Disediakan Untuk :
Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Disediakan Oleh ;
Aifaa Nazihah Binti Abdullah
2014494664
Pendahuluan
Sejak Azali Lagi, Allah Taala Menetapkan
Bahawa Lelaki Dan Perempuan Diciptakan Untuk Saling Melengkapi. Oleh Sebab Itu,
Perkahwinan Telah Diwajibkan Oleh Allah Taala Bagi Mereka Yang Mampu Untuk
Melestarikan Apa Yang Telah Ditetapkan Oleh Allah Taala Dan Seterusnya
Menghalalkan Sesebuah Perhubungan Tersebut. Pernyataan Di Atas Telah Dibuktikan
Apabil Agama-Agama Wahyu Memperakui Bahawa Perkahwinan Pertama Di Kalangan
Manusia Berlaku Antara Nabi Adam A. S Dan Hawa.
Oleh Itu, Dalam Kertas Kerja Ctu 151 Pada Kali
Ini, Saya Memilih Untuk Mengkaji Berkenaan perkahwinan menurut Islam. Dalam
hasil kertas kerja saya pada kali ini meliputi takrif perkahwinan, tujuan utama
perkahwinan, ciri-ciri memilih suami dan isteri, hukum perkahwinan, hak dan
kewajipan, orang-orang yang tidak boleh dinikahi dan akhir sekali hikmah
perkahwinan.
Dalam takrif perkahwinan, saya akan
menerangkan maksud perkahwinan menurut Islam dan dalam tujuan utama
perkahwinan, saya akan menerangkan mengapa kita diwajibkan untuk berkahwin.
Manakala, dalam ciri-ciri memilih suami dan isteri saya akan menerangkan
ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang suami dan isteri apabila
kedua-duanya mahu mendirikan rumah tangga. Dalam hukum perkahwinan pula, saya
akan menerangkan hukum yang ada dalam Islam seperti wajib, sunat, makruh, haram
dan harus. Dalam hak dan kewajipan pula saya akan menerangkan tugas-tugas suami
dan isteri apabila sudah berkahwin. Untuk mengetahui dengan siapa kita dilarang
untuk berkahwin akan saya kupaskan dalam isi orang-orang yang tidak boleh
dinikahi. Akhir sekali, dalam hikmah perkahwinan saya akan menerangkan apa yang
kita perolehi apabila kita berkahwin.
Kesimpulannya, saya harap apa yang saya
kupaskan dalam kertas kerja ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan kepada
orang yang membaca tentang perkahwinan. Saya berharap juga kupasan yang saya
terangkan dalam kertas kerja ini mudah difahami oleh semua orang.
TAKRIF PERKAHWINAN
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat,
pernikahan (perkahwinan) ialah perihal berkahwin atau bernikah bersaksikan
seseorang sebagai saksi. Dari sudut bahasa, pernikahan (perkahwinan) bererti
berkumpul atau berhimpun. Dari sudut istilah pula ialah akad dengan menggunakan
perkataan nikah atau tazwij atau terjemahannya yang menghalalkan persetubuhan antara
lelaki dan perempuan menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Tambahan lagi, perkahwinan juga bermaksud medium perhubungan lelaki dan
wanita(suami isteri) dan saluran untuk melahirkan zuriat keturunan. (Hassan
Salleh, 1989)
Selain itu, sesetengah ulama
mentakrifkannya sebagai akad yang mempunyai makna pemilikan untuk
bersedap-sedapan (tamattu’) dengan ada qasad. Manakala sesetengah pengikut
Hanbali mentakrifkannya sebagai akad yang menggunakan perkataan nikah atau
tazwij bagi mendapat faedah bersedap-sedapan. (Hassan Salleh, 1989)
Dari sudut pandangan Islam pula, sistem
sosial Islam sangat memandang perkahwinan sesuatu yang penting kerana melalui
pernikahan kita dapat meramaikan umat Islam di dunia ini untuk bersaing dengan
agama lain. Dalam Al Quran, sabda Nabi Muhammad saw dan para imam kita
mengatakan bahawa kita sangat didesak untuk bernikah. Oleh sebab itu, Nabi
Muhammad saw meriwayatkan :-
“Lembaga dalam Islam yang lebih disukai
Allah adalah lembaga pernikahan”. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, &
Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)
TUJUAN UTAMA PERKAHWINAN
Menurut pandangan Islam, perkahwinan dapat
menciptakan situasi yang nyaman bagi suami isteri. Selain itu, perkahwinan juga
dapat melahirkan satu generasi baharu dan meramaikan anak-anak yang sihat
jasmani dan rohani, beriman dan tinggi moralnya. (Prof. Dr. Muhammad Husaini
Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)
Pernyataan di atas ini juga dibuktikan
melalui Al Quran iaitu :
“Dia menciptakan untukmu pasanganmu dari
rumpunmu sendiri sehingga kamu dapat merasakan kenyamanan bersama mereka dan
meletakkan saling cinta dan kasih sayang di hatimu. Sesungguhnya dalam hal ini
ada pelajaran bai orang-orang yang berfikir”. (Surah ar-Rum : ayat 21)
CIRI-CIRI UNTUK MEMILIH CALON ISTERI DAN
SUAMI
Terdapat empat ciri untuk memilih calon
isteri dan suami. Antaranya ialah :
1) Iman iaitu beriman kepada Islam dan jalan
hidupnya seperti yang diserukan oleh Islam. Masyarakat Islam adalah masyarakat
ideology. Dalam setiap masyarakat seperti itu, mengimani ideologinya merupakan
orbit utama kehidupannya. Seperti umum tahu, tujuan pernikahan bukanlah sekadar
untuk memuaskan kenikmatan seksual melainkan juga untuk membentuk sebuah
institusi keluarga yang sihat sehingga :
i. Suami
dan isteri hidup bersama dalam atmosfera saling mencintai, saling mengasihi dan
saling mengerti
ii. Mereka
dapat menciptakan satu lingkungan yang positif bagi kelahiran dan pertumbuhan
anak-anak yang kelak akan menjadi anggota masyarakat ideologis Islam yang lebih
matang dan aktif
Dua
tujuan ini baru dapat dicapai jika suami dan isteri sama-sama mengimani Islam
dan sama-sama mempraktikkan ajaran Islam semaksimum mungkin. (Prof. Dr.
Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)
2) Moral
iaitu salah satu perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya dari segi
moral suami dan isteri. Salah seorang sahabat Imam kesepuluh mengatakan : “Aku
pernah berkirim surat kepada Imam Abu Ja’afar. Dalam surat itu aku aku
mengujakan beberapa pertanyaan tentang perkahwinan”. Dalam jawapannya Imam
mengatakan : “Nabi saw bersabda : ‘Begitu orang yang kamu cintai datang
memintamu untuk menikah dengannya, sementara dia itu taat beribadah serta bagus
perilakunya, maka segeralah menikah dengannya. Jika kamu tidak segera menikah
dengannya, kamu akan menyimpang dari jalan yang lurus dan akan menghadapi
krisis yang hebat”. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad
Bahonar,, 2003) dan (Muhammad Ali Qutb, 1989)
3) Mampu
di bidang kewangan
Kesamaan
dan keserasian pemikiran, keinginan dan harapan suami dan isteri merupakan
salah satu faktor yang sangat menentukan bahagia atau tidaknya suatu
perkahwinan. Jika terjadi perselisihan yang serius antara suami dan isteri,
maka masalah akan mudah diselesaikan berdasarkan sifat di atas yang ada pada
suami dan isteri. Dengan demikian, kehidupan perkahwinan mereka akan bahagia. (Prof.
Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)
4) Kehidupan
perkahwinan akan bahagia apabila suami dan isteri :
i. Mengetahui
konsep perkahwinan
ii. Menyedari
pasangan sebagai sahabat dan rakan yang baik hati dan setia
iii. Merasa
perlu saling bekerjasama dalam setiap hal’
iv. Berusaha
untuk tidak bersikap atau berperilaku angkuh dan untuk tidak merasa unggul atau
menang sendiri
v. Menghormati
hak masing-masing dan berupaya menyenangkan hati masing-masing (Prof. Dr.
Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad Bahonar,, 2003)
HUKUM
KAHWIN
-Mazhab
Syafi’i
1) Sunat
bagi lelaki yang inginkan perkahwinan dan inginkan akan persetubuhan. Selain
itu, lelaki tersebut mampu menyediakan perbelanjaan mahar (mas kahwin) dan
nafkah hidup seperti pakaian dan makanan. Di sudut lain, walaupun lelaki
tersebut merupakan ahli ibadat, dia disunatkan berkahwin demi mengawal agama,
keturunan dan juga untuk mencari kebaikan.
Bagi
perempuan pula, disunatkan kepadanya yang berhajat berkahwin samaada kerana
keinginannya sendiri atau keperluan nafkah hidup. Tambahan lagi, disunatkan
kepada perempuan untuk berkahwin kerana takut akan ancaman orang jahat atau
kerana dia bukan ahli ibadat. Melalui perkahwinan ini, perempuan dapat mengawal
keagamannya dan kehormatannya. (Hassan Salleh, 1989)
2) Makruh
bagi orang yang tidak berhajat berkahwin sama ada disebabkan keadaan semula
jadinya yang tiada keinginan nafsu atau juga kerana penyakit seperti mati
pucuk. Selain itu, dia juga tidak mampu menyediakan perbelanjaan kerana melalui
perkahwinan ini bererti dia dibebankan dengan tanggungjawab yang tidak dapat
disempurnakan olehnya. (Hassan Salleh, 1989)
3) Harus
berkahwin tetapi lebih afdal beribadat bagi orang yang tidak berhajat berkahwin
kerana dia tidak berkeinginan melakukan persetubuhan tetapi dia mampu dari segi
perbelanjaan dan tidak berpenyakit. Menurut pendapat al-Nawawi, jika seseorang
itu bukan ahli ibadat adalah lebih utama baginya berkahwin (ini bertepatan
dengan pendapat al-Rafi’I di dalam kitab al-Syarh) supaya tidak mendatangkan
keburukan pada masa lapangnya. (Hassan Salleh, 1989)
4) Wajib
berkahwin bagi orang yang tertentu atau terpaksa menghindarkan dirinya daripada
nafsu kejahatan seperti perempuan yang takut akan orang yang jahat mengancam
keselamatan dirinya sedangkan tidak ada pengawalnya melainkan dengan berkahwin.
