari itu, perkahwinan juga merupakan sebahagian pula dari hukum Allah (sunnatullah) yang berlaku di alam nyata. Kerana itu Rasulullah SAW melarang dari bersikap menolak atau mengabaikan perkahwinan, bahkan dengan tegas baginda mencela keras dan tidak mengakui orang yang bersikap seperti itu sebagai umat baginda.

TUJUAN PERKAHWINAN
Dalam pandangan Islam bukanlah halalnya hubungan kelamin sahaja yang menjadi tumpuan, akan tetapi bertujuan adalah untuk mendapat keturunan yang sah dalam mengembangkan generasi di samping dapatlah suami isteri membina kehidupan yang tenteram dari segi zahir dan batin atas dasar saling cinta mencintai dalam sebuah rumah tangga bahagia. Tujuan ini adalah amat tinggi sekali mengikut Al Quran yang amat luas takrifnya mengikut Fukaha. Oleh keran aitu, Muhammad Abu Zahrah mentakrifkan pengertian ialah suatu akad yang menghalalkan hubungan kelamin antara seorang lelaki dengan wanita, saling membantu, masing-masing mempunyai hak dan kewajipan suami isteri dalam agama.
Al-Sayakhari mengatakan bahawa tujuan nikah dalam Islam bukanlah untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata akan tetapi merupakan sukar untuk mencapai kemaslahatan dan kebahagiaan hidup sebagaimana yang telah difirmankan Allah SWT. Allah SWT telah membuka jalan untuk menyalurkan hasrat syahwat dalam perkahwinan supaya dilaksanakan oleh semua orang, baik oleh yang taat mahupun yang tidak taat terhadapNya. Mereka yang taat akan dapat memetik berbagai pengajaran dan hikmah terutama hal yang bersangkutan dengan agama, sedangkan bagi mereka yang tidak taat pun dapat membiakkan di samping menyalurkan nafsu syahwatnya dengan jalan yang sah.
Sesungguhnya Allah SWT. menciptakan segala makhlukNya berpasang-pasangan sebagaimana yang dijelakan dalam firmanNya: “Maha Suci Allah yang telah menciptakan segala sesuatu berpasangan iaitu segala yang tumbuh di bumi dan pada diri mereka serta pada segala sesuatu yang belum mereka ketahui. ” Hidup berpasangan seperti yang yelah menjadi ketentuanNya itu adalah suatu sistem untuk mengembangkan keturunan dan kesinambungan generasi sebagaimana yang dijelaskan dalam firmanNya. Kehidupan berpasangan bagi umat manusia telah diatur dalam syariatNya, yang lazim disebut dalam kalangan fukaha “hukum…. ”
Berdasarkan kepada apa yang telah dinyatakan di atas dapatlah dirumuskan secara ringkasnya tentang tujuan perkahwinan iaitu dapat menzahirkan panggilan atau gelaran sebagai bapa, ibu, anak cucu dan saudara mara. Selain itu, ia juga dapat membiakkan serta mengembangkan bangsa manusia di permukaan bumi yang fana ini dan memakmurkannya. Akhir sekali, ia secara tidak langsung dapat memelihara maruah kehormatan seseorang serta keturunan bangsanya.

PENGERTIAN PERKAHWINAN
Perkahwinan merupakan salah satu sunnatullah yang berlaku pada semua makhluk Tuhan, baik pada manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan dan merupakan cara yang dipilih Allah sebagai jalan bagi manusia untuk beranak-pinak, berkembang-biak dan mengekalkan hidup setelah masing-masing pasangan siap melakukan ijab kabul dan sebagainya dalam mewujudkan tujuan perkahwinan. Allah tidak menjadikan manusia seperti makhluk lain yang hidup bebas mengikut naluri masing-masing antara jantan dan betina tanpa ukuran. Demi menjaga kehormatan dan martabat kemuliaan manusia, Allah mengadakan hukum sesuai dengan martabatnya sehingga hubungan antara lelaki dan perempuan diatur secara terhormat berdasarkan rasa saling meredhai dengan upacara ijab kabul sebagai lambing rasa redha dan dengan dihadiri para saksi yang menyaksikan bahawa kedua pasangan lelaki dan perempuan itu saling merelakan. Bentuk perkahwinan ini telah memberikan jalan yang aman pada naluri, memelihara keturunan dengan baik dan menjaga kaum perempuan agar tidak menjadi laksana rumput yang boleh dimakan oleh binatang ternak dengan seenaknya.
Pelbagai pengertian tentang perkahwinan telah diberikan oleh para ulama’, di antaranya yang terbaik ialah suatu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajipan antara kedua-dua mereka.
Dalam pengertiannya yang luas, perkahwinan adalah satu ikatan lahir di antara dua orang, lelaki dan perempuan, untuk hidup bersama di dalam sebuah rumahtangga di samping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas-batas hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak.
Pengertian perkahwinan dalam syariat Islam ataupun hukum syarak termasuk hukum dalam Islam ialah mengakadkan di antara seseorang lelaki dan seseorang perempuan dengan mengandungi ucapan atau lafaz ijab dan kabul yang disertakan dengan adanya seorang wali bagi perempuan itu dan diikuti pula dengan adanya dua orang saksi.


