Khalifah Uthman Bin Affan

Disediakan Untuk: 
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin

Disedikan Oleh: 
Nur Adilah Akmar Binti Samsuri
2014223744

Penghargaan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana saya dapat menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah kali ini dengan baiknya. Pertama sekali saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya, Samsuri bin Haji Abu Hassan dan Siti Fatimah binti Long kerana telah menyokong serta memberi saya semangat dalam masa meyiapkan tugasan ini. 
Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada pensyarah CTU151, Ustaz Abd Aziz Harjin yang banyak memberi tunjuk ajar serta maklumat tentang tajuk tugasan saya ini iaitu Riwayat Saidina Uthman. 
Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya kerana melalui mereka juga saya dapat banyak maklumat yang saya perlukan. Mereka juga banyak berkongsi bahan rujukan bersama saya. Tanpa bantuan mereka, mungkin saya tidak dapat menjayakan tugasan ini dengan baik.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu saya menyiapkan tugasan ini. 

PENDAHULUAN
Khalifah Uthman bin Affan merupakan khalifah yang ke 3. Beliau ialah Uthman bin Affan bin Abu Al-As bin Umaiyah bin Abdu Syams bin Abdu Manaf bin Qusai bin Kilab. Beliau lahir dalam keluarga yang kaya raya. Namun begitu, beliau memiliki sifat serta berperibadian mulia dan baik. Saidina Uthman juga lahir dalam keluarga yang berpengaruh dari suku kaum Quraisy. 
Semasa zaman Jahiliah, beliau dikenali sebagai Abu Amru. Tetapi selepas beliau memeluk agama Islam dan berkahwin dengan anak perempuan Nabi Muhammad SAW, Ruqiyah, beliau kemudiannya telah dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Abdullah. Sejak itu beliau terus digelar Abu Abdullah. Beliau juga dikenali sebagai Zu-Nuraini atau pemilik dua cahaya kerana menikahi dua puteri Rasulullah SAW. 

Seterusnya, Saidina Uthman terkenal dengan sifat dermawannya. Di dalam Perang Tabuk, beliau telah menderma sebanyak 300 ekor unta lengkap dengan bekalan dan senjata beserta wang 1000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih. Oleh itu, Saidina Uthman telah membeli sebuah telaga Rumah daripada seorang Yahudi dengan harga 2000 dirham untuk digunakan umat Islam secara percuma. 
Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara dan Cyprusmenjadi sebahagian daripada empayar Islam. Dikatakan Saidina Uthman melantik saudaranya sebagai pentadbir jajahan baru Islam. Enam tahun pertama pemerintahannya dianggap keadaan aman, manakala enam tahun terakhir dianggap keadaan huru-hara(finatul-kubra). 
Beliau wafat kerana dibunuh oleh pemberontak yang berjaya memasuki rumahnya. Saidina Uthman wafat pada hari Jumaat dan menjadi syahid setelah memerintah selama 12 tahun sejak 23 Hijrah. 

(BIOGRAFI SAIDINA UTHMAN)
BIODATA
Beliau ialah Uthman bin Affan bin Abu al-As bin Umaiyah bin Abdu Syams bin Abdu Qusai bin Qilab. Beliau dilahirkan di Taif pada tahun ke-6 menurut Tahun Gajah. Usia beliau lima tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Saidina Uthman bin Affan dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya dan amat berpengaruh dalam suku kaum Quraisy. Ibu dan bapanya sama-sama berketurunan Bani Syams. Ibunya bernama Arwa binti Kuraiz bin Rabi’ah bin Habib bin Abdu Syams bin Abdu Manaf bin Qusai bin Kilab. Pertalian darah antara beliau dan Rasulullah SAW dinasabkan kepada moyang mereka iaitu Abdu Manaf. 

Saidina Uthman mendapat pendidikan yang baik. Beliau telah belajar dan menulis pada usia muda lagi. Oleh itu, Saidina Uthman telah menjadi seorang pedagang yang berjaya dan kaya. Saidina Uthman juga merupakan seorang yang berkeperibadian yang baik bahkan sebelum memeluk Islam. Beliau membenci pelacur dan arak walaupun belum mengucap dua khalimah syahadah ketika itu. Selepas memeluk Islam beliau tetap dengan peribadinya yang mulia itu. Saidina Uthman juga seorang yang jujur dan peramah. 