Hukum ini juga berlaku kepada lelaki yang khuatir kemungkinan dia akan berzina
jika tidak berkahwin. (Hassan Salleh, 1989)
HAK
DAN KEWAJIPAN
a) Hak
Isteri
i. Mahar
ü Maksud
Mahar
Pertamanya,
mahar berasal dari perkataan Arab. Selain itu, terdapat juga beberapa lagi
perkataan Arab yang bermaksud mahar iaitu :
· Al-sadaq
· Al-saduqah
· Al-nihlah
· Al-ajr
· Al-faridhah
· Al-a’qad
Menurut
istilah syara’ pula, mahar ialah sesuatu yang diwajibkan oleh syara’ sama ada
harta atau sebagainya yang menjadi hak isteri. Mahar ini diberi oleh suami
dengan menyebutnya pada masa akad nikah sebagai ganti istimta’. Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan mahar itu
wajib. Antaranya ialah firman Allah Taala yang bermaksud : “Berikanlah kepada perempuan(isteri) akan
mahar(saduqah) mereka itu sebagai satu pemberian(yang wajib). (Surah al-Nisa’ : ayat 4)
Selain
itu, terdapat juga firman Allah Taala yang bermaksud : “Mana-mana
perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri
kamu) maka berikanlah mereka maharnya (‘ajr) sebagai satu ketetapan yang
difardhukan (diwajibkan oleh Allah Taala)”. (Surah al-Nisa’ : ayat 29)
ü Hikmah
Diwajibkan Mahar
Seperti
yang umum tahu, dengan akad nikah suami akan memperolehi layanan mesra, kasih
sayang dan percantuman dua jiwa dan dua jasad, maka hendaklah suami memberikan
mahar kepada isterinya sebagai lambang kesetiaan dalam kehidupan mereka berdua.
Selain itu, mahar juga menunjukkan niat baik suami terhada isteri, teristimewa
sekali kerana dengan nikah itu, suami diberi kuasa terhadap isterinya. Oleh
itu, eloklah suami memberi sesuatu yang menyenangkan hati isteri supaya dia
berasa benar-benar mendapat perhatian daripada suaminya. Oleh itu, mahar ini
merupakan penghormatan seorang suami terhadap isterinya.
Tambahan
lagi, mahar juga bukan rukun bagi sah nikah atau syaratnya. Contohnya, jika
sesuatu pasangan bersetuju berkahwin tanpa mahar maka akad nikah itu tetap sah
tetapi diwajibkan mahar yang munasabah. Pernyataan ini dapat dibuktikan pada
zaman Rasulullah saw, seorang perempuan telah berkahwin tanpa disebutkan
maharnya, tetapi suaminya meninggal dunia sebelum perempuan itu disetubuhinya,
lalu Rasulullah saw mengeluarkan hukum iaitu mewajibkan mahar yang munasabah
untuknya.
Tambahan
lagi, terdapat juga dalil yang menunjukkan mahar itu tidak menjadi rukun dalam
nikah iaitu firman Allah Taala yang bermaksud :
“Tidaklah
kamu berdosa (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mahar) jika kamu menceraikan
isteri kamu sebelum kamu sentuh (menyetubuhi) mereka atau sebelum kamu
mewajibkan mahar untuk mereka. ” (Surah al-Baqarah : ayat 236)
Selain
itu, para mujtahid juga telah bersepakat mengatakan bahawa tidak ada penentuan
tentang setinggi-tinggi mahar tetapi sepatutnya jangan terlalu tinggi.
Dalam
sebuah hadith juga ada disebutkan tentang sunatnya merendahkan kadar mahar,
sabda Rasulullh saw yang bermaksud : “Bahawa sebaik-baik perempuan dari segi keberkatan
ialah yang lebih mudah tentang perbelanjaan (mahar). ”
Akibat
tindakan meninggikan kadar mahar itu menyebabkan lelaki tidak mahu berkahwin
atau juga akan menimbulkan kesusahan bagi kebanyakan mereka dan ini sudah
terang merupakan gejala yang buruk bagi pihak keluarga perempuan yang
meletakkan kebanggaan mereka dengan kadar mahar yang tinggi. Dalam konteks
Islam ada mengatakan bahawa nilai ketinggian sebenar seseorang itu dalam Islam
terletak pada moralnya bukan pada harta benda, kedudukan atau pangkatnya kerana
ketiga-tiga elemen ini tidak akan kekal selamanya.
ü Kadar
Mahar
Terdapat
pelbagai pendapat tentang kadar mahar yang ditentukan. Salah satunya pendapat
daripada Imam Syafi’e dan Imam Ahmad Hanbali yang mengatakan tidak ada batasan
tentang sekurang-kurangnya iaitu pendek kata kadar mahar yang ditetapkan ialah
tiap-tiap benda yang ada harga dan tiap-tiap yang dinamakan wang sama ada
sedikit atau banyak yang boleh dinamakan mahar.
Terdapat
juga dalil bagi orang yang mengatakan tidak ada penentuan had kadar mahar.
Antaranya yang diriwayatkan daripada Anas RA beliau berkata : Abdul Rahman bin
‘Auf mengahwini seseorang perempuan dengan kadar maharnya emas seberat benih
yang kecil. Peristiwa ini berlaku di hadapan sahabat Rasulullah saw. Pernyataan
di atas membuktikan bahawa menentukan kadar mahar tidak wajib.
Di
sudut lain juga, ada dalil bagi mereka yang membuat penentuan kadar mahar.
Antaranya ialah Jabir yang telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda
yang bermaksud :
“Janganlah
dikahwinkan perempuan melainkan oleh walinya dan janganlah mengahwinkan mereka
kecuali dengan orang yang setara dan tidak ada mahar yang kurang daripada
sepuluh dirham. ”
Tambahan
lagi, bagi perkahwinan yang maharnya disebut tetapi tidak diberitahu atau
diterangkan dengan jelas akan jenis atau kadarnya maka penerimaan mahar itu
tidak sah. Contohnya, orang yang bernikah yang maharnya ialah haiwan tetapi
tidak ditentukan jenis haiwan tersebut. Dan tidak mengapa sekiranya tidak tahu
harga seekor kuda misalnya kerana ketidaktahuan itu dimaafkan dalam pernikahan
memandangkan bahawa Allah memberi kemudahan dalam perkara kahwin.
