Sistem Politik Islam
Disediakan untuk
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh:
Siti
Hajar Binti Konik@Rushidi
2014801996
1.0
PENDAHULUAN
Perbincangan dan amalan mengenai pemerintahan
negara, kebijaksanaan berpolitik serta mentadbir urusan rakyat bukanlah suatu
yang baru dalam Islam. Bahkan, ia suatu yang lumrah sejak zaman Rasulullah SAW.
Baginda bukan hanya seorang Nabi tetapi juga seorang ketua negara yang mahir
merancang dan mengurus selok belok politik negara Islam pertama di Madinah
al-Munawwarah. Puncak dari kegiatan dakwah dan tabligh Baginda ialah tegaknya
institusi pelaksanaan, perundangan dan pengadilan. Institusi tersebut pada
waktu itu diterajui sendiri oleh Rasulullah SAW.
Pengasingan kuasa antara institusi-institusi
berkenaan berlaku secara berperingkat selepas kewafatan Baginda. Konsep syura, kebebasan,
keadilan, kesamarataan serta hak untuk menegur pemerintah yang salah terus
diperluas dan diamalkan oleh para Khulafa al-Rashidin dan khalifah-khalifah
yang seterusnya seperti ‘Umar bin. Abd Aziz dan lain-lain.
Penerimaan atau politik yang berasaskan
ajaran dan nilai Islam adalah suatu kemestian dan kewajiban setiap umat Islam. Rasulullah
mengingatkan melalui salah satu sabdanya (bermaksud):
‘’Barangsiapa yang mati tapi tidak pernah
membai’ah pemimpin(Islam) matinya adalah mati jahiliah’’.
Walaubagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan
di Malaysia adalah hasil persetujuan yang telah dicapai antara
penduduk-penduduk di Malaysia dari kalangan Melayu, Cina dan India yang telah
digubal atas persetujuan tersebut. Kita harus menghormati perjanjian yang
dicapai itu yang berasaskan kepada bertimbang rasa dan persahabatan antara kaum
tersebut.
Pada masa yang sama, kita harus cuba berfikir
dan bertindak secara positif dengan menggunakan perlembagaan itu supaya prinsip
kerajaan Islam dapat ditegakkan.
2.0
MAKSUD
POLITIK ISLAM
Politik adalah ilmu pemerintahan atau ilmu
siyasah, iaitu ‘ilmu tata negara’. Pengertian dan konsep politik atau siasah
dalam Islam sangat berbeza dengan pengertian dan konsep yang digunakan oleh
orang-orang bukan Islam.
Politik dalam Islam menjuruskan kegiatan
ummah kepada usaha untuk mendukung dan melaksanakan syari’at Allah melalui
system kenegaraan dan pemerintahan. Ia bertujuan untuk menyimpulkan segala
sudut Islam yang syumul melalui satu institusi yang mempunyai syahksiyyah untuk
menerajui dan melaksanakan undang-undang.
Pengertian ini bertepatan dengan firman Allah
yang mafhumnya:
‘’Dan katakanlah: Ya Tuhanku, masukkanlah aku
dengan cara yang baik dan keluarkanlah aku dengan cara yang baik dan berikanlah
kepadaku daripada sisiMu kekuasaan yang menolong. ’’
(Al Isra’:80)
Di atas landasan inilah para ‘ulama’
menyatakan bahawa:‘’Allah menghapuskan sesuatu perkara melalui kekuasaan Negara
apa yang tidak dihapuskanNya melalui Al Quran. ’’
3.0
TUJUAN
POLITIK
Dalam Islam terdapat berbagai jenis fardhu
atau kewajipan syarak yang perlaksanaannya bergantung kepada negara dan jentera
penguatkuasaannya. Tanpa pemerintah dan negara Islam, kewajipan tersebut akan
terbelangkalai. Oleh itu, menegakkan negara Islam dan menjalankan pemerintahan Islam
dengan sendirinya menjadi wajib. ‘’Al-Hukmu bima anzalallah’’ atau pemerintah
berdasarkan hukum dan undang-undang Allah adalah suatu kewajiban yang
berterusan sehingga hari kiamat. Ini dipertegaskan oleh dalil-dalil qati’i al
Quran, Hadith dan Ijma’. Islam menetapkan bahawa tanda iman ialah beriltizam
dengan undang-undang tersebut.