HUKUM BERKAHWIN
Terdapat beberapa hukum dilihat kepada individu dalam keadaan suasana yang tertentu. Untuk menentukan hukum nikah nagi seseorang haruslah diperhatikan terlebih dahulu dalam dua hal iaitu, “Kemampuannya bagi melaksanakan kewajipan (baik sebagai suami ataupun sebagai isteri) dan kesanggupan “memelihara diri” iaitu sanggup tidaknya seseorang mengendalikan dirinya untuk tidak jatuh ke dalam jurang kejahatan seks (maksiat). Dalam memperhatikan hal-hal yang tersebut di atas, para ulama menyebut beberapa hukum nikah seperti berikut :
Yang pertama ialah hukum wajib. Hukum wajib berkahwin adalah bagi mereka yang mampu berkahwin dan sanggup berkahwin, sekiranya tidak berkahwin akan jatuh ke lembah perzinaan. Sedangkan segala usaha untuk melindungi diri dari perbuatan zina tersebut tidak dapat dilindungi seperti berpuasa dan lain-lain lagi.
Yang kedua ialah hukum mubah atau harus. Hukum mubah atau harus berkahwin adalah apabila seseorang berkeyakinan tidak akan jatuh ke dalam perzinaan, kalau ia tidak kahwin, seandainya ia kahwin tidak akan mengabaikan kewajipannya sebagai suami atau isteri.
Yang ketiga pula ialah hukum makruh. Hukum makruh berkahwin adalah bagi mereka yang tidak berkeinginan untuk berkahwin atau ia mempunyai kelemahan diri atas asas ia tidak yakin atau berupaya menjauhkan dirinya dari tercebur ke lembah maksiat (zina) atau melakukan kezaliman terhadap isterinya.
Yang keempat pula ialah hukum sunat. Hukum sunat berkahwin adalah bagi mereka yang mampu dan berkesanggupan untuk berkahwin iaitu bagi seorang lelaki yang mampu dan berkeinginan untuk menggauli wanita untuk memperolehi keturunan dan ingin memelihara diri jangan sampai melanggar batas agama (meskipun orang itu sanggup memelihara dirinya daripada berbuat zina) dan ia mampu membiayai rumahtangga.
Yang terakhir ialah hukum haram. Hukum haram berkahwin adalah bagi seorang lelaki yang tidak mampu membiayai nafkah rumah tangganya, tidak ada sumber pendapatan asas untuk membiayai dirinya dan keluarganya atau berat dengan bahawa ia akan berbuat zalim terhadap isterinya. Dengan yang demikian perkahwinan itu merupakan jambatan baginya untuk berbuat zalim (seperti mencuri, merompak dsb). Islam melarang berbuat zalim kepada umatnya.

RUKUN-RUKUN PERKAHWINAN
Sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku tanpa berasaskan kepada beberapa perkara penting yang diistilahkan oleh para ulama’ sebagai rukun-rukun perkahwinan. Tanpa sebahagiannya atau salah satunya maka perkahwinan tidak akan wujud. Kesempurnaan serta kesahannya amat bergantung dengan kewujudan kesemua rukun tersebut.
Rukun-rukun perkahwinan ada lima :
1.               Pengantin lelaki
2.               Pengantin perempuan
3.               Wali
4.               Dua orang saksi
5.               Sighah (ijab dan kabul)
Bagi setiap rukun di atas pula dilihat dengan beberapa syarat tertentu agar segala-galanya berlaku dengan sempurna.