ü Jenis
Mahar
Terdapat
dua jenis mahar iaitu :
1) Mahar
musamma dikeluarkan jika kedua-dua belah pihak yang berakad bersetuju tentang
sejumlah mahar yang tertentu di dalam akad nikah atau difardhukan oleh kadi
dengan kerelaan kedua-dua belah pihak selepas akad nikah.
Menurut
tradisi di sesetengah tempat atau negeri, bakal suami memberi hadiah kepada
isteri seperti kain, jam dan sebagainya. Sebahagian ulama berpendapat bahawa
boleh dimasukkan ke dalam mahar ini dan sebahagian pula mengatakan tidak. Oleh
itu, isteri boleh menahan suami daripada beristimta’ dengan dirinya hingga dia
menerima mahar dan dia tidak dianggap derhaka.
2) Mahar
misil (mahar yang munasabah) pula ialah jika kedua-dua belah pihak tidak
bersetuju tentang kadar mahar dan masing-masing berdiam diri daripada
menyebutnya dan tidak ditentukan jumlahnya pada masa akad atau disebut tetapi
ditentukan mahar yang tidak dapat dimengertikan atau mahar yang tidak
diharuskan di dalam syara’, maka apabila isteri disetubuhi, dia berhak mendapat
bayaran misil.
ü Sabit
Mahar
Menurut
Abi Hanifah, apabila akad nikah sah, wajiblah dan sabitlah mahar kerana
pemilikan lelaki terhadap isteri berlaku dengan akad nikah semata-mata dan
mahar itu wajib sebagai ganti bagi pemilikan.
Berbeza
pula dengan mazhab Syafi’i, mahar tidak sabit melainkan dengan ketetapan atau
persetubuhan. Jika akad nikah itu fasid yakni tidak sah maka tidak diwajibkan
mahar kecuali setelah isterinya disetubuhi baharulah menjadi wajib.
ü Gugur
Separuh Mahar
Umumnya,
mahar itu wajib bagi nikah yang sah. Apabila suami menceraikan isterinya
sebelum bersetubuh gugurlah separuh maharnya dan pemberian mahar hanya wajib
bagi baki yang separuh lagi.
Dalil
pernyataan di atas sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan
jikalau kamu menceraikan mereka itu (isteri-isteri) sebelum kamu menyetubuhi
mereka walhal kamu telah menetapkan mahar kepada mereka maka diwajibkan
(bayarannya) separuh daripada yang kamu tetapkan kecuali jika mereka sendiri
memaafkan atau orang yang mempunyai kuasa perwalian memaafkannya. ” (Surah
al-Baqarah : ayat 237)
ü Perkara-perkara
Yang Sebabkan Wajibnya Mahar Yang Munasabah (Mahar Misil)
Terdapat
tiga sebab iaitu :
1) Apabila
seorang lelaki berkahwin dengan perempuan tanpa mahar, maka wajiblah perempuan
itu menerima mahar misil disebabkan persetubuhan atau berkhalwat hakiki.
Ketetapan itu sebagai memuliakan perkahwinan dalam Islam dan menunjukkan peri
pentingnya mahar dan perkahwinan itu.
2) Apabila
tidak disebutkan mahar pada masa akad nikah, kemudian pihak suami tidak
menetapkannya selepas akad manakala pihak kadi pula tidak juga menetapkannya
kemudian suami bersetubuh atau berkhalwat hakiki dengannya atau suami mati.
3) Apabila
penamaan mahar yang disebut dalam akad nikah itu rosak disebabkan ketidaktahuan
yang nyata atau mahar itu tidak merupakan wang ringgit yang boleh dinilai. (Hassan
Salleh, 1989)
ii. Nafkah
ü Sebab
Wajib Bagi Nafkah Kepada Orang Lain
Para
fuqaha’ telah menentukan tiga sebab yang mewajibkan seseorang itu memberikan
nafkah terhadap orang lain iaitu perkahwinan kerabat dan pemilikan. Antaranya
ialah :
1) Nafkah
isteri diwajibkan ke atas suami disebabkan perkahwinan
2) Nafkah
kerabat disebabkan tali persaudaraan
3) Nafkah
hamba abdi diwajibkan ke atas tuan disebabkan pemilikan
ü Nafkah
Isteri
Hukum
memberi nafkah kepada isteri wajib atas suami kerana suami berkuasa terhadap
isteri manakala isteri pula menentukan dirinya untuk kepentingan suaminya
disebabkan oleh ikatan perkahwinan. Oleh sebab itu, nafkah menjadi wajib atas
suami walaupun isterinya kaya dan kewajipan menyeluruh kepada semua isteri
apabila suami berpoligami.
Terdapat
beberapa dalil-dalil yang mewajibkan nafkah iaitu salah satunya dalil daripada
al Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Hendaklah
orang yang berkemampuan memberi perbelanjaan menurut kemampuannya. ”(Surah
al-Talaq : ayat 7)
Dalil
yang kedua pula ialah daripada ijma’ iaitu : “Kaum
muslimin telah sepakat sejak daripada zaman Nabi hingga sekarang tentang
kewajipan suami memberi nafkah. ”
ü Penentuan
Kadar Nafkah
Menurut
mazhab Syafi’i, nafkah merangkumi tiga perkara iaitu makanan pakaian dan tempat
tinggal. Pertama, nafkah daei segi makanan dan pakaian hendaklah dikira pada
kedudukan atau keadaan suami yakni tentang susah senangnya tidak dikira pada
keadaan isteri. Contohnya, jika seorang suami itu kaya atau berkemampuan maka
hendaklah dia memberi makanan dan pakaian kepada isteri menurut keadaannya dan
begitu juga sebaliknya. Seterusnya dari segi tempat tinggal seorang suami
hendaklah memberi tempat tinggal yang sesuai dengan keadaan isterinya kerana
tempat tinggal dianggap sebagai muta’ah (sagu hati) tidak seperti makanan dan
pakaiaan yang dianggap al-tamlik (pemilikan). Oleh itu, perkara muta’ah itu
hendaklah diukur pada kedudukan isteri.