Saidina Uthman menjadi khalifah yang ketiga pada 644 Masihi bersamaan 23 Hijrah. Pemerintahannya bertahan selama 12 tahun. Pada waktu itu, Saidina Uthman mendapat gelaran Zu-Nurain kerana memperisterikandua puteri Rasulullah SAW. Dengan keperibadian yang baik, mungkin itulah sebab Rasulullah SAW mengizinkan Saidina Uthman mengahwini dua orang puterinya. Isterinya itubernama Ruqayyah dan Ummu Kultsum. 

SIFAT-SIFAT
Saidina Uthman bin Affan mempuyai peribadi yang baik bahkan sebelum memeluk Islam lagi. Beliau memiliki perangai serta sifat jujur, peramah, baik hati serta dermawan. Menurut Islam, beliau mempunyai peribadi yang benar-benar merupakan gambaran dari akhlak yang baik (Akhlak al-Karimah). Oleh itu Rasulullah mencintai Uthman kerana akhlaknya. 
Saidina Uthman merupakan seorang lelaki yang mempunyai ketinggian sederhana, tidak terlalu tinggi, dan tidak pula terlalu rendah. Berkat al-Baghawi:" Beliau berhidung mancung dan boleh dikatakan sebagai lelaki yang paling kacak sekali. Kulitnya lembut dan berwarna kuning langsat. Di dagunya ada jambang hitam yang agak lebat dan panjang. Begitu juga dengan rambutnya. Oleh kerana jambang dan rambutnya yang lebat itu musuh-musuhnya selalu menggelarkannya sebagai tha’la. Setiap tulang sendinya Nampak menonjol. Beliau berdahi luas dan janggutnya dijaga dengan kemas dan rapi. "

Walau bagaimanapun, Saidina Uthman terkenal dengan sifat dermawannya. Sifat dermawannya Nampak pada kehidupannya sehari-hari. Ketika kota Madinah dilanda bencana kekeringan, kaum Muslimin terpaksa menggunakan perigi Rum sebagai sumber air mereka. Tetapi perigi itu milik seorang Yahudi bernama Yusuf. Untuk mengambil air di perigi itu dia mengenakan bayaran yang mahal terhadap kaum Muslimin. Oleh itu Saidina Uthman bertekad membeli perigi Rum itu dengan bayaran yang dipersetujui. 

Seterusnya, di dalam Perang Tabuk, Saidina Uthman telah memberi banyak sumbangan yang mungkin orang lain tidak mampu berbuat sedemikian. 
Muhammad berkata: "Barang siapa yang menyiapkan tentera Tabuk ini, baginya syurga. ". 
Uthman bangun dan berjanji kapada Muhammad. "Wahai pesuruh Allah, aku akan menyiapkan 100 ekor unta dengan segala keperluannya termasuk makanan dan senjata. "
Tidak ada orang yang bangun. Akhirnya Uthman bangun lagi. "Wahai pesuruh Allah, aku akan siapkan 100 ekor unta lagi dengan segala keperluan perangnya. ". Setiap kali Muhammad bercakap Uthman bangun, sehinggalah 10 kali dia bangun. Di dalam karya Dr Khalid Muhammad Khalid (Sejarah 133 Wira Terbilang Di Zaman Rasulullah) mengatakan bahawa: Ketika perang Tabuk meletus Saidina Uthman telah menanggung sepertiga perbelanjaan perang, 900 ekor unta dan 100 ekor kuda. 
Derma berbentuk wang dinar juga disediakan oleh beliau. Nabi Muhammad SAW melihat pengorbanan yang besar daripada Uthman pada saat-saat tentera Islam memerlukan kekuatan lalu baginda berkata " Tidak akan datang mudarat ke atas Uthman apa yang dia lakukan selepas ini. "
Saidina Uthman juga seseorang yang kuat beribadah. Buktinya sewaktu rumahnya dikepung pemberontak, beliau tetap bersolat dan membaca Al Quran di tengah malam. Kemudiannya Muhammad bin Sirin menjelaskan :" Uthman sentiasa menghidupkan malam dengan solat dan zikir yang dipetik daripada Al Quran. "Saidina Uthman juga seorang yang prihatin terhadap rakyat. Khalifah Uthman banyak bertanya pada rakyatnya tentang keadaan mereka di pasar-pasar dan juga di masjid samada sebelum dan selepas solat. 