SYARAT-SYARAT PENGANTIN LELAKI
Kesahan sesuatu perkahwinan mempunyai pertalian yang rapat dengan kesempurnaan syarat-syarat kelayakan diri pada pengantin lelaki.
1.               Seorang yang beragama Islam
2.               Bukan seorang yang dipaksa berkahwin
3.               Bukan seorang yang sedang berihram kerana mengerjakan haji atau umrah
4.               Mukallaf
5.               Bukan muhrim bagi bakal isteri
6.               Tidak mempunyai empat orang isteri, atau salah seorang dari isteri-isterinya yang empat itu berada di dalam rajie
7.               Lelaki yang tertentu sebagai suami kepada bakal isteri yang akan dinikahinya.


SYARAT-SYARAT PENGANTIN PEREMPUAN
Jika pengantin lelaki diikat dengan beberapa syarat kelayakan peribadi maka amat tidak wajar jika pengantin perempuan diabaikan begitu sahaja tanpa sebarang ikatan syarat yang menentukan dirinya sah sebagai seorang pengantin. Dalam konteks ini, kita dapati para ulama’ telah mencatatkan beberapa syarat yang berkaitan. Tanpanya, seorang perempuan dianggap tidak layak menjadi pengatin. Syarat-syarat itu ialah :
1.               Seorang yang beragama Islam
2.               Seorang perempuan yang bukan di dalam tempoh iddah
3.               Seorang yang bukan di dalam ikatan perkahwinan dengan orang lain (iaitu bukan isteri orang)
4.               Seorang perempuan yang bukan muhrim kepada bakal suaminya
5.               Bukan seorang perempuan yang sedang berihram kerana mengerjakan haji atau umrah
6.               Perempuan yang tertentu sebagai isteri kepada bakal suami yang akan berkahwin dengannya.
PEREMPUAN- PEREMPUAN YANG TIDAK HARUS DIKAHWINI
Terdapat dua kumpulan orang-orang perempuan yang menjadi muhrim kepada seseorang lelaki. Dia sama sekali tidak diharuskan berkahwin untuk selama-lamanya dengan mereka, sama ada dari kumpulan pertama ataupun kedua, iaitu :
1.               Kumpulan yang tidak diharuskan untuk selama-lamanya iaitu yang dikatakan haram mu’abbad
2.               Kumpulan yang tidak diharuskan untuk sementara waktu sahaja iaitu yang dikatakan sebagai haram mu’aqqat.
Kumpulan yang tidak diharuskan untuk selama-lamanya itu terbahagi kepada tiga kelompok:
1.               Mereka yang mempunyai hubungan nasab/keturunan dengannya
2.               Mereka yang mempunyai hubungan rada’ah/susuan dengannya
3.               Mereka yang mempunyai hubungan musaharah/persemendaan dengannya

Kelompok pertama terdiri daripada :
1.               Ibu sendiri
2.               Anak perempuannya
3.               Saudara perempuannya
4.               Anak perempuan dari saudara lelakinya
5.               Anak perempuan dari saudara perempuannya
6.               Ibu saudaranya dari sebelah ibu
7.               Ibu saudaranya dari sebelah bapa
Kelompok kedua terdiri daripada :
1.               Ibu susuannya
2.               Saudara perempuan susuannya
Kelompok ketiga daripada :
1.               Ibu mertuanya
2.               Anak tirinya
3.               Ibu tirinya
4.               Menantunya
5.               Adik atau kakak kepada isterinya
Kumpulan yang tiidak diharuskan untuk sementara waktu terdiri daripada :
1.               Saudara perempuan isterinya (sama ada kakak atau adik)
2.               Saudara perempuan bapa mentua dan saudara perempuan ibu mentuanya
3.               Berlainan agama. Dia akan menjadi harus dikahwini dengan memeluk agama Islam
Dari itu jelas kepada kita bahawa bukan kesemua perempuan memiliki kelayakan menjadi isteri kepada kaum lelaki. Begitu juga dengan lelaki yang harus menjadi suami kepada kaum perempuan. Lantaran itu perkahwinan yang berlangsung di antara pasangan yang tidak memiliki syarat kelayakan sepenuhnya adalah tidak sah dan persetubuhan yang berlaku di antara mereka dihukum sebagai perbuatan zina.