ü Syarat
Wajib Suami Menanggung Nafkah Isteri
Syarat-syarat
dalam mazhab Syafi’i :
1) Hendaklah
isteri membenarkan suami beristimta’ dengannya iaitu dengan cara menyerahkan
dirinya kepada suaminya seperti katanya : “Aku serahkan diriku kepadamu. ”
2) Hendaklah
isteri sanggup disetubuhi. Jika isteri masih kecil dan tidak sanggup
disetubuhi, dia tidak berhak mendapat nafkah tidak kira sama ada suaminya telah
dewasa dan mempunyai keinginan nafsu atau masih kecil yang tidak ada keinginan
nafsu.
3) Isteri
yang tidak menderhakai suami. Antaranya ialah isteri menghalang suami daripada
beristimta’ dengannya seperti sentuh, kucup, bersetubuh dan sebagainya. (Hassan
Salleh, 1989)
b) Hak
Suami
i. Ketaatan
Isteri
Isteri
wajib mematuhi suami, menjaga kehormatan dan harta bendanya sama ada pada masa
suaminya berada dirumah atau tidak kerana ketaatan isteri adalah faktor yang
meneguhkan kehidupan rumahtangga dan kerukunan hidup.
Ini
dibuktikan melalui firman Allah Taala yang bermaksud : “Kaum
lelaki adalah pengurus bagi perempuan. ” (
Surah al-Nisa’ : ayat 34)
Di
sisi lain, isteri tidak wajib mematuhi kemahuan suaminya yang di luar garis
syara’ kerana Rasulullah saw telah bersabda bahawa tidak boleh mematuhi makhluk
dalam perkara maksiat. Jika suami memaksa isteri melakukan maksiat, maka suami
yang berdosa.
Tambahan
lagi, isteri juga tidak boleh membenarkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali
dengan kebenaran suami. Selain itu, isteri juga tidak boleh menegeluarkan
perbelanjaan melainkan dengan kebenaran suami. (Hassan Salleh, 1989)
ii. Isteri
Tinggal Di Rumah
Seorang
suami berhak melarang isterinya keluar daripada rumah atau menziarahi seseorang
melainkan setelah dibenarkan. Manakala seorang isteri pula tidak berhak
memasuki rumah orang lain tanpa kerelaan suaminya. (Hassan Salleh, 1989)
Allah
Taala juga telah berfirman yang bermaksud :
“Dan
hendaklah kamu (isteri) tinggal di dalam rumah kamu dan janganlah kamu berhias
seperti orang jahiliah dulu. ” (Surah al-Ahzab : ayat 33)
iii. Kuasa
Ta’dib
ü Pengenalan
Ta’dib
Terdapat
dua jenis perempuan iaitu :
1) Perempuan
Yang Baik
Perempuan
yang baik ialah isteri-isteri yang solehah yang mempunyai peribadi yang mulia,
sentiasa mematuhi Allah dan menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri yang
setia terhadap suaminya, tidak membantah suaminya dalam polisi rumahtangga dan
mengurus rumahtangga dengan jujur dan ikhlas. Oleh itu, suami tidak berhak dan
tidak perlu mengenakan kuasa ta’dib terhadap isterinya.
2) Perempuan
Yang Tidak Baik
Perempuan
yang tidak baik ialah perempuan yang melanggar hak-hak dalam perkahwinan dan
tidak mematuhi suruhan suami. Perempuan seperti ini perlu dikenakan kuasa
ta’dib.
ü Tindakan
Ta’dib
Al
Quran telah menetapkan tiga cara tindakan menurut peringkat iaitu :
1) Nasihat
yang baik iaitu suami memberi nasihat dan pengajaran kepada isteri supaya
bergaul dengan baik. Kata-kata nasihat yang jujur dapat membuka pintu hati dan
boleh mengatasi banyak psikologi perempuan, tetapi nasihat itu akan berbeza
menurut peribadi seseorang perempuan itu. Ada sesetengah perempuan yang lembut
hati dengan nasihat-nasihat agama dan ada pula yang sebaliknya. Pendek kata,
suami yang bijak berdiplomasi itu selalu berjaya mengatasi segala kesulitan
daripada sikap isteri yang derhaka itu. Jika tidak berjaya juga, maka si suami
harus mengambil tindakan yang seterusnya.
2) Tidak
tidur bersama supaya si isteri berasa sesuatu tekanan jiwa jika suami tidak
sudi tisur bersama-samnya. Ini merupakan kuasa ta’dib yang diberikan oleh syara’
kepada suami dan kemungkinan tindakan ini akan berkesan terhadap isteri yang
masih kasihkan suaminya. Ada di antara perempuan yang kasih akan suami tetapi
tidak mematuhinya kerana cemburu buta kerana sikapnya yang tidak matang. Selain
itu, untuk menguji sejauha mana suami cinta kepadanya da nada pula yang
bertindak liar kerana hasutan keluarganya untuk mendapatkan faedah peribadi.