Allah berfirman:
‘’Perintahlah mereka dengan hukum hakam yang
Allah turunkan. Janganlah engkau menurut kehendak nafsu mereka. Awasi dan
berhati-hatilah agar mereka tidak sampai menyebabkan engkau mengabaikan
sebahagian dari undang-undang yang telah Allah ajukan kepadamu. ’’
Antara tujuan politik ialah dapat menegakkanjihad
dan mengembangkan agama Islam. Selain itu, dapat menjadikan negara Islam sebagai
negara yang maju dalam dunia. Sehubungan dengan itu, kewajipan jihad tidak
dapat dilaksanakan tanpa adanya negara dan pemerintahan Islam. Hanya negara dan
pemerintahan Islam yang berupaya menyedia dan melengkapkan angkatan yang
bersenjata untuk melaksanakan kewajiban jihad ini. Lebih jauh, kewajiban amarma’ruf
dan nahi munkar adalah kewajiban yang paling asas bagi setia umat Islam. Kewajiban
membasmi kilang arak, institusi dan amalan berjudi, zina dan jenayah hanya
dapat dibuat dengan adanya negara dan pemerintahan Islam. Kaedah fiqh
menyatakan sesuatu perkara wajib yang tidak dapat dilaksanakan melainkan
bergantung kepada sesuatu perkara lain. Kewajiban ini tidak dapat dilaksanakan
melainkan tanpa pemerintahan dan agama Islam.
Jelas bahawa agama dan negara dalam Islamnya
sifatnya saling kait-mengait. Cubaan memisahkan Islam dari pemerintahan atau
politik adalah suatu pengkhianatan yang besar terhadap Islam dan umat Islam itu
sendiri.
4.0
ASAS-ASAS
SISTEM POLITIK DALAM ISLAM
4.
1Hakimiyyah Ilahiyyah
Hakimiyyah atau memberikan kuasa pengadilan
dan kedaulatan hukum tertinggi dalam sistem politik Islam hanyalah hak mutlak
Allah. Tidak mungkin ianya menjadi milik sesiapapun selain Allah dan tidak ada
sesiapa pun yang memiliki suatu bahagian daripadanya.
Firman
Allah mafhumnya:
‘’Dan tidak ada sekutu bagiNya dalam
kekuasaanNya’’.
(Al-Furqan:2)
Hakimiyyah Ilahiyyah membawa
pengertian-pengertian yang berikut:
Bahawasanya Allah adalah Pemelihara alam
semesta yang pada hakikatnya adalah Tuhan yang menjadi Pemelihara manusia
kecuali patuh dan tunduk kepada sifat IlahiyyahNya yang Maha Esa.
Bahawasanya
hak untuk menghakimi dan mengadili tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali Allah. Oleh
kerana itu, manusia wajib taat dan beribadat kepadaNya.
Bahawasanya hanya Allah sahaja yang memiliki
hak mengeluarkan hukum sebab Dialah satu-satuNya pencipta.
Bahawasanya hanya Allah sahaja yang memiliki
hak mengeluarkan peraturan sebab Dialah satu-satuNya Pemilik.
Bahawasanya hukum Allah adalah sesuatu yang
benar sebab hanya Dia sahaja yang megetahui hakikat segala sesuatu, dan
ditanganNya sahaja penentuan hidayah dan penentuan jalan yang selamat dan lurus.
4. 3 Risalah Kerasulan Muhammad
Risalah
bermaksud kerasulan. Sejak Nabi Adam a. s sehinggalah Nabi Muhammad SAW, kerasulan
adalah satu asas penting dalam sistem politik Islam.
Daripada konsep Kerasulan Muhammad, umat Islam
telah menerima dua perkara yang tidak ternilai harganya iaitu Al Quran dan
Al-Sunnah. Sesuai dengan maksud daripada kedua-duanya menyeru agar umat Islam
menegakkan suatu pola daripada sistem hidup dalam Islam dengan melaksanakan
hokum Islam. Kombinasi daripada kedua-dua unsur inilah dinamakan syariat.
Secara mudah politik dalam kepimpinan Islam
itulah yang menggambarkan politik Islam. Politik Islam berpijak kepada keimanan
terhadap keesaan dan kekuasaan Allah. Prinsipnya ialah bahawa manusia secara
individu mahupun Jemaah harus menyerahkan semua hak kekuasaannya kepada
penguasa yang Maha Esa.
4.
3Khalifah
Jawatan sebagai ketua negara, sebagaimana
yang disebutkan oleh al-Mawardi dalam pengertian yang ideal, ditentukan oleh
Allah sebagai pengganti Rasulullah SAW yang melindungi agama dan padanya
terserahlah urusan siyasah supaya dapat dilaksanakan pentadbiran agama yang
telah disyariatkan oleh Allah SWT serta dapat disatupadukan dengan perintah
yang dipatuhi. Melaluinya juga akan terlaksanalah kepentingan umat Islam agar
urusan rakyat menjadi tenteram dan daripadanya lahir bidang kuasa khusus. Ibn
Khaldun dalam ‘’Al Muqaddimah’’, menyatakan bahawa;
‘’Menjadikan khalifah (dalam sistem yang
idealnya) pada hakikatnya bermaksud bertindak sebagai pengganti pembawa syariat
(Nabi Muhammad SAW) untuk tujuan menyebarkan syiar Islam dan menerajui
kepimpinan siyasah di dunia ini. Pembawa syariat dibebankan dengan tugas
menjalankan kewajipan menyampaikan kewajipan syariat kepada manusia, serta
menyebabkan mereka mematuhi tugas-tugasnya menjalankan kepimpinan siyasah
mengikut keupayaannya sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal
peradaban manusia. ’’
Autoriti Sebagai Kuasa Mentadbir
Daripada autoriti pemimpin Islam tertinggi
itulah timbulnya perkara-perkara yang dibincangkan oleh al-Mawardi seperti
perlantikan wazir-wazir atau menteri-menteri, perlantikan para hakim dan kadi, perlantikan
para ‘amir jihad dengan tugas-tugas dalam peperangan, para penyelia hal ehwal
pengaduan tentang penganiayaan, para naqib daripada keturunan tertentu, perlantikan
para imam sembahyang, para pengurus ibadat haji, para petugas bidang zakat, pembahagian
harta rampasan perang (ghanimah) dan harta fay’, pengurusan jizyah dan kharaj, urusan
menjaga tanah terbiar, hukum tentang penganugerahan tanah, masalah pengeluaran
air, kawasan larangan dan kawasan simpanan, peruntukan tentang diwan-diwan yang
menyentuh pentadbiran tentera, baitulmal, pekerjaan, jurutulis, berkenaan
hukum-hukum, berkenaan dengan kesalahan-kesalahan dan akhirnya berkenaan dengan
al-Hisbah dengan bahagian-bahagiannya.