SYARAT-SYARAT SEORANG WALI
Seseorang wali juga adalah terkat dengan beberapa syarat kelayakan peribadi yang mesti dipenuhi, tanpanya maka hilanglah kelayakannya. Syarat-syaratnya ialah :
1.               Seorang yang beragama Islam
2.               Lelaki
3.               Sempurna umur baligh
4.               Berakal serta waras fikirannya
5.               Bebas merdeka
6.               Bersifat adil
7.               Tidak berada di dalam ihram untuk mengerjakan haji atau umrah
8.               Tidak dipaksa menjadi wali
Pembahagian wali :
1.               Wali nasab/keturunan
2.               Wali hakim/keturunan
WALI NASAB
Wali nasab ialah mereka yang mempunyai hubungan darah dengan perempuan yang akan dikahwinkan, seperti :
1.               Bapa kepada pengantin perempuan
2.               Datuknya, iaitu datuk dari sebelah bapanya
3.               Saudara lelakinya yang seibu sebapa
4.               Saudara lelakinya yang sebapa
5.               Anak lelaki bagi saudara lelakinya yang seibu sebapa
6.               Anak lelaki bagi bagi saudara lelakinya yang sebapa
7.               Bapa saudaranya dari sebelah bapanya yang seibu sebapa
8.               Bapa saudaranya dari sebelah bapanya yang sebapa
9.               Anak lelaki kepada bapa bapa saudara yang seibu sebapa dengan bapanya
10.            Anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa dengan bapanya
11.            Bapa saudara kepada bapanya yang seibu sebapa
12.            Bapa saudara kepada bapanya yang sebapa
Di antara wali-wali nasab yang tersebut, yang lebih berhak dan lebih utama menjadi wali ialah bapa yang dikenali sebagai wali aqrab. Wali-wali yang lain dikenali sebagai wali ab’ad.
PERANAN WALI AB’AD
Wali ab’ad tidak harus mengahwinkan perempuan yang diwakilinya selagi masih ada wali aqrab yang sempurna syarat-syarat kelayakannya. Tetapi jika wali aqrab yang ada tidak memiliki syarat kelayakan yang sempurna maka barulah hak menjadi wali itu akan berpindah kepada wali ab’ad yang sempurna syarat-syaratnya.
Secara kasarnya dapatlah kita rumuskan sebab-sebab perpindahan tugas perwalian kepada wali ab’ad itu seperti berikut :
1.               Jika wali aqrab masih lagi di dalam kekufurannya
2.               Jika dia seorang yang fasiq atau tidak bersifat adil
3.               Jika dia seorang yang gila
4.               Jika dia masih lagi seorang kanak-kanak
5.               Jika dia seorang yang bisu
6.               Jika dia masih lagi seorang kanak-kanak
7.               Jika dia seorang yang bodoh
8.               Jika dia seorang hamba abdi
Selain wali nasab dibahagikan kepada wali aqrab dan wali ab’ad, ia juga dibahagikan kepada wali mujbir dan wali bukan mujbir. Wali yang dikatakan sebagai wali mujbir ialah bapa dan datuk kepada anak gadis yang bakal menjadi pengantin. Mereka memiliki kuasa mengahwinkan anak gadis mereka sekalipun tanpa izinnya. Tindakan mereka adalah sah dan perkahwinan yang mereka laksanakan dihukum sah. Walaubagaimanapun, mendapatkan keizinan daripada anak gadis mereka adalah lebih baik dan dihukum sunat agar tidak berlaku apa yang dinamakan sebagai kahwin paksa. Menurut hukum, jika seorang anak gadis dikahwinkan oleh wali mujbirnya dengan seorang lelaki tanpa keizinannya, perkahwinannya itu adalah sah, tetapi jika dia tidak suka kepada suaminya maka diharuskan dia membuat pilihan, sama ada mengekalkan perkahwinannya atau berpisah sahaja.