Justeru itu, Allah memberi jalan untuk memperbaiki keadaan itu dengan cara
tidak tidur bersama untuk sementara waktu agar dapat membetulkan sikap isteri
yang derhaka itu.
3) Memukul
dan ini merupakan tindakan akhir bagi suami. Disyaratkan pukulan itu tidak
berbahaya dan tidak menyakitkan isteri. Tindakan ini hanya dibenarkan dalam
masa darurat sahaja kerana ada sikap perempuan tidak berkesan dengan kata-kata
nasihat dan dengan tidak tidur bersama. Tindakan ini bukanlah bermakna kejam
atau bodoh bahkan suatu cara yang mungkin berhasil bagi tujuan memperbaiki
isteri. Walaubagaimanapun, Rasulullah saw menganggapnya makruh kerana baginda
sendiri tidak pernah memukul isterinya tetapi baginda membenarkan tindakan
seperti itu apabila tidak ada jalan lain lagi untuk memperbaiki sikap si isteri
yang degil. (Hassan Salleh, 1989)
c) Hak
Bersama Antara Suami Dan Isteri
Terdapat
empat hak iaitu :
1) Hak
istimta’ antara satu sama lain. Setiap seorang itu tidak berhak melarang
pasangan hidupnya itu melainkan jika ada keuzuran syara’ seperti haid, nifas
atau berpenyakit. Kesimpulannya, masalah persetubuhan itu terpulanglah kepada
keadaan kedua-duanya. Sekiranya memberi kepuasan batin kepada suami, supaya
janganlah dia berangan-angan kepada perempuan yang lain pula dan begitu juga
sebaliknya. (Hassan Salleh, 1989)
2) Pergaulan
yang baik iaitu seorang isteri dan suami wajib bergaul dengan baik yang menurut
garis perkara-perkara baik yang diakui oleh syara’ dan adat, baik dari segi
tutur kata mahupun tindakan. Contohnya, suami mesti bekerjasama dengan isteri
untuk mencari kebajikan dan menghindarkan diri daripada kejahatan dan
bersama-sama menjauhkan diri daripada perkara yang buruk.
Selain
itu, kedua-dua belah pihak juga hendaklah bersikap tolak-ansur atau toleransi,
maaf-maafi dan jujur dalam menunaikan tugas. Pergaulan yang baik juga merangkumi
perasaan setia antara satu sama lain dan kasih sayang yang terpancar dari lubuk
hati masing-masing dan saling menyedari tentang tanggungjawab bersama untuk
kepentingan hidup mendidik anak-anak dan menguruskan rumahtangga yang
seterusnya boleh mendatangkan kerehatan, kesenangan dan kebahagiaan kepada
seisi keluarga.
Rasulullah
saw juga bersabda yang bermaksud :
“Orang
mukminin yang paling sempurna keimanannya ialah yang paling baik akhlaknya dan
yang paling lemah lembut terhadap ahlinya (isteri atau keluarganya). ”
Tambahan
lagi, Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud :
“Orang
pilihan daripada kamu itu ialah yang terbaik dalam membuat kebajikan kepada
isterinya dan aku adalah yang terbaik dalam membuat kebajikan kepada isteriku.
”(Hassan Salleh, 1989)
3) Sabit
keturunan anak iaitu hak-hak bagi tiap-tiap seorang daripada suami dan isteri
juga menjadi hak bagi anak-anak. Dari sudut lain, sesetengah ulama berpendapat
ini menjadi hak Allah Taala. (Hassan Salleh, 1989)
4) Mempusakai
antara suami isteri iaitu hak bersama antara kedua-duanya. Apabila salah
seorang meninggal dunia sedangkan kedua-duanya masih tetap mempunyai hubungan
suami isteri maka yang hidup berhak mempusakai harta yang mati selagi tidak ada
halangan yang boleh menegahnya daripada mempusakainya. Contohnya, berlainan
agama dan sebagainya. Dari sudut pandangan lain pula, perkara ini juga termasuk
dalam hak-hak Allah Taala. (Hassan Salleh, 1989)
ORANG-ORANG
YANG TIDAK BOLEH DINIKAHI
Muhrim
ialah orang yang berbeza jenis kelaminnya namun haram untuk dinikahi. Contohnya
seperti hubungan antara kakak dan adik, ayah dan anak perempuannya atau anak
lelaki dan ibunya. Mereka ini harus dijauhkan dari melakuka aktiviti seksual.
Muhrim
pada umumnya dibahagi menjadi tiga golongan iaitu :
1) Muhrim
Kerana Hubungan Darah
Muhrim
seperti ini berasal daripada keluarga yang sama. Terdapat tujuh kelompok orang
yang tidak boleh menikah antara satu dengan yang lain kerana alasan hubungan
sedarah. Antaranya ialah :
(a) Seorang
lelaki haram menikah
1. Dengan
ibunya sendiri (termasuk neneknya sendiri)
2. Dengan
anak perempuannya sendiri (termasuk keturunan anak perempuannya itu )
3. Dengan
kakak atau adik perempuannya sendiri
4. Dengan
anak perempuan kakak atau adik perempuannya beserta keturunan mereka
5. Dengan
anak perempuan kakak atau adik lelaki-lelakinya beserta keturunan mereka
6. Dengan
pembantu dari pihak ayah (termauk pembantu ayahnya)
7. Dengan
pembantu dari pihak ibu (termasuk pembantu ibunya)
(b) Seorang
wanita haram menikah
1. Dengan
ayahnya sendiri (termasuk datuknya sendiri)
2. Dengan
anak lelakinya sendiri (termasuk keturunan anak lelakinya itu)
3. Dengan
kakak atau adik lelakinya sendiri
4. Dengan
anak lelaki kakak atau adik lelakinya beserta keturunan mereka
5. Dengan
anak lelaki kakak atau adik perempuannya sendiri beserta keturunan mereka
6. Dengan
pembantu rumah lelaki dari pihak ayah (termasuk pembantu rumah lelaki ayahnya)
7. Dengan
pembantu rumah lelaki dari pihak ibu (termasuk pembantu rumah lelaki ibunya)
2) Muhrim
Angkat
Jika
seseorang diasuh atau menjadi anak angkat orang lain sehingga anak angkat
tersebut memiliki hubungan keluarga dengan orang tua angkat dan keluarganya
kerana keadaan tertentu. Oleh kerana itu, anak angkat itu tidak dibolehkan
menikah dengan orang tua angkatnya beserta keluarga orang tua angkatnya.