Kemudian, Saidina Uthman juga seorang yang terkenal dengan sifat kejujuran dan keramahannya. Rasulullah SAW berkata: "Orang yang penuh kasih sayang dari umatku kepada umatku adalah Abu Bakar;yang paling gagah berani membela Allah adalah ‘Umar’ dan yang paling jujur dalam kerendahan hatinya adalah Usman. "

Mengenai sifat kerendahan hatinya ini Nabi Muhammad SAW berkata: "Tidak haruskah saya merasa rendah hati terhadap seseorang yang bahkan malaikat pun berendah hati terhadapnya?"
Akhirmya, Saidina Uthman juga seorang yang berani. Ini kerana beliau tidak pernah mahu mengundurkan diri di dalam setiap peperangan dan pertempuran, malah beliau di antara orang yang mula-mula sekali menyeru ke arah jihad. Setiap kali berlaku perang maka setiap kali itulah beliau menyertainya dan tidak mahu pula mengundurkan diri. 

PERLANTIKAN SEBAGAI KHALIFAH
Saidina Uthman merupakan khalifah yang ketiga di dalam Khulafa ar-Rasyiddin. Perlantikan beliau sebagai khalifah yang ketiga selepas Saidina Umar wafat. Sebelum Saidina Uthman terdapat satu peristiwa dimana Saidina Umar ditikam Abu Lukluah, seorang lelaki Parsi. Sewaktu Saidina Umar al-Khattab membuka matanya selepas tersedar daripada pengsan, dia cuba bangun tapi tidak terdaya. Luka pada bahagian perut dan belakangnya membuatnya menderita kesakitan. Darah mengalir tidak henti. 

Seorang tabib datang bagi memberikan rawatan. Dia memeriksa bekas tikaman pada tubuh Khalifah Umar al-Khattab. Menurutnya, luka dialami Saidina Umar sangat parah kerana ditikam dengan pisau bermata dua. Pisau itu juga disapu dengan racun. 

Apabila Saidina Umar diberi minum pati buah kurma, keluar cecair merah daripada bahagian luka pada perutnya. Mereka tidak pasti sama ada darah ataupun pati kurma itu. Kemudian diberi minum susu. Namun, tidak lama kemudian susu itu keluar pada bahagian perutnya. 
"Wahai Amirul Mukminin, buatlah wasiat…, "kata tabib itu kerana yakin tidak boleh diubati lagi. 
Sebelum meninggal dunia, Khalifah Umar telah melantik enam orang ahli majlis syura yang terdiri daripada Saidina Uthman, Ali bin Abu Talib, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awam, Sa’ad bin Abi Waqas, dan Talhah bin Ubaidullah. Sesudah Saidina Umar dikebumikan, enam orang ahli majlis syura berkumpul di rumah Al-Miswar bin Makhramah. Rumah itu dikawal oleh 50 Ansar yang diketuai oleh Miqdad bin Amru. 

Di dalam persidangan itu, Abdul Rahman Auf dan Sa’ad bin Abi Waqas menarik diri. Keesokan hari, apabila mendapat persetujuan daripada orang ramai, Abdul Rahman bin Auf memanggil Ali bin Abu Talib supaya tampil ke hadapan dan bertanya: "Wahai Ali bin Abu Talib, sekiranya saya melantik kamu menjadi khalifah, adakah kamu sanggup berpegang teguh pada Quran, sunah nabi serta amalan Abu Bakar dan Umar?"
"Tidak, kerana saya berpegang teguh pada Quran, sunah nabi dan pendapat saya sendiri. InsyaAllah, ", jawab Ali bin Abu Talib. 
Kemudian ditanya soalan yang sama kepada Saidina Uthman. "Wahai Uthman Affan, sekiranya saya melantik kamu menjadi khalifah, adakah kamu sanggup berpegang teguh pada Quran, sunah nabi serta amalan Abu Bakar dan Umar?" 
"Ya, saya sanggup, "jawab Uthman Affan. 

Abdul Rahman mendongak ke langit lalu berkata, "Ya Allah, dengar dan saksikanlah. Sesungguhnya saya menaruh kepercayaan penuh pada Uthman Affan menjadi khalifah. " 
Orang ramai mengerumuni Uthman lalu mengucapkan tahniah. Ali bin Abi Talib turut menyatakan sokongannya. Uthman bin Affan dilantik menjadi khalifah pada hari Isnin 29 Zulhijah. Beliau memegang jawatan khalifah secara rasmi pada 1 Muharam tahun ke-24 Hijrah. 
Kemudian Khalifah Uthman berucap di hadapan orang ramai. "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kehidupan kamu di dunia ini hanya sementara. Akhirat juga yang kekal abadi. Oleh itu hendaklah kamu merebut peluang semasa hidup ini dengan membuat kebajikan. ketahuilah yang dunia ini penuh dengan tipu daya. Oleh itu jangan kamu tertipu dengan kemewahan dan kenikmatan hidup. Contohi orang yang terdahulu daripada kamu. "