Tugas-Tugas Ketua Negara
Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi, antara
tugas-tugas Ketua Negara adalah seperti berikut:
i.
Memelihara agama berhubung asas-asasnya yang
tetap dan juga perkara-perkara yang diijma’kan oleh golongan salaf umat ini. Jika
sekiranya muncul orang yang mengadakan bid’ah dalam agama atau penyelewengan
yang meragukan, maka menjadi tugas Ketua Negara untuk menjelaskan serta
menerangkan perkara yang
sebenar, disamping menjalankan segala hak-hak dan hukuman
supaya agama terpelihara daripada kerosakan dan orang ramai terhindar daripada
kesesatan.
ii.
Melaksanakan hukum antara pihak-pihak yang
berbalah serta meleraikan perselisihan yang timbul, supaya keadilan dapat
ditegakkan dan dengan itu orang yang zalim tidak akan melampau dan orang yang
teraniaya tidak merasa lemah dan tertindas.
iii.
Melindungi kehormatan wanita supaya mereka
dapat mengendalikan kehidupan dan bertebaran di merata tempat tanpa sebarang
ancaman terhadap diri dan harta mereka, ertinya keselamatan dan keamanan
terjamin.
iv.
Menjalankan hukuman-hukuman yang ada
ketentuan-ketentuannya berkenaan kesalahan-kesalahan yang berat untuk
melindungi kemuliaan (aturan agama) Allah SWT supaya agama tidak tercemar serta
dapat melindungi hak orang ramai.
v.
Mengukuhkan daerah perbatasan dengan
pertahanan serta kekuatan melalui keampuhan teknologi dan kawalan ketenteraan
untuk mencegah pihak musuh daripada mencabuli perkara yang dilarang serta
menumpahkan darah kalau terlibat dalam perkara-perkara yang tidak layak dengan
kedudukannya atau ibadat sunat. Ini mungkin disebabkan oleh orang yang
diharapkan iti melakukan pengkhianatan dan orang yang dipercayai mungkin
melakukan penipuan.
Pada zaman moden, selain daripada tugas-tugas
tersebut, ada beberapa perkara lain lagi yang perlu diambil berat seperti:-
i.
Perkhidmatan kesihatan yang baik secara
percuma atau dengan harga yang murah kepada mereka yang kurang berkemampuan.
ii.
Perkhidmatan pendidikan yang baik dalam
bidang ilmu-ilmu agama dan juga ilmu-ilmu rasional dan elektronik serta
saintifik yang diperlukan untuk kekuatan umat dan
iii.
negara demi untuk menjaga agama.
iv.
Perkhidmatan kerja raya yang baik dan cekap.
v.
Perkhidmatan luar bandar untuk meningkatkan
taraf hidup dan ekonomi.
vi.
Bahagian (kementerian) untuk menjayakan
perdagangan termasuk perdagangan antarabangsa.
vii.
Perkhidmatan ketenteraan dan polis untuk
menjaga keselamatan.
viii.
Bahagian Alam Sekitar; Perhutanan, Tanah dan
Galian dan Perikanan.
ix.
Bahagian-bahagian penyelidikan taraf tinggi
(Advanced Research) dalam pelbagai lapangan.
5. 0 ISLAM DALAM SISTEM POLITIK MALAYSIA
Di
dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi Negara dan hak
mengendalikan hal ehwal Islam diberikan kepada Raja-raja dan kerajaan-kerajaan
Negeri. Sungguhpun demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas
mengamalkan agama masing-masing.
Penglibatan
Raja-raja, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula
sebelum merdeka lagi. Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh
mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang-undang mahkamah syariah,
pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan baitulmal.
Dalam tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program ini dipergiat
dan ditambah pula dengan perkara-perkara baru, antaranya termasuklah tilawah Al
Quran yang telah mengharumkan negara di kalangan negara-negara Islam.