WALI HAKIM
Wali hakim ialah ketua Negara Islam atau wakilnya seperti Kasi Besar, Kadi-kadi daerahcatau orang yang mendapat tauliah daripada pejabat-pejabat kadi daerah. Merekalah merupakan petugas yang mengahwinkan seseorang perempuan yang tidak mempunyai wali atau apabila wali akrab enggan mengahwinkannya.
SEBAB-SEBAB YANG MEMBOLEHKAN WALI HAKIM BERFUNGSI
Terdapat beberapa sebab yang memberi hak kepadan wali hakim bertindak, di antaranya :
1.               Apabila tidak terdapat wali nasab
2.               Apabila wali nasab yang aqrab tidak memiliki syarat-syarat kelayakan yang sempurna disamping tidak terdapat wali nasab yang ab’ad untuk menjalankan akad perkahwinan.
3.               Wali nasab yang aqrab berada di suatu tempat yang sembahyang secara kasar (iaitu dalam jarak 60 batu)
4.               Wali aqrab sedang berihram sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah
5.               Wali aqrab sedang berada di dalam penjara yang tidak ada jalan untuk menemuinya
6.               Wali aqrab menyembunyikan diri kerana tidak mahu mengahwinkannya
7.               Wali aqrab enggan secara terang-terangan melangsungkan perkahwinannya
8.               Wali aqrab hilang tidak diketahui di mana dia berada
KENAPA WALI DIPERLUKAN?
Kepentingan wali dapat dilihat dari beberapa sudut, antaranya :
1.               Untuk menjaga hubungan rumahtangga dan kekeluargaan di antara seorang anak dengan seorang tuanya
2.               Biasanya orang tua lebih tahu kedudukan dan kesesuaian bakal jodoh anak perempuannya kerana di dalam Islam, pergaulan di antara lelaki dan perempuan adalah terikat dengan bata-batas adab yang tertentu menyebabkan anak-anak perempuan tidak bebas dan tidak mampu mengenali siapakah bakal lelaki yang sesuai dengannya.

SYARAT-SYARAT SAKSI
Di dalam melangsungkan akad perkahwinan, selain dari dua pengantin dan wali atau wakilnya, maka dua orang saksi lelaki juga diperlukan. Tanpanya maka sesuatu akad itu dihukum tidak sah. Berikut adalah beberapa syarat yang mengikat kelayakan seseorang untuk menjadi saksi perkahwinan :
1.               Disyaratkan dua saksi itu terdiri daripada orang-orang lelaki
2.               Beragama Islam
3.               Sempurna umur baligh
4.               Sempurna pendengaran
5.               Boleh bercakap dan melihat
6.               Waras fikiran
7.               Bersifat adil
8.               Faham dan mengerti bahasa yang digunakan di dalam ijab dan kabul
9.               Kuat ingatan
10.            Tidak dipaksa untuk menjadi saksi
11.            Tidak didalam ihram untuk mengerjakan haji atau umrah

IJAB DAN KABUL
Ijab dan kabul kadang-kadang disebut juga sebagai sighah. Ijab bererti pengakuan daripada pihak bakal isteri bahawa dia rela dan bersedia untuk dikahwinkan dengan lelaki bakal suaminya. Kabul pula ialah pengakuan atau jawapan daripada pihak bakal suami bahawa dia menerima kesediaan bakal isteri untuk menjadi isterinya.
SYARAT KEDUA-DUANYA
Kedua-duanya adalah terikat dengan beberapa syarat seperti :
1.               Kedua-duanya hendaklah dengan lafaz yang terang
2.               Tidak disyaratkan dengan sesuatu
3.               Tidak mengandungi syarat-syarat yang menyalahi maksud nikah/perkahwinan
4.               Bersamaan makna/maksud di antara ijab dan kabul
5.               Kedua-duanya dilakukan berturut-turut
6.               Lafaz kedua-duanya disebut dengan nada yang dapat didengar
7.               Kedua-duanya tidak diikatkan dengan masa tertentu
8.               Suami/isteri yang berkaitan di dalam ijab/kabul itu adalah orang yang tertentu
9.               Wali yang melaksanakan akad perkahwinan itu adalah orang yang sempurna syarat-syarat kelayakan sebagai wali
BAHASA KEDUA-DUANYA
Lafaz-lafaz yang digunakan di dalam ijab dan kabul tidaklah wajib di dalam bahasa Arab malah ia harus dengan menggunakan apa sahaja bahasa selain dari bahasa Arab asalkan dapat difahami oleh suami/isteri dan dua orang saksi mereka dan dikehendaki mengandungi makna kahwin atau nikah.