SUMBANGAN SEBAGAI KHALIFAH
Saidina Uthman telah memerintah selama 12 tahun. Selama pemerintahannya banyak sumbangan yang telah dilakukan oleh beliau. Antara sumbangan yang dilakukan oleh Saidina Uthman ketika pemerintahannya ialah dengan membeli perigi Rumah diwaktu kaum Muslimin memerlukan bekalan air. Saidina Uthman sanggup membayar harga yang ditetapkan oleh seorang Yahudi yang merupakan pemilik perigi tersebut. 

Kemudian Saidina Uthman telah membeli sebidang tanah untuk memperluaskan kawasan Masjid Nabawi. 
Berkata Qatadah:" Ada sebidang tanah yang amat elok bersebelahan dengan masjid. Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang membelinya lalu diperluaskan kawasan masjid di atas tanah itu maka baginya sebuah mahligai di dalam syurga. "Uthman segera membeli tanah itu lalu memperluaskan lagi kawasan masjid di atasnya. 
Semasa pemerintaha Saidina Uthman terdapat juga bukti-bukti kejayaan yang dicapai Saidina Uthman. Contohnya perluasan agama Islam di Armenia, Kaukasia, Sijistan, Cyprus dan Afrika Utara. Di dalam sejarah Islam pula, Saidina Uthman telah membuat salinan Al Quran lengkap. Ketika itu berlaku pertelingkahan dikalangan umat Islam tentang cara bacaan Al Quran. Oleh itu Saidina Uthman meminjam suhuf, dan memerintahkan 4 orang sahabat untuk menyalin Al Quran dalam bentuk yang sempurna yang dikenali sebagai Mushaf Uthman. Sahabat tersebut ialah Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin al-Ash dan Abdur Rahman bin al-Harits. Dengan itu Uthman berjaya membangunkan pentadbiran kekhalifahan serta memantapkan penerbitan Al Quran yang rasmi ke seluruh dunia Islam. 

Seterusnya, Saidina Uthman juga telah membenarkan kaum Muslimin untuk mengerjakan haji sekali setiap tahun di samping menyediakan kemudahan bagi mereka kecuali pada tahun 35 Hijrah iaitu tahun terakhir beliau menjadi khalifah semasa rumah beliau dikepung oleh pemberontak. Setiap kali tiba musim haji beliau pasti dapat bertemu dengan gabenor-gabenornya dan bertanyakhabar tentang setiap wilayah, tugasan dan rakyat di bawah pimpinan mereka. 
Akhir sekali, Saidina Uthman juga telah meluaskan Masjidil Haram serta membentuk tentera laut Islam yang pertama ketika berlakunya perang Zatu Sauan iaitu perang tiang kapal yang dipimpin oleh Mu’awiyyah bin Abi Sufyan (31 Hijrah). 

KEWAFATAN
Kewafatan Saidina Uthman berpunca daripada angkara fitnah surat layang, pihak Ibnu Saba’ dan Khawarij yang nmenggunakan cop mohor Saidina Uthman untuk menjatuhkan beliau. Pertemuan terakhir Saidina Uthman dengan para Muslimin ialah seminggu selepas bermulanay kepungan dimana beliau menyuruh mereka bersabar. Selepas itu saidina Uthman terus terkepung di dalam rumahnya sehinggalah terputus bekalan air. 

Apa yang menyedihkan Saidina Uthman ialah, beliau selalu berusaha untuk membangunkan komunikasi yang berlandaskan kasih syanag dan kelapangan hati. Taktala pemberontak memaksa beliau unuk meletakkan jawatan kerusi kekhalifahan, beliau menolak dengan memetik kata-kata Rasulullah SAW, " Suatu saat mungkin orang-orang mengkehendakimu untuk melepaskannya, jangan lepaskan hanya kerana orang itu. "

18 Zulhijjah, tahun 35 Hijrah, Saidina Uthman yakin telah tiba hari ajalnya lalu berpuasa dan banyak membaca al Quran agar beliau mati syahid. Setelah terjadi pengepungan yang lama, pemberontak Berjaya memasuki rumah Uthman. Ghafiqi iaitu pemberontak telah menyepak al Quran yang dibaca Saidina Utman dan memukulnya dengan besi. Datang pula Sudan lalu didilibas pedangnya. Namun, dihalang oleh ister Saidina Uthman, Nailah lau memutuskan jarinya. Sudan yang hilang perikemanusiaan terus membunuh Saidina Uthman.