Sementara
langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia Islam sejagat telah bangun semula,
didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang
boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi. Kesedaran
baru ini yang menjadi ketara dalam dekad tujuh puluhan juga dirasai Malaysia. Dalam
keadaan ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk meluas dan
mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam. Sehubungan dengan ini, usaha-usaha
baru telah diambil, antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah
agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat
Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Selaras dengan usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil ‘’Dasar
Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran’’ telah diperkenalkan pada tahun
1985.
Selain
itu, pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama dalam penerapan
nilai-nilai Islam adalah antara lain berasaskan tanggungjawab kerajaan
memastikan kelicinan jentera pentadbiran kerajaan yang merupakan saluran
terpenting dalam pelaksanaan suatu dasar. Kejayaan rancangan-rancangan yang
diatur oleh kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat
dalam perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh mereka akan
menjamin kelancaran dan kecekapan jentera kerajaan yang besar dan menghindarkan
perbuatan rasuah, penyelewengan dan sebagainya.
6.0
PRINSIP-PRINSIP
UTAMA SISTEM POLITIK
ISLAM
6.
1Al-Syura/Pemesyuaratan (Musyawarah)
Syura disyariatkan dalam bentuk yang umum, tidak
ditetapkan jumlah ahli atau cara yang tertentu bagi pemilihan ahli syura. Cara
perlaksanaannya diberikan kebebasan yang sepenuhnya mengikut adat sesuatu
masyarakat, taraf dan keadaan mereka.
Majlis Syura hendaklah dilantik daripada
mereka yang berkelayakkan. Majlis Syura mempunyai kedudukan yang paling penting
dalam sistem pemerintahan Islam. Ia merupakan lambang suara rakyat kerana ia
dibentuk berasaskan suara rakyat. Rakyat mewakilkan kepada Majlis Syura untuk
memberi nasihat dan bimbingan kepada ketua negara, badan perundangan, badan
eksekutif dan kehakiman. Ketua negara dan semua badan yang terlibat dalam
pemerintahan Islam mestilah menghormati pendapat rakyat melalui Majlis Syura
selagi pendapat itu tidak bercanggah dengan al Quran dan al Hadith.
Al Quran, As-Sunnah dan Ijmak tidak
menetapkan berapa jumlah ahli Majlis Syura. Segala-galanya bergantung kepada
keperluan semasa. Contohnya di zaman Rasulullah, Majlis Syura dianggotai oleh
ketua golongan Muhajirin, ketua golongan Ansar, panglima tentera dan pegawai
awam.
Peranan Majlis Syura adalah untuk
merundingkan perkara yang tiada Nas atau tidak ada Nas yang Qati’I, maka syura
hanya berlaku untuk merundingkan dari segi perlaksanaan sahaja dan perkara yang
diputuskan mestilah selaras dengan roh Islam.
Di dalam syura, majoriti yang berdasarkan
kehendak rakyat dianggap batal dan tidak berwibawa jika ketetapan itu melanggar
undang-undang Al Quran atau ianya terkeluar dari roh undang-undang Islam. Majoriti
yang diterima dalam melaksanakan syura adalah dengan syarat ianya tidak
bertentangan dengan Al Quran dan As-Sunnah.
Pemilihan dan syarat bagi anggota majis
Syura:
1.
Bersifat adil. Mestilah mereka yang bertakwa
kepada Allah.
2.
Berilmu. Mestilah mempunyai ilmu pengetahuan
yang tinggi dan mendalam tentang ilmu fardhu Ain dan fardhu Kifayah kerana
mereka bertanggungjawab dalam menyelesaikan segala masalah. Mereka adalah ahli
fikir yang mampu mengeluarkan pendapat dalam pelbagai bidang segala pertanian, perindustrian,
perniagaan, peperangan dan sebagainya.
3.
Bijaksana. Mestilah mempunyai pandangan yang
tepat dan bijaksana.
4.
Pengalaman professional yang luas yang dapat
menyelesaikan berbagaibagai masalah teknikal semasa seperti soal pembangunan, perubatan,
perekonomian dan sebagainya.
Pendapat Rashid Redha yang dipetik oleh Abd. Karim
Zaidan menyatakan mereka hendaklah terdiri daripada para penguasa, gabenor, ulamak,
ketua-ketua tentera dan pemuka-pemuka yang menjadi tempat rujukan orang dalam
kepentingan umum.
Hukum syura menurut pendapat Ibn Qayyim dan
Ibn Hajar ialah sunat. Manakala pendapat Al-Maududi dan A. Kadir Audah adalah
wajib.
6.
2 Al-Musawah/Persamaan
Persamaan adalah suatu dasar yang penting
dalam syariat Islam. Islam sejak dahulu lagi menetapkan persamaan insan dalam
asal-usul keturunan yang sama-sama berasal dari Adam a. s. Perbezaan darjat
seseorang tergantung kepada kadar amal soleh dan kebajikan yang telah
dilakukannya.