HIKMAH PERKAHWINAN
Antara hikmah perkahwinan yang telah disyariatkan oleh Allah swt terhadap manusia ialah yang pertama, ia merupakah sunnah para nabi dan rasul. Firman Allah yang bermaksud, “Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus rasul sebelum kamu dan kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan. ’’ (Al-Ra’d: 38). Allah swt mengutus para nabi dan rasul sebagai pemimpinn umat manusia ke jalan kebenaran. Mereka adalah model yang mesti diikuti demi keamanan, kebahagiaan dan kedamaian dalam kehidupan. Dengan mencontohi sunnah rasul yakni membina keluarga melalui perkahwinan, kita akan memperolehi kebaikan dan keselamatan yang berpanjangan bukan sahaja di dunia, malah akan berlanjutan di akhirat. Rasulullah amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin. Daripada Aisyah r. a. berkata, bersabda Nabi SAW. : ‘’Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku. ’’ (Riwayat Ibn Majah)
Hikmah perkahwinan yang kedua pula ialah tenang dan tenteram. Melalui perkahwinan, seseorang akan berasa bahagia, aman dan tenteram dengan adanya ikatan kasih dan sayang antara suami isteri. Allah berfirman bermaksud: “Dan antara tanda-tanda membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra bersamanya dan jadikanlah antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang. ’’ (Ar-Rum: 21)
Selain itu, hikmah perkahwinan yang ketiga ialah dapat memelihara iman. Al-Baihaqi r. a. meriwayatkan daripada Rasulullah SAW. : “Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah ia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi. ” Hadis ini menjelaskan, apabila seseorang itu telah berkahwin, maka ia akan terselamat daripada perkara-perkara dosa, terutama yang berkaitan nafsu syahwat. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: ‘’Barang siapa yang mampu, hendaklah dia berkahwin kerana dengan demikian dapat menundukkan penglihatan dan dapat memelihara kehormatannya. Dan barang siapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana berpuasa dapat menghalang keinginan nafsunya. ’’ (Riwayat Ibn Mas’ud)
Yang keempat, dengan berkahwin, akan dapat mengikis kebimbingan tidak mampu memikul tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak disebabkan kemiskinan. Ini selalunya berlaku kepada golongan yang hidup miskin; ada kalanya berasa takut untuk menempuh perkahwinan. Sesungguhnya Allah yang menjamin rezeki setiap hambaNya. Rezeki adalah dalam kekuasaan Allah. Manusia hanya perlu berusaha mendapatkan rezeki. Selain bekerja untuk menyara kehidupan, usaha lain yang boleh diamalkan adalah dengan bersolat Dhuha setiap hari. Dari Aisyah r. a. sabda Nabi SAW. : ‘’Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta dan boleh menjimatkan harta. ’’ (Riwayat Imam al-Bazaar)
Yang kelima pula ialah zuriat. Rasulullah SAW. amat berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Justeru, menerusi perkahwinan akan lahirlah zuriat umat Islam yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi.
Yang terakhir ialah dapat mendisiplinkan hidup. Melalui perkahwinan, wujudlah kehidupan teratur dan berdisiplin dalam kehidupan berumah tangga. Akan berlaku rasa tanggungjawab dan pengagihan tugas antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak serta abang/kakak dengan adik-adik. Perkahwinan akan mewujudkan asas cara hidup yang tersusun dan teratur, seterusnya membawa kepada masyarakat yang demikian juga.

PENUTUP
Secara kesulurahannya, perkahwinan adalah sebahagian daripada liku-liku kehidupan yang dilalui oleh kebanyakan umat manusia. Ia adalah proses semulajadi yang telah diaturkan oleh Allah SWT mengikut sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu berkehendakkan kepada pasangan hidup.
Bermula dengan perkahwinan Nabi Adam a. s. dengan Siti Hawa, maka zuriat manusia berkembang biak melalui perkahwinan. Biarpun hukum-hukum perkahwinan berubah dari keturunan terawal itu sehingga kepada syariat Islam yang diturunkan kepada umat Muhammad SAW, namun perkahwinan tetap mempunyai hikmah yang cukup besar, yang memberi manfaat kepada manusia sendiri.

RUJUKAN
Mat Saad Abd. Rahman, Prof, Madya, Dr, (1993). Undang-undang Keluarga Islam: Aturan Perkahwinan: Suatu Pendekatan Berdasarkan Amalan Semasa. Shah Alam: HIZBI Reprografik.
Hj. Abdul. Kadir Hj. Abdullah Hassan, (2002). Perkahwinan Dalam Islam. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
Muhammad Ali Quthb, (1999). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
Haji Said Haji Ibrahim, (1984). 400 Soal Jawab Nikah Kahwin. Selangor: Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.
Engku Ahmad Zaki, (2010). “Aku Nikahi Akan Dikau”. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd.
Zulkefly Yazid, (2002). 40 Petunjuk Menepuh Alam Perkahwinan. Kuala Lumpur: Pustaka Al Shafa.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015