3) Muhrim
Kerana Perkahwinan
Lima
golongan orang yang tidak dibolehkan melakukan pernikahan di antara mereka
keraan memiliki hubungan kekeluargaan melalui jalan perkahwinan. Contohnya
seorang lelaki haram menikah dengan mertua perempuannya, dengan menantu
perempuannya, dengan ibu angkatnya, dengan anak perempuan angkatnya dan dengan
adik atau kakak isterinya. Manakala seorang wanita pula diharamkan menikah
dengan mertua lelakinya, dengan menantu lelakinya, dengan ayah angkatnya,
dengan anak lelaki angkatnya dan akhir sekali dengan adik atau abang suaminya.
Tambahan
lagi, seorang lelaki juga diharamkan menikah dengan adik atau kakak perempuan
isterinya hanya selama isterinya masih menjadi isterinya. Tetapi jika isterinya
sudah tidak lagi menjadi isterinya kerana meninggal dunia atau kerana
perceraian, maka lelaki tersebut boleh sahaja menikah dengan adik atau kakak
perempuan bekas isterinya. Oleh sebab itu, larangan tersebut tidak kekal
sifatnya dan menyebabkan kakak atau adik perempuan isteri tidak dipandang
sebagai muhrim. (Prof. Dr. Muhammad Husaini Bahesyti, & Prof. Dr. Jawad
Bahonar,, 2003)
HIKMAH
PERKAHWINAN
Dalam
kupasan ini, saya akan menerangkan hikmah-hikmah perkahwinan melalui pendapat
tokoh terkenal iaitu Abdullah Nasheh ‘Ulwan.
Menurut
pendapat Abdullah Nasheh ‘Ulwan, terdapat tujuh hikmah perkahwinan. Antaranya
ialah :
1. Untuk
Memelihara Jenis Manusia
Dengan
perkahwinan, manusia dapat meneruskan kelanjutan jenis keturunannya dengan
jalan perkahwinan dan saling berhubungan antara satu dengan yang lain dalam
misi mewariskan bumi Allah dengan segala yang ada di atasnya. Salah satu bukti
hasil perkahwinan ini iaitu melakukan pendidikan anak-anak, dari segi
jasmaninya dan juga tentang akhlaknya. Allah Taala berfirman yang bermaksud :
“Allah
menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan
bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu dan memberimu
rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil
dan mengingkari nikmat Allah?” (Surah an-Nahl : ayat 72)
2. Untuk
Memelihara Keturunan
Sebagaimana
yang telah diatur oleh syariat Allah Taala kepada hamba-hambanya, melalui
perkahwinan anak-anak akan sentiasa berbangga dengan garis keturunan orang tua
mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa garis keturunan ini menentukan bentuk
pendidikan yang dapat mengekalkan kemuliaan bagi setiap keturunan. Seandainya
perkahwinan tidak wujud sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah Taala
untuk meramaikan masyarakat dengan anak-anak, kemuliaan dan keturunan jenis
manusia akan punah. Dengan garis keturunan ini, maka tanggungjawab pendidikan
akhlak dan pemeliharaan dari segala bentuk kebejatan akan terjamin. (Abdul
Qadir Djaelani, 2001)
3. Menyelamatkan
Masyarakat Dari Kerosakan Akhlak
Melalui
perkahwinan, masyarakat akan terhindar dari mengalami kerosakan akhlak dan
pergaulan bebas. Seperti yang umum tahu, tabiat manusia yang sentiasa tertarik
kepada jenis lainnya dapat dipenuhi dengan jalan perkahwinan yang diatur dengan
syariat Allah Taala.