Allah berfirman:
‘’Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah
menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa
dan kabilah agar kamu saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang palin mulia
antara kamu di sisi Allah (Taala) ialah yang paling bertaqwa. ’’
Sumber asal-usul kejadian manusia adalah satu
namun Allah SWT telah menjadikan manusia berbilang-bilang bangsa dan kabilah
demi untuk mereka berkenal kenalan. Dari perkenalan mereka itu terbitlah
kerjasama, bukan untuk saling bermegah-megah dengan keturunan masing-masing
yang akan membawa kepada penganiayaan. Malah jauh daripada mmbuka ruang untuk
segolongan mendakwa bahawa diri mereka sebagai bangsa istimewa mengatasi
golongan yang lain. Dengan dasar persamaan ini, Islam telah membendung
benih-benih faham perkauman ala jahiliah yakni yang bermegah dengan keturunan
atau warna kulit. Satu-satunya perkara yang dapat mengangkat martabat seseorang
ialah kebaikan-kebaikan serta keindahan budi pekerti, disamping sifat takwa
yang terpendam dalam lubuk hatinya.
Akar umbi konsep persamaan ini tertanamteguh
di dalam syariat Islam dan dasar-dasarnya banyak didapati dalam hukum-hakam
syariat Islam.
6. 3Al-Hurriyyah/Kebebasan
Kebebasan
Peribadi
Para
ahli pakar undang-undang mengertikannya sebagai kebebasan seseorang untuk
bergerak ke mana sahaja ia hendak pergi. Setiap warga dilindungi oleh
undang-undang dan sebarang pencerobohan. Seseorang itu tidak boleh ditangkap, diseksa
dan dikurung kecuali atas dasar undang-undang. Di samping itu, mereka bebas
untuk berpindah atau keluar negeri dan kembali pulang ke negerinya.
Kebebasan
peribadi dijamin oleh syariat Islam sebagaimana yang dimaksudkan oleh pakar
undang-undang adalah terjamin oleh negara Islam. Hak peribadi seseorang tidak
terjejas. Pencerobohan terhadap hak-hak tersebut dianggap sesuatu kezaliman. Islam
secara mutlak mengharamkan kezaliman. Perlindungan negara Islam terhadap
individu dari pencerobohan ke atas nyawa, diri dan nama baiknya ditunjukkan
dengan nyata oleh akibat hukum atau sanction-sanction yang berkesan yang
terkandung dalam teks-teks undang-undang Islam.
Kebebasan
Beragama Dan Beribadah
Islam
tidak memaksa seseorang untuk menukar akidahnya demi untuk memeluk agama Islam
walaupun Islam mengajak mereka kearah ini. Menyeru kepada Islam itu tidaklah
dapat disamakan dengan memaksa memeluk Islam. Dalam hubungan ini Allah
berfirman:
‘’Serulah
kearah jalan (agama) Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat yang baik dan
berdebat dengan cara yang baik. ’’
(Al-Baqarah:256)
Negara Islam
tidak boleh mengganggu akidah dan ibadah orang yang bukan Islam. Dari masa ke semasa,
gereja dan tempat ibadat mereka tetap tidak disentuh dibawah pemerintahan
negara Islam, baik oleh orang Islam uti sendiri mahupun oleh negara.
Kehormatan
Tempat Tinggal
Dalam
negara Islam, setiap individu menikmati hak untuk dihormati dan dilindungi
tempat tinggalnya. Tidak boleh seorang pun masuk ke dalam rumahnya kecuali
setelah ia diizinkan.
Pencerobohan
terhadap tempat tinggal adalah sama keadaannya dengan pencerobohan terhadap
peribadi orang yang berkenaan, sebab itu perbuatan ini dilarang oleh agama.
Kebebasan
Bekerja
Dalam Islam
bekerja amat digalakkan dan disanjung selagi ianya halal dan sah. Rasulullah SAW
menegaskan:
‘’Tidak
ada makanan yang dimakan oleh anak Adam yang lebih baik dan hasil pekerjaan
tangannya sendiri, dan Nabi Daud makan dari hasil perbuatan tangannya sendiri’’.
Dalam
negara Islam, seseorang itu bebas mengusahakan apa-apa sahaja pekerjaan yang ia
sukai. Baik perdagangan, perusahaan mahupun pertanian yang tidak bercanggah
dengan ajaran Islam seperti riba. Dalam hal memilih pekerjaan, seseorang harus
memerhatikan aspek moral pekerjaan tersebut. Hendaklah pekerjaan itu tidak
merugikan orang lain, kalau tidak tentulah dicegah oleh negara Islam. Bila
seseorang bekerja secara halal, maka hasil jerih payahnya adalah hak mutlaknya.
Kebebasan
Hak Memiliki
Meskipun
syariat Islam mengakui hak milik dan hak pemilik untuk membelanjakan miliknya, namun
dalam mendapatkan harta, mengembangkan dan membelanjakannya, ia meletakkan
beberapa ketentuan. Sumber utama yang mengujudkan hak milik yang diakui oleh
syariat ialah pekerjaan yang halal dan sah, warisan dan kontrak. Syariat tidak
mengakui penguasaan hak milik dengan cara tidak sah atau keji seperti mencuri, merampas,
berjudi, pengaruh, rasuah riba dan sebagainya.
Walaupun
syariat Islam menghormati hak milik perseorangan, namun ia membolehkan hak
milik tersebut di sita dalam keadaan darurat atau demi kepentingan yang diakui
oleh syarak. Bagaimanapun, dengan membayar ganti rugi terhadapnya secara adil.
Adapun
hak-hak yang diaturkan oleh syariat sebagai tanggungan hak milik, amat banyak. Umpamanya
kewajipan membayar nafkah untukkaum kerabat, menunaikan zakat dan menolong
orang-orang yang susah.
Kebebasan
Mengeluarkan Pendapat (Bersuara)
Kebebasan
berfikir dan mengeluarkan pendapat dalam negara Islam amat penting diindungi
dan dijamin. Negara tidak boleh menggugat atau mengurangkan sedikit pun hak ini.
Sebaliknya individu pun tidak sayugianya mensia-siakannya. Kebebasan ini perlu
ada dalam kehidupan rakyat supaya mereka dapat menjalankan kewajipan Islam. Rakyat
boleh menyatakan ketidakpuasannya terhadap mana-mana tindakan yang mereka
percaya tidak memberi manfaat kepada negara.
Hak
Untuk Belajar
Islam
sangat menghargai dan menghormati ilmu dan para ilmuan. Islam mneganjurkan
supaya setiap orang berusaha menambahkan ilmu pengetahuan masing-masing, sesuai
dengan ajaran Allah (menerusi firmanNya bermaksud):
‘’Maka
katakanlah (Wahai Muhammad), Ya Tuhan tambahlah ilmu bagiku’’.
Ilmu
amat perlu agar amal seseorang diterima. Manakala amal yang diterima ialah yang
ikhlas kerana Allah dan benar berdasarkan syarat. Ini tidak akan dicapai
kecuali ilmu.
Hak
Untuk Mendapat Perlindungan Negara
Hak ini
bererti setiap individu rakyat menikmati jaminan social dari negara apabilaia
jatuh miskin dan melarat. Tidak boleh dibiarkan seseorang itu mati atau
kebuluran dalam negara Islam sedangkan Negara mengetahui akan kesengsaraannya. Hak
ini lahir dari hakikat bahawa agama Islam suatu Negara yang tegak atas prinsip
kerjasama dan tolong menolong.
6. 4 Al’Adalah/Keadilan
Dalam
Negara Islam semua rakyat adalah setaraf dari segi pengadilan dan tertakluk di
bawah sewenangnya. Segala tatacara yang diikut dalam menyiapkan dakwaan atau
penggugatan, kaedah pembuktian, penterapan teks undang-undang, perlaksanaan
hukuman dan kewajipan berlaku adil antara pihak-pihak yang bertikai adalah sama.
Tidak ada beza antara seorang dengan seorang yang lain. Malah musuh pun
mestilah menikmati keadilan penghakiman serta menikmati
konsep
persamaan dalam pengadilan. Allah SWT berfirman:
‘’Sekiranya
kamu memutuskan perbicaraan antara manusia maka hendaklah kamu menghukum dengan
adil’’. (Al-Nisa’:58)
Penterapan
konsep keadilan dalam bidang kehakiman lebih diberi penekanan lagi, sehingga
dianjurkan untuk bersikap adil dalam melayani kedatangan kedua-dua pihak yang
bertikai atau dalam memberikan perhatian kepada kedua belah pihak tersebut. dalam
perutusan Sayyidina’Umar Ibn al-Khatab kepada Abi Musa al-Ash’ary, beliau
menegaskan. ‘’Layanilah orang dalam majlis kehakimanmu dikala memberikan
keputusan yang adil, sehingga yang bangsawan kurang mengharapkan sokonganmu dan
yang lemah tidak pula putus asa dari menerima keputusanmu yang adil.
Ternyata
praktik keadilan seperti ini sangat tinggi taraf dan nilainya. Tidak pernah
undang-undang ciptaan manusia sekarang sampai ke taraf tersebut.
7.0
TUJUAN
POLITIK MENURUT ISLAM
Sistem
Politik Islam mempunyai tujuan yang murni dan tinggi. Yang terpentingnya adalah
seperti berikut:
7.1
Menegakkan agama dan merealisasikan
perhambaan kepada Allah Tuhan semesta alam.
Sistem Politik Islam
juga untuk menyebar risalah Islam di atas muka bumi ini dengan menggunakan
pelbagai cara yang dibenarkan dan dengan kadar yang termampu.
Firman Allah SWT:Maksudnya:’’Dan tiadalah Kami mengutusmu
(wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa
berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada
orang-orang yang ingkar): akan tetapi kebanyakanmanusia tidak
mengetahui(hakikat itu). ’’(Surah Saba’:28)
7.2
Menegakkan keadilan.
Tujuan politik Islam adalah untuk merealisasikan keadilan
dengan seluas-luasnya dan dalam berbagai lapangan sama ada kemasyarakatan, kehakiman,
pentadbiran dan pengurusan, politik serta hubungan antarabangsa. Ini
termasuklah perlindungan hak-hak, memelihara kebebasan dan persamaan. Negara Islam
merupakan satu mekanisme politik ke arah merealisasikan cita-cita yang tinggi
ini. Negara Islam juga menjadikan syariah Islam sebagai undang-undang yang
memanyungi hal ehwal kehidupan rakyat, supaya kebenaran, kebaikan dan keadilan
terus didaulatkan. Negara Islam juga mengatur segala hubungan kemasyarakatan
dengan satu cara yang membolehkan setiap individu memelihara keamanan, kebebasan
serta kemuliaannya.
7.3
Memperbaiki keadaan manusia.
Hukum Islam tidak hanya terbatas kepada hudud sahaja atau
semata-mata adanya kepimpinan yang membawa kepada penyatuan orang Islam sahaja,
tetapi ia bertanggungjawab dalam memperbaiki keadaan manusia sama ada bidang
ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan, penerangan, pendidikan,
pertahanan dan
rekaan. Semua ini dilakukan seiring dengan reformasi
politik. inilah dimaksudkan dengan risalah reformasi Islam. Tujuan tertinggi
perundangan Islam adalah untuk mereformasikan perkara-perkara halal dan haram. Allah
menurunkan syariah bukan dengan tujuan lain melainkan kesemuanya bertujuan
memberi kebaikan, hidayah dan membuang kesusahan daripada mereka.
Negara Islam dengan sistem politiknya juga dapat
memakmurkan bumi ini serta memberikan cara hidup yang mulia kepada semua
rakyatnya disamping memberi peluang yang sama rata dan adil dalam membahagikan
kekayaan Negara. Tujuan utama sistem politik Islam yang paling penting atau
khususnya ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Negara
yang melaksanakan syariah Islam akan menegakkan Al-Din. Sehubungan dengan itu, urusan
manusia menjadi mudah menurut tuntutan Al-Din tersebut.
8.0
EMPAT
ASAS PERLU DIPERHATIKAN DALAM
SISTEM POLITIK ISLAM
8.1
Kedaulatan di tangan syara’.
Islam mengajarkan kedaulatan ditangan syara’, bukan
ditangan manusia, umat atau yang lain. Pertama, pengendali dan penguasa adalah
hukum syara’, bukannya akal. Itu bererti semua masalah dalam urusan politik
atau penerapan hukum syara’ dikembalikan kepada hukum syara’. Kedua, bahawa
sesiapapun akan mempunyai kedudukan yang dihadapan hukum syara’. Samaada
penguasa (al-hakim) mahupun rakyatnya (al-mahkum). Ketiga, wajib mengembalikan
masalah kepada hukum syara’ apabila berlaku perselisihan antara penguasa dengan
rakyat.
8.2
Kekuasaan ditangan umat.
‘’kedaulatan’’ di dalam Islam hanya pada Allah dan
‘’Kuasa’’ adalah pada umat. Perkara ini tidak dapat dipertikaikan. Umat berhak
memilih pemimpin denga rela untuk menetapkan Syariat Islam. Apabila Islam
menjadikan umat sebagai sumber kekuasaan, maka ia menjaminkan kepada umat Islam
dalam melaksanakan undang-undang Islam yang sama sekali tidak bercampur dengan
hawa nafsu individu pemerintah. Ini ialah kerana umat Islam akan membuat
pilihan mereka yang bebas membentuk kuasa kerajaan yang akan bertanggungjawab melaksanakan
undang-undang Islam. Umat Islam juga akan mengawasi perjalanan perlaksanaan ini.
8.3
Wajib mengangkat satu pemimpin sahaja di
dunia Islam.
Keharaman mengangkat dua pemimpin (khalifah) sebagai
ketua negara ditegaskan oleh hadis rasulullah SAW:
‘’Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang
terakhir dari keduanya. ’’
(HR
Muslim). Ibn Hazm menuturkan kaum Muslim di seluruh dunia tidak boleh memiliki
dua orang imam/khalifah, baik keduanya saling sepakat ataupun berselisi, didua
tempat yang berbeza atau ditempat yang sama.
8.4
Hanya pemimpin (Khalifah) yang berhak
mengadaptasikan hukum syara’.
Khalifah merupakan satu-satunya pihak yang berhak untuk
mengadaptasikan salah satu pendapat yang ada dalam hokum syara’ untuk
diberlakukansebagai undang-undang. Khalifah juga menentukan hukum yang akan
digunakan dalam suatu perkara yang acuan dasarnya masih diperdebatkan secara
publik.
9.0
PARA
FUQAHA ISLAM TELAH MENGGARISKAN SEPULUH
PERKARA PENTIG SEBAGAI TUJUAN KEPADA SISTEM
POLITIK DAN PEMERINTAHAN ISLAM.
1.
Memelihara keimanan menurut prinsip-prinsip
yang telah disepakati oleh ulama’ salaf daripada kalangan umat Islam.
2.
Melaksanakan prosses pengadilan di kalangan
rakyat dan mnyelesaikan masalah di kalangan orang-orang yang berselisih.
3.
Menjaga keamanan daerah-daerah Islam agar
manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
4.
Melaksanakan hukuman-hukuman yang ditetapkan
syara’ demi melindungi hak-hak manusia.
5.
Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai
persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar.
6.
Melancarkan jihad terhadap golongan yang
menentang Islam.
7.
Mengendalikan urusan pengutipan cukai, zakat
dan sedekah sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’.
8.
Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan
daripada perbendaharaan Negara agar tidak digunakan secara boros atau kikit.
9.
Mengangkat pegawai-pegawai yang cekap dan
jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal ehwal pentadbiran
negara.
10.
Menjalankan pergaulan dan pemeriksaan yang
rapi di dalam hal ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi Al-Din.
10.
0 PENUTUP
Jika diberi penelitian yang penuh terhadap sistem
pemerintahan kepimpinan Islam dalam sistem politik Islam, ternyata ia merupakan
satu sistem pemerintahan yang menjamin kesejahteraan ummah yang berterusan. Namun
begitu, dewasa ini kelihatan teramat kurang negara yang mengamalkannya walaupun
disebuah negara yang majoritinya Islam. Walaupun telah dimaklumi, penentuan
pemerintah di sesebuah negara itu ditentukan oleh rakyat tetapi kenapakah
rakyat yang bergelar Islam tidak prihatin terhadap kepimpinan ini.
Kemungkinan kurangnya pengetahuan rakyat disesebuah
negara tentang konsep kepimpinan Islam. Mereka yang berpeluang mengetahui
kepimpinan ini hanyalah daripada golongan yang mendapat pendidikan tinggi
tetapi tidak kepada mereka yang mendapat pendidikan pada tahap rendah. Oleh itu,
untuk mnyedarkan masyarakat tentang kepimpinan ini, sukatan pelajar yang
berkenaan perlu diadakan di setiap sekolah yang mengajar pendidikan Islam agar
konsep tersebut dapat didedahkan secara menyeluruh kepada rakyat jelata.
Disamping itu, orang Islam juga tidak prihatin kepada
tuntutan kepimpinan Islam disebabkan masalah perpecahan yang melanda umat Islam
dari segi ideologi kepartian yang terdapat di serata negara umat Islam. Sekiranya
perkara ini berlarutan, bagaimanakah orang Islam hendak bersatu menegakkan
kepimpinan Islam. Umat Islam boleh bersatu sekiranya berpegang dengan tuntutan Islam,
bukannya berpegang dengan tuntutan kepartian. Sebenarnya, perpecahan yang
melanda umat Islam bukan saja disenangi oleh golongan bukan Islam, malah
dialu-alukan oleh pihak barat. Hal ini disebabkan, apabila orang Islam bersatu
dan berjaya membentuk pemerintahan Islam, maka akan wujudlah negara Islam. Maka
orang bukan Islam akan melihat ancaman ia sebagai ancaman besar kepada mereka.
Untuk mewujudkan kepimpinan Islam, para pemimpin
seharusnya memainkan peranan yang penting dalam menuju ke arah tersebut dan
tidak boleh disandarkan kepada bahu para intelek dan rakyat semata-mata. Hal
ini disebabkan pemimpin merupakan agen yang boleh merubah masyarakat kerana
pemimpin yang cemerlang akan melahirkan masyarakat yang gemilang.
11.0
BIBLIOGRAFI
1. Ahmad Redzuan Mohd Yunus(2001). Demokrasi Dan Kempinan Islam.
Kuala Lumpur:Utusan Publications&Distributors Sdn. Bhd.
2. Abu Al-Maati Abu Al Futuh, Dr(1985). Penyelesaian Islam
Dari Sudut Sistem Politik. Shah Alam:Pustaka Fajar.
3. Subhi Al-Saleh, Dr(1986). Politik Dan Pentadbiran Dalam Islam.
Cetakan Pertama. Kuala Lumpur:Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
4. Abu al-Maati Abu al-Futuh Kahirah, Dr(1991). Sistem Pemerintahan
dalam Islam. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia.
5. Mohamed Azam Mohamed Adil, Rafeah Saidon, Noorul Huda Shaari(2006).
Perundangan dan kenegaraan Islam. iBook Publications Sdn. Bhd.
6. Abdul Monir Yaacob(2014). Konsep dan Peranan Ulil Amri di
Malaysia. Kuala Lumpur:Institut Kefahaman Islam Malaysia.
7. Abdul Karim Zaidan, Dr(2000). Islam dan Politik
Kenegaraan. Petaling Jaya:Persatuan Ulama’ Malaysia.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Hp: 013-400 6206
Pj: 04-9882701
Ru: 04-9882597
email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
url: abdazizharjin.blogspot.com