Jasad enam orang jenazah termasuk Saidina Uthman dituntu daripada pemberontak pada malam tersebut. 3 mayat pemberontak dibuang di dalam kebun dan dimakan anjing. Para Muslimin begitu sedih dengan kewafatan Saidina Uthman dan para sahabat melaknat para pemberontak. Pemerintahan Khalifah Uthman memakan selam 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintahan yang paling lama berbanding khalifah lain dalam pemerintahan Khulafa’ ar Rasyidin. 

KESIMPULAN
Khalifah Uthman bin Affan sememangnya seorang khalifah yang sangat bertanggungjawab dalam menunaikan tanggungjawab sewaktu pemerintahannya. Pemerintahannya selama 12 tahun itu boleh dikatakan penuh dengan sumbangan yang diberinya terutamanya di dalam agama Islam dan wilayah yang diperintahnya. Beliau banyak menderma untuk Islam sebelum beliau menjadi khalifah. Tidak hairanlah mengapa beliau digelar seorang yang dermawan walaupun beliau sememangnya lahir dalam golongan yang kaya raya namun beliau tidak kedekut dan berkira dalam menderma.

Seterusnya Khalifah Uthman sememangnya seorang khalifah dan pemmpin yang mementingkan rakyatnya. Beliau sentiasa bertanya khabar, memberi kemudahan dalam mengerjakan haji dan membina hubungan yang baik dengan pemimpin di bawah jajahan Islam. Ini membuktikan walaupun Saidina Uthman seorang yang mempunyai jawatan yang tinggi, namun beliau tetap merendah diri di khalayak ramai. Sikap rendah diri Saidina Uthman inilah yang harus kita ambil contoh supaya kita dapat menjadi pemimpin yang disukai rakyat mahupun orang luar.

Terdapat kata-kata yang diucapkan oleh Saidina Uthman sewaktu beliau dilantik menjadi khalifah. Kata-kata ini diucapkan pada khalayak ramai tentang peringatan kita terhadap duniawi dan akhirat. Saidina Uthman berkata:"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kehidupan kamu di dunia ini hanya sementara. Akhirat juga yang kekal abadi. Oleh itu hendaklah kamu merebut peluang semasa hidup ini dengan membuat kebajikan. Ketahuilah yang dunia ini penuh dengan tipu daya. Oleh itu jangan kamu tertipu dengan kemewahan dan kenikmatan hidup. Contohi orang yang terdahulu daripada kamu. " Melalui kata-kata Saidina Uthman ini dapat disimpulkan bahawa Saidina Uthman tidak lupa akan tanggungjawabnya untuk memperingati umat Islam. Kata-kata ini juga boleh dijadikan peringatan untuk kita sebagai golongan akhir zaman yang kini ramai mengejar harta di dunia sahaja malah sering mengabaikan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Walaupun Saidina Uthman dibunuh oleh pemberontak di dalam rumahnya sendiri, beliau masih beribadat kepada Allah SWT. Ini menunjukkan Saidina Uthman tidak gentar dengan halangan yang dihadapinya walaupun melibatkan nyawanya sendiri. Beliau bersolat serta berzikir kepada Allah SWT. Sifat inilah yang harus dicontohi oleh setiap umat Islam supaya kita menjadi seorang yang dicintai Allah. Oleh itu Saidina Uthman merupakan seorang khalifah yang boleh dijadikan contoh di dalam kehidupan seharian kita kerana beliau banyak berakhlak mulia dalam hidupnya sepanjang hayat walaupun di saat-saat kewafatannya. 


RUJUKAN

  1. Khalid Muhammad Khalid. Dr. (2009). 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah SAW, terjemahan. Batu Caves:Al-Hidayah Publications. 
  2. Zulikifli Mohd. Yusoff, Noor Naemah Abd Rahman. (2007). Biografi Muhammad bin Abdullah, edisi 2011. Batu Caves:PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. 
  3. Mahmud Syakir. (2004). Biografi Gemilang Uthman bin Affan, terjemahan:Jasmine Enterprise. 
  4. Hamd bin Abdullah bin Ibrahim Al-Humaidi. (2002). Mengenal Keutamaan Mutiara Zaman, terjemahan. Jakarta:Darul Haq. 
  5. Abdul Latip Talib. (2010). Khalifah-khalifah yang Benar. Batu Caves:PTS LITERA Sdn. Bhd. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)

Tarikh: 30/01/2015


MOTIVASI