Melalui
perkahwinan ini, umat akan dapat diselamatkan, baik secara individual mahupun
sosial, dengan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia. Ini bersesuaian
dengan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Sabda Rasulullah saw yang
bermaksud :
“Hai
para pemuda, barang siapa yang mampu diantara kamu serta berkeinginan untuk
berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu
memelihara pandangan (terhadap yang tidak halal dilihatnya) dan akan
menyelamatkan kemaluannya (dari godaan syahwat). Dan barang siapa yang tidak
mampu berkahwin hendaklah dia shaum, kerana dengan shaum itu nafsu seks akan
berkurang”.(Hadis Riwayat Jama’ah)
4. Menyelamatkan
Manusia Dari Pelbagai Penyakit
Melalui
perkahwinan, masyarakat akan terselamat dari pelbagai penyakit yag dapat
menjalar dengan cepat, yang dapat berjangkit antara anggota masyarakat akibat
perzinaan, pergaulan yang keji dan haram. Antara jenis penyakit itu ialah
sipilis, raja singa dan penyakit keturunan yang dapat mengancam orang-orang
dewasa dan kanak-kanak. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)dan(Zulkefli Yazid, 2002)
5. Menyuburkan
Rasa Kasih Sayang Ibu Dan Ayah
Umumnya,
kasih sayang dalam diri ibu dan ayah dapat disuburkan melalui perkahwinan. Dari
perasaan kasih sayang ini, lahirlah perasaan yang saling memberi dan menerima
satu dengan yang lainnya. Sebagai bukti kasih sayang, keturunan yang mulia dan
cerdik mampu dipelihara dengan akal yang sihat dan perasaan yang halus. (Abdul
Qadir Djaelani, 2001)
6. Untuk
Mententeramkan Jiwa Setiap Peribadi
Melalui
perkahwinan juga, ia dapat mententeramkan jiwa. Contohnya, tatkala suami
selesai bekerja pada siang hari dan kemudian pulang ke rumah pada petang
harinya, dia dapat berkumpul dengan isteri dan anak-anaknya dan seterusnya
dapat menghilangkan semua keletihannya pada siang hari. Hal yang sama juga pada
si isteri sebaliknya. Demikianlah apa yang dapat diperoleh pada setiap peribadi
suami dan isteri. Mereka saling melindungi dan mententeramkan serta
membahagiakan Allah Taala berfirman yang bermaksud :
“Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri
dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya
dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta kasih. Sesungguhnya pada yang demikian
itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. ”
(
Surah ar-Rum : ayat 21)
7. Untuk
Menjalin Kerjasama Suami Isteri Dalam Membina Keluarga Dan Mendidik Anak-Anak
Melalui
perkahwinan, lahirlah kerjasama suami isteri dalam membina keluarganya. Antaranya
meliputi hal-hal seperti berikut :
a. Isteri
bertanggungjawab terhadap pekerjaan tertentu yang sesuai dengan tabiat dan
sifatnya seperti mengatur rumah tangga dan mendidik anak-anak
b. Suami
bertanggungjawab terhadap pekerjaan tertentu yang sesuai dengan tabiat dan
keadaan fizikalnya seperti berusaha mencukupi keperluan perbelanjaan keluarga,
bekerja berat dan mencegah keluarga daripada pengaruh buruk
Dengan
kerjasama yang harmonis antara satu sama lain, seperti mendidik anak-anak yang
soleh yang memiliki iman yang kuat dan roh Islam yang kukuh akan lahirlah rumah
tangga yang tenteram dan bahagia. (Abdul Qadir Djaelani, 2001)
PENUTUP
Kesimpulannya,
Allah mencipta manusia untuk menjadi khalifah di bumi ini. Ini menunjukkan
kepada generasi manusialah terserah urusan pembangunan dan kemajuan kehidupan
manusia di dunia sehingga ke hari kiamat. Dalam konteks ini, perkahwinan adalah
satu-satunya saluran atau jalan yang mutlak bagi menambahkan keturunan dan
mengekalkan kelanjutan generasi manusia. Dengan perkahwinan, generasi manusia
akan bertambah dan seterusnya dapat meramaikan kaum Adam supaya dapat beribadat
kepada Allah Taala. Melalui perkahwinan juga, seseorang dapat mengatur
kehidupan dan menjalin tali persaudaraan yang berdasarkan kasih sayang dan
saling mengerti memahami. Oleh itu, terbuktilah merupakan salah satu syariat
yang penting dalam Islam.
Tambahan
lagi, lelaki dan perempuan dicipta saling memerlukan antara satu dengan yang
lain. Oleh itu, dengan berkahwin seorang suami dan isteri dapat bekerjasama
mengatasi persoalan hidup ini bersesuaian dengan konteks perkahwinan yang
menunjukkan seorang isteri dan suami memerlukan antara satu sama lain. Selain
itu, perkahwinan juga merupakan nikmat kurniaan Tuhan yang besar kepada
manusia.
Di
samping itu, perkahwinan dapat memberikan kepuasan rohani kepada manusia kerana
manusia terdiri daripada roh dan jasad yang memerlukan kepuasan rohani dan
jasmani. Dengan perkahwinan, pasangan suami isteri dapat memupuk dan menyuburkan
perasaan kasih sayang di antara kedua-duanya, sanggup memikul tanggungjawab dan
berjuang untuk kepentingan keluarga dan seterusnya masyarakat.
Akhir sekali, keluarga
adalah masyarakat kecil yang menjadi asa bagi membentuk masyarakat yang lebih
besar. Apabila masyarakat kecil ini hidup aman dan bahagia dengan berlunaskan
prinsip-prinsip agama dan nilai moral yang mulia, akan wujudlah masyarakat yang
bermoral dan mulia juga.
RUJUKAN
1.
Abdul Qadir Djaelani.
(2001). Keluarga Sakinah. Selangor: Pustaka Dini Sdn. Bhd.
2.
Hassan Salleh. (1989).
Asas Kekeluargaan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
3.
Muhammad Ali Qutb.
(1989). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji
Abdul Majid.
4.
Prof. Dr. Muhammad
Husaini Bahesyti, , & Prof. Dr. Jawad Bahonar,. (2003). Intisari Islam.
Jakarta: Pt. Lentera Basritama.
5.
Zulkefli Yazid. (2002).
40 Petunjuk Menempuh Alam Perkahwinan. Kuala Lumpur: Pustaka Al Shafa.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
abdazizharjin.blogspot.com
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
04-9882701 (P)
04-9882597 (R)
013-4006206 (H)
Tarikh: 30/01